jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, August 29, 2011

Esso Di Ambil Alih Syarikat Arak!

Anda nak isi minyak kereta yang ada kena mengena dengan arak? Haram!!!!

image image

image

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak teragak-agak untuk mengetuai tindakan memboikot minyak serta lain-lain produk Esso Malaysia Bhd. (EMB) berikutan penjualan sahamnya kepada San Miguel Corporation (SMC) dalam masa terdekat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu penting bagi mengingatkan syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan ekonomi tempatan yang telah menjadi pusat operasi mereka selama berpuluh tahun.

"PPIM akan mengetuai boikot ke atas Esso dan mengajak rakyat Malaysia supaya menggunakan minyak Petronas kerana tindakan ExxonMobil (Corporation) menjual EMB kepada SMC jelas tidak menjaga sensitiviti rakyat negara kita.

"Seperti semua maklum, SMC turut berkecimpung dalam pembuatan serta pengedaran arak dan walaupun itu bukan merupakan perniagaan utama mereka, ia tetap menjadi satu pertimbangan yang akan PPIM gunakan dalam pemboikotan Esso nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setelah hampir dua minggu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa ExxonMobil supaya tidak menjual pemilikan saham EMB kepada SMC, Naib Presidennya, Stafford T. Kelly dalam satu sidang akhbar hari ini menjelaskan penjualan itu tetap akan dibuat kepada syarikat berpangkalan di Filipina tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, keputusan ExxonMobil menjual saham EMB kepada SMC jelas menunjukkan ia tidak sensitif dengan kedudukan negara ini yang mempunyai penduduk majoriti beragama Islam.

Katanya, ExxonMobil perlu mengambil kira iklim sosiopolitik negara dan tidak hanya membuat tindakan berdasarkan keputusan perniagaan semata-mata.

"PPPM boleh menyertai tindakan boikot ke atas Esso tetapi ia tidak bermakna semua pengguna akan melaksanakannya (boikot).

"Bagaimanapun, jika majoriti pengguna Islam memboikot minyak Esso selepas ini, ia akan turut mempengaruhi rakan-rakan bukan Islam lain untuk turut sama menyertai boikot itu namun ia memang tertakluk kepada individu tertentu," jelasnya.

Sunday, August 28, 2011

Bertuah ada Aidil

pix_middle

LAMA menanti, baru kini SELEBRITI berkesempatan merakamkan gambar aktres dan model jelita, Rita Rudaini bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan dua cahaya mata mereka, Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna, 3 bulan.

Rita yang anggun dalam persalinan rona biru hitam rekaan Hasfitri Yusof, membuka bicara tiada yang lebih bermakna daripada dikelilingi insan tersayang khususnya suami dan anak-anak tatkala menyambut lebaran. Meskipun hanya bercuti sekejap, dia bahagia apabila hasrat berkumpul seisi keluarga dimakbulkan Ilahi.

  • Foto

  • Foto

    PENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.

  • Foto

    PENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.

  • Foto

  • Foto

    BAHAGIA...Rayyan (kanan) dan Arjuna lambang cinta Aidil dan Rita.

Hari ini, Rita Rudaini Mokhtar akan berangkat pulang ke kampung halamannya di Perlis bersama keluarga tercinta. Biarpun tidak dapat berlama-lama di tanah tumpah kelahirannya lantaran terikat dengan komitmen karier, kepulangan itu mampu mengubat kerinduan terhadap ayah bonda dan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.

Paling membuatkannya teruja selain menghabiskan masa bersama suami serta anak-anak di kampung, buat pertama kalinya dia serta adik-beradik akan menyinsing lengan menggantikan ayah bonda menyiapkan hidangan utama untuk rumah terbuka yang diadakan setiap hari raya pertama.


“Jadi kemestian setiap tahun ayah dan ibu akan masak nasi tomato bersama ayam masak merah atau nasi Arab untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagaimanapun tahun ini ayah tidak sihat, jadi tugasnya akan diambil alih oleh anak-anak. Selepas berbincang dengan abang dan saudara lain, kami sepakat untuk masak nasi tomato.

Tak tahulah menjadi atau tidak kerana inilah percubaan pertama kami masak untuk 100 orang. Selain sajian utama, orang ramai yang datang beraya nanti akan dihidangkan laksa, rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih.

“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana semua sepupu pulang beraya di Perlis.
Bila berkumpul, pasti riuh rendah jadinya. Maklumlah sudah lama tak jumpa, pasti masing-masing ada cerita menarik untuk dikongsi. Anak sulung saya, Rayyan pun suka balik kampung sebab ada ramai sepupu yang sebayanya.

“Kalau ikutkan hati mahu bercuti lebih lama tetapi tidak boleh kerana saya dan Aidil ada komitmen. Aidil perlu jalani latihan manakala saya pula terikat dengan penggambaran drama Tangisan Bulan Madu musim kedua,” katanya sambil melirikkan senyuman bahagia.

Beralih kepada persiapan raya, jelas ibu penyayang ini keutamaan lebih diberikan kepada anak. Selepas dikurniakan zuriat, bagaikan menjadi satu kegilaan dia dan suami suka membeli pakaian untuk anak. Pantang ada yang menarik di mata, pasti segera dicapai dan dibawa ke kaunter pembayaran.

“Tahun ini saya serahkan tugas menentukan warna tema kepada suami dan dia pilih biru. Kami sudah beli beberapa pasang baju untuk Rayyan dan Arjuna termasuklah baju Melayu yang akan dipakai pada pagi raya nanti.

“Soal pemilihan baju anak-anak kami memang cerewet. Saya akan pastikan warna kena dengan kulit anak-anak dan kasut mestilah sepadan dengan baju. Kadang-kadang kami tidak sependapat dalam soal pemilihan warna, fesyen dan jenis kain tetapi itu bukanlah masalah besar kerana bila nampak cantik di badan anak, pasti masing-masing akan mengalah.

“Bab baju sendiri saya tidak kisah, pakai saja apa yang ada. Lagipun saya hanya berbaju kurung pada sebelah pagi, masuk waktu tengah hari saya akan salin kemeja-T,” katanya.

Sambil melirikkan mata ke arah Aidil yang asyik memangku Arjuna, bintang utama siri Iris, Cinta Gila, Rahsia Hati, Noktah Erna dan Pe­ngantin Untuk Dijual ini melafazkan rasa syukur kerana dikurniakan suami penyayang, lembut tutur kata serta perlakuan dan ringan tulang.

Biarpun sibuk latihan di padang, Aidil tidak mengabaikan ­tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa malah apabila berada di rumah, tidak kekok menguruskan anak. Baik membancuh susu, menukar lampin, memandikan atau ­mendodoikan anak dilakukan penuh kasih sayang.

Sikap prihatin dan timbang rasa Aidil dapat disaksikan sepanjang sesi fotografi yang berlangsung. Ketika Rita disolek jurusolek artis terkenal, Tiar Zainal, dialah yang menjaga dan menguruskan keperluan Rayyan serta Arjuna.

“Ketika mula-mula berkahwin, dia akan bantu jika kita cakap tetapi sekarang tak perlu minta tolong pun dia ringan tulang. Jika tidak ada latihan, dialah yang akan uruskan anak manakala saya pula akan memasak, membasuh dan membersihkan rumah.

“Ketika penggambaran Jangan Bunuh Matahariku musim kedua di Cameron Highlands baru-baru ini, saya pulang sekejap ke rumah. Ketika sampai saya terkejut lihat baju sudah berlipat, baju anak tersusun cantik, dapur teratur dan pinggan mangkuk tersusun rapi.

“Mula-mulanya saya ingat dia panggil orang kemas rumah, rupa-rupanya dia buat sendiri. Saya terharu apabila dia cakap tak nak saya penat buat semua kerja rumah. Satu lagi sikap terpuji Aidil, kalau tak tahu buat, dia akan minta saya ajar. Pernah dia minta saya ajar dia masak ayam seperti yang saya masak,” kata Rita.

Biarpun rumah tangga yang dibina pernah dilanda badai, Rita bahagia hidup di samping Aidil. Baginya apa yang berlaku sebelum ini adalah dugaan Allah SWT yang menjadikannya insan yang lebih tabah, matang serta kuat.

Tidak perlu dikesali atau diratapi kerana setiap dugaan pasti ada hikmahnya.

“Hidup berumah tangga pasti diuji. Perselisihan faham itu perkara biasa bagi suami isteri dan ia mengajar setiap pasangan untuk jadi lebih baik, saling menerima kelemahan dan menjadi peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.

“Bagi saya, setiap hari pasti ada perkara baru yang kita belajar daripada perkahwinan bahkan semakin lama hubungan itu kita akan lebih memahami pasangan.
Kita jangan pandang yang molek saja sebaliknya setiap pasangan kena terima kelemahan masing-masing. Ia akan menjadikan keadaan lebih mudah.

“Dalam hubungan saya dan Aidil, dia kena tahu kesusahan saya dan saya juga perlu tahu apa kesusahan dia. Saya faham sebagai pemain bola sepak negara tekanan yang diterima bukan sedikit. Setiap hari Aidil ada latihan dan apabila pulang ke rumah dia pasti penat. Sebagai isteri, jadi tugas saya untuk redakan tekanannya dan buat apa saja yang boleh buat dia rasa lega,” katanya.

Kehadiran Arjuna melengkapi kehidupan Rita sekeluarga. Biarpun tugas yang digalas bertambah apatah lagi dia tidak menggunakan khidmat pembantu rumah, Rita sedikitpun tidak mengeluh.

Biarpun penat terpaksa terkejar-kejar menguruskan anak dan kerja rumah, bagi Rita, itu berbaloi dan sangat seronok untuk dinikmati.

“Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah menguruskan anak-anak dan kerja rumah. Ketika ada pembantu rumah dulu pun, dia cuma kemas rumah saja kerana anak-anak saya jaga sendiri. Saya lebih selesa begini dan jika ada kelapangan Aidil akan bantu.

“Tidak dinafikan agak kelam-kabut bila semua perkara kita uruskan sendiri tapi itulah yang lebih mudah. Sejak ada adik, Rayyan mahukan perhatian yang lebih.
Dia jadi makin manja, makin meragam, kuat cemburu dan makin rapat dengan saya.

“Kadang-kadang kasihan pula dengan Arjuna tetapi dia seakan faham keadaan abangnya dan banyak mengalah. Dia anak yang baik, langsung tak meragam. Kalau letak depan TV, dia diam saja, sedar-sedar dah lena.

“Bagi saya anak-anak adalah segala-galanya. Merekalah cinta hati saya dan suami. Demi anak saya tidak kisah berpenat malah sentiasa berusaha berikan yang terbaik buat mereka,” kata Rita.

Tambah Rita, seperti mana kebanyakan ibu lain, dia mahu Rayyan dan Arjuna membesar depan mata bahkan sibuk di lokasi penggambaran tidak menjadi kekangan baginya melunaskan tanggungjawabnya.

Pernah ibunya menawarkan khidmat ikhlas menjaga Rayyan dan Arjuna jika dia terbabit dengan penggambaran tetapi ditolak secara baik. Bukan tidak percaya jauh sekali meragui kemampuan ibunya tetapi dia tidak betah berjauhan dengan dua anugerah paling indah dalam hidupnya itu.

“Saya tidak boleh fokus dengan kerja jika anak-anak tidak ada depan mata.
Tinggal anak sekejap pun sudah rasa sebak inikan lagi kalau berjauhan. Ke mana saja saya pergi Rayyan dan Arjna pasti ada bersama malah saya bawa mereka ke lokasi penggambaran.

“Jika tiba giliran saya beraksi depan kamera, ada rakan-rakan di lokasi akan jaga anak saya. Pengarah dan penerbit pun tak kisah kerana mereka faham tanggungjawab saya sebagai seorang ibu.

“Selepas berkahwin dan dikurniakan zuriat, rezeki saya semakin murah. Tawaran tak pernah putus bahkan drama Jangan Bunuh Matahariku baru-baru ini dan Tangisan Bulan Madu musim kedua yang akan memulakan penggambaran selepas raya ini adalah hutang saya ketika hamil.

“Produksi sanggup menangguh penggambaran semata-mata mahu tunggu saya. Pernah saya minta mereka gantikan tempat saya dengan orang lain tapi mereka berkeras mahu tunggu. Habis tempoh berpantang saya lunas janji. Kalau ikutkan ada banyak tawaran tetapi saya tolak sebab sudah berjanji jayakan dua drama itu.

“Melihat tawaran yang datang, saya mula risau andai tidak dapat tumpukan perhatian terhadap anak-anak. Justeru, saya janji dengan Aidil tidak akan kerja secara berterusan. Habis satu penggambaran saya akan berehat sebulan dan kemudian barulah kembali bekerja. Walaupun tawaran bagus, saya akan pejam mata sebab itu janji saya. Saya tak mahu kasih sayang anak berkurang. Sudahlah Aidil sibuk, jadi saya kena main peranan luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak,” katanya.

Ada maklumat dirahsia

KASIH IBU... Kartika menemani anaknya Wann Kaitlynn dan Qaisara.
KASIH IBU... Kartika menemani anaknya Wann Kaitlynn dan Qaisara.

SUNGAI SIPUT: Ada yang menghantar surat berserta biodata lengkap seperti surat memohon kerja, meluahkan perasaan secara bertulis, malah tidak kurang yang lebih ‘gentleman’ berjumpa ayahnya semata-mata mahu menyampaikan hasrat di hati.

Memegang status janda popular menyebabkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, menjadi perhatian ramai lelaki, sama ada orang kebanyakan mahupun berstatus VIP.


Lebih-lebih lagi kisahnya menjadi perhatian tiga tahun dulu berikutan kesanggupannya menjalani hukuman sebat atas kesalahan minum arak dan sejak itu setiap perkembangannya menjadi hiasan di dada akhbar hinggalah kisah perceraiannya dengan seorang warga Singapura.

Namun, buat masa ini, tidak terlintas di hati wanita kelahiran Kampung Jawang, di sini, itu untuk mengakhiri zaman jandanya, apatah lagi dia baru kehilangan anak sulung, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas pada 8 Mei lalu.


Kartika tidak menafikan tertarik dengan surat ‘lamaran’ diterima, namun individu yang melamarnya merahsiakan beberapa maklumat, terutama status terkini.


“Surat yang saya terima rata-rata menyertakan maklumat positif, namun saya terpaksa menolak kerana mereka masih berstatus suami orang.

“Saya tidak percaya 100 peratus maklumat diberi, sebaliknya melakukan siasatan bagi memastikan ia benar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


Menurutnya, dia tidak sanggup menghancurkan hati wanita lain semata-mata mahu mengakhiri status janda kerana percaya faktor takdir yang pasti berbalik kepadanya jika melakukan sesuatu yang buruk.

Katanya, bukan bermakna dia menutup pintu hatinya kepada lelaki lain selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Afandi Amir, 39, tahun lalu, tetapi Kartika enggan memikirkannya dalam masa terdekat.


“Saya baru mengambil alih perniagaan inap desa Perak River Safari daripada ayah dan tumpuan kini hanya kepada kerja untuk mempromosikannya yang diuruskan bersama dua abang saya.


“Wanita mana tidak mahu hidup bersama lelaki bergelar suami, tetapi ia (berkahwin) bukan keutamaan saya dalam tempoh lima tahun ini.


“Namun, jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam tempoh itu, siapalah saya untuk menolaknya,” katanya.


Kartika berkata dia tidak meletakkan syarat bagi mereka yang ingin menyuntingnya sebagai suri hati tetapi paling penting, lelaki berkenaan menerima anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi Muhammad Affandi, 7.


Katanya, anak adalah keutamaannya kini, lebih-lebih lagi sejak melalui kejadian sedih yang meragut nyawa anak sulungnya ketika insan lain yang bergelar ibu gembira menyambut Hari Ibu.


Bagaikan menjadi penawar duka, Kartika menerima seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang diberi seorang wanita seminggu selepas pemergian Azfar untuk dijadikan anak angkat.


Kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Qaisara tidak dianggap pengganti Azfar, sebaliknya sebagai kawan kepada Wann Kaitlynn.


“Qaisara tidak akan sama dengan Azfar kerana anak sulung saya mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan dia (Azfar) tetap saya kenang dan sayang sehingga ke hujung nyawa.


“Bagaimanapun, saya tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Qaisara kerana dia adalah amanah yang perlu saya pelihara dengan sewajarnya,” katanya.


Seperti Azfar, Qaisara tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa kerana mengalami masalah lembam tetapi Kartika reda menerima kekurangan anak angkatnya itu.

Ke rumah mentua

BAHAGIA... Samihah bersama Salih.
BAHAGIA... Samihah bersama Salih.

KUALA LUMPUR: “Insya-Allah, tahun pertama bergelar isteri, saya akan mengikut abang pulang berhari raya di kampungnya di Sungai Besar (Selangor),” kata isteri muda pengacara dan penyampai radio popular, Salih Yaacob, Samihah Sheikh Ali, 25.

Samihah atau lebih mesra dengan panggilan Emi mengikat tali perkahwinan dengan Salih penghujung Mei lalu, mengakui ia adalah pengalaman baru baginya yang sebelum ini meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Mersing, Johor.


“Sekarang saya berada di kampung (Mersing) dan akan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad (hari ini) ini menaiki bas bagi menyediakan persiapan raya di keluarga mentua pula.

“Selama empat bulan bergelar isterinya, saya mula memahami sikapnya yang terlalu bersederhana malah persiapan hari raya kali ini pun ditentukan abang dan kakak (madu) yang lain,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Menurutnya, Salih sering mengingatkannya mengenai sambutan perayaan secara sederhana dan mengikut kemampuan mereka, selain membuang tanggapan hanya menziarahi kubur serta bermaafan di Aidilfitri. Menjawab persoalan mempunyai keistimewaan bergelar isteri muda, Emi menafikan tanggapan berkenaan malah menyifatkan suaminya bersikap adil terhadap keempat-empat isterinya.


Malah ia terbukti sepanjang Ramadan lalu, apabila mereka sekeluarga kerap berbuka puasa bersama-sama sekali gus mengeratkan lagi hubungan mesra yang sedia ada.

Emi juga tidak menolak kemungkinan mereka sekeluarga bakal menyambut hari raya bersama-sama, namun tarikhnya masih belum ditentukan Salih.


Lebih melegakan Emi yang juga pembantu peribadi Salih, adalah pengertian dan sokongan ibu bapanya yang sentiasa memahami kedudukannya mempunyai keluarga besar.

Sementara itu, Salih ketika dihubungi berkata, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya apabila memiliki keluarga besar, dia mempraktikkan sistem giliran pulang ke kampung empat isterinya.


“Saya beruntung apabila dianugerahkan isteri yang memahami dan berdikari. Malah diakui keempat-empat isteri saya bijak memainkan peranan mereka sendiri sambil mendapatkan pandangan saya sebagai suami sebelum membuat keputusan.


“Saya tidak pernah menghalang isteri jika mereka ingin menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa masing-masing biarpun lebih afdal mereka berada di sisi saya kerana memahami kerinduan mereka terhadap keluarga,” katanya.


Menurutnya, dia akan mencuri masa untuk menziarahi keluarga mentuanya di Kajang, Selangor (isteri pertama), Bagan Serai, Perak (isteri kedua), Alor Setar, Kedah (isteri ketiga) dan Mersing (isteri keempat).


Katanya, dia akan memanfaatkan sebarang jemputan pertunjukan pentas di tiga negeri berkenaan untuk beraya di kampung mentuanya. Selain itu, Salih berkata, dia bercadang mengadakan rumah terbuka untuk peminat namun enggan menetapkan sebarang tarikh kerana bimbang hajat itu tidak kesampaian.


Tambahan pula, dia kini bakal melancarkan produk berasaskan makanan jenamanya sendiri bulan depan.

Dipukul tanpa sebab

KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.

GEORGETOWN: “Kami dipukul, dipijak dan ditendang seperti haiwan di depan orang ramai, sedangkan kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” dakwa dua sahabat apabila dipukul sekumpulan 15 anggota skim rondaan sukarela (SRS) di Batu Ferringhi, di sini, malam Khamis lalu.

Muhammad Farzuan Romzi, 20, dan Fendi Abdul Latif, 21, masing-masing dari Teluk Bahang berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika mereka mengunjungi rumah seorang rakan di Mutiara Apartment, Batu Ferringhi.


Bagaimanapun, Muhammad Farzuan berkata, rakannya yang menetap di tingkat empat tiada di rumah dan mereka menunggu di tepi tangga sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka anggota SRS sebelum memukul mereka menggunakan kayu, besi dan topi keledar.

Katanya, dia dan rakannya hampir pengsan selepas dibelasah tanpa belas kasihan dan mengalami lebam di seluruh anggota badan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.


“Saya terkejut dengan kejadian itu dan lebih menyedihkan apabila dituduh cuba melakukan jenayah pecah rumah dan menghidu gam selain dibelasah dan diseret dari tingkat tiga hingga tingkat bawah tanpa belas kasihan serta diperlakukan seperti binatang,” katanya.


Fendi berkata, dia kesal kerana kumpulan lelaki itu mengambil tindakan tanpa usul periksa, selain trauma dengan kejadian terbabit.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Ferringghi, jam 11 pagi semalam bagi meminta polis melakukan siasatan.

Makanan hijau penting

pix_middle
UNTUK KESIHATAN... lebihkan sayu-sayuran mentah, segar dan organik.
UNTUK KESIHATAN... lebihkan sayu-sayuran mentah, segar dan organik.

KITA sering beranggapan lemak tidak baik untuk kesihatan. Pada awal 1980-an, piramid makanan dicipta dengan meletakkan karbohidrat di bahagian paling bawah (makanan yang perlu diambil dengan kuantiti tinggi) manakala minyak/lemak di bahagian paling atas (diambil sedikit).

Mereka menyarankan orang ramai mengurangkan pengambilan lemak dan melebihkan pengambilan karbohidrat. Akibatnya, sejak lebih 20 tahun lalu, pertambahan orang yang mempunyai berat badan berlebihan meningkat daripada 25 peratus kepada 65 peratus.


Pendapat peribadi pakar nutrisi dari Kanada, Dr Udo Erasmus, perlu diberi perhatian bagi mengetahui apa yang baik dan tidak baik diambil untuk menjaga kesihatan.

Dr Udo berpendapat, karbohidrat akan menjadi makanan yang kurang penting tetapi manusia perlu mengambil asid lemak yang datang daripada lemak, asid amino daripada protein serta mineral dan vitamin daripada makanan yang dimakan.


Dr Udo, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Zoologi dan pengkhususan Psikologi daripada Universiti British Columbia selain bidang biokimia dan genetik, mengadakan promosi mengenai gaya hidup sihat di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


“‘Perlu’ bererti molekul yang tidak boleh dibuat di dalam badan anda tetapi anda mempunyai bahan itu untuk menjadi sihat supaya ia ada untuk dibawa dari luar, sama ada daripada makanan atau makanan tambahan.

“‘Penting’ juga bermakna, jika tidak mendapat cukup bahan itu, kesihatan anda terjejas, gejala kekurangan dan degeneratif timbul. Tiada karbohidrat yang penting menurut definisi ini tetapi asid lemak menepati definisi ini,” katanya.


Menurutnya, kebanyakan orang berpendapat, jika makan lemak, mereka mendapat lemak. Bagaimanapun, berikutan piramid makanan itu dibentuk, mereka mengurangkan makanan berlemak, tetapi masih gemuk.

Begitu juga penduduk di negara Eropah, pada masa kini 50 peratus penduduk Eropah dan 30 hingga 35 peratus penduduk Asia mengalami berat badan berlebihan. Trend itu menunjukkan individu yang semakin gemuk ada di mana-mana saja di dunia.


Dr Udo memutuskan mencipta sebuah piramid makanan sendiri dengan melihat sifat. Beliau berpendapat, penting untuk semua makhluk di dunia ini mengambil makanan segar, mentah dan organik. Makanan hijau ialah elemen paling penting dan harus ada di dasar piramid makanan.


“Ini kerana apabila anda melihat sekeliling, semua yang hidup di dunia makan banyak makanan hijau. Jika anda lihat sekeliling, anda mendapati banyak sayur-sayuran di dunia berbanding buah-buahan. Berdasarkan ini, sifat memberitahu sesuatu kepada anda yang mana haiwan hidup makan banyak benda hijau berbanding buah-buahan,” katanya.


Oleh itu, Dr Udo mencadangkan kita harus makan sembilan bahagian hijau dan satu bahagian buah-buahan. Buah-buahan bergula membawa gula dalam darah anda dan kemudian mendapatkan toksik dan membawa insulin ke dalam sel anda.


Gula masuk ke dalam aliran darah dan kemudian anda membakar sedikit tetapi yang lain bertukar menjadi lemak iaitu gula menghidupkan pengeluaran lemak.


“Apabila ini berlaku, gula dalam darah menjadi terlalu rendah dan sama ada anda tidur atau teringin mendapatkan sesuatu. Apabila berkeinginan sesuatu, badan memberitahu anda, lebih baik anda makan sesuatu kerana jika tidak anda akan mati.


“Orang ramai cenderung makan karbohidrat dan lemak supaya gula dalam darah meningkat dan mampu kembali ke tahap normal. Ketika gula dalam darah kembali normal, ia dibawa ke pusingan seterusnya di mana gula yang tinggi mencetuskan lebih banyak insulin ke dalam sel yang menyebabkan ketagihan dan makan berlebihan.


“Itulah cara berlebihan berat badan daripada karbohidrat berlaku. Ini ketagihan kuat seperti mendapatkan ketagih kokain dan heroin,” katanya.


Dr Udo berkata, cara betul ialah meletakkan minyak di bahagian bawah piramid makanan dan bukan makanan berasaskan karbohidrat. Sehubungan itu, kita perlu membuat minyak yang baik sebagai bahan api utama dan bukan karbohidrat. Ini kerana minyak yang baik meningkatkan tenaga daripada 40 peratus kepada 60 peratus.


Daripada kajian, atlet boleh pulih dengan segera dengan mengambil satu sudu besar minyak yang baik iaitu 15 mililiter minyak bagi setiap 25 kilogram berat badan. Mereka juga dapat tidur lena, kulit menjadi lebih cantik, ingatan lebih baik, malah boleh melakukan lebih baik dalam bidang sukan.


Di samping meningkatkan tenaga, makan minyak dan lemak yang baik juga boleh mengekalkan tahap tenaga selain menyekat selera makan. Jika orang ramai mula menggantikan lemak dengan karbohidrat, ia menjadi ‘bahan api peralihan’ iaitu daripada karbohidrat yang menjadikan bahan api kepada lemak yang membuat bahan api.


Lemak baik boleh menghidupkan sistem pembakaran lemak, manakala karbohidrat menghidupkan pengeluaran lemak. Selagi orang yang berlebihan berat badan terus makan karbohidrat, mereka akan semakin gemuk.


Katanya, lemak selalu dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular, kanser, radang dan rintangan insulin. Ia juga selalu dikaitkan dengan penyakit degeneratif utama, itu sebabnya kita diingatkan supaya mengurangkan makanan berlemak.


Dr Udo berkata, kita perlu mengurangkan makan lemak yang kurang baik tetapi makan lemak yang lebih baik. Jika anda termasuk di kalangan mereka yang mendapat kuantiti lemak baik dalam diet mencukupi, ini hampir membantu anda mengembalikan semula bahan diperlukan tubuh.


Apabila kita melihat dalam alam semula jadi, cukup banyak minyak yang baik kerana ia semula jadi. Bagaimanapun, sekitar 1900, industri minyak bermula di mana minyak kelapa dan mentega boleh digunakan dalam makanan.


“Masalah dengan minyak yang baik ialah ia mempunyai jangka hayat singkat kerana sensitif kepada suhu, udara dan cahaya. Bagaimanapun, minyak dalam benih dilindungi. Apabila diekstrak keluar, ia menjadi tengik dengan cepat dan lebih sensitif daripada mana- mana nutrien lain,” katanya.


Untuk pasaran global, minyak perlu mempunyai jangka hayat panjang kerana industri lebih berminat mendapatkan minyak yang mempunyai jangka hayat panjang dan bukan penekanan dalam bidang kesihatan.


Jadi, pengeluar beranggapan, menggunakan natrium hidroksida, asid fosforik dan asid untuk menghakis atau asas untuk peluntur minyak. Minyak bertukar menjadi tengik atau bau minyak akan terbebas. Jadi, untuk menghilangkan minyak, ia perlu digoreng pada suhu antara 180° hingga 250° Celsius.


Apabila langkah itu dilakukan, minyak diproses mempunyai jangka hayat sehingga dua tahun ketika dipasarkan. Kerana proses itu, kira-kira satu peratus daripada molekul akan rosak.


“Kita boleh menyukai makanan bergoreng tetapi makanan yang digoreng tidak mungkin menyukai anda. Minyak bersifat ‘pendendam’ iaitu bagaimana kita melayan mereka, mereka akan melayan kita dengan cara sama.


“Jika anda merawat minyak dengan rapi, terutamanya Omega 3, Omega 6 dan asid lemak, mereka mengambil berat mengenai kesihatan anda. Sebaliknya, jika anda merosakkan mereka, mereka merosakkan kesihatan anda.


“Sebagai contoh, jika anda goreng minyak, risiko kanser, penyakit kardiovaskular dan radang akan meningkat,” katanya.


Untuk mendapatkan kesihatan lebih baik, amalkan pengambilan makanan organik kerana kita tidak mahu racun perosak kerana ia membunuh hidupan. Jadi, ia bermula dengan organik dan Omega 3 dan Omega 6 kerana ia satu keperluan.


Katanya, proses mendapatkan minyak yang baik sangat kritikal iaitu minyak perlu dilindungi bermula daripada benih segar, ditapis dan dimasukkan ke dalam botol. Ini bermakna, kita memerlukan mesin untuk memproses untuk melindungi minyak.


Kita boleh mempunyai sehingga enam peratus kalori daripada minyak dengan syarat minyak tidak rosak atau tercemar.


Dr Udo mengesyorkan satu sudu besar minyak yang baik iaitu kira-kira jumlah sama minyak masak yang kita gunakan setiap hari. Ketika musim sejuk, minyak sangat baik untuk pemanasan badan.


Penyelidikan menunjukkan, jika kita meningkatkan penggunaan Omega 3, yang terlalu rendah pengambilannya dalam 99.9 peratus penduduk, kita boleh menangani masalah kardiovaskular, meningkatkan rintangan insulin, hormon mungkin lebih sensitif kepada tisu khusus sel, tidur lebih baik, membantu mengatasi sembelit, kulit cantik, menggalakkan rambut dan kuku tumbuh lebih baik, menyediakan bahan diperlukan di dalam hati dan fungsi buah pinggang, mengekalkan tulang kuat, menghidupkan pembakaran lemak yang baik dalam pengurusan berat badan, baik bagi pembangunan dan fungsi otak, membantu fungsi hormon adrenal serta fungsi hormon lelaki dan perempuan.


Minyak yang baik penting untuk wanita, kanak-kanak dan janin. Penyelidikan menunjukkan, wanita mendapat penyakit kronik seperti radang 15 kali lebih kerap daripada lelaki. Penyelidik berfikir, ia ada kaitan dengan asid lemak penting yang tidak mencukupi.


Oleh itu, penyelidik menasihatkan wanita supaya memastikan mereka mengambil sumber asid lemak diperlu yang mencukupi.


Selain itu, Dr Udo berkata, jika meningkatkan Omega 3, titik IQ kita boleh meningkat enam hingga sembilan mata. DHA terbitan Omega 3 yang sangat penting dalam perkembangan otak.

Sumber alternatif jana elektrik

BERGAYA...kumpulan bagi projek penjanaan tenaga bahan bakar pejal daripada bahan buangan industri perladangan ayam bergambar bersama peserta negara lain.
BERGAYA...kumpulan bagi projek penjanaan tenaga bahan bakar pejal daripada bahan buangan industri perladangan ayam bergambar bersama peserta negara lain.

WALAUPUN usia projek baru setahun jagung dan pesertanya belum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), siapa sangka hasil inovasi projek sains mereka bagaikan kajian seorang saintis.

Meskipun hanya berbekalkan asas ilmu fizik dan kimia di peringkat sekolah menengah, projek dilaksanakan bukan calang-calang apabila diiktiraf sehingga meraih pingat emas di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara.

  • Foto

    BANGGA...Dr Mariam (tengah) menerima anugerah khas delegasi ESI 2011 terbaik sambil disorak oleh pelajarnya.

  • Foto

    KENANGAN...sebahagian peserta bergambar kenangan di Menara Eiffel ketika singgah di Paris, sebelum meneruskan perjalanan ke Slovakia.

Begitulah pencapaian pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka, apabila tiga kumpulan membabitkan 10 pelajarnya berjaya meraih tiga pingat emas pada Ekspo Sains Antarabangsa (ESI) 2011 di Kompleks Ekspo Incheba, Bratislava, Slovakia baru-baru ini.

Malah, mereka turut dianugerahkan medal khas Delegasi Terbaik ESI 2011 dan dijemput menyertai pertandi­ngan Dunia Kajian dan Kreativiti Monstrtec 2011 di Brazil pada Oktober depan.


Tiga projek yang memartabatkan nama MRSM Tun Ghafar Baba pada mata dunia itu ialah ‘Sabut kelapa sebagai pemangkin enzim bio kepada sisa kelapa sawit bagi menghasilkan ‘biofuel’ untuk penjanaan tenaga bersih untuk generasi akan datang’, ‘Tindakan sel kimia terhadap larutan sodium klorida dengan elektrod yang dieletroplimerasikan sebagai tenaga masa depan’ dan ‘Penjanaan tenaga bahan bakar pejal daripada bahan buangan industri perladangan ayam’.


Misi mengharumkan nama negara itu diketuai Pengetuanya, Dr Mariam Md Salleh, Penyelia Projek, Noor Suhaily Ali dan Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) MRSM Tun Ghafar, Datuk Dr Baba Md Deni.

Pelajar yang menyertai ESI 2011 menanggung sendiri kos perjalanan yang berjumlah RM7,500 seorang.

Namun, usaha dilakukan berbaloi apabila menjadi wakil negara yang julung kali menyertai ESI.

Pesertanya adalah pelajar sekolah dan universiti dari seluruh dunia yang mempamerkan hasil ciptaan bagi kegunaan masa depan ke arah penggunaan teknologi hijau.

Wakil peserta kumpulan kedua, Amirul Amrie Amerudin, 17, berkata hasil kajian bagi projek bertajuk tindakan sel kimia ke atas larutan sodium klorida dengan elektrod yang dieletroplimerasikan sebagai tenaga masa depan, dilaksanakan sejak setahun lalu.

Katanya, tiga lagi ahli kumpulan seusianya iaitu Mohd Adri Fitri Abdul Khalid, Nur Ashi­qeen Mohd Sultan dan Iffah Mardhiah Ahmad Syukri hanya mempraktikkan asas bagi tajuk subjek Kimia iaitu tindak balas kimia dan selebihnya dengan mencari bahan menerusi Internet bagaimana ia boleh diolah untuk menghasilkan penggunaan elektrod bagi menjana tenaga elektrik.

“Hasil kajian kami bukan setakat mencari maklumat tambahan, malah mendapat­kan kerjasama Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) bagi mempertingkatkan hasil projek dan daripada situ kami mendapat idea baru yang tidak pernah dipelajari iaitu penggunaan elektrod logam yang disalut ‘pyrol’ bagi mempertingkatkan ketahanannya.

“Projek kami ialah penggunaan elektrod yang bertindak balas dengan larutan sodium klorida dengan menggunakan air laut yang dipekatkan sebagai pemangkinnya bagi penghasilan tenaga elektrik.

“Sebanyak tujuh eksperimen dilaksanakan di UM dengan menggunakan kemudahan yang ada di situ bagi menjayakan projek ini.

“Hasilnya kami menjadikannya sebagai asas yang boleh digunakan dengan membina sebuah tangki besar berisi air laut dan di dalamnya mempunyai sejumlah elektrod yang memberi tindak balas bagi penghasilan tenaga elektrik bagi menjadikannya sebuah janakuasa elektrik tanpa meng­gunakan bahan api,” katanya.

Menurut Amirul, projek ini turut dilengkapi kertas kerja setebal 70 muka surat yang dihasilkan hampir setahun dengan pelbagai usaha sehingga terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk ke UM, selain perlu memberi tumpuan lebih sehingga mengorbankan masa untuk ke kelas.

Sebulan sebelum menyertai ESI 2011 adalah tempoh paling stres bagi ahli kumpulannya kerana perlu mempersiapkan diri dengan pembentangan kertas kerja, selain bersedia menjawab apa saja persoalan yang bakal dikemukakan juri.

“Bagi kami, ini adalah pengalaman yang mencabar, kerana kami mengemukakan projek di peringkat antarabangsa dan perlu bersaing dengan peserta dari negara maju yang dijangka bakal mempunyai projek lebih baik daripada kami.

“Namun semua itu hanya cabaran yang mematangkan diri kami dan menerusi projek ini, ia meniup semangat kami untuk berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang sains.

“Kami berharap idea daripada projek ini boleh dimanfaatkan oleh mana-mana pihak di negara ini bagi menjadikannya sebagai sumber alternatif bagi penjanaan elektrik, terutama di kawasan terpencil seperti di pulau,” katanya.

Sementara wakil kumpulan ketiga, Nur Syafiqah Mohd Johari, 16, bergandingan dengan rakannya, Siti Munirah Faisal.

Mereka menjadikan artikel yang ditemui di Internet bertajuk masalah pencemaran sisa buangan industri perladangan ayam ternakan sebagai idea projek mereka.

Dia berkata, secara kebetulan ayahnya mempunyai rakan yang mempunyai ladang ternakan ayam dan daripada situ, dia mendapat tahu bulu ayam hanya dibuang selepas ia disembelih tanpa dimanfaatkan hasil buangan itu.

“Idea ini muncul awal tahun ini dan kami memikirkan penyelesaian dengan menjadikannya sebagai sumber tenaga alternatif. Menerusi carian Internet, kami mendapat maklumat mengenai penggunaan tanah ‘kaolin’ iaitu hasil bumi yang digunakan sebagai bahan bakar.

“Menerusi maklumat itu, kami mencipta bahan api dalam bentuk pelet dengan adunan bulu ayam dan tanah kaolin bagi menghasilkan projek dengan tajuk ‘Penjanaan tenaga bahan bakar pejal daripada bahan buangan industri perladangan ayam’ sebagai ganti bagi penggunaan arang batu yang tidak boleh diperbaharui.

“Hasil kajian kami selama lima bulan itu turut mendapat bantuan penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) yang memberi maklumat dan menjalankan eksperimen di makmal mereka bagi melihat keberkesanan projek,” katanya.

Nur Syafiqah berkata, projek dihasilkan bukan saja me­ngeluarkan sumber bahan api, malah hasil pengeluaran karbon juga kurang dan memberi kesan kepada alam sekitar.

Katanya, lima ciri bagi dihasilkan bagi projek ini ialah kandungan abu, air, ketumpatan, kadar pemeluwapan dan kandungan karbon yang tetap.

“Menerusi eksperimen dilakukan, pembakaran pelet dihasilkan mampu menggantikan arang batu yang digunakan sebagai sumber tenaga bagi janakuasa elektrik.

“Hasilnya juga mampu digunakan pada masa depan jika idea ini dikomersialkan dan dipertingkatkan lagi menerusi kajian lanjut oleh agensi kerajaan atau institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Saya tidak menyangka projek ini mendapat perhatian juri kerana mereka menyatakan ia mempunyai kelainan berbanding projek dikete­ngahkan peserta lain kerana ia mempunyai masa depan cerah untuk digunapakai,” katanya.

Wakil kumpulan pertama, Muhammad Afdhal Anuar, 17, memikul tanggungjawab membawa projek rakannya, Aidulfitri Awaludin, 17, bertajuk ‘Sabut kelapa sebagai pemangkin enzim bio kepada sisa kelapa sawit bagi menghasilkan ‘biofuel’ untuk penjanaan tenaga bersih bagi generasi akan datang’ ke ESI 2011 bukan sesuatu yang mudah kerana itu bukan projeknya.

Katanya, ditambah pula tiga lagi ahli kumpulan lain masing-masing berusia 16 tahun iaitu Mohd Akmal Hakim Mohd Idris, Abdul Muiz Kamarudin, Ahmad Nizam Anuar adalah juniornya.

“Akhirnya kami dapat mengetepikan semua perbezaan itu dan duduk semeja berbincang dan mendapat penerangan secara intensif daripada Aidulfitri untuk meneruskan projeknya yang gagal disertai akibat faktor kesihatan walaupun sudah tiba di Houston, Amerika Syarikat, bagi menyertai Projek Olimpiad Antarabangsa Bagi Tenaga Mampan, Kejuruteraan dan Alam Sekitar (ISWEEEP) awal Mei lalu.

“Dengan berbaki hanya beberapa bulan sebelum menyertai ESI 2011, saya dan ahli kumpulan perlu membaca secara menyeluruh dan memahami kertas kerja mengenai projek berkenaan bagi pemahaman bagaimana membentangkannya.

“Kami juga perlu ke Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjalankan eksperimen yang pernah dilakukan sebelum ini supaya dapat melihat lebih jelas projek berkenaan,” katanya.

Muhammad Afdhal dan rakannya banyak memberi tumpuan kepada aspek praktikal bagi mempersembahkan projek kepada juri dengan menjadikan peserta negara lain yang singgah di kiosk kumpulannya sebagai pendengar apa yang mahu disampaikan.

Kumpulannya mampu berbahasa Inggeris dengan baik berbanding peserta negara lain yang menggunakan jurubahasa bagi memberi penerangan mengenai projek mereka.

“Alhamdulillah, usaha dan kerjasama rakan kami diumum sebagai pemenang pingat emas bagi projek ini,” katanya.

Sementara itu, Noor Suhaily berkata, dia mengemukakan cadangan mengenai ESI 2011 selepas menerima jemputan daripada peserta negara lain ketika menyertai pertandingan projek antarabangsa tahun lalu. Katanya, MRSM Tun Ghafar membuat persediaan awal sejak tahun lalu dengan me­ngumpulkan semua pelajar yang mempunyai projek yang boleh diketengahkan ke pering­kat antarabangsa.

“Sepanjang tahun ini bermula April lalu, selain ESI 2011 dan ISWEEEP, pihak­nya menghantar wakil untuk empat lagi pertandingan projek inovasi sains peringkat antarabangsa iaitu Projek Olimpiad Alam Sekitar Antarabangsa (INEPO EUROASIA) di Baku, Azerbaijan; Pertandingan Projek Komputer Antarabangsa (INFOMATRIX) di Bucharest, Romania, Projek Olimpiad Alam Sekitar (INEPO) di Instabul, Turki dan Projek Olimpiad Antarabangsa Saintifik dan Alam Sekitar (INESPO) di Amsterdam, Belanda,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Amirul Amrie Amerudin
UMUR: 17 tahun
ASAL: Kajang, Selangor


PROFIL:

NAMA: Nur Syafiqah Mohd Johari
UMUR: 16 tahun
ASAL: Kuala Lumpur


PROFIL:

NAMA: Muhammad Afdhal Anuar
UMUR: 17 tahun
ASAL: Selangor

Hanya dua hajat tercapai

INDAH...keadaan Masjid Sultan Hassan atau masjid empat mazhab yang masih menyimpan kitab keempat-empat mazhab berkenaan.
INDAH...keadaan Masjid Sultan Hassan atau masjid empat mazhab yang masih menyimpan kitab keempat-empat mazhab berkenaan.

DETIK hati, hanya tiga perkara ingin saya lakukan jika melawat Mesir iaitu melawat makam Imam Shafie, menyentuh tapak kaki Nabi Muhammad SAW dan menggenggam debu bumi Palestin. Ia hampir direalisasi ketika membuat tinjauan pasca kejatuhan kerajaan Husni Mubarak di Mesir selama 13 hari pada 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, sebaik menjejak kaki di bumi ambia itu, hanya dua daripada keinginan saya dapat dipenuhi kerana usahkan memegang debu bumi Palestin, hendak menjeling ke negara berkenaan pun tidak berkesempatan.

  • Foto

    ZIARAH...Makam Imam Shafie yang terus menjadi kunjungan ramai.

  • Foto

    TERTUA...Masjid al-Azhar yang menjadi lokasi pertama pelajar Azhar mengikuti pengajian.

  • Foto

    SIMBOL MESIR...penulis sempat bergambar berhampiran piramid yang menjadi kebanggaan rakyat Mesir.

Namun saya bersyukur kerana sempat mengimarahkan beberapa rumah Allah seperti Masjid Ahmad bin Hulun, Masjid al-Azhar, Masjid Amru bin Ash, Masjis Hussein (masjid negara), Masjid Annur (masjid baru kegemaran Mubarak), Masjid Sultan Hassan yang menempatkan pengikut empat mazhab serta syiah dan beberapa masjid tempatan lain.

Kebanyakan masjid ini mempunyai makam tokoh Islam dan di Masjid Hussein, beberapa kelengkapan milik Rasulullah SAW disimpan bersebelahan makam yang mempunyai kepala cucunya, Hussein yang dipenggal.


Seperkara menarik mengenai Mesir ialah setibanya waktu solat, azan berkumandang sahut-menyahut, menyebabkan hati berdetik (mungkin malu dengan diri sendiri) mengerjakan solat, tambahan pula peluang menunaikan solat begitu mudah.


Setiap langkah atau ceruk pasti ada masjid atau surau, namun ada satu benda yang harus anda praktikkan untuk membolehkan anda tidak kelihatan seperti pelancong di negara bergolak seperti ini, iaitu jangan memakai atau membuka kasut di tangga masjid selepas solat, sebaliknya gunakan tempat disediakan mereka.

Oleh kerana matlamat asal ingin menjejaki bekas pemimpin negara berkenaan, saya terpaksa ke Sham el Sheikh kerana Husni Mubarak dirawat di hospital di sana dan dari Kaherah, kami melalui terusan Suez sebelum ‘tersangkut’ beberapa jam kerana melanggar perintah berkurung.

Sebaik dibebaskan, saya bergerak ke Dahab dan singgah sekejap di Taba, kawasan bersempadan dengan Israel bagi melihat bumi yang dirampas puak tidak berhati perut berkenaan dan lensa kamera langsung tidak dibenarkan untuk menghala keluar dari kereta.

Sebenarnya saya kagum dengan teknologi ketika melalui terowong AS-Shahid Sheikh Ahmad Hamidi di bawah terusan Suez yang dibina pada 1981 yang dibiayai sepenuhnya oleh Barat melalui Perjanjian Kem David.

Walaupun tidak dibenar menaikkan lensa kamera menghala ke Israel, kami sempat bergambar di Monumen Mubarak yang dibina khas untuknya kerana beliau pemimpin yang mengembalikan bumi Sinai kepada Mesir dan itulah satu-satunya bahan bersejarah yang masih disimpan.

Selepas ini mungkin tiada lagi peninggalan pemimpin itu kerana bukan saja gambarnya dibuang, malah plak tertera namanya kerana merasmikan majlis tertentu turut dipadam sebagai tanda marah rakyat kepada pemimpin berkenaan.

Selepas bermalam di Dahab, menikmati hidangan makanan laut lazat dan menyaksikan keindahan batu karang di Laut Merah, kami bergerak ke Kaherah melalui Sinai, namun saya sedikit kecewa kerana tidak dapat meluangkan masa memanjat Gunung Sinai yang menjadi lokasi Nabi Musa AS bermunajat dengan Allah.

Dek mengejar masa, kami juga tidak dapat melihat beberapa telaga yang dipercayai ada kaitan dengan Nabi Musa AS yang dulunya mempunyai 12 telaga mewakili 12 kaum yang mengikut ajarannya selain Hammam (tandas) Firaun yang dikatakan mengeluarkan haba panas.

Dalam perjalanan, kami singgah di satu kawasan yang hanya terletak di tepi jalan dan tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Matlakh Yahudi’ yang dikatakan sering dikunjungi masyarakat Yahudi jika masuk ke Mesir atau melalui kawasan berkenaan.

Rupa-rupanya di situ terletak makam jurutera tentera Yahudi dikenali sebagai Mohandis yang terbunuh ketika membuat kajian untuk pembinaan jalan di tanah diceroboh negaranya selepas melalui laluan berkenaan yang dipenuhi periuk api ditanam tentera Zionis.

Untuk rekod, Yahudi menakluki Sinai hampir enam tahun sebelum menyerahkannya kepada Mesir sejurus tewas dalam perang pada 1967.

Sekembalinya di Kaherah, saya tidak melepaskan peluang menyusuri Sungai Nil yang menjadi kebanggaan masyarakat Mesir selain meninjau makam imam kita, Imam Shafie dan sebuah lagi makam yang dikatakan milik gurunya, Imam Waqi’.

Turut dikunjungi ialah lokasi bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat ditembak mati dan makamnya turut dibina berhampiran kawasan berkenaan.

Kata orang, kunjungan ke Mesir tidak sempurna jika tidak ke piramid, jadi saya meluangkan masa dua jam untuk melihat keunikan piramid berkenaan yang terletak di tengah padang pasir, turut kelihatan beberapa piramid kecil yang tidak dikorek.

Selain piramid, saya mengunjungi Tasik Qarun yang menjadi lokasi masyarakat setempat khususnya penduduk kampung sekitar Fayyoum beriadah.

Nyata sekali masyarakat Arab teruja dengan kawasan berair, jadi tidak hairan mereka sanggup berkelah walaupun airnya kotor dan kehitaman.

Kira-kira lima kilometer dari tasik berkenaan, ada satu lagi tasik kecil dan di antara tasik berkenaan ada dua air terjun yang menjadi tempat anak muda tempatan meluangkan masa menunjukkan aksi terjun ‘anjal’ walaupun ia bukan terlalu tinggi.

Destinasi terakhir saya di Mesir ialah Bazaar Khan Khalili dan di sinilah tempat pelancong membeli-belah, malah kebanyakan peniaga di situ mampu berbahasa Melayu tetapi kasar ketika berurusan dengan pelancong.

Seperkara yang harus diingat ketika berurusan dengan peniaga di sana ialah, kita juga harus berkasar dan jangan mempedulikan mereka jika merasakan harga ditawarkan tidak munasabah kerana ketika perang, harga barang ditawarkan jauh lebih mahal.

Apapun selepas sekian lama meninggalkan Mesir, saya masih terbayangkan nasi mandy berlaukkan ayam atau kambing panggang, kufta (campuran daging unta), kebab arab dan muse (jus pisang) yang sememangnya menjadi menu harian saya di sana.

Visi jitu Syed Mohd Razif

MANTAP...Syed Mohd Razif bersama warga kerja Kumpulan Sri Sutra.
MANTAP...Syed Mohd Razif bersama warga kerja Kumpulan Sri Sutra.
PANTAU...Syed Mohd Razif memantau kakitangan syarikatnya bekerja.
PANTAU...Syed Mohd Razif memantau kakitangan syarikatnya bekerja.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Itulah gambaran ringkas bagi menceritakan suka duka Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya Syed Yassin bergelar usahawan Bumiputera yang berjaya dalam mengendalikan syarikat besar dalam dunia pengembaraan tempatan dan agensi pelancongan.

Mengimbas pembabitannya dalam dunia perniagaan, Syed Mohd Razif mengakui tidak menyangka mampu melangkah jauh dalam bidang berkenaan.

Selepas menamatkan zaman persekolahan pada 1981, beliau mulanya bercita-cita untuk menjadi pramugara. Namun, hasratnya tidak kesampaian disebabkan faktor fizikal.

“Saya teringin sangat menjadi pramugara masa itu. Saya mahu mengembara dan melihat dunia luar.


“Pun begitu, impian saya tidak kesampaian sebab saya pendek. Memang melucukan, tetapi itulah sebabnya saya tidak dapat menjadi pramugara,” kata Syed Mohd Razif memulakan ceritanya.


Bagaimanapun, kegagalan menjadi pramugara tidak menghalang minat mendalam untuk mengembara dan melihat dunia luar. Beliau mengambil inisiatif lain dengan menceburi dunia pengembaraan tempatan dan agensi pelancongan.

Pada 1983, beliau memulakan karier dalam bidang berkenaan bersama syarikat tempatan, Mitra Malaysia sebagai wakil jualan produk pelancongan. Pembabitan dalam bidang ini secara tidak langsung mengubah nasib hidup beliau.

Sebagai wakil jualan, Syed Mohd Razif bertemu orang ramai di pelbagai peringkat. Selama 10 tahun di syarikat itu, pelbagai pengalaman diperoleh, malah beliau diberi tanggungjawab menubuhkan syarikat baru dengan jawatan Pengurus Besar pada 1992.

Begitu pun, beliau mula terfikir mengapa bukan dia sendiri menubuhkan syarikat berkenaan. Rakannya juga ketika itu banyak memberi galakan untuk Syed Mohd Razif supaya menubuhkan sendiri perniagaan itu.

“Ketika itu, modal dalam tangan hanya RM20,000. Namun, abang ipar banyak memberi galakan dan sanggup mengeluarkan modal bersama jika saya benar-benar mahu meneruskan minat membuka agensi pengembaraan dan pelancongan sendiri.

“Tanpa menoleh ke belakang, saya teruskan tekad dan berusaha mencari jalan untuk menubuhkan syarikat. Ia bukan jalan mudah untuk saya tempuhi,” katanya.

Sebagaimana beliau jangkakan, usaha menubuhkan syarikat memang banyak halangan dan kekangan ketika itu. Untuk memudahkan usahanya, langkah pertama beliau lakukan ialah cuba mengambil alih syarikat sedia ada.

“Kebetulan pada masa itu, saya dapat sebuah agensi pelancongan milik usahawan dari Sabah, Sri Sutra Travel Sdn Bhd (Sri Sutra) yang ingin dijual dengan harga RM100,000.

“Dengan bantuan abang ipar dan tiga rakannya yang menyuntik modal tambahan, kami berjaya memiliki syarikat ini,” katanya.

Sejak itu, Syed Mohd Razif terus mara bersama syarikat baru miliknya, dan akhirnya berjaya mendapat kontrak daripada Petronas selain kakitangan kerajaan bagi menguruskan hal ehwal pengembaraan mereka.

Pada 2004, beliau berjaya membeli bangunan empat tingkat sekarang di Pusat Perniagaan Pekeliling pada harga RM3.6 juta. Kini, beliau terus maju dengan Sri Sutra dengan menaiktaraf syarikat kepada Kumpulan Sutra Utama dan memiliki lapan anak syarikat.

Tidak salah mengatakan, Syed Mohd Razif boleh dianggap gergasi dalam bidang ini, terutama membabitkan usahawan Bumiputera.

“Dalam apa juga yang saya lakukan, saya meletakkan visi jitu bagi kejayaan syarikat. Daripada mula menerajui syarikat ini, saya memang berhasrat melihat syarikat ini menjadi gergasi dalam bidang pengembaraan dan pelancongan Bumiputera.

“Saya berbangga dapat mengecapi semua ini selepas sekian lama berhempas pulas merealisasikan impian terbabit. Apapun, ia perjuangan yang belum selesai, banyak lagi yang akan saya usahakan untuk memartabatkan Sri Sutra,” katanya.

Sebagaimana usahawan berjaya lain, Syed Mohd Razif memang bercita-cita tinggi.
Sejak zaman kanak-kanak lagi, beliau mengakui sifat berkenaan tertanam dalam diri.

“Kalau ikutkan, dalam bidang pelajaran saya tidaklah sepandai mana pun. Saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua kali, yang terakhir saya hanya peroleh pangkat dua (pada 1981).

“Namun, saya percaya ia bukan kelemahan yang menafikan saya untuk berjaya seperti orang lain, saya percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya.

Mengimbas latar belakang dirinya, di dalam keluarga beliau anak lelaki tunggal daripada empat beradik. Ketika kecil, kakak sulung bersekolah asrama dan kakak nombor dua menetap bersama ibu saudara.

“Sebagai anak ketiga, hanya saya tinggal di rumah. Emak berniaga kedai makan manakala ayah sering masuk hutan kerana bertugas sebagai anggota polis di Kem PGA Ulu Kinta, Perak,” katanya yang mempunyai jarak 15 tahun dengan adik bongsu.

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, beliau sering membantu ibunya berniaga dan daripada situ, Syed Mohd Razif mula mengenali dunia perniagaan.

“Selain membantu emak, ketika di sekolah rendah saya jual aiskrim berharga lima sen kepada polis yang berkawad. Saya juga berniaga baju, but askar dan pelbagai barangan lain ketika di sekolah menengah.

“Saya juga pernah bantu emak jual permaidani dan main ‘kutu’ untuk dapatkan duit lebih. Dalam soal mencari wang poket, saya sudah biasa sejak kecil lagi dan mungkin sebab itu juga saya mampu berdikari dalam dunia perniagaan dan seterusnya berjaya seperti sekarang,” katanya.

Tidak dinafikan, hari ini syarikat miliknya yang ditubuhkan pada 1992 cukup gah dan berkeupayaan menyediakan 20,000 produk pelancongan di seluruh dunia serta 200 pakej pelancongan di lebih 30 negara.

Malah, syarikatnya juga agensi pelancongan Bumiputera pertama memperkenalkan konsep francais, sekali gus merancang melahirkan 25 usahawan francais di seluruh negara.

Membanggakan, daripada modal permulaan RM100,000 dengan hanya lima kakitangan, syarikat milik penuh Syed Mohd Razif itu kini mencatat perolehan RM55 juta setahun bersama tenaga kerja seramai 70 orang.



PROFIL:

NAMA: Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya Syed Yassin
USIA: 48 tahun
LAHIR: 21 April 1963 di Alor Setar, Kedah

JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Sutra Utama; Bekas Presiden Pengembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia

ANAK SYARIKAT: Sutra Utama Sdn Bhd; Sri Sutra Travel Sdn Bhd; Sutra Franchise Sdn Bhd; Sutra Network Sdn Bhd; Sutra Aviation Sdn Bhd; Sutra Technology (Octraves Technology Sdn Bhd), Sutra Global Planners Sdn Bhd dan Sutra Travel Management Sdn Bhd

ISTERI: Sharifah Wahida Al Idroos Syed Omar
ANAK: Sharifah Raudhah (21), Sharifah Rabihah (19) dan Syed Abdullah Redha (13)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Ashby Road, Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh

Langkah perlu lindungi harta

pix_middle

SETIAP kali Aidilfitri, suasana di bandar, apatah lagi ibu negara, pasti lengang kerana kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman meraikan kehadiran Syawal dengan keluarga tersayang.

Mereka membawa pulang baju raya, kuih muih dan perhiasan diri, tetapi sebahagian wang tunai dan barangan kemas mungkin disimpan di rumah.

  • Foto

    BERSEDIA...anggota polis melakukan rondaan di tempat awam.

  • Foto

    WASPADA...orang ramai dinasihatkan menjaga keselamatan barangan berharga sendiri ketika di kawasan tumpuan ramai sekalipun ketika kehadiran pihak berkuasa.

  • Foto

    KAWAL...anggota polis unit K9 mengawal kawasan kediaman sekitar Sea Park, Petaling Jaya.

Namun, meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung di musim perayaan tidak boleh dianggap semudah itu.

Soal keselamatan rumah perlu diambil kira selain diri sendiri tidak terdedah dengan kepada sebarang perlakuan jenayah, terutama ragut.


Bagi yang ingin pulang ke kampung, kegembiraan yang terpancar di wajah ketika menghidupkan enjin kenderaan masing-masing tidak harus menjadi penyebab untuk kita leka dalam memastikan semua barangan berharga serta sistem keselamatan rumah dipertingkatkan.


Seelok-eloknya, barangan berharga seperti wang tunai dan barangan kemas yang tidak dibawa bersama ke kampung tidak disimpan di dalam rumah, sebaliknya dihantar ke institusi yang menyediakan perkhidmatan menyimpannya.

Seperti yang kita ketahui, lazimnya penjenayah ‘tersenyum lebar’ jika mereka merasakan ada ruang untuk memecah masuk dan bermaharajalela dalam rumah yang ditinggalkan dan biasanya kawasan elit menjadi lokasi sasaran.

Walaupun sesetengah taman perumahan dikawal pengawal keselamatan di jalan masuk dan keluar, pemilik rumah tidak harus mengetepikan soal keselamatan harta benda.

Harus diingatkan, ada antara kita kurang mengambil berat aspek keselamatan dalam rumah, terutama membabitkan pintu, tingkap dan siling, sedangkan ketiga-tiganya menjadi tumpuan penjenayah.

Betapa tidak, itulah sebenarnya laluan masuk penjenayah setiap kali memecah masuk rumah mangsa dan musim perayaan biasanya menjadi masa sesuai bagi mereka menjalankan aktiviti jahat berkenaan.

Tidak dinafikan, polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan kediaman tetapi tidak harus dijadikan alasan untuk kita mengabaikan keselamatan harta benda kerana ia sebenarnya tanggungjawab pemiliknya. Pihak berkuasa hanya boleh melakukan rondaan di luar rumah.

Yang penting, sebelum meninggalkan rumah, kita perlu memastikan beberapa perkara antaranya, tidak menggunakan gril tanpa mangga, tidak menggunakan gril berkualiti rendah kerana mudah dipotong dan tidak menggunakan mangga berkualiti rendah.

Pemilik rumah yang memiliki tingkap rumah berbentuk ‘sliding’ juga harus menitik beratkan soal gril berkualiti selain memastikan bahagian tingkap yang rosak dibaiki segera.

Bagi pemilik rumah teres pula, ruang untuk penjenayah agak besar kerana mereka gemar memecah masuk melalui siling dan cara ini lebih mudah berbanding kaedah mengumpil tingkap atau pintu.

Kecuali kes pecah bank atau kedai barangan kemas, jarang kita mendengar penjenayah korek lubang atau memecah dinding semata-mata untuk pecah masuk rumah, jadi keselamatan ketiga-tiga elemen berkenaan harus diambil berat dan jangan mencipta ruang kepada penjenayah.

Peringatan juga harus diberi kepada kaum Hawa yang ghairah membeli-belah atau bertandang ke rumah saudara mara, maklumlah mungkin ada antara mereka yang akan bergaya sakan dan memperagakan barangan kemas.

Tidak salah jika hendak berhias tetapi harus berpada dan berwaspada dan jangan terlalu mendedahkan diri kepada perlakuan jenayah, khususnya ragut yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan.

Betapa tidak, ketika inilah barangan kemas berkilauan di leher mereka selain beg galas yang biasanya berisi barangan berharga diletakkan merata-rata dan dibawa sambil lewa.

Memang tidak salah untuk berhias atau kelihatan anggun pada musim perayaan, tetapi harus dibekalkan bersama dengan sikap waspada bagi mengelak mengundang peluang kepada penjenayah demi keselamatan diri dan keluarga.

Konsert '3 Gegaran' Gabung Kumpulan Rock 'Otai'

SHAH ALAM: Stesen televisyen TV3 akan menyiarkan program Hari Raya muzikal istimewa berjudul 3 Gegaran pada 4 September depan, pukul 5 petang.

Program yang menampilkan tiga kumpulan rock legenda seperti May, Lefthanded dan XPDC ini menyaksikan persembahan yang julung kalinya diadakan secara rakaman langsung untuk sempena sambutan Hari Raya.

Menurut penerbitnya, Khalijah Mohamed, TV3 terus mengekalkan tradisi dengan menyiarkan pelbagai rancangan untuk penonton setianya tanpa mengira lapisan masyarakat.

"Program ini akan mengubat kerinduan para peminat muzik tanah air terhadap zaman kegemilangan rock kapak dengan persembahan hebat daripada penyanyi-penyanyi lama yang akan membawakan lagu-lagu hit dan popular kumpulan masing-masing.

"Uniknya, kali ini pihak produksi dan pereka set program 3 Gegaran ini dengan menyediakan tiga buah pentas mini yang berasingan di dalam studio Sri Pentas 2 yang bersesuaian dengan corak persembahan yang ingin ditampilkan oleh May, Lefhanded dan XPDC," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan XPDC menghangatkan suasana di studio dengan membawakan lagu Selendang Merdeka, diikuti kumpulan Lefthanded membawa lagu Debunga Wangi sebelum kumpulan May menutup segmen pertama menerusi lagu Hakikat Perjuangan.

Segmen kedua memberi peluang kepada para peminat mengimbau kembali kenangan silam dan sama-sama menghargai kisah suka dan duka ketiga-tiga kumpulan bukan sahaja menerusi lagu-lagu yang didendangkan dan diselang seli dengan klip dan footage ketiga-tiga kumpulan di waktu zaman kegemilangan lewat tahun 80an dan awal 90an dahulu.

Manakala penutup konsert menyaksikan ketiga-tiga kumpulan itu, bergabung beraksi menerusi lagu Smoke On The Water (Deep Purple).

Elemen Sketsa Dalam 'Mentor Raya 2011'

Salma dan Erra menerima hadiah kemenangan mereka.

SHAH ALAM: Buat para peminat yang merindui telatah dan celoteh setiap mentor dan protege, ia pastinya akan terubat kerana Mentor Raya 2011 bakal disiarkan pada 11 September nanti pukul 9 malam, menerusi saluran TV3.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Mentor Raya masih lagi mengekalkan konsep sama tetapi kali ini ia diperkuatkan lagi dengan elemen sketsa dan komedi selain melakukan acara permainan secara spontan.

Menurut penerbitnya, Mohamad Sufian Isa, Mentor Raya sudah menjadi tradisi setiap kali tibanya Hari Raya dan ia juga merupakan satu alternatif buat peminat-peminat setia yang sentiasa menyokong program tersebut.

"Memandangkan ia merupakan antara program paling penting dalam stesen TV3, pihak kami perlu komited dalam setiap pengisian yang ingin dipaparkan.

Protege dan mentor turut diberi hidangan istimewa pada Mentor Raya

"Konsep Mentor Raya pada kali ini bersifat lebih santai malah setiap yang berlaku dalam program ini banyak dilakukan secara spontan tanpa latihan. Ini membuatkan program ini tampak ringkas dan pada masa yang sama ia dapat memaparkan karakter menarik yang ada pada diri mentor dan protege masing-masing," katanya.

Tambah Sufian, dengan personaliti setiap seorang protege dan mentor, ia sudah cukup memberi impak menarik pada program tersebut tanpa memerlukan gimik dan elemen drama.

Iqa

Dalam pada itu suntikan komedi dan segmen nyanyian lagu raya dengan pemilihan lagu yang menarik turut dipaparkan.

Program tersebut dimulakan dengan sesi penyampaian cek kepada pemenang-pemenang Mentor 5 iaitu Salma (Juara), Shiha (tempat kedua) dan Iqa (tempat ketiga).

Kemudian Mentor Raya 2011 diteruskan dengan persembahan duet Erra Fazira dan Mas Idayu dengan membawakan lagu Joget Aidilfitri, nyanyian asal Sanisah Suri.

Seterusnya, Noh, Ayish dan Iqa bergandingan membawakan lagu Salam Aidilfitri Ayahanda dan Bonda (Raihan/Hujan) dan pastinya yang akan menjadi tumpuan nanti ialah nyanyian Black dan Salma, membawakan lagu Halaman Asmara yang pernah dipopularkan oleh Ziana Zain dan Awie.

Tidak ketinggalan Afdlin Shauki turut menambah seri pada program itu dengan menyanyikan lagu Datuk M.nasir, Suatu Hari Di Hari Raya bersama dengan Aiman dan Ratnah. Diikuti pula dengan Datuk Sharifah Aini dan Shiha, membawakan lagu Suasana Di Hari Raya sebagai penutup tirai.

Kereta ‘Raya’ Proton Inspira Untuk Pendengar Bertuah Suria FM

Zizi (kiri), Shiera dan Halim memeriahkan program Jom Balik Raya anjuran Suria FM.

PETALING JAYA: Pendengar bertuah Suria FM berpeluang memenangi kereta Proton Inspira sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Kempen tersebut berlangsung selama sebulan bermula Isnin ini, di mana hanya sebuah kereta yang bakal direbut oleh pendengar-pendengar Suria FM dengan tajaan Proton Holdings Bhd.

“Bermula Isnin ini selama sebulan, pendengar-pendengar Suria FM boleh menyertai kempen untuk memenangi sebuah kereta Proton Inspira. Selain itu mereka juga berpeluang memenangi hadiah saguhati menarik.

“Jadi, ikuti dan dengar Suria FM untuk mengetahui maklumat tentang cara menyertai kempen tersebut,” kata Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah ketika ditemui di program Jom Balik Raya Suria FM bersama Safi di Mydin Sinar Kota, Kuala Lumpur, Sabtu.

Program menarik lain yang bakal menyusul selepas Hari Raya Aidilfitri ini juga adalah ‘Konsert Kemuncak Raya Suria FM’ pada 1 Oktober ini di Dataran Putrajaya bermula pukul 8 malam.

“Kami akan menganjurkan karnival sempena konsert tersebut bermula 12 tengah hari dan pada sebelah malam akan berlangsung konsert yang disertai oleh 15 penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Hattan, kumpulan Hujan, Ning Baizura dan Adira,” kata Yusri lagi.

Menyentuh tentang program ‘Jom Balik Raya’, seramai 96 pendengar bertuah dihantar ke kampung masing-masing dengan menaiki tiga buah bas yang disewa khas ke tiga destinasi iaitu Kota Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu.

Di samping itu, mereka turut menerima duit raya RM50 dan barangan dari Safi. Kempen tersebut bermula sebelum Ramadan di mana pendengar harus membuat pembelian ubat gigi Safi bernilai RM5 ke atas di Mydin dan menyertakan resit pembelian pada borang penyertaan seterusnya melengkapkan slogan tidak melebihi 20 patah perkataan dan memenangi maksimum lima tiket bas balik kampung.

Antara penyampai radio yang turut hadir menyerikan program itu adalah Halim Othman, Zizi, Shiera, Myra serta penyanyi Shila Amzah selaku Duta Safi Balqis dan penyanyi Shazroul.

Mimie Haris Beraya Dengan Kereta Baru

Mimie Haris

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mimie Haris atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris berkata sambutan Hari Raya pada tahun ini menjanjikan kelainan buatnya secara peribadi apabila dapat memandu pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah dengan kereta baru.

Istimewanya, penyanyi lagu Jatuh Cinta Lagi ini memberitahu, kereta Proton Saga FL yang dimilikinya sejak hampir tiga bulan lalu itu dibeli hasil titik peluhnya menerusi nyanyian dan pengacaraan dalam tempoh setahun.

"Saya sangat bersyukur walaupun nama tidak sepopular mana tapi tawaran kerja tidak pernah putus. Pendapatan yang saya peroleh daripada bidang pengacaraan program In Trend (RTM) dan pertunjukan pentas membolehkan saya memiliki kereta sendiri.

"Sebab itu, saya rasa sambutan Hari Raya kali ini lebih menarik kerana dapat memandu pulang ke Kedah dengan kereta baru," katanya.

Tambah Mimie, pendapatan yang konsisten sejak setahun lalu juga telah merealisasikan impiannya untuk membelikan pakaian dan keperluan Aidilfitri untuk kedua ibu bapanya.

"Syukur sangat, rezeki pada tahun ini semakin murah. Jadi dapatlah saya membelikan pakaian dan keperluan Hari Raya untuk ibu bapa.

"Walaupun saya masih seorang pelajar tetapi dapat juga saya berkongsi rezeki dengan keluarga," katanya.

Berkongsi tentang perkembangan semasa, Mimie berkata, walaupun dia teruja dengan kedatangan Lebaran ini tetapi dia masih perlu beringat dan mengawal pemakanannya.

Ini kerana, sebaik saja cuti Raya berakhir, pelajar Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini bakal menduduki peperiksaan akhir bagi kursus vokal yang memerlukan persediaan rapi pada aspek suara.

"Walaupun saya gembira dengan Hari Raya kali ini tetapi masih perlu berpada-pada juga. Sebaik saja cuti Hari Raya tamat, kuliah akan bersambung di mana saya akan menduduki peperiksaan akhir bagi kursus vokal.

"Sepanjang cuti ini saya tidak boleh ambil makanan berminyak atau minuman berais secara keterlaluan serta mengawal pemakanan agar tidak memudaratkan suara dan kesihatan.

"Maklumlah, apabila tiba musim Hari Raya, kita seronok untuk menjamah pelbagai makanan sehingga terlupa ia mungkin memudaratkan kesihatan di kemudian hari," katanya yang menggemari hidangan laksa Kedah, ayam masak merah dan lemang.

RTM Siar Lebih 100 Program Bertemakan Merdeka Raya

Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Norhyati Ismail (tengah) pada sidang akhbar Rayakan Merdeka di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Program TV RTM, Suhaimi Jamalim (kiri) dan Pengarah Program Radio RTM, Siti Mohani Saad.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata stesen penyiar itu mengambil inisiatif dengan menampilkan kelainan pada program-programnya bersempena sambutan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menurut Norhyati, program yang bertemakan Rayakan Merdeka itu bakal menghimpunkan lebih 100 rancangan hiburan termasuk drama, nyanyian dan muzikal bermula esok hingga 16 September depan.

"Tahun ini adalah tahun yang istimewa buat RTM kerana kita cuba menawarkan kelainan dalam program-program yang disiarkan bersempena sambutan tiga perayaan iaitu Hari Raya, Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

"Kita cuba imbangi dan terapkan ketiga-tiga tema itu menerusi lebih 100 rancangan yang merangkumi drama televisyen, muzikal dan nyanyian di tiga saluran iaitu TV1, TV2 dan TVi," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program itu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, kelainan yang cuba diketengahkan pada tahun ini bukan saja terletak pada variasi program yang baru dan segar malah stesen tersebut juga mengutamakan program nyanyian dan muzikal terbitan dalaman.

"Selain drama, kita juga memberikan keutamaan pada pelbagai program nyanyian dan muzikal yang diterbitkan oleh unit dalaman RTM sendiri.

"Program-program ini diimbangi dan diadun dengan ketiga-tiga elemen perayaan itu," katanya.

Bagi program Hari Raya, TV1 bakal menawarkan 58 program, TV2 (30) dan TVi (12), manakala program Merdeka pula menjanjikan lima program di TV1, tujuh program di TV2 dan sebuah program di TVi.

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan pula bakal dimeriahkan dengan tiga program istimewa.

Antara program menarik bersempena musim perayaan ini termasuk drama Puasa Terakhir pukul 12.30 tengah hari 29 Ogos di TV2, drama Hero Desa (2 petang, 30 Ogos, TV1), Bagus Ba Khas Raya (9 pagi, 30 Ogos, TVi), program Aktif 5 Raya (4.30 petang, 31 Ogos, TV2), telefilem Ratu Hati Di Aidilfitri (5.05 petang, 1 Sep, TVi) dan program Gegar Raya Kg. Pening Lalat (9 malam, 2 Sep, TV1).

Barisan filem yang bakal disiarkan secara berselang-seli pula termasuk Setem (10.30 malam, 30 Ogos, TV2), Papadom (9 malam, 31 Ogos, TV1) dan V3: Samseng Jalanan (10.30 malam, 1 Sep, TV2).

Layari laman web rasmi www.rtm.gov.my untuk maklumat lanjut dan intisari program di televisyen dan radio RTM sepanjang musim perayaan ini.

Album Baru Fredo Hujung Tahun

Fredo

PETALING JAYA: Penyanyi veteran, Fredo atau nama sebenarnya, Mohd Amani Abdullah bakal muncul dengan album terbarunya pada hujung tahun ini.

Kata Fredo, album barunya itu akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu termasuklah dua “single” yang pernah dirakamkan pada tahun lalu iaitu Kasih Berubah (duet dengan Doul) dan Ratu Hatiku (nyanyian asal kumpulan Atomic Power).

"Tahun lalu, saya telah muncul dengan dua “single” lagu iaitu Kasih Berubah dan Ratu Hatiku. tetapi tahun ini saya mahu menerbitkan sendiri album baru saya sebagai tanda kemunculan baru.

"Konsep album pada kali ini lebih bercirikan dengan mainan alunan muzik seperti penyanyi antarabangsa, Santana dan saya harap ia dapat diterima ramai," tuturnya.

Tambah Fredo dia juga memuatkan lagu-lagu lamanya yang pernah popular dahulu seperti Rinduku Meneruskan Percintaan, Balada Lagu Cinta dan Berumah Tangga dengan menggubahnya kepada susunan muzik yang baru.

"Sebenarnya album ini juga khas buat peminat-peminat saya yang masih lagi menyokong saya sehingga sekarang. Sebab itu saya menyanyikan semula lagu-lagu popular itu.

"Saya juga akan berduet dengan anak perempuan saya, Awin, yang berjudul Impianku dalam album tersebut.

Dalam pada itu, Fredo kini ingin mencari penyanyi-penyanyi baru untuk dijadikan sebagai rakan duet dalam lagu-lagu barunya kelak.

Ditanya pula apakah rahsianya yang masih lagi mampu menyanyi denagn suara merdu, kata Fredo dia hanya mengamalkan amalan meminum air suam dan tidak merokok.

Rozita sepi tanpa suami




NORMA biasa bagi masyarakat Melayu, kampung halamanlah yang menjadi bayangan pertama dalam fikiran apabila bercakap tentang hari raya.

Bagi pasangan suami isteri, waktu inilah masing-masing akan bermain teka-teki sama ada mahu pulang ke kampung mertua atau sebaliknya.

Malah, jangan terkejut, kalau ada yang muncung sedepa kalau terpaksa pulang ke kampung mertua lantaran mengikut sistem giliran. Pun begitu, suasana begitu tak akan dapat dilihat dalam seputar hidup pelakon jelita dan popular tanah air, Rozita Che Wan sekurang-kurangnya buat masa ini.

Mengapa? Iyalah, selepas lapan tahun hidup dengan sebagai ibu tunggal, wanita yang mesra disapa Cik Ta ini lebih senang membuat sebarang keputusan sendiri.

Destinasi pilihan yang sentiasa ada di hatinya untuk berhari raya tentulah kampung halaman yang terletak di Alor Setar, Kedah.

Kata Cik Ta, saban tahun apabila menjelang hari raya, rumah ibunya itulah yang akan dijejakinya demi menyambut dan merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga.

“Masa jadi isteri orang dulu, saya dan bekas suami memang mengamalkan sistem giliran untuk pulang ke kampung.

“Senang, tak payah nak bergaduh nak balik kampung siapa. Sekarang, tiap-tiap tahun pun balik Kedah, ke mana lagi nak beraya kalau tak balik kampung,” katanya dalam tawa.

Bercerita lanjut, kata Cik Ta, bagaimanapun tahun ini menyaksikan sedikit kehampaan dalam hatinya apabila niatnya untuk menyambut hari raya di tanah suci Mekah tidak kesampaian.

Menurut Cik Ta, hasrat yang sudah dipasang sejak tahun lalu itu terpaksa dilupakan demi memberi ruang buat dua anaknya, Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13, berhari raya di Kedah.

“Kalau ikutkan memang nak beraya di Mekah sebab nak menikmati kemeriahan Aidilfitri di sana. Saya selalu dengar orang kata sambutan hari raya di sana meriah.

“Ingat dapatlah merasa tahun ini. Nampaknya terpaksalah dilupakan sebab tahun ini giliran saya berhari raya dengan anak-anak.

“Tapi Insyaallah, ada rezeki saya akan pastikan hasrat ini akan tertunai,” katanya yang baru sahaja pulang menunaikan umrah di Tanah Suci pada 14 Ogos lalu.

Sepi di hati

Duta produk Safi Rania ini juga turut berkongsi rasa mengenai kesunyian apabila mengenang nasib diri yang masih solo meski usia hampir menginjak angka 40.

Luah Cik Ta, perasaan itu sering singgah tatkala melihat kesemua adik-beradik perempuannya sudah pun mendirikan rumah tangga. Namun dirinya masih sendiri.

“Tak boleh nak sembunyikan perasaan sunyi tu, lebih-lebih lagi bila tengok adik-adik perempuan saya semua sibuk dengan keluarga sendiri sekarang.

“Bila semua dah kahwin dan ada pasangan masing-masing, terasa kecewa juga di hati. Iyalah, kita ni tak ada suami. Kalau tidak, pagi raya mesti sibuk menguruskan suami dan anak-anak. Sekarang ni pun anak-anak dah besar dan keadaan dah tak sama macam dulu.

“Nak buat macam mana, jodoh belum sampai. Saya percaya Allah S.W.T ada jodoh terbaik untuk saya satu hati nanti,” ujarnya positif.

Tugas menjelang raya

Mengajak pelakon drama Manjalara dan Kiah Pekasam ini berbicara soal kenangan lamanya tatkala menjelang raya ternyata banyak yang ingin dikongsikan.

Apalagi apabila berbual mengenai gelagat adik-beradiknya dan cerita suasana di kampung yang baginya punya keseronokan dan keistimewaan sendiri.

Wajahnya yang putih polos bak porselin itu tiba-tiba sahaja bertukar kemerah-merahan dek kerana terlalu banyak menumpahkan tawa.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga besar dengan tujuh beradik kesemuanya, kata Cik Ta, peluang berkumpul bersama adalah yang paling dinanti-nanti.

“Kumpul ramai-ramailah baru seronok. Saya masih ingat, dulu masa kami adik-beradik belum kahwin, menjelang raya saja mesti riuh dalam rumah mak sebab masing-masing dah dapat bahagian tugasan.

“Ada yang bahagian buat kuih, ada yang tukang kemas rumah, ada yang kena jahit manik pada baju, macam-macamlah!

“Memang kena buat macam tu, kalau tak ada yang nak mengelak daripada buat kerja,” candanya lagi. Lanjut bercerita mengenai sambutan hari raya, kalau hendak tahu, wanita ini memang pakar memasak juadah rendang ayam.

Juadah ini menurutnya adalah antara yang wajib disediakan untuk para tetamu yang bertandang selain laksa kedah dan nasi tomato.

Selain itu, tanpa segan silu cerita Cik Ta, dia juga pandai menganyam ketupat dan memasaknya dengan cara tradisional, idea yang diperturunkan oleh neneknya sejak dari dahulu.

Dia yang tidak pernah lokek mengeluarkan belanja untuk menjamu tetamu yang datang memberitahu, saban tahun rumahnya pasti meriah dengan kunjungan peminat yang datang dari segala pelosok negeri.

“Memang ramai dan gamat rumah mak saya dibuatnya. Ada yang datang dari pagi sampai malam tak balik-balik lagi sebab seronok sangat agaknya beraya dengan saya.

“Kadang-kadang mereka bukan datang nak makan sangat pun, tapi nak bergambar dengan saya. Apa pun, demi peminat saya layankan sahaja. Sekurang-kurangnya tak adalah suram sambutan raya di kampung saya,” katanya lagi.

Si kembar ceriakan Syawal


Iman dan Tiara memberikan sinar keceriaan buat pasangan ini, lebih-lebih lagi di kala menyambut lebaran yang mulia.


SYAWAL kali ini menyaksikan perubahan yang begitu besar dalam hidup pasangan dua sejoli, Sazzy Falak, 30 dan suaminya Nazril Idrus, 37.

Masakan tidak, tahun ini, kedua-dua mereka akan merayakan lebaran dengan gelaran ibu bapa kepada dua cahayamata kembar yang selamat dilahirkan pada 28 April lalu, Iman Lilly dan Tiara Rose.

Malah, diam tak diam, usia mereka juga sudah menginjak ke angka empat bulan.

Tentu sekali bahagia Sazzy dan Nash semakin bahagia apatah lagi, kembar mereka sudah semakin pandai mempamerkan keletah mereka yang comel dan mencuit hati.

Iyalah, sebelum ini cuma berdua, kini bukan sahaja seorang, tetapi dua anak sekali gus dalam satu masa.

Sebagaimana pasangan ibu bapa lain, pertama kali berpeluang menyambut hari raya bersama anak sulung tentunya merupakan sesuatu yang sukar dirungkai dengan kata-kata.

“Saya sudah lama dapat rasakan, tahun ini Aidilfitri kami lebih meriah dengan kehadiran Iman dan Tiara.

“Teruja? Sudah tentulah. Lebih-lebih lagi bila tengok Iman dan Tiara berpakaian cantik-cantik di hari raya.

“Suasana di dalam rumah juga lebih ceria sebab semua sanak saudara kami akan berkumpul sama di rumah ayah di Kemensah, Ulu Klang.

“Iyalah, semasa saya melahirkan Iman dan Tiara, tak semua kaum keluarga saya sempat melihat mereka dari dekat.

“Jadi, inilah masanya untuk mereka melihat kembar kami selain menyambut hari raya bersama-sama,” katanya kepada Pancaindera ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya, kata pelakon utama filem Tolong Awek Aku Pontianak! (TAAP) ini, kesederhanaan adalah apa yang diinginkan olehnya di lebaran ini.

Menurut Sazzy, meski teruja menyambut raya bersama anak-anak, dia dan keluarga bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihan selepas kehilangan arwah datuknya di minggu kedua umat Islam menjalani ibadah puasa.

“Saya akui, suasana sedikit hambar tanpa kehadiran dia. Tapi saya lebih suka fikir secara positif sebab Allah S.W.T telah menggantikan kesedihan itu dengan kehadiran Iman dan Tiara.

“Sebab itu, kami mahu berhari raya dalam suasana sederhana tetapi tetap meriah dengan kunjungan sanak saudara yang lain,” ujarnya.

Karakter berbeza

Sengaja melanjutkan bicara mengenai keletah anak kembarnya, pengacara ini juga memberitahu, tidak sukar untuk membezakan karakter di antara kedua-dua mereka.

Menurut Sazzy, sebagai ibu yang mengendong anak selama sembilan bulan di dalam rahim, naluri keibuannya cukup kuat.

Meski Iman dan Tiara punya karakter yang tersendiri, namun itu tidak menyukarkan dirinya dan Nash untuk mengenali si kembar tersebut.

“Kalau nak tahu, Iman ni badannya sedikit kecil berbanding adiknya Tiara yang kita boleh tengok lebih bulat.

“Selain itu, Iman ni jenis yang tenang sahaja. Tapi bila menangis, suara dia boleh dengar satu rumah!

“Tiara pula jenis suka memerhati dan sukakan perhatian. Dia juga sangat manja orangnya. Kalau menangis pun bunyi budak manja,” ujarnya sambil tersenyum.

Dalam pada itu, memandangkan tahun ini tahun pertama dia dan Nash beraya dengan anak, kata Sazzy, persiapan raya banyak tertumpu pada Iman dan Tiara.

Menurutnya, baik dia mahupun Nash, kedua-duanya terlalu teruja untuk membeli pakaian hari raya buat kembar mereka.

“Kami ni memang pantang kalau tengok baju budak yang comel-comel, pasti akan beli buat Iman dan Tiara.

“Kalau tanya berapa pasang baju mereka, saya sendiri sampai tak ingat. Banyak jugalah. Tapi yang penting, di hari raya pertama, kedua-dua mereka akan berbaju kurung,” katanya.

Saat ditanya mengenai juadah hari raya, pantas sahaja bibir kecilnya berbicara, “Oh..saya bukan orang yang tepat untuk berada di dapur!”

Kata Sazzy dalam tawa, dia memang tidak pandai memasak dan jarang sekali berada di dapur untuk tujuan itu.

Namun, akui si manis ini, dia lebih suka mengemas dan menghias rumah berbanding membuat kerja-kerja dapur.

“Bab-bab lain saya boleh uruskan dan boleh buat. Tapi memasak saya tak pandai sangat. Apa yang menariknya, semua di antara kami sudah ada tugasan masing-masing.

“Jadi biasanya kalau hari raya, kami akan serahkan semua itu kepada makcik saya. Lazimnya setiap tahun dia akan masak Ayam Calio dan ayam rendang berkuah untuk disajikan kepada tetamu.

“Tapi ia sangat istimewa sebab masakan ini adalah resipi turun-temurun keluarga kami,” katanya lagi yang turut mengendalikan syarikat DJ Nasty Sinclair Falak Sdn Bhd.

Kassim Masdor 38 tahun menduda




KOMPOSER veteran yang berkecimpung dalam industri muzik Singapura selama setengah abad, Kassim Masdor mengakui bahawa dia selesa tinggal berseorangan di Kota Singa tanpa peneman atau isteri.

Tanpa disedari sudah 38 tahun dia menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal.

“Sunyi memang sunyi sebab saya bercerai sejak tahun 1973. Ada juga yang suruh saya kahwin lain, tapi saya tak mahu. Macam-macam perkara yang kena difikirkan kalau beristeri lagi. Jadi lebih baik bersendirian sebegini. Lima orang anak dan cucu-cucu sentiasa menjenguk saya di rumah Toa Payoh, Singapura.

“Lagi pun saya sibuk dengan kegiatan harian seperti mencipta lagu dan menjadi tenaga pengajar di sebuah kolej swasta di Singapura. Jadi tak terfikir pun soal mahu berkahwin lagi,” katanya jujur.

Dalam pada itu, Kassim juga mengakui tidak dapat melupakan satu ‘peristiwa’ melibatkan perangai istimewa allahyarham P. Ramlee yang dianggap sebagai abang kandungnya itu.

Tatkala itu, Kassim sedang sibuk menyiapkan skor lagu untuk filem arahannya iaitu Pancha Delima, dia dapat mengesan sesuatu kurang elok bakal terjadi.

Melihat angin tidak baik P. Ramlee yang datang ke set lokasi penggambaran dengan muka ‘ketat’, membuatkan tenaga kerja pembuatan filem yang diterbitkan di Malaysia pada 7 Julai 1957, kecut perut.

Natijahnya, tiada siapa yang bercakap sehingga ada satu episod yang telah menguraikan wajah masam P. Ramlee ketika itu.

“Arwah Udo Omar atau lebih dikenali dengan Haji Bakhil menerusi filem Labu dan Labi telah mengembalikan wajah ceria P. Ramlee. Tanpa sengaja telah membaca dialog secara terbalik dalam filem itu.

“ Udo sepatutnya menyebut ‘wahai ular, janganlah makan aku’ bertukar menjadi ‘wahai aku, janganlah makan ular’. Mata P. Ramlee yang sepet ketika itu juga berubah menjadi besar. Lucu sangat dengan kesilapan Udo,” imbasnya tersenyum sambil termenung jauh.

Pemuzik yang mahir bermain gitar, piano dan zilofon ini juga tidak menyangka P. Ramlee kemudiannya menggunakan idea kesilapan Udo itu sebagai bahan jenaka dalam filem komedi arahan seterusnya, Pendekar Bujang Lapok.

Apabila ada salah satu episod melibatkan Pendekar Mustar, lakonan Mustarjo menyebut dialog “Ani angkat kain hujan, jemuran dah turun” yang sepatutnya “Ani angkat kain jemuran, hujan dah turun”.

Lelaki yang berusia 73 tahun ini mengakui bahawa rutin hariannya sentiasa diisi dengan mengimbas kenangan sewaktu menjadi penjaga konti untuk filem P. Ramlee.

Selain Kassim, penjaga konti paling rapat dengan seniman itu adalah S. Sudarmaji, Mustafa Yassin, Osman Ahmad dan Yusuf B. Masing-masing punya agihan tugas tersendiri dan kebolehan itu memudahkan kerja P. Ramlee.

“Dia selalu memaksa saya bekerja hingga lewat malam untuk menyiapkan kerjanya. Memang memenatkan tetapi satu pengalaman yang begitu berharga,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang lain, pencipta lebih 400 lagu malar segar termasuk Sapu Tangan Tanda Mata dendangan Saloma, Bahtera Merdeka (Ahmad Jais) dan Selamat Hari Raya (allahyarham Fazidah Joned) ini meminta agar generasi baru tidak mengubah irama asal lagu andai mahu menyanyikan semula lagunya.

“Saya seronok kalau orang muda menghargai lagu saya, tapi jangan sampai merosakkan terus melodi asal. Saya yang mendengar lagu itu cukup terasa seolah-olah tidak menghormati pencipta asalnya,” sesal Kassim di hujung perbualan.

Apabila karipap dan cinta bersatu


Karipap-Karipap Cinta juga turut membariskan pelakon terkenal seperti eman manan dan gambit.


KALAU berbicara mengenai cinta, pastinya setiap insan di dunia ini yang telah menempuh alam percintaan mempunyai pengalaman yang tersendiri.

Ada yang sedih, gembira, ada juga yang unik atau pelik, tetapi yang pentingnya ia tetap meninggalkan seribu kenangan dalam diri.

Memahami fitrah manusia sebegini, tidak hairanlah jika novel Karipap-Karipap Cinta gah di pasaran. Penulisnya, Nazri M. Annuar bijak memberi apa yang pembaca mahukan. Ia seolah-olah pengalaman membaca sambil meneroka ke dunia cinta sendiri. Patutlah pembaca-pembaca novel ini asyik tersenyum simpul, bahkan sudah selesai membaca pun, masih tersenyum.

Menyedari novel ini mempunyai satu kisah cinta menarik yang perlu dikongsi, kini menjadi tugas Othman Hafsham untuk mengadaptasi ke filem sekaligus menjadikan filem cinta romantik yang menarik.

Filem terbitan Cinematic Pictures yang mengangkat novel popular itu akan di pawagam mulai Hari Raya pertama. Persoalan pertama yang akan bermain-main di fikiran sudah tentu karipap, apalah agaknya peranan karipap di dalam kisah cinta yang dipaparkan dalam filem ini? Inilah satu keistimewaan cerita cinta yang akan disampaikan kepada penonton.

Selama ini mungkin semua orang menganggap karipap cuma sejenis makanan, tapi siapa sangka ia sebenarnya pengikat kasih sayang antara dua hati yang berlainan karakter. Memang pelik tetapi itulah hakikatnya. Mungkin ini satu cerita cinta paling lucu pernah anda saksikan nanti.

Dua hati yang berbeza

Karipap-Karipap Cinta yang mengisahkan dua perihal hati yang jauh berbeza. Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah merupakan seorang lelaki yang serba ringkas, gemar melepak bersama rakan-rakannya dan sering dimarahi bos tempat kerjanya kerana kualiti kerjanya. Sarah pula graduan dari Universiti Al-Azhar, berasal dari keluarga berada dan seorang wanita bercita-cita tinggi.

Ali mula jatuh hati pada Sarah selepas terpandang wajah ayu Sarah yang sedang berjalan keluar dari tempat kerjanya.

Hubungan mereka kemudiannya makin erat selepas cubaan Ali menyelamatkan beg tangan Sarah yang telah diragut walaupun pada akhirnya Sarah sendiri yang berjaya menewaskan peragut tersebut.

Keadaan menjadi semakin lucu, apabila Ali mengaku pada Sarah dan keluarganya bahawa dia juga merupakan bekas graduan universiti Al Azhar kerana tidak mahu kalah kepada seorang ustaz yang ingin dijodohkan dengan Sarah.

Pelbagai kejadian telah berlaku akibat pembohongan Ali ini sehingga huru-hara jadinya. Namun untuk mententeramkan perasaan serba salahnya itu, Ali bertekad mahu mencuri dokumen penting yang disimpan bosnya bagi menyelamatkan maruah keluarga Sarah.

Tetapi Sarah tetap kecewa dengan penipuan Ali. Harapan terakhir Ali adalah untuk menghasilkan karipap yang paling sedap di dunia untuk Sarah yang sememangnya pakar dalam membuat karipap. Namun adakah cinta mereka dapat bertaut kembali?

Hafsham positif

Menurut pengarah Karipap-Karipap Cinta, kisah cinta yang dipaparkan di dalam filem ini memang banyak yang telah dihidangkan kepada penggemar filem di Malaysia sama ada hasil tempatan atau luar negara. Tetapi kisah cinta manakah yang akan paling diingati penonton, sudah pastinya yang unik dan menarik.

Inilah kelebihan yang dimiliki filem ini selain sajian komedi yang menjanjikan kepuasan kepada penonton. Tambahan pula ia merupakan adaptasi sebuah novel cinta yang laris di pasaran sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali. “Mungkin ramai yang beranggapan cerita cinta pasti membosankan kerana kurang aksi tetapi Karipap-Karipap Cinta tampil dengan kelainan yang pasti membuatkan penonton suka dengan jalan ceritanya,” kata Hafsham.