Monday, January 2, 2012

Aroma ikan bakar tepi pantai


HABSAH (kiri) dan Sahri bersama antara masakan kegemaran pengunjung restoran itu.


KE MANA anda pada cuti tahun baru hari ini? Jika anda tidak ada rancangan ke mana-mana, apa kata keluar makan bersama keluarga mahupun rakan di tempat yang agak istimewa.

Sekiranya anda ingin menjamu selera sambil menikmati hembusan bayu dan deruan ombak, Pantai Bagan Lalang di Selangor, menjanjikan ketenangan walaupun ia tidak jauh dari hiruk-pikuk kota.

Terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Restoran Senandung Malam Ikan Bakar Wak Sehab, Bagan Lalang, menyajikan makanan laut yang pasti membuatkan anda terliur.

Masakannya setaraf restoran eksklusif di bandar besar maka tidak hairanlah ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menikmati keenakan dan kesegaran makanan laut.

Restoran yang mula beroperasi dari pukul 5 petang hingga 1 pagi itu menyediakan hampir 20 jenis makanan laut seperti ikan jenahak, siakap, kembung, selar, senangin, sotong, udang, retak seribu, pepahat dan bermacam-macam lagi.

Menurut pengurus restoran, Mohd. Sahri Mohamad Sehab, 25, pelanggan hanya perlu memilih jenis makanan laut segar yang disediakan, timbang dan terus memesan jenis masakan yang diingini.

Siakap bakar, retak seribu dan pepahat masak masam manis bertelur, kerapu putih masak berlada, jenahak tiga rasa, siakap bakar dan sotong goreng tepung antara jenis masakan yang paling digemari.

Bermula dengan sebuah gerai kecil 16 tahun lalu, terang Sahri, restoran yang diuruskan oleh keluarganya itu menyediakan makanan laut segar dipilih khas oleh bapanya Mohamad Sehab Ngadino yang berpengalaman bekerja sebagai nelayan suatu ketika dulu.

Tidak pasti antara kemanisan makanan laut yang masih segar itu ataupun masakan yang cukup rempah ratusnya, keenakannya sukar digambarkan.

Habsah Mohamad Sehab, 33, yang mengetuai bahagian masakan berkata, Restoran Senandung Malam Ikan Bakar Wak Sehab sedikit berbeza dengan kebanyakan restoran ikan bakar lain terutama di bandar kerana ia masih mengekalkan cara masakan orang Melayu.

"Istimewanya pada sambal kicap yang digunakan untuk dicicah ikan bakar mahupun sotong goreng tepung kerana ia adalah resipi ibu saya," katanya yang turut sama menguruskan restoran keluarga.

Rasa masam, manis dan pedas daripada resipi ringkas iaitu kicap yang dicampur dengan lada, gula dan air limau nipis menggantikan asam jawa itu melengkapkan rasa segar ikan bakar.

Selain makanan laut, restoran yang dikenali ramai dari mulut ke mulut itu turut menyediakan hidangan panas seperti nasi goreng dan nasi lemak.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: