Saturday, April 30, 2011

Al Rajhi Gold-i diperkenalkan



Al Rajhi Bank, perbankan Islam terbesar di dunia memperkenalkan produk pelaburan terbarunya, Al Rajhi Gold-i yang membenarkan pelanggannya melabur dalam bentuk emas fizikal.

Pengarah Perbankan Runcitnya, Sabry Ghouse berkata, emas diimport khas dari Switzerland dengan 999.9 fizikal tulen ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk pelaburan logam dengan harga sebenar, mudah dibeli dan dijual serta kepelbagaian aset untuk meminimumkan risiko dan pemilikan pelaburan persendirian.

“Keunikan logam jenis ini telah terbukti dapat melindungi nilai wang sejak beribu tahun dahulu. Dengan Al Rajhi, pelanggan kini boleh melabur serta-merta dalam bentuk emas fizikal yang dapat memberi nilai kepada sesebuah pelaburan terutamanya semasa keadaan ekonomi tidak menentu.

“Selain itu, Al Rajhi turut melindungi kepentingan pelanggan melalui prinsip perdagangan Musawamah yang diiktiraf secara global oleh syariah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Al Rajhi Gold-i, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, Al Rajhi menjadikan individu mempunyai minat mendalam terhadap pelaburan aset merangkumi jongkong fizikal emas dan wafer sebagai alternatif lain pelaburan sebagai kumpulan sasaran produk terbarunya ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perbankan Mewah, Yasmin Junus berkata, lebih 70 peratus permintaan pasaran emas dunia datang daripada pembeli yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan kemas.

“Manakala, kurang daripada 20 peratus pelabur emas adalah pelabur individu. Dengan memperkenalkan Gold-i, ia diharap dapat memberi kesedaran kepada pelabur bahawa pelaburan emas dapat memberi lebih nilai pada masa akan datang,” katanya.

Melalui statistik Pertubuhan Emas Dunia tahun lalu, permintaan pasaran emas utama adalah untuk penghasilan barang kemas, malah, pasaran Asia sendiri melihatkan pertumbuhan di mana jumlah pelanggan tahunan meningkat 66 peratus berbanding tahun lalu.

Dengan harga emas serendah RM800 untuk lima gram hingga lebih RM160,000 untuk satu kilogram, Al Rajhi turut menyediakan kelebihan untuk pelanggan awal seperti perlindungan insurans bersama Takaful dan pengasingan stor simpanan.

Burger kukus bakal dikomersialkan



Iftitah Food Services, syarikat memasarkan produk burger kukus Jalan Rejang (BKJR) berhasrat membina restoran menyediakan perkhidmatan pandu laju selaras menaik taraf tempat jualan agar setanding jenama terkemuka dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Pengarah Urusannya, Rosmizan Ramli berkata, perancangan ini adalah langkah pengembangan bagi mengukuhkan lagi jenama agar tidak menjadikan kawasan tepi jalan sebagai destinasi utama bagi menjual produk itu dijangka menggunakan pelaburan mencecah RM2 juta.

“Burger kukus kami adalah berlainan daripada produk yang ada dan setakat ini berjaya menghasilkan purata jualan serendah RM350 sehari, ”katanya.

Menurutnya, Burger BKJR kini beroperasi menerusi lapan rakan niaga yang menjual di kawasan kampus Cyberjaya, Taman Melati, Taman Melewar Gombak, Samudera Gombak, dan perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Rosmizan berkata, syarikat itu ditubuhkan menerusi kerjasama bersama seorang rakan dengan modal permulaan serendah RM28,000 menggunakan wang simpanan peribadi selepas 10 tahun menimba pengalaman kerja dalam bidang itu di syarikat jualan makanan segera terkemuka sebelum ini.

Beliau berkata, lokasi mendapat paling mendapat sambutan setakat ini adalah jualan menerusi rakan niaga sekitar kampus di Cyberjaya dan UPSI selain Taman Melawati, Gombak.

“Orang ramai yang berminat ingin menjadi rakan niaga adalah dialu-alukan tetapi bergantung kepada syarat dan syarikat berhak menolak jika tidak menepati peraturan yang ditetapkan,” katanya yang sedang melihat Cheras, Shah Alam dan Puchong sebagai lokasi pilihan akan datang.

Modal permulaan diperlukan adalah RM10,000 dan mereka perlu mengambil stok daripada syarikat.

Katanya, antara rahsia burger kukus menjanjikan kelainan adalah kerana cara penyediaannya berbeza.

“Kami mempunyai resipi tersendiri menggunakan kaedah mengukus bagi mengekalkan kualiti rasa dan daging seperti ayam dipanggang bagi membangkitkan lebih aroma,” katanya yang juga menjual oblong dan sosej sebagai pelengkap hidangan.

Loloq harta terbaik industri seni


DARI kiri: Ramli Sarip, Datuk M.Nasir, Ella dan Tam Spider memberi penghormatan dengan menyanyikan lagu-lagu karya Allahyarham Loloq.


BIARPUN sudah lebih tiga tahun dia pergi mengadap Ilahi, namun sumbangan penulis lirik terkenal iaitu Rosli Khamis atau lebih sinonim dengan nama Loloq dalam industri nyanyian ternyata tidak terkira.

Sepanjang hayatnya, arwah yang telah meninggal dunia pada 30 Januari 2008 telah menulis kira-kira 2,000 lirik lagu dan sudah tentu ia merupakan satu pencapaian yang agak sukar untuk ditandingi.

Bagi mengenang jasanya sebagai seorang penulis lirik yang cukup berprolifik tinggi, maka satu inisiatif telah diambil dengan menganjurkan satu konsert khas iaitu Konsert Untukmu Loloq.

Diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 hingga 24 April yang lalu, ia telah dijayakan secara bersama oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Badan Kesenian Mindef dan Global Network Entertainment Sdn. Bhd.

Lebih menarik lagi, ia turut dijayakan oleh empat orang penyanyi popular tanah air yang selama ini diketahui banyak menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Loloq iaitu M.Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider.

Berlangsung selama hampir dua jam, peminat yang hadir menyaksikan konsert berkenaan telah dihiburkan dengan lagu-lagu seperti Nuri, Bagaikan Puteri (Ella), Andalusia, Apokalips (M.Nasir), Syair Laila, Majnun (Ramli Sarip), Aladin dan Cinta Dewa Dewi (Spider).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut meluangkan masa untuk hadir menyaksikan konsert berkenaan berkata, konsert yang dianjurkan itu adalah satu bentuk pengiktirafan buat Loloq yang banyak memberikan sumbangan kepada industri nyanyian di negara ini.

“Sebelum ini tiada mana-mana pihak yang mengambil inisiatif untuk memberi pengiktirafan kepada allahyarham. Jadi, pihak KPKK dan Badan Kesenian Kementerian Pertahanan mengambil keputusan untuk menganjurkan konsert ini untuk memberi penghargaan kepadanya.

“Sebahagian daripada penjualan tiket konsert yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini akan disumbangkan kepada keluarga allahyarham terutamanya untuk perbelanjaan pembelajaran anak-anaknya,” jelasnya selepas konsert berakhir.

Ujar Zahid lagi, beliau juga turut mengenali penulis lirik berkenaan melalui M. Nasir dan Ramli Sarip ketika sama-sama menyertai konvoi kembara Merdeka sempena Tahun Melawat Malaysia pada Julai 2007.

Sebak

Beliau turut menyifatkan pemergian Loloq sebagai satu kehilangan yang sangat berharga dan menganggap Loloq sebagai sebutir permata yang berkilauan di pentas seni tanah air menerusi hasil karyanya yang cukup indah, puitis, bernas dan bermutu.

Biarpun hanya berlangsung selama tiga hari sahaja, namun konsert yang menampilkan nama-nama besar itu tetap berlangsung dengan jayanya melalui satu persembahan yang cukup memukau dan tidak mengecewakan.

Malah, penyanyi utama kumpulan Spider iaitu Tam tidak dapat menyanyikan salah sebuah lagu dengan baik pada malam persembahan untuk tetamu jemputan dan pihak media kerana berasa sangat sebak.

“Mungkin ramai yang menyangka saya terlupa lirik, tetapi yang sebenarnya saya memang sebak dan perkara itu memang tidak disengajakan. Lagipun sewaktu latihan tidak pula terjadi seperti malam ini.

“Memang selama ini kumpulan Spider selalu bekerjasama dengan allahyarham dan begitu banyak kenangan yang sukar untuk dilupakan. Malah, saya sangat berterima kasih kerana kami diberi peluang untuk menjayakan konsert ini,” ujar Tam.

Sementara Ella yang turut menjayakan konsert berkenaan pula menyatakan sehingga kini masih belum ada lagi individu yang mampu menggantikan tempat Loloq sebagai seorang penulis lirik yang hebat dan istimewa.

Biarpun secara peribadi menganggap Loloq sebagai seorang individu yang kelakar, namun dia merasakan penulis lirik itu adalah seorang insan yang cukup unik kerana setiap hasil karyanya sangat bernilai dan mempunyai maksud yang tersendiri.

“Banyak perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang bekerjasama dengannya. Pada masa yang sama saya rasa sangat beruntung kerana mendapat bimbingan daripadanya dan bertuah kerana segala ilmu yang dicurahkan memang sangat bermakna,” ujarnya.

Siti Sarah disahkan hamil




SUDAH lumrah bagi setiap pasangan yang berumah tangga, pastinya yang paling dinantikan adalah untuk memiliki cahaya mata. Malah, ada yang terpaksa menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.

Bagaimanapun, Shahmira Mohamed atau Shuib dan Siti Sarah Raisuddin pastinya antara pasangan suami isteri yang sangat beruntung. Biarpun usia perkahwinan mereka baru dua bulan, tetapi dikhabarkan Siti Sarah sudah pun disahkan mengandung.

“Alhamdulillah, memang kini saya telah mengandung dan usia kandungan saya pula hampir mencecah usia dua bulan. Tentunya ini adalah saat yang sangat dinantikan.

“Lagipun saya dan Shuib tidak pernah merancang sama ada mahu ada anak cepat atau lambat. Kami sendiri tidak kisah kalau dikurniakan anak terlalu awal,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media filem Man Sewel Datang KL yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, Selangor Selasa lepas.

Menurut Siti Sarah, dia sendiri tidak sedar dirinya sudah berbadan dua sehinggalah dia mengalami keletihan dan muntah-muntah ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pada hari terakhir penggambaran filem berkenaan, dia telah meminta Shuib membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.

“Pada mulanya saya ingatkan perut saya masuk angin, tetapi setelah menjalani pemeriksaan, kami berdua mendapat berita yang sangat gembira apabila saya telah disahkan mengandung,” ungkapnya.

Ketika ditanya apakah makanan yang paling dia mengidam setelah mengandung, Siti Sarah memberitahu ketika ini dia sangat gemar memakan buah oren.

Jelasnya, sebelum ini dia bukanlah penggemar utama buah tersebut, namun semenjak mengandung dia perlu memakan buah oren atau minum jus oren pada setiap pagi.

“Saya sangat bersyukur kerana layanan suami terhadap saya juga bertambah baik. Bukannya sebelum ini tidak baik, tetapi kini dia memang benar-benar menjaga dan mengambil berat terhadap diri saya.

“Malah, sekarang ini pun kalau tak ada sebarang undangan nyanyian, saya akan ikut dia pergi jalani penggambaran atau pun latihan Maharaja Lawak kerana dia risau untuk tinggalkan saya keseorangan di rumah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tentang tarikh kelahiran pula, doktor menjangkakan dia akan melahirkan anak pada bulan Disember ini.

Sementara itu, Shuib yang setia berada di sisi isterinya sepanjang sesi temu bual berlangsung memberitahu, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah isteri yang tercinta disahkan telah mengandung ketika ini.

“Semasa dalam perjalanan menghantar isteri saya ke klinik, sebenarnya saya dapat rasa yang isteri saya ini sudah berbadan dua. Cuma saya tidak mahu beritahu dia kerana tidak mahu terlampau berharap sangat.

“Kemudian, setelah telah doktor mengesahkan yang isteri saya memang mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali. Depan doktor juga saya menangis dan peluk isteri saya,” ujarnya.




Tentang jumlah anak yang mereka inginkan pula, Shuib menjelaskan dia berharap sekurang-kurangnya dianugerahkan dengan empat orang anak.

Menyanyi dan berlakon

Meskipun sudah berumah tangga dan kini disahkan sudah berbadan dua, namun ia langsung tidak menghalang Siti Sarah untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.

Ujarnya, ketika ini dia kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan makan malam dan baru sahaja selesai membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur.

“Tidak dinafikan selepas berumah tangga ni memang rezeki semakin bertambah dan baru-baru ini kami digandingkan pula bersama dalam sebuah filem. Tentang pembikinan album baru, memang sudah ada perancangan ke arah itu, namun buat masa ini saya akan keluarkan single terlebih dahulu,” jelasnya.

Mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan pula, setakat ini saya tidak berdepan dengan sebarang masalah besar. Biarpun berlakon, karier dalam bidang nyanyian akan tetap diteruskan.

“Ramai yang sudah tahu ayah saya adalah seorang pelakon, malah boleh dikatakan saya membesar dalam dunia lakonan kerana sering ikut ayah kalau dia ada penggambaran.

“Jadi, minat untuk berlakon memang sudah ada sejak dari dulu lagi. Kemudian apabila sudah mula menceburinya, saya rasa jadi makin seronok pula,” ujarnya.

Stephen Chow

Umum mengetahui, ketika ini Shuib bersama kumpulannya iaitu Sepah sedang bersaing sengit dalam program Maharaja Lawak yang sudah pun masuk minggu kelima.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga turut dikenali ramai menerusi drama bersiri Bujang Sepah Lalalitamplom yang ke udara di saluran Astro Prima sebelum ini.

Biarpun kini namanya dikenali ramai sebagai seorang pelawak, tetapi anak kelahiran Johor itu juga sebenarnya mempunyai impian yang tersendiri.

“Sebenarnya saya sangat berminat untuk menjadi seorang pengarah dan sudah tentu pilihan filem atau drama arahan saya nanti adalah yang bergenre komedi.

“Salah seorang pengarah yang paling saya minati adalah Stephen Chow yang juga seorang pelakon. Dia memang jadi idola saya kerana filem lakonan dan arahannya sangat mengagumkan saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Shuib menjelaskan impian tersebut mungkin akan dapat dilaksanakan apabila dia benar-benar sudah lama berada dalam bidang lakonan.

“Buat masa ini saya dikira masih lagi baru dan banyak lagi benda yang saya harus pelajari terutamanya tentang selok-belok dunia perfileman sebelum menceburi bidang pengarahan pula,” ujarnya.

Aiman ketandusan gimik persembahan


AIMAN bersama mentornya, Rahim Maarof.


KONSERT Kumpulan B minggu ketiga Mentor 5 secara secara langsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini menyaksikan persembahan hebat daripada Salma yang ditemani mentornya Erra Fazira, Iqa (Edry) dan Aiman (Rahim Maarof).

Bagaimanapun, Aiman yang berada di kedudukan tercorot dengan hanya mendapat kutipan 49 markah, jauh ketinggalan di belakang Salma yang mendapat sebanyak 80 markah dan Iqa (63 markah).

Membiarkan pentas kosong dan membatasi pergerakan, persembahan Aiman menerusi lagu Noktah Cinta dan duet bersama Roy melalui lagu Ratnaku menjadi sedikit lesu berbanding peserta lain biarpun persembahan vokalnya bertenaga.

Persembahan Aiman menerusi Noktah Cinta membuka tirai pentas minggu ketiga Kumpulan B bagaikan tidak menjadi walaupun ia mendapat pujian daripada penyanyi asalnya, Hafiz AF7. Ini kerana Aiman tidak menggunakan pentas dengan optimum.

Juri yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Noraniza Idris memberi komen yang sama kerana Aiman kurang menguasai pentas dan komunikasi dengan audiens, malah dia kelihatan seperti masih tidak berkeyakinan dalam persembahan pertamanya.

Namun bagi Ramli, Aiman merupakan seorang peserta yang mempunyai pakej tetapi masih kurang digilap dengan rapi.

Komen Ramli: “Kamu terlalu serius dengan kerjaya. Warna suara dan visual (rupa) kamu boleh jual tetapi vokal perlu dipenuhi dengan skil. Kamu perlu belajar vokal secara teori dahulu.

Bagi Aiman pula yang dilihat mempunyai perwatakan serius, persembahannya pada malam itu merupakan caranya yang tersendiri untuk menjiwai lagu-lagu yang dibawakan.

Katanya, menggunakan sepenuh pentas yang ada tidak menjamin persembahan yang hebat kerana dia lebih selesa menggunakan cara sendiri untuk menghayati sesebuah lagu.

“Bagi saya, cara setiap penyanyi untuk menghayati sebuah lagu adalah subjektif. Saya lebih selesa dengan cara saya ini.

“Biarpun tidak terlalu bergerak di pentas, tapi ia lebih membuatkan saya menghayati lagu dengan lebih penghayatan,” tegasnya di sidang media selepas tamat konsert.

Duet Iqa, Sudirman

Dalam pada itu, biarpun Mentor 5 belum memasuki separuh akhir, Salma dan Iqa telah menunjukkan momentum kehebatan masing-masing pada persembahan kali ini menerusi vokal bertenaga dan gimik menarik.

Digandingkan bersama Azlan (Azlan & The Typewriter) menerusi lagu Jeritan Batinku, Salma dilihat bertenaga dan masih tidak tenggelam dengan kehebatan vokal Azlan bahkan serasi di pentas.

Menyahut cabaran Ramli pada minggu lalu, persembahan Salma menerusi medley lagu-lagu seperti Penasaran, Kopi Dangdut dan Kabhi Khushi Kabhi Gham bagaikan tiada kekurangan bahkan turut mendapat pujian daripada pengkritik.

Membawa kelainan dalam persembahan duetnya kali ini, Iqa mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, Merisik Khabar dan memberi kejutan kepada penonton apabila seolah-olah berduet dengan penyanyi legenda negara itu.

Selain berjaya memikat penonton melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS), Salma dan Iqa turut membuatkan juri awam bermurah hati dengan memberikan mereka masing-masing sebanyak 19 markah berbanding Aiman yang hanya mendapat 15 markah.

MasterChef versi Malaysia


DARI kiri, Jason Lew (Penerbit Eksekutif MasterChef), Mackenna Singh (Penerbit Eksekutif MasterChef), Azlin, Papa Joe dan Chef Zubir.


JIKA sesiapa di luar sana merasakan mempunyai pengalaman luas dalam bidang masakan dan kreativiti di dalam penyediaan makanan dari pelbagai negara, ini masanya untuk menonjol bakat dan meraih peluang untuk merangkul gelaran juara MasterChef Malaysia yang pertama.

Program masakan yang akan mencungkil bakat dalam bidang masakan ini akan mendapat khidmat latihan oleh pakar masakan Malaysia yang bertaraf antarabangsa yang berpengalaman lebih 10 tahun.

“Mungkin sebelum ini, kita hanya dapat menyaksikan kepakaran peserta dari luar negara seperti United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Kini pihak Astro dengan berbesar hati membawakan program terkenal ini ke Malaysia untuk memberi peluang kepada warga tempatan di dalam program bertaraf antarabangsa ini,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.

Rancangan ini juga akan membuka ruang kepada chef-chef amatur mahupun profesional untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap yang boleh dibanggakan.

Hadiah menarik yang ditawarkan kepada juara sulung MasterChef Malaysia merupakan wang tunai berjumlah RM100,000 serta mereka juga berpeluang untuk menerbitkan sebuah buku resipi.

Sesi uji bakat yang bakal berlangsung akan diadili oleh dua orang chef antarabangsa yang berpengalaman luas di dalam bidang masakan iaitu Chef Johari Edrus atau lebih mesra dengan panggilan Papa Joe dan Chef Zubir Md. Zain.

Sehubungan itu, pada sidang media yang diadakan baru-baru ini, pihak Astro telah memperkenalkan laman sosial facebook (www.facebook.com/ MasterChefMalaysia ) dan laman Twitter Masterchef Malaysia (www.twitter.com/MasterChefMY) bagi penonton yang ingin mengetahui perkembangan semasa program ini.

Sebarang maklumat lanjut juga boleh layari laman www.masterchef.com.my.

Lagu anak Giring


TERUJA dengan kelahiran anaknya, Aisyah, Giring menggarap lagu dengan judul Aisyah buat anaknya itu.


KEHADIRAN buah hati yang diberi nama Aisyah, membuat Giring selalu mempunyai perasaan yang bercampur baur. Begitu teruja dengan kehadiran cahaya mata tersebut, ia telah memberi inspirasi kepada vokalis grup Nidji itu menggarap lagu khusus ditujukan buat anaknya itu.

Menurut Giring, lagu tersebut diberi judul Aisyah, nama asal anaknya itu.

“Lagu itu judulnya Aisyah, kerana waktu dia lahir saya seperti berasa jatuh cinta lagi. Dalam lagu itu, ia bercerita tentang bagaimana dia telah memberi saya sesuatu perubahan. Melihat dia, saya jadi gembira, melihat dia saya juga segala rasa gundah gelisah saat penat usia bekerja atau membuat persembahan, semuanya tiba-tiba hilang.”

Giring menjelaskan lagi, irama lagu tersebut akan kedengaran begitu up to date. Pada awal lagu ia berentak up beat, namun dirombak, disulam dengan nuansa irama anak-anak kecil yang kedengaran begitu riang.

“Ini adalah hadiah untuk anak saya, supaya dia punya sesuatu yang terbaik untuk dikenang,” katanya lagi penuh teruja.

Melaka kenakan caj warisan


SEMUA premis penginapan di Melaka termasuk hotel dan calet akan dikenakan caj lima peratus mulai September depan. - Gambar hiasan


MELAKA - Pelancong yang menginap di premis penginapan di negeri ini termasuk hotel dan calet akan dikenakan caj warisan sebanyak lima peratus mulai 1 September depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, caj lima peratus itu akan dikenakan daripada harga bilik yang ditempah oleh pelancong di 11,067 bilik penginapan yang terdapat di 193 premis penginapan negeri ini.

"Tindakan mengenakan caj warisan ini bukan untuk membebankan pelancong tetapi bagi menampung kos kemudahan infrastruktur yang disediakan demi memastikan pelancong lebih selesa dengan perkhidmatan yang disediakan nanti," katanya di sini semalam.

Mohd. Ali berkata, kerja-kerja meningkatkan kemudahan infrastruktur itu termasuk program pembersihan, pengindahan, keceriaan, pelihara dan pemuliharaan warisan.

PS3 sasar 1,500 penyertaan


PERTANDINGAN PS3 bakal menjadi salah satu tarikan pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! di Putrajaya bulan depan.


KUALA LUMPUR - Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! bakal dihangatkan dengan pertandingan konsol PlayStation 3 (PS3) yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM8,000.

Pegawai Penyelaras sekretariat kejohanan, Mohamad Izuan Hayat berkata, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu FIFA 2011 dan PES 2011.

Katanya, setakat ini hampir 110 penyertaan telah diterima dan pihaknya yakin sasaran 1,500 penyertaan untuk pertandingan tersebut mampu dicapai dalam masa terdekat.

"Juara setiap kategori akan meraih RM2,000, naib juara RM1,000 manakala ketiga RM500. Kita turut menyediakan RM100 bagi tempat keempat hingga kelapan serta 12 cenderahati untuk tempat kesembilan hingga ke-20," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad Izuan berkata, setiap penyertaan untuk pertandingan itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM30.

Menurutnya, pertandingan tersebut merupakan salah satu acara sampingan yang akan memeriahkan lagi kejohanan Rentap Futsal Putrajaya.

Bertam Ulu FC nak balas dendam


PEMAIN pasukan Bertam Ulu FC menjalani latihan sebagai persiapan untuk menyertai kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 di Klebang, Melaka semalam.


MELAKA - Naib juara kategori Terbuka Lelaki musim lalu, Bertam Ulu FC bertekad mahu menebus kekecewaan pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan bermula pada 26 hingga 29 Mei depan.

Ketua pasukan, Mohd. Ayob Alias berkata, mereka hanya selangkah untuk bergelar juara pada edisi pertama Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! tahun lalu, namun dikecewakan oleh pasukan Gelombang B dengan keputusan 3-0 pada aksi final.

"Kami mahu melupakan kekalahan itu dan tahun ini kami berazam untuk menunjukkan persembahan terbaik dan membawa pulang gelaran juara," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Ayob, Gelombang B dijangka kembali menyertai kejohanan tersebut dan mereka mahu melunaskan dendam lama sekiranya bertemu pasukan itu sekali lagi.

"Pengalaman pada perlawanan akhir tahun lalu sedikit sebanyak memberi kami panduan bagaimana untuk mengatasi mereka," ujarnya.

Mohd. Ayob berkata, kejohanan edisi kedua Rentap Futsal itu semakin besar dan meriah malah hadiahnya juga bertambah.

"Saingan kali ini pasti semakin sukar dan mencabar, namun Bertam Ulu FC tidak gentar dan kami akan bermain seperti biasa," katanya.

Menurutnya, mereka akan menghantar dua pasukan bagi menyertai kejohanan berkenaan berbanding hanya satu pasukan pada tahun lalu.

"Selain Bertam Ulu FC yang akan bertanding dalam kategori Terbuka Lelaki, satu lagi pasukan iaitu Bertam Ulu Equal bakal menyertai kategori Larut Malam," jelasnya.

Majlis Perundingan Media Negara ditubuh


RAIS (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Yeo Li Shian sambil disaksikan Chamil (kiri) dan Wan Zulkifli (dua dari kanan) pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2011 di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Bagi membentuk jalinan harmoni dan tulen antara kerajaan dan media, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Media Negara.

Majlis yang dianggotai pengamal media dan wakil kerajaan itu bakal dijadikan forum kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, objektif utama majlis itu adalah bagi menjamin kebebasan media mengikut undang-undang.

"Kami akan mengadakan perbincangan lanjut sebelum diusulkan ke Kabinet untuk dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini," katanya selepas merasmikan Majlis Malam Wartawan Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Tambang baru ETS 1 mulai Mei

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan kadar baru tambang Khidmat Keretapi Elektrik (ETS) yang akan berkuat kuasa esok.

Presidennya, Dr. Aminuddin Adnan berkata, tiket akan dijual pada tiga harga berbeza dalam tiga pakej baru iaitu Silver (RM25), Gold (RM35) dan Platinum RM45.

"Sebenarnya ini merupakan harga tambang siling yang diselaraskan oleh kerajaan sejak perkhidmatan ETS dimulakan pada Ogos tahun lalu tetapi demi kepentingan pelanggan, harga konsesi iaitu RM30 diperkenalkan selama enam bulan sehingga 28 Februari lalu sebelum dilanjutkan sehingga 30 April 2011," katanya selepas majlis menghantar pasukan hoki New Zealand ke Ipoh menggunakan ETS di sini semalam.

Beliau berkata, selaras dengan tambang baru itu, pihaknya memperkenalkan diskaun antara 20 dan 75 peratus kepada lima golongan iaitu pesara kerajaan, warga emas, orang kelainan upaya, kakitangan KTMB dan pelajar.

"Lima golongan ini hanya perlu menunjukkan Mykad, kad pelajar atau kad persaraan untuk mendapatkan diskaun," jelasnya.

Jelas beliau, jumlah pengguna ETS pula meningkat sejak awal tahun ini apabila mencatatkan 45,800 orang pada Januari, 52,150 (Februari) dan 57,900 bulan lalu.

Penyeludup minyak masak tumpas


OTHMAN (kanan) memeriksa sebahagian daripada rampasan 44 metrik tan minyak masak dalam serbuan di Gombak, Selangor malam kelmarin.


GOMBAK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menumpaskan satu kegiatan penyangak minyak masak yang mengaut keuntungan dipercayai mencecah jutaan ringgit hasil perbuatan menyeludup barangan bersubsidi itu ke negara jiran.

Selepas membuat intipan selama seminggu, sepasukan 10 anggota penguat kuasa kementerian itu menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Bolton, di sini malam kelmarin sewaktu beberapa pekerja yang mengisi minyak masak itu ke dalam tong yang setiap satunya seberat 17 kilogram.

Bagi mengaut keuntungan lebih, minyak masak tulen dicampur dengan minyak lain yang lebih rendah mutunya.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui sebanyak 44 metrik tan minyak masak yang dianggarkan bernilai RM110,000.

“Pengedar ini membeli minyak subsidi di sekitar ibu negara sebelum memproses semula ke dalam tong berwarna kuning dan kemudian diseludup ke negara luar pada harga yang lebih tinggi.

Cadang pencen swasta 58 tahun


KERAJAAN mencadangkan had umur pencen pekerja swasta dilanjutkan kepada 58 tahun agar mereka dapat memberi sumbangan lebih lama kepada negara. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Had umur persaraan bagi sektor swasta mungkin dilanjutkan kepada 58 tahun selaras dengan umur persaraan sektor awam, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan mengambil masa sebelum dimuktamadkan.

"Kita dalam proses mengadakan perbincangan dengan semua stakeholder untuk mencari satu jalan... suatu umur yang ditetapkan bagi sektor swasta.

"Tujuan kita membenarkan mereka bekerja lebih lama (berbanding umur bersara pada 55 tahun sekarang) kerana mereka masih mempunyai keupayaan dan boleh menyumbang kepada produktiviti (syarikat masing-masing)," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk mengekalkan modal insan dan meningkatkan produktiviti.

'Aku dan Anwar berada dalam paparan video'


ORANG ramai memenuhi Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Shazryl Eskay Abdullah meneruskan niatnya melakukan sumpah laknat walaupun terdapat cubaan sabotaj para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggagalkan niat ahli perniagaan itu untuk membuktikan bahawa Anwar merupakan pelaku lelaki dalam rakaman video seks dengan pelacor yang mula tersebar sejak 21 Mac lalu.

Upacara sumpah laknat selama kira-kira lima minit itu dilakukan oleh Shazryl yang turut mewakili bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul di sini semalam.

Rahim dan Shuib duduk bersama Shazryl ketika sumpah laknat itu dilafazkan.

Sumpah laknat itu terpaksa dilakukan pada pukul 4.20 petang selepas ditunda dari pukul 2 petang kerana berlaku ketegangan yang dipercayai membabitkan kumpulan penyokong parti pembangkang.




Shazryl melakukan sumpah laknat tersebut selepas seorang pendakwah bebas, Firdaus Supri memberi penerangan kepada trio Datuk T tentang risiko bagi orang Islam yang melakukan sumpah laknat jika perkara itu tidak benar.

Sumpah laknat itu bersaksikan Timbalan Imam Masjid Amru Al-As, Ezhan Shahril Md. Piah.

Selain itu, terdapat kira-kira 200 orang menyaksikan Shazryl melafazkan sumpah laknat tersebut.

Anwar yang dicabar oleh trio Datuk T untuk sama-sama melakukan sumpah laknat itu bagaimanapun tidak hadir ke masjid tersebut.

Laman web jual dan beli barang cuma RM14.80


LAMAN web Fiverr.com.


LOS ANGELES - Satu laman web terkenal, Fiverr.com membenarkan para penggunanya untuk membeli dan menjual pelbagai produk atau perkhidmatan selagi ia tidak menyalahi undang-undang serta moral pada harga hanya AS$5 (RM14.80), lapor sebuah akhbar semalam.

Dilancarkan sejak tahun lalu, laman web itu telah menawarkan lebih 150,000 perkhidmatan seperti pemasaran, sokongan teknologi, mengedit resume, nasihat fesyen, selain menulis dan membuat persembahan lagu selamat hari jadi dalam klip video.

Seorang ahli psikologi dari Brooklyn, Suzanne menggunakan bakatnya dalam muzik untuk menulis dan mempersembahkan lagu kepada para kliennya.

Sudah menggunakan laman web tersebut selama enam bulan, dia telah menjana pendapatan lebih AS$500 (RM1,482) setakat ini dengan menulis lagu hari lahir dan menyanyikannya dengan menggunakan piano atau klarinet.

"Ini cuma perkara yang saya lakukan untuk berseronok, tetapi ia benar-benar meningkatkan kebolehan saya menulis lagu," kata Suzanne.

Sementara seorang pereka grafik, Mary Ingrassia dari Howard Beach, Queens pula menjual perkhidmatan pengiklanan yang unik dengan menggunakan gambar burung kakak tua peliharaannya, Pickle.

Sejak menggunakan Fiverr.com pada Januari lalu, dia telah memperoleh pendapatan lebih AS$625 (RM1,852).

Superman lepaskan kerakyatan AS


KOMIK terbaru Superman edisi Action Comics No. 900.


NEW YORK - Watak adiwira yang mempunyai kuasa luar biasa, Superman mengumumkan dia berhasrat untuk melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS).

Adiwira itu mebuat kenyataan tersebut dalam edisi baharu Action Comics No. 900 dengan menyatakan dia sudah bosan dengan tindakannya yang ditafsirkan sebagai alat AS.

Dalam cerita komik adiwira tersebut, Superman yang berhijrah ke Bumi semasa zaman kanak-kanak dari Krypton dan dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga di Smallville, Kansas itu menyatakan adalah lebih baik untuk berkhidmat kepada masyarakat Bumi.

Dalam satu kenyataan kepada akhbar New York Post, penerbit bersama DC Comics yang mengeluarkan komik Superman, Jim Lee dan Dan Didio berkata, walaupun adiwira itu kini bercirikan global, watak berkenaan akan tetap mempunyai gaya hidup AS.

"Superman merupakan seorang pelawat dari sebuah planet yang jauh yang sekian lama menerapkan nilai-nilai Amerika. Sebagai satu watak dan ikon, dia menerapkan gaya terbaik Amerika," kata kenyataan tersebut.

Bintang realiti cedera nahas


RUTH PINEDA


LOS ANGELES, California – Bintang program realiti LA Ink, Ruth Pineda dimasukkan ke hospital minggu lalu selepas wanita tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang serius, lapor sebuah akhbar semalam.

Program realiti televisyen itu memaparkan peristiwa yang berlaku di sebuah kedai melukis tatu di sini.

Bintang realiti berusia 26 tahun itu dalam perjalanan untuk satu temu janji apabila sebuah trak besar merempuh sisi kereta Mercedes E300 hitam yang dipandunya.

Ruth dihantar ke sebuah hospital berdekatan dengan menaiki sebuah ambulans dan dia diberikan rawatan selama 12 jam kelmarin.

Menceritakan kemalangan ngeri itu melalui laman web sosial Twitter dari katil hospital, dia berkata: “Orang seperti itu teruk apabila mereka melanggar lampu isyarat dan merempuh kereta saya !!!”.

Selepas dibenarkan keluar dari hospital, Ruth menulis di laman Facebooknya untuk memberitahu para peminat bahawa dia berada dalam keadaan baik.

Dia turut menunjukkan gambar-gambar keretanya yang terlibat dalam kemalangan itu kepada para peminatnya.

Tentera Gaddafi bedil Misrata


SEBUAH kereta kebal milik tentera Muammar Gaddafi musnah di bandar Misrata, Libya kelmarin.


MISRATA, Libya - Bunyi letupan kuat dan bedilan senjata api menggegarkan bandar ini semalam ketika tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus bertempur dengan pemberontak bagi menguasai lapangan terbang di sini, kata seorang wartawan agensi berita AFP.

Pertempuran tersebut berlaku selepas tentera Gaddafi semalaman membedil roket dan peluru mortar ke bandar ini yang terletak 215 kilometer ke timur ibu kota Libya, Tripoli.

Tentera Gaddafi dipaksa berundur dari sini selepas tentera pemberontak dan jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan pada Isnin lepas.

Namun, tentera pemimpin Libya itu masih berada dalam kedudukan untuk melancarkan bedilan roket ke bandar ini.

Sebelum ini pihak pemberontak memberitahu telah menawan pelabuhan di sini dan matlamat seterusnya adalah untuk menawan lapangan terbang yang masih dikuasai tentera Gaddafi.

"Menyerang merupakan satu bentuk pertahanan yang terbaik," kata seorang komander tentera pemberontak di sini, Ibrahim Bet-Almal.

"Gaddafi menghantar bantuan kepada anggota-anggota tenteranya di sini pada setiap hari," tambah komander berkenaan.

Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati sejumlah rakyat yang menentang kepimpinan Gaddafi.

Vespa kembali bangkit




SUDAH setahun dia menyimpan duit. Petang itu, segala penat lelahnya berjimat cermat diganti dengan jentera yang pasti membuatnya tersenyum setiap kali berada di atas jalan raya.

Jelas sekali Trinh My Duong, 24, adalah penggila Vespa. Tidak jauh bezanya dengan kira-kira 3,500 pemilik baru jenama motosikal itu setiap bulan di Vietnam. Kalau dinilai dengan purata gaji pekerja di Vietnam yang cuma AS$40 (RM118) sebulan, Vespa sememangnya barang premium dan bukan untuk semua orang.

Namun begitu, Trinh tidak peduli. Vespa LX125 i.e berwarna kuning terang itu baru dibelinya pada harga AS$3,450 (RM10,236) secara tunai. Ia pasti akan membuatkan Trinh lebih popular berbanding rakan-rakannya yang lain.

“Saya beli Vespa kerana prestij namanya dan rekabentuk yang menarik,” jelas Trinh ringkas, sambil tersengih.

Harus tahu bahawa volum keseluruhan industri (TIV) motosikal di Vietnam mencecah 2.5 juta unit setahun. Maka tidak hairanlah jika negara itu menjadi lubuk emas buat pengeluar motosikal. Antara pemain industri yang aktif di sana ialah pembuat skuter terkenal dari Itali, Piaggio.

Jenama Eropah paling sukses

Piaggio memulakan operasinya di Vietnam pada tahun Jun 2009 menerusi kilangnya yang bernilai AS$30 juta (RM88.9 juta) di wilayah Vinh Phuc, Hanoi.

Sejak itu, ia menjadi jenama Eropah paling sukses dengan jualan mencecah 22,300 unit pada tahun 2009. Pada tahun lalu, angka itu melonjak kepada lebih 72,000 unit termasuk model import sepenuhnya (CBU) keluarannya.

Justeru, langkah Piaggio menjadikan Vietnam sebagai hab pengeluarannya untuk pasaran Asia nyata satu tindakan bijak. Malah, Malaysia turut menerima faedahnya. Melalui program pemasangan tempatan ASEAN (Asean CKD), produk Piaggio dapat dimiliki pada harga lebih murah.


PRODUK yang dihasilkan oleh kilang Piaggio Vietnam Co. Ltd. ini turut dipasarkan ke pasaran Asia lain termasuklah Malaysia.


Naza Premira

Sekitar empat tahun lalu, untuk membeli sebuah Vespa model LX150 buatan Itali, anda perlu membayar hampir RM18,000 seunit. Namun kini, model seperti Vespa LX150 boleh anda miliki pada harga kira-kira RM11,000 sahaja.

Terima kasih kepada Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) yang bertindak selaku pengedar rasmi jenama tersebut. Anak syarikat Kumpulan Naza itu juga dilihat semakin serius untuk mengembalikan kegemilangan Vespa di pasaran tempatan.

Sebenarnya, Naza Premira mula memperkenalkan jenama Vespa pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) Disember lalu. Sambutan yang diterima adalah menggalakkan apabila lebih 200 unit motosikal tersebut berjaya dijual.

Kini, persediaan lebih rapi telah dibuat. Naza Premira bakal tampil dengan pusat jualan dan bilik pameran yang lengkap dengan identiti korporat terbaru Piaggio pada Mei nanti. Peminat Vespa boleh melihat model idaman mereka di beberapa buah pusat pameran yang bertempat di Kota Damansara dan Kampung Baru.

Sanggup berbelanja lebih

Antara model yang boleh didapati ialah Vespa LX150, Vespa GTS 300 dan Vespa GTV 250. Bernaung di bawah nama Piaggio, ia turut menawarkan jenama-jenama motosikal Itali yang lain termasuklah Aprilia dan Gilera. Misalnya seperti model Gilera Fuoco dan Gilera Nexus. Lebih menarik lagi, Naza Premira ada menyatakan hasrat ingin memperkenalkan model Vespa Liberty yang baru tidak lama lagi.

Pengurus Besar Two Wheel Division, Naza Motor Trading Sdn. Bhd., Nik Danial Nik Mahmood menjelaskan skuter Vespa adalah produk gaya hidup. Golongan sasarnya terdiri daripada mereka yang mementingkan gaya. Selain tidak kisah berbelanja lebih demi mendapatkan sebuah skuter yang terbukti mengagumkan dari segi teknologi dan rekabentuknya.

“Saya boleh katakan bahawa cabaran paling sukar ialah menyerlahkan Vespa sebagai skuter gaya hidup. Lagi pun, ini adalah jenama ikonik dengan kerangka dan tubuhnya diperbuat daripada besi. Itu antara ciri yang membuatkan Vespa berbeza dan istimewa. Jika mesej ini dapat diserlahkan, menjual Vespa mungkin bukan satu masalah besar,” katanya.

Optimis dengan penerimaan pasaran, Nik Danial memberitahu, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 1,000 unit Vespa pada tahun ini.


NAZA Premira telah membuat perancangan rapi untuk membina rangkaian servis yang terbaik buat setiap pelanggannya di Malaysia.


Potensi besar

Bagi mengukuhkan lagi rangkaian jualan, syarikat tersebut mahu ada sebanyak 20 pengedar produknya menjelang akhir tahun ini. Jumlah itu memang tidak banyak, tetapi pemantauan perlu dibuat bagi memastikan pengedar mampu memberikan sevis terbaik kepada setiap pelanggan.

Presiden dan Pengarah Besar Piaggio Vietnam Co. Ltd., (Piaggio Vietnam) Costantino Sambuy mengakui Piaggio merancang untuk mengukuhkan kembali jenama Itali itu di Malaysia. Piaggio Vietnam juga dilihat begitu agresif dari aspek menjalin kerjasama dengan rakan niaga tempatan di negara produknya dijual.

“Potensi produk Piaggio di Malaysia sangat besar. Sebabnya, Malaysia merupakan salah satu pasaran terbesar di dunia kerana sudah ada trend terhadap skuter automatik di sana,” kata Sambuy.

Kenapa agaknya anda perlu membeli sebuah Vespa? Sebabnya mudah, kalau sukakan perhatian, ini skuter paling sesuai buat anda. Jika teknologi dan prestasi menjadi keutamaan, Vespa juga tidak akan menghampakan. Pendek kata, Vespa ada segalanya.

Jaminan penyelenggaraan Jurutera RS


PASUKAN jurutera RS terdiri daripada individu yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.


DEMI memberikan perkhidmatan kelas satu kepada para pemilik kenderaan Renault Sport, satu pasukan, Jurutera Renault Sport (RS) telah ditubuhkan oleh pengedar jenama tersebut, TC Euro Cars (TCEC). Ini merupakan perkhidmatan servis untuk semua pemilik Renault Sport bagi memastikan jentera mereka sentiasa berada dalam kondisi terbaik.

Jenama Renault Sport mencetuskan momentumnya pada tahun 2008. Ia dimulakan dengan pengenalan model Renault Sport Megane R26, sebelum diikuti oleh model berkuasa seperti Renault Sport Clio RS. Model terbaru ialah Renault Sport Megane RS 250 Cup yang dilancarkan pada tahun lalu.

Tidak dapat dinafikan bahawa kenderaan Renault Sport dimiliki oleh peminat sebenar dan benar-benar tahu dengan kemampuan jentera yang mereka pandu.

Jadi, Jurutera RS bertanggungjawab memastikan perhatian dan servis diberikan kepada jentera berkenaan.

Setiap Renault Sport yang meninggalkan bengkel perlu diberi sijil kawalan kualiti oleh Jurutera RS. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan kenderaan itu perlu diperiksa semula.

Tujuannya bagi memastikan semua komponen jentera berfungsi mengikut spesifikasi pengeluar. Jika timbul keperluan, Jurutera RS akan dihantar ke lokasi luar untuk memberi bantuan menerusi kenderaan bantuan teknikal Renault.

Selain itu, Jurutera RS turut memiliki akses langsung dengan Renault Technical Center di Korea Selatan dan sokongan Renault Sport di Dieppe, Perancis.

Pasukan Jurutera RS terdiri daripada Zulhelmi Othman dan Luqman Salehuddin Md. Salehuddin. Zulhelmi memiliki kelayakan Renault Co-Tech dan pengalaman 12 tahun dalam industri automotif. Dalam tempoh tersebut, graduan Federal Institute of Technology itu sudah mempunyai pengkhususan selama tujuh tahun untuk kenderaan Renault menerusi TC Euro Cars.

Zulhelmi menyelia pemeriksaan prapenghantaran untuk semua kenderaan baru. Selain berperanan sebagai pengajar teknikal Renault dan teknologi baru. Beliau juga merupakan penasihat teknikal untuk semua cawangan Renault di Malaysia.

Luqman pula berkelulusan Automotive Maintenance Technology dari Malaysia-France Institute. Beliau mempunyai pengalaman enam tahun dalam industri automotif termasuk berkhidmat dengan pemain automotif Jerman dan Jepun dalam bidang penyelenggaraan kenderaan, baik pulih dan penyelesaian masalah.

Sejak TC Euro Cars memperkenalkan jenama Renault pada tahun 2003, Hab Servis Renault yang terletak di Seksyen 13 Petaling Jaya sudah bersedia menampung keperluan penyelenggaraan mana-mana model Renault.

Bagi pelanggan Renault di luar Lembah Klang, mereka boleh mengunjungi Pusat Servis Renault di bandar-bandar besar. Antaranya di Klang, Cheras, Ipoh, Butterworth, Bayan Lepas, Langkawi, Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu.

Berhubung alat gantian pula, ia dibekalkan menerusi 44 buah cawangan di seluruh negara. Rangkaian sama yang membekalkan alat gantian Nissan. Ia dikendalikan oleh Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) yang berupaya menjalankan semua jenis khidmat diperlukan dengan sokongan 900 kakitangannya.

Teknologi DIG-S Nissan


TEKNOLOGI DIG-S amat sesuai dipasang pada model bandar terbaru Nissan iaitu Micra.


ANAK-ANAK muda yang ‘bermain’ kereta lewat tahun 1990-an dan awal tahun 2000 pasti teringat akan populariti Nissan March SuperTurbo. Kereta kompak itu sebaris dengan Daihatsu Charade, Toyota Starlet dan Suzuki Swift GTi.

Nissan March SuperTurbo dua pintu adalah paling sukar diperolehi atau bahasa glamornya ‘rare’. Uniknya March terletak pada teknologi enjin yang mengabungkan sistem pengecas lampau (supercharge) dan pengecas turbo (turbocharge).

Itulah yang dikatakan ‘super rare’, teknologi yang paling sukar antara sukar. Bayangkan pada lewat tahun 1980-an, pengeluar Jepun sudah bermain dengan teknologi yang begitu rumit.

Kembali kepada retro

Seperti kebetulan, pergerakan trend dunia automotif kembali kepada unsur-unsur retro. Pengeluar kereta utama dunia nampaknya kembali kepada teknologi turbo dan pengecas lampau menerusi penambahbaikan komponen tersebut bagi disesuaikan dengan regulasi serta keperluan semasa.

Teknologi pendesak (force induction) boleh diibaratkan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kuasa ekstra dengan kadar segera daripada enjin. Hasilnya, enjin berkapasiti sederhana seperti 1.6 liter mampu menjana kuasa seperti enjin 2.0 liter.

Demam teknologi tidak terhad kepada pengeluar kereta dunia. Bahkan ia turut menjangkiti Proton yang sedang bersiap-siap melancarkan model Exora berkuasa turbo dalam masa beberapa bulan lagi.

Nissan tidak mahu ketinggalan dengan trend arus perdana. Mereka mempunyai teknologi enjin kecil dengan janaan output besar yang diberi nama DIG-S. Akronim empat huruf itu merujuk kepada Direct Injection Gasoline-Supercharger.

Maksudnya, enjin tersebut menerima bantuan daripada pengecas lampau. Enjin DIG-S dikatakan mampu menghasilkan output tinggi, di samping penggunaan bahan api yang ekonomikal serta emisi rendah. Enjin itu direka bagi memenuhi dan menjangkaui keperluan pemanduan harian masa kini. Ia dilihat sangat ideal untuk dipadankan pada model Micra, kereta bandar terbaru Nissan.

Inovasi teknikal dipakejkan ke dalam enjin DIG-S. Ia menggunakan kitaran Miller dan pancitan terus (direct injection) bagi meningkatkan nisbah mampatan 13 kepada 1 untuk mendapatkan kecekapan dalam kebuk pembakaran. Sementara supercharge pula berfungsi mendapatkan kuasa tambahan segera.

Penanda aras baru industri

Enjin bersesaran 1,198cc tiga silinder itu menghasilkan output kuasa bersamaan enjin konvensional empat silinder 1.5 liter. Secara spesifiknya DIG-S berkuasa 98ps dengan 142Nm tork serta mampu memecut sehingga 180 kilometer sejam (km/j).

Melalui enjin DIG-S, para jurutera Nissan berjaya mencapai penanda aras baru dalam standard industri. Konfigurasi enjin tiga silinder itu dikatakan mempunyai beberapa kelebihan seperti lebih ringan dan kurang geseran, hasil daripada kurangnya peralatan yang bergerak.

Pakej enjin dilengkapkan lagi dengan beberapa teknologi seperti sistem Start/Stop yang menghentikan enjin dalam keadaan melahu, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api. Dipadankan dengan bateri berprestasi tinggi dan motor penghidup, sistem itu hanya mengambil masa 0.4 saat (model CVT) untuk menghidupkan enjin selepas ia dimatikan.

Teknologi regeneration pula menjana semula kuasa semasa nyahpecutan melalui alternator yang mengecas bateri bagi membekalkan kuasa untuk peralatan elektrik, seterusnya mengurangkan beban kepada enjin.

Micra DIG-S bukan setakat inovatif pada nadi kuasanya sahaja. Ia turut dilengkapi dengan alat bantuan pemandu yang dikenali sebagai Parking Slot Measurement System (PSM). Seperti namanya, sistem itu mengukur ruang parkir dan memaklumkan kepada pemandu sama ada ruang tersebut sesuai atau tidak untuk kereta. Dengan sistem itu, masa dapat dijimatkan dan kuranglah kes pemandu yang teragak-agak untuk memarkir kereta mereka.

Dari segi luaran, Nissan Micra DIG-S tidak jauh bezanya dengan Micra biasa. Kedua-dua model itu mempamerkan lencana Nissan Pure Drive sebagai tanda emisi karbon oksidanya rendah daripada 130g/km.

Bezanya, cuma spoiler bumbungnya lebih panjang, selain spoiler kecil pada bahagian depan kereta. Walaupun tidak signikan, pekali seret (drag coefficient) berjaya dikurangkan dari 0.33 kepada 0.29.

“Jelas bahawa enjin baru kami, Direct Injection Gasoline-Supercharger menawarkan penyelesaian terbaik untuk kereta kecil seperti Micra. Dengan respon pendikit yang pantas, prestasi dan penjimatan bahan api, ia lebih baik berbanding enjin diesel dengan output kuasa yang sama. Tambahan pula tahap emisinya jauh lebih baik,” kata Naib Presiden Strategi Produk dan Perancangan, Nissan International, Pierre Loing.

Walau bagaimanapun, jika anda berminat dengan Nissan Micra, harap maaf. Kereta itu hanya ditawarkan untuk pasaran Eropah buat masa ini.

Alat ganti survival mini




KEPUTUSAN menceburi bidang automotif sekitar tahun 80-an sememangnya langkah yang tepat bagi seorang anak jati Perak berusia 40 tahun. Dia kini bergelar antara pengusaha kereta klasik berjaya di negara ini.

Ternyata kemahiran membaiki kereta lama terutama jenis Mini milik gurunya semasa menuntut di sebuah sekolah teknik di Taiping, Perak memberi kelebihan kepada Rosli Jaafar hingga mampu menjalankan bisnes bengkel kereta Mini sepenuh masa sejak 18 tahun lalu.

Meskipun permulaan penglibatan dalam perusahaan bengkel pada tahun 1990-an dilihat agak sukar disebabkan bekalan alat ganti yang sememangnya mahal, dia nekad meneruskan bengkel tersebut.

“Pada tahun 90-an, alat ganti terpakai sukar dicari dan jika ada pun yang baru harganya mahal kerana diimport dari England.

“Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 90-an, saya bernasib baik kerana alat ganti terpakai telah masuk ke Malaysia terutamanya kereta Mini potong dari Jepun,” katanya.

Menyingkap kembali perkembangan kenderaan ciptaan Sir Alec Issigonis, kereta Mini klasik merupakan sebuah kenderaan kecil yang dikeluarkan oleh British Motor Corporation (BMC), Leyland Motor Corporation (BLMC) dan Rovers Group dari tahun 1959 sehingga tahun 2000.

Ia adalah kereta buatan British paling popular dan dianggap sebagai ikon tahun 1960-an. Ia mempunyai reka bentuk unik, tiada batasan zaman, menjimatkan ruang dan memiliki enjin pacuan roda depan yang menjadi ikutan pengeluar kereta lain.

Bahkan, disebabkan populariti tersebut, kereta Mini menduduki tempat kedua dalam senarai kereta paling berpengaruh dalam abad ke-20. Ia hanya dikalahkan oleh kereta Model T Ford.

Dalam sejarahnya, Mini telah bersilih ganti nama pengeluar iaitu Austin, Morris, Leyland, British Leyland, Austin Rover, MG-Rover dan Innocenti.

Namun, satu perkara yang tidak diganti dan masih kekal adalah reka bentuknya yang klasik sehinggakan pada zaman ini ia masih utuh di jalan raya.

Bagaimanapun, setelah mengecapi tempoh kegemilangan selama 41 tahun, Mini klasik akhirnya menghentikan pengeluaran pada Oktober 2000 dan digantikan dengan New Mini buatan BMW dengan rupa yang lebih moden setahun kemudian.


KHAZIN (paling kiri) bersama ahli-ahli jawatankuasa kelab Peminat Kereta Mini Malaysia yang bergiat aktif mewarnai aktiviti industri permotoran negara.


Meskipun pengeluaran Mini klasik tidak lagi dihasilkan, ia masih digilai para peminat yang setia di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.

Antara individu terkehadapan menghidupkan kembali Mini klasik ialah para mekanik yang berhadapan dengan 1,001 kerenah kenderaan tersebut.

Bagi mereka yang telah berkecimpung dalam dunia kereta Mini sejak bertahun-tahun lamanya, mereka menganggap keadaan itu sebagai cabaran yang memberi kepuasan.

Kini, melalui Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia, ahli-ahli kelab tersebut mula menganjurkan aktiviti riadah agar momen bersama kereta comel masing-masing dapat diteruskan.

Kereta potong Jepun

Mengulas lanjut berkenaan kereta Mini, Rosli yang merupakan pemilik bengkel Mini Heritage (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu berkata, kereta potong Mini dari Jepun menjadi pilihan kerana negara matahari terbit berkenaan adalah pengimport kedua terbesar dari England.

“Pemilik kereta Mini di Malaysia mempunyai alternatif untuk mendapatkan alat ganti terpakai yang jauh lebih murah berbanding sebelum ini.

“Sebenarnya kereta potong dari Jepun asalnya diimport dari England memandangkan Jepun adalah pengimport kedua terbesar dari sana.

"Boleh dikatakan hayat Mini klasik di seluruh dunia disebabkan adanya alat ganti. Kalau alat ganti sudah tiada, kemungkinan kereta ini akan pupus,” katanya yang memiliki kereta pertama dari model Mini Clubman.

Bercerita mengenai peralatan membaiki, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, tiada masalah bagi membaiki kereta Mini kerana peralatan boleh dibeli di mana-mana sahaja.

Namun, terdapat beberapa bahagian sahaja yang memerlukan peralatan khas yang dibuat sendiri dan kemungkinan tiada di pasaran iaitu puller untuk membuka flywheel.

“Sebelum ada alat khas itu, mekanik terdahulu mengetuk menggunakan penukul bagi membuka bahagian tersebut, tetapi risiko perumah (casing) enjin untuk pecah amat tinggi.

“Jadi, saya mengelak menggunakan penukul kerana apabila pelanggan melihat kita pakai penukul, mereka tidak yakin nak hantar kereta pada kita,” katanya yang turut memiliki enam orang pekerja.

Tambahnya, trend memiliki kereta Mini semakin hari semakin meningkat daripada pelanggan baru terutama generasi muda. Bahkan, peminat dari luar negara seperti Jepun, Singapura, Brunei dan China turut menggunakan khidmatnya.

Sementara itu, seorang lagi mekanik Mini yang berjinak-jinak dengan kereta berkenaan sejak tahun 70-an, Alvin Teo Huwy Tim memberitahu, membaiki kereta Mini tidak begitu sukar jika seseorang mengetahui teknik yang betul.


MEKANIK menjadi individu terpenting semasa program konvoi sama ada di dalam atau luar negara.


“Membaiki kereta Mini ini tidaklah susah. Hanya keadaan enjinnya agak sempit sikit selain peralatan membaikinya yang agak luar biasa. Ia juga menggunakan ukuran inci yang menjadi identiti kereta buatan British.

“Sebaliknya, jika kita lihat kereta Jepun, semua peralatan menggunakan ukuran milimeter (mm),” katanya yang tidak kekok berkongsi pengalaman.

Tahan lama

Alvin yang membuka bengkel secara sambilan di Malim Jaya, Melaka mempunyai pandangan yang sama dengan Rosli apabila lebih suka menggunakan peralatan membaiki yang dibuat sendiri kerana lebih praktikal dan tahan lama.

Jelas lelaki berusia 59 tahun itu lagi, rata-rata peralatan membaiki sedia ada di pasaran tidak tahan lama dan kurang memberi kepuasan kepadanya.

Bekas pekerja di syarikat pengedaran kereta British, Wearne Brothers Limited yang telah lama menutup operasinya itu berkata, bagi menyelenggara kereta Mini, peralatan khas perlu digunakan supaya sesetengah bahagian tidak rosak.

“Semasa di Wearne Brothers dahulu, kita sudah biasa menghasilkan peralatan khas bagi memudahkan kerja membuka bahagian yang sukar atau sempit, contohnya pada klac.

“Jika tiada peralatan khas pun boleh buat kerja tetapi agak susah sikit. Mini bukan seperti kereta lain kerana semua bahagian enjin disekalikan pada satu bahagian,” ujar Alvin yang turut memiliki tiga buah kereta Mini model Mk1, Mk3 dan Traveller.

Mengulas mengenai pengalaman berkonvoi yang disertainya baru-baru ini ke Koh Samui, Thailand, dia berkata, tidak semua alat ganti dibawa oleh mekanik sebaliknya setiap peserta bertanggungjawab membawa barangan yang dirasakan perlu.

“Kebiasaannya, kita akan membawa benda-benda penting yang sering mengalami masalah seperti palam pencucuh, kabel palam pencucuh, karburator, hos air dan hos petrol.

“Jika berlaku masalah pada sesebuah kereta semasa perjalanan, saya biasanya mencari penyelesaian pantas tidak kira apa cara sekalipun. Yang penting, kereta boleh bergerak sehinggalah kita menemui kawasan yang sesuai untuk membaiki kereta. Saya juga akan mengelak daripada menggunakan trak penunda,” ujarnya.

Tanjung Tuan persinggahan sebelum ke hemisfera utara




AKU mengepak sekuat mungkin sayap agar segera sampai ke destinasi itu. Satu lokasi yang sememangnya wajib menjadi persinggahan tahunan aku dan rakan-rakan.

Selepas beberapa hari terbang dari kepulauan Sumatera merentasi lautan Selat Melaka yang membiru, perut yang lapar perlu diisi. Sayapku juga sudah keletihan untuk terus terbang.

Kehijauan sebuah kawasan tanjung yang sudah kelihatan membuatkan hatiku rasa berbunga. Ya, di situlah persinggahan kami untuk mendapatkan makanan dan juga melepaskan lelah. Tanjung Tuan yang terletak di sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka ialah hutan pinggir pantai terakhir di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Sampai sahaja di langit Tanjung Tuan, aku hanya perlu mendepakan sayap seluas mungkin untuk mengapungkan diri. Lama jua aku terbang di sekitar kawasan itu untuk mencari makanan seperti tikus, kumbang, cengkerik atau tupai.

Aku juga perlu mencari tempat berteduh untuk beberapa hari ini. Aku perlukan tenaga untuk terus terbang lagi melalui Thailand, Vietnam dan China sebelum berlabuh di Siberia berdekatan Laut Bering untuk bersarang.

Namun, mataku sesekali mencuri pandang kepada keramaian sekelompok manusia di padang sebuah resort, PNB Ilham Resort. Ada yang memegang kamera dengan lensa yang panjang, ada juga yang sedang tertunduk-tunduk asyik menggunakan binokular.

Apa yang pasti, pandangan mereka mengarah kepada aku dan rakan-rakan di udara. Rupa-rupanya migrasi aku, seekor burung pemangsa daripada spesies oriental honey-buzzard dari bahagian selatan ke hemisfera utara disebabkan musim sejuk menjadi perhatian mereka.


BEBERAPA pencatat rekod kehadiran burung asyik membuat kiraan di Rumah Api Tanjung Tuan baru-baru ini.


Mereka berkumpul dalam acara yang dinamakan Raptor Watch atau Memerhati Burung-Burung Pemangsa.

Ia merupakan acara yang masuk tahun ke-12 anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

“Kita menganggarkan lebih daripada 12 jenis burung pemangsa singgah di Tanjung Tuan dalam perjalanan pulang mereka ke utara hemisfera. Mereka bermigrasi dari negara seperti Jepun, Rusia, China dan Mongolia kerana musim sejuk.

“Kita berjaya mengenal pasti tujuh jenis burung pemangsa itu yang yang antaranya oriental honey-buzzard, black baza, Japanese sparrowhawk, Chinese goshawk dan grey faced buzzard,” demikian ujar salah seorang orang kuat Raptor Watch, Clifford Clement.

Katanya, dalam perjalanan migrasi ke utara itu, burung-burung pemangsa tersebut akan singgah di beberapa tempat untuk berteduh.

“Tanjung Tuan yang masih terpelihara daripada sebarang bentuk pembangunan dan penebangan hutan menyediakan satu lokasi perlindungan terbaik untuk burung-burung ini. Sebab itu sehingga ke hari ini, burung-burung pemangsa tidak pernah gagal menjadikan Tanjung Tuan lokasi persinggahan dalam laluan mereka,” katanya.

Arus udara panas

Kongsi Clifford, burung-burung itu akan berehat beberapa hari di hutan Tanjung Tuan sebelum meneruskan perjalanan. Bagaimanapun tidak ada satu jangka masa tepat boleh dinyatakan.


MAYA KARIN membuktikan kecintaannya terhadap alam sekitar apabila terus menjadi duta program Raptor Watch.


“Sukar untuk menentukan berapa lama seekor burung itu akan berada di hutan Tanjung Tuan. Ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti keadaan fizikal burung, sumber makanan dan cuaca,” ujar Clifford yang juga Pengarah Eksekutif MNS.

Menyentuh mengenai cuaca, ungkap beliau lagi burung-burung pemangsa ini biasanya hanya akan keluar dari hutan memulakan pengembaraan ketika cuaca panas.

Ini kerana dalam cuaca itu, burung-burung tersebut akan terbang tinggi sebelum meluncur mencari arus udara panas.

“Arus udara panas mengelakkan burung pemangsa ini daripada keletihan kerana ia membantu burung pemangsa mengapungkan diri dan meluncur di udara tanpa perlu banyak mengepakkan sayap,” katanya.

Dengan tema Mari Bersama, Hutan untuk Manusia dan Burung, edisi ke-12 Raptor Watch tahun ini menyaksikan lokasi memerhatikan burung iaitu PNB Ilham Resort bertambah meriah.

Masih mengekalkan selebriti terkenal, Maya Karin sebagai duta Raptor Watch, program Raptor Watch 2011 yang berlangsung pada Mac lalu turut menyaksikan penglibatan persatuan-persatuan burung luar negara.

Ini termasuklah kehadiran ahli persatuan burung dari Singapura, Taiwan dan Thailand yang bukan sahaja tidak melepaskan sesi memerhati burung bahkan, turut membuka gerai pameran.

Aktiviti lain yang disediakan sepanjang dua hari program Raptor Watch 2011 itu termasuklah sukaneka, kitar semula surat khabar, kuiz alam sekitar dan berjalan di paya bakau.

Memasuki tahun ke-12 ternyata MNS tidak hanya menjalankan program tersebut secara suka-suka. Selain, elemen pendidikan dan kempen kesedaran mencintai alam, MNS juga menjalankan penyelidikan mengenai burung pemangsa itu.


FORMASI burung-burung pemangsa ini di udara menyajikan satu pemandangan memukau.


Ini termasuklah membuat kiraan terhadap jumlah burung pemangsa yang singgah di Tanjung Tuan selama sekitar 43 hari tempoh masa migrasi burung tersebut.

Ujar Clifford tahun lalu, sebanyak 73,152 ekor burung pemangsa berjaya direkodkan di Tanjung Tuan.

Mendekati beberapa sukarelawan MNS yang mengambil tanggungjawab membuat kiraan kehadiran burung pemangsa, ternyata ia bukanlah satu tugas mudah.

Dalam satu-satu sesi lima hingga enam orang pengira akan berada di atas rumah api Tanjung Tuan selama beberapa hari untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas.

Sempat bertemu dengan sekumpulan sukarelawan Johd Steed, Sekhar Chakrabarty, T.C. Lim, Chris Sheperd dan Dave Bakewell masing-masing mengakui ia bukan satu tugas mudah.

“Anda memerlukan penglihatan yang tajam,” demikian seloroh Steed, 36, ketika ditanya pengalamannya menjadi seorang pencatat rekod burung pemangsa atau raptor counter.

Oleh kerana ia sebuah proses migrasi yang besar, seseorang pencatat itu perlu mempunyai pengalaman dan boleh bertugas dalam ketahanan mental yang kuat.

Beliau sendiri mempunyai pengalaman lima hingga enam tahun dalam tugas tersebut.

Ini kerana dalam satu-satu masa, burung yang tiba akan datang secara segerombolan. Seseorang pencatat perlu pantas membuat kiraan agar tidak ada burung yang terlepas daripada kiraan atau dikira dua kali.

“Ia memang satu kerja yang memerlukan stamina tinggi dan mencabar fizikal,” kongsi Steed sambil matanya melekat di sebuah teleskop dengan jari-jemarinya pantas menekan sebuah alat pengira.

Bakewell yang biasa menjadi pencatat rekod burung di Perak dan Kedah memberitahu, ini merupakan pengalaman pertamanya di Tanjung Tuan.

“Ia pengalaman yang menyeronokkan untuk melihat dan menjadi sebahagian daripada penghijrahan burung pemangsa ini,” katanya.

Jelajah 17 jam Amsterdam


DERETAN basikal yang disediakan untuk disewa orang ramai.


SELEPAS merentasi benua dari Detroit, Amerika Syarikat ke Amsterdam, Belanda, penulis dan rakan-rakan tidak dapat menyembunyikan keletihan yang jelas kelihatan di wajah masing-masing. Melihatkan jadual penerbangan, transit jadual penerbangan ke Kuala Lumpur masih mempunyai masa 17 jam sebelum berlepas.

Suasana di Lapangan Terbang Schiphol itu sesak dengan orang ramai dan keputusan untuk sekadar bersantai di terminal menunggu ditolak mentah-mentah penulis yang mencadangkan memenuhi masa terluang itu dengan melawat kota Amsterdam.

Persetujuan daripada semua orang menggirangkan hati penulis, kami akhirnya menyimpan kesemua beg di dalam loker yang disediakan.

Melewati Lapangan Terbang Schiphol itu mengingatkan penulis kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempunyai rangkaian pengangkutan hampir serupa seperti tren domestik, teksi dan bas bagi membawa orang ramai ke destinasi yang ingin dituju.

Memandangkan perjalanan menerusi tren lebih menjimatkan, penulis membeli tiket pergi-balik pada harga 3 euro (RM13.10). Fungsi tren berkelajuan tinggi itu sama seperti KLIA Express yang membawa penumpang ke destinasi tertentu di luar kawasan Schiphol.

Destinasi ke stesen Amsterdam Central memakan masa selama 20 minit dan setibanya di stesen, penulis terus memeluk tubuh dan menggigil menahan kesejukan.

Bulan April di Amsterdam mencatatkan suhu serendah 4 darjah Celsius dengan suhu tertinggi pun sekadar 14 darjah Celsius sahaja.

Menjejakkan kaki buat pertama kali di Belanda, segala keletihan sebelum ini hilang begitu sahaja kerana teruja untuk menjelajah bandar raya itu. Pada mulanya penulis ingin berbasikal mengelilingi kota itu apabila melihatkan orang ramai berbasikal namun, cadangan itu disangkal teman penulis yang ingin berjalan kaki.

Kami pun berjalan dan berdasarkan pemerhatian penulis, Amsterdam merupakan tempat paling sesuai untuk berbasikal memandangkan fasiliti untuk penunggang basikal amat lengkap.

Di mana-mana penulis dapat melihat parkir khas untuk basikal beserta dengan kuncinya. Penunggang basikal juga tidak perlu risau keselamatan di jalan raya kerana terdapat laluan khas disediakan buat mereka.

Kafe marijuana

Cuaca sejuk dan mendung pagi itu membuatkan penulis dan rakan-rakan lain berasa lapar lebih-lebih lagi bau kopi di deretan kafe-kafe di sepanjang jalan Amsterdam Centre itu membuatkan penulis yang menggemari kopi berasa amat tertarik untuk berehat sebentar.


Keindahan dan kebersihan terusan di Amsterdam sering dijadikan contoh kepada negara luar.


Ketika melihat-lihat kafe mana yang sesuai untuk dimasuki, pandangan penulis sedikit terganggu dengan kepulan-kepulan asap marijuana beberapa pelanggan di satu kafe.

Sebagai satu-satunya negara yang membenarkan penggunaan marijuana secara berlesen di kafe-kafe sejak 1976, suasana itu bukan lagi luar biasa buat masyarakat mereka namun, itulah kali pertama penulis melihat sendiri orang ramai menghisap barang terlarang itu secara terbuka.

Bandar raya terbesar Belanda itu memang tidak lekang daripada dibanjiri orang ramai serata dunia. Walaupun hari masih pagi ketika itu, rata-rata kafe dan restoran sudah pun dipenuhi orang dan ia memaksa penulis dan rakan-rakan lain bersarapan di McDonald's.

Menariknya ialah peraturan yang ditetapkan ketika berada dalam restoran itu begitu ketat yang tidak pernah ditemui di McDonald's Malaysia. Orang ramai juga perlu membersihkan sisa makanan sendiri dan membuangkan ke dalam tong sampah serta meletakkan kembali dulang ke tempat yang disediakan.

Teksi air

Selepas mengisi perut, penulis menyambung perjalanan dengan menaiki teksi air Holland International Canal Cruises di Amsterdam Centre.

Dengan bayaran 13 euro (RM56.80), kami dapat menyusuri terusan-terusan di kota Amsterdam yang sememangnya terkenal dengan rangkaian pengangkutan airnya.

Durasi satu jam dalam teksi air itu memberi peluang kepada penulis dan penumpang lain melintasi beberapa terusan terkemuka Amsterdam seperti Terusan Leitsegracht, Princessgracht dan lain-lain.

Pemandangan turut diserikan dengan rumah-rumah yang dibina dalam air dengan pelbagai bentuk yang direka sendiri oleh pemilik rumah-rumah tersebut.

Hingga kini terdapat 3,000 unit rumah dalam air dan kerajaan Belanda tidak lagi membenarkan pembinaan rumah tersebut bagi mengelakkan kesempitan ruang di sepanjang terusan.

Antara lain yang dapat dilihat penulis ialah bangunan-bangunan bercirikan reka bentuk kuno yang dibina sejak abad ke-12 lagi.

Pemandu pelancong turut memberitahu penumpang bahawa terdapat lebih kurang 8,000 bangunan lama di Amsterdam yang berada di bawah perlindungan monumen dan kota tua.

Kawasan lampu merah

Selesai menyusuri terusan-terusan tersebut, penulis dan rakan-rakan lain menyambung perjalanan menuju ke kawasan menjadi tumpuan ramai, Red-light District (kawasan lampu merah).

Walaupun pada mulanya ada antara kami yang enggan memandangkan kawasan tersebut terkenal dengan aktiviti pelacuran secara terbuka, namun kami akhirnya sepakat untuk ke kawasan itu.


Aksi seorang lelaki berbasikal roda satu mencuri perhatian orang ramai di Dataran Dam.


Memasuki kawasan tersebut membuatkan penulis berasa janggal kerana lorong-lorong itu dipenuhi dengan pekerja-pekerja seks wanita yang hanya memakai pakaian dalam mempamerkan kecantikan masing-masing di dalam bilik-bilik kecil berdindingkan cermin.

Pengunjung bagaimanapun tidak dibenarkan mengambil gambar mereka dan penulis menyaksikan sendiri apabila seorang pelancong wanita dikejar seorang pelacur di situ kerana mengambil gambarnya.

Deretan kedai-kedai erotik menjual pelbagai barangan seks menjadi tarikan pelancong terutama golongan lelaki. Penulis menolak pelawaan beberapa jurujual di situ yang mempelawa untuk masuk ke dalam kedai mereka.

Dataran Dam menjadi tempat terakhir penulis dan rakan-rakan memandangkan masa yang suntuk. Kumpulan besar burung merpati di situ menarik perhatian pengunjung yang turut memberi makan kepada kawanan burung itu.

Kemeriahan dataran itu ditambah dengan persembahan seorang lelaki berbasikal roda satu diiringi dengan aksi bahaya menggunakan api. Pengunjung yang berkerumun di kawasan itu nyata terhibur dengan persembahan tersebut.

Tempoh 17 jam itu dirasakan begitu pantas berlalu. Bagaimanapun pengalaman singkat itu cukup memuaskan hati penulis dan berharap untuk kembali lagi pada masa akan datang.

Friday, April 29, 2011

Sarimah masih sendiri

  • Foto

    Sarimah Ibrahim

  • Foto

    SARIMAH dan Misha Omar semakin semangat ceburi teater.

Menaruh harapan ditemukan lelaki sejati, simpan impian menjadi ibu

DI SEBALIK wajahnya yang senyum ceria, terselit hati duka lara. Lincah pergerakannya, petah bicaranya itulah cara Sarimah Ibrahim menyorokkan jiwanya yang bergolak.
Bergolak mengenai kehidupan peribadinya. Baru-baru ini, dia muncul dengan wajah manis mengenakan kebaya hitam bersesuaian dengan karakter yang bakal dibawa dalam pementasan Nyonya nanti dan wanita berdarah Melayu - Irish berusia 33 tahun, Sarimah Ibrahim yang mengaku sudah dua tahun hidup bersendirian.
Mencari teman pengubat duka

JAUH di sanubarinya, dia teringin sekali untuk bergelar ibu. Andai dipertemukan jodohnya sekali lagi, Sarimah mengimpikan lelaki yang mampu menjadi seorang bapa yang baik. Dia tidak mahu lelaki yang mendekatinya sekadar untuk suka-suka.

Kenyataan itu seakan-akan membayangkan kesunyian hati wanita yang tinggal di kota ini sendirian kerana keluarganya jauh di Ireland. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia cukup teruja melihat kanak-kanak. Lalu dia mahu lelaki yang mendekatinya memiliki perasaan sama.

“Memang saya mengaku ada yang cuba mendekati tetapi kebanyakan mereka memiliki sikap yang pelik. Apabila mengenali saya, mereka inginkan Sarimah yang mereka lihat di kaca televisyen. Mereka seakan tidak boleh menerima apabila karakter saya bertukar. Saya cuma manusia biasa, ada waktunya saya juga bersedih dan ada ketikanya saya juga boleh marah dan kadang-kadang saya juga sakit.
“Tapi mereka seakan tidak boleh terima. Mereka hanya mahukan Sarimah yang sempurna seperti dalam televisyen. Ibaratnya jika hingus saya meleleh, mereka akan tinggalkan saya. Selalunya hubungan saya dengan lelaki hanya baik untuk tempoh sebulan dua, selepas memasuki bulan kedua atau ketiga, ia akan berakhir.

“Saya memang berharap dipertemukan dengan lelaki yang boleh terima diri saya yang sebenar. Bagaimanapun yang penting sekarang, saya mahukan lelaki yang ikhlas sukakan kanak-kanak supaya dia boleh melayan anak kami dengan baik nanti.

“Saya mengaku sedang berkawan dengan beberapa lelaki, tetapi saya masih perlu mengenali hati mereka,” katanya yang berkata luka hatinya sudah terubat.

Saat rumah tangganya dilanda badai, Sarimah akui dirinya bagaikan orang sasau. Pernah terlintas untuk melakukan tindakan bodoh. Hidupnya seakan kosong, tetapi setelah dua tahun, luka itu sudah sembuh sepenuhnya.

Baru-baru ini, ketika terserempak dengan bekas suaminya, Sarimah tidak mempunyai masalah untuk bertegur sapa. Fikirannya bagai sudah diprogram bahawa lelaki yang berada di depannya itu hanyalah rakan lama, sedangkan sebelum ini mereka pernah berkongsi hidup.

Berikutan pengalaman gagal dalam rumah tangga, Sarimah menjadi tempat peminatnya meluahkan perasaan di laman twitter artis itu. Perkara itu membuahkan idea kepadanya menerbitkan sebuah kapsul berkaitan perhubungan cinta dan rumah tangga yang masih lagi dalam perbincangan.

Semangat bermain teater

BUAT sekian kali, dua wanita ini bakal bergandingan dalam sebuah pementasan yang ditangani penerbit sama CTRA Production. Jika sebelum ini mereka hanya memegang peranan kecil dalam muzikal Tun Mahathir. Kali ini, watak yang diberikan kepada mereka untuk Mak Dara Nyonya lebih besar.

Sekalipun tidak dijanjikan bayaran lumayan oleh penerbitnya Siti Rohayah Attan, namun Sarimah Ibrahim dan Misha Omar tetap berbesar hati menerima tawaran daripada penggiat teater itu kerana mengambil kira pengalaman tidak ternilai yang dapat ditimba mereka.

Bertemu dengan mereka baru-baru ini di majlis pelancaran teater yang bakal mengangkat kisah pengasas jamu terkemuka, Ibu Halimah yang terkenal dengan produk jamu jenama Mak Dara, Sarimah rancak bercerita mengenai cita dan keinginan. Manakala, Misha pula lebih banyak berkongsi kisah kerjayanya.

Kedua-duanya mengaku, semangat untuk bermain teater meluap-luap sejak muncul dalam Muzikal Tun Mahathir.

Sarimah berpendapat kerajaan seharusnya mewujudkan lebih banyak sekolah teater supaya masyarakat dapat mengenali dan mempelajari teater dengan lebih mendalam.

“Selepas muzikal Tun Mahathir, saya seperti diserang penyakit ingin naik pentas teater. Saya beritahu kepada penerbit iaitu Kak Roy (Siti Rohayah Attan), saya mahu berlakon jika ada watak yang bersesuaian dengan saya.

“Kebetulan dua bulan lalu, saya diberikan skrip untuk Mak Dara Nyonya, selepas membaca skripnya, saya amat tertarik kerana akan membawakan watak anak saudara yang gilakan harta.

“Saya tak kisah sekalipun Kak Roy kata tidak mampu memberi kami bayaran yang lumayan. Wang memang penting tetapi ada masanya wang bukan segala-galanya nya kerana pengalaman yang dikutip itu lebih penting buat saya,” katanya.

Mak Dara Nyonya diarahkan oleh Rosminah Tahir akan dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang pada 6-12 Julai. Ia menampilkan dua cerita iaitu mengenai pahit getir hidup Mak Dara serta kisah Nyonya yang pernah dipentaskan sebanyak tiga kali sebelum ini.

Selain Sarimah dan Misha, pementasan itu juga akan dibarisi oleh beberapa wajah lain iaitu Tania Zainal pemegang watak Nyona, Zaifri Husin sebagai Tuan, Khatijah Ibrahim dan Sherry Abdullah. Manakala watak Mak Dara masih lagi dalam proses pencarian.

Bukan anak emas

SELEPAS muzikal Gamat, nama Misha dan CTRA Production bagaikan cukup sinonim. Satu demi satu tawaran diterimanya dari syarikat produksi yang sama, namun Misha menafikan dia anak emas Siti Rohayah.

Biarpun tidak dijanjikan bayaran yang lumayan, seperti Sarimah, Misha juga tidak mengharapkan semua itu.

Kata Misha, jika hati tidak ikhlas, jangan melangkah ke dunia teater kerana pentas teater bukan medan untuk membuat duit, sebaliknya ia menjadi tempat untuk menggali ilmu dalam bidang lakonan.

“Saya akan terus berlakon dan berlakon, saya tidak kisah mengenai soal bayaran. Bagi saya, pelakon teater lebih jujur kerana apabila terjun dalam bidang ini, kami perlu korbankan segala-galanya. Ini disebabkan kebanyakan waktu dihabiskan untuk sesi latihan menyebabkan kami tidak boleh menerima tawaran lain dalam satu masa.

“Walaupun pernah melalui pengalaman yang kurang menggembirakan tetapi saya tidak akan sesekali serik. Saya anggap apa saja pengalaman pahit yang pernah saya lalui sebagai satu proses pembelajaran,” kata Misha yang juga akan memegang watak anak saudara untuk naskah Nyonya nukilan Wisran Hadi.

Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini turut memberitahu, jadualnya hingga hujung tahun ini sudah pun padat terisi. Mei ini, dia akan kembali sibuk di studio untuk merakamkan lagu bagi album keempatnya. Manakala latihan untuk pementasan ini pula akan menyusul pada Jun sebelum pementasannya pada Julai nanti. Single pertamanya pula dijangka akan mula dapat didengari selepas Aidilfitri nanti

Shahir (AF8) Harap Zain Saidin Tidak Cemburu

KUALA LUMPUR:Penyanyi Shahir berharap pelakon kacak Zain Saidin tidak menyimpan perasaan cemburu apabila aktres Rozita Che Wan dikaitkan dengan orang lain termasuk dirinya.

Jelasnya, Zain juga seorang artis yang mana sepatutnya lebih memahami perjalanan industri hiburan apabila seseorang itu berhadapan dengan gosip percintaan.

“Kalau mereka (Rozita dan Zain) benar-benar mempunyai hubungan istimewa, Zain tidak perlu cemburu tentang berita-berita yang mengaitkan saya dan Rozita.

“Sebab saya percaya bahawa dia faham dengan lumrah sebagai artis sebab dia juga seorang artis. Tidak semestinya semua yang digosipkan adalah benar,” katanya ketika sesi fotografi filem Karak, di Red Box PLUS Pavillion di sini, Khamis.

Shahir diminta mengulas apabila timbul gosip dia dikaitkan dengan aktres jelita tersebut.

Dalam masa yang sama dalam mStar Online baru-baru ini Zain turut membuat kenyataan seolah-olah dia dan Rozita mempunyai hubungan istimewa apabila tidak mengiya atau menafikan hubungan tersebut.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan pelakon jelita Rozita Cik Wan terhadap hubungan istimewa mereka, Shahir menganggap ia hanyalah gurauan semata-mata.

Jelas Shahir, dia percaya kenyataan tersebut disalah tafsirkan dan tidak seperti yang dimaksudkan oleh wanita itu.

“Saya rasa dia hanya bergurau sahaja, kami memang rapat sebagai rakan sekerja kerana kami sudah beberapa kali bekerjasama.

“Memang selepas keluar AF8 saya agak rapat dengan dia kerana kami digandingan dalam beberapa projek oleh pihak Astro,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sejauh mana dia mengenali pelakon tersebut, Shahir memberitahu dia senang bekerjasama dengan Rozita dan menganggap wanita tersebut sebagai seorang pelakon yang berbakat besar.

“Saya mengagumi bakatnya malah ketika menjayakan klip video untuk lagu saya berjudul Pendam. Dia mampu menjiwai watak dalam lagu tersebut.

“Bagiamanapun, Shahir berkali-kali memberitahu tiada sebarang perasaan cinta antara dia dan wanita itu,” jelasnya.

Shera Berdebar Mahu Jadi Tunang Zahiril

Shera Aiyob

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Shera Aiyob, 25, berdebar menghitung hari untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya pelakon Zahiril Adzim, 27, pada 1 Mei ini, di kediamannya di Ipoh, Perak.

Tambah Shera, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal setelah mengambil keputusan untuk melangkah ke satu fasa baru dalam hidupnya.

“Sebelum buat keputusan ini saya sudah fikir banyak kali dan saya pasti keputusan ini betul.

“Jika bercakap tentang rezeki, memandangkan saya juga baru bertapak dalam dunia lakonan. Saya yakin ia tidak akan terjejas kerana semua itu kuasa Allah,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Karak, di sini, Khamis.

Kata Shera, biarpun belum menetapkan tarikh perkahwinan namun menurutnya, mereka ingin mendirikan rumah tangga akhir tahun ini.

“Pada awalnya saya tidak mahu bertunang kerana lebih suka terus bernikah tetapi disebabkan saya anak pertama dalam keluarga sudah tentu mereka mahu ia dilakukan mengikut adat.

“Segala urusan pertunangan sudah siap diuruskan oleh saya dan keluarga di kampung,” katanya.

Menurut Shera, dia bakal mengayakan busana rekaan Hatta Dolmat berwarna merah jambu manakala pelamin ditaja oleh Zaid ID.

“Alhamdullilah, ramai yang sudi untuk menaja pertunangan kami seperti Hatta Dolmat yang akan membuat baju pertunangan saya, pelamin daripada Zaid ID dan solekan dari Ezan Omar,” katanya.

Bercerita tentang bakal tunangannya, dia memberitahu Zahiril seorang lelaki yang sangat bertanggung jawab, matang dan serasi bersamanya.

“Saya melihat dia seorang yang serius ketika berkawan dengan saya berbanding kawan lelaki sebelum ini.

“Bila dia melamar saya, saya tahu dia bersungguh-sungguh dan sudah tentu saya menerimanya, kebanyakkan lelaki hanya bercakap soal kahwin di mulut sahaja sedangkan mereka tidak bersungguh-sungguh ke arah itu.

Suami Kelam Kabut, Zila (AF4) Mengidam Rojak 1 Pagi

Along Cham

PETALING JAYA: Pelakon komedi Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 28, tidak dapat melupakan peristiwa pelik apabila isterinya, penyanyi Zila (AF4) yang mengandung dua bulan tiba-tiba mengidam rojak buah pada pukul 1 pagi.

Kata Along, permintaan Zila itu membuatkan dia menjadi kelam kabut demi menunaikan hasrat isterinya itu yang mengandung anak pertama hasil perkahwinan mereka.

"Sejak dua bulan hamil, saya tidak berdepan sebarang masalah besar dengan Zila. Cuma ada satu insiden yang saya tidak boleh lupa tentang permintaannya baru-baru ini.

"Ketika kami sedang berehat di rumah, secara tiba-tiba dia mengidam hendak makan rojak buah pada pukul 1 pagi.

"Apa lagi, kelam-kabut saya dibuatnya untuk mencari rojak di waktu itu. Saya terpaksa tanya pada kawan-kawan di merata tempat. Mujurlah, saya dapat juga rojak itu di kawasan Setapak, (Kuala Lumpur)" katanya.

Mengulas tentang keadaan isterinya sejak disahkan hamil, Along berkata: "Zila berada dalam keadaan yang baik. Cuma, apa yang saya nampak selera makannya bertambah. Saya cukup menitikberatkan aspek pemakanannya.

"Selain itu, dia juga semakin manja sejak mengandung. Apabila saya keluar bekerja, dia akan berhubung dengan saya sekerap mungkin, tapi saya senang dengan keadaan itu."

Along dan Zila Seeron pada hari perkahwinan mereka 23 Januari tahun lalu.

Sempat bercerita tentang perkembangan kerjayanya, Along mengakui rezekinya semakin murah selepas berkahwin.

Selain sibuk dengan penggambaran drama, filem dan program televisyen, hujung minggunya juga dipenuhi pelbagai pertunjukan pentas dan majlis makan malam.

"Sebelum ini, ada orang cakap, nama dan rezeki artis akan merudum selepas berkahwin tetapi lain pula ceritanya dengan kes saya.

"Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah dan kerjaya kian berkembang sejak berumah tangga.

"Selain memenuhi persembahan pentas pada hujung minggu, saya juga sedang bersiap sedia untuk memulakan penggambaran filem Adnan Semp-it 2 pada awal Mei nanti," katanya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan di Masjid Jamek Al-Amin, Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Januari 2010.

Bayi Kembar Sazzy Falak Lahir Secara Pembedahan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Sazzy Falak selamat melahirkan bayi kembar perempuan iaitu Iman Lilly dan Tiara Rose di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 8 pagi Khamis.

Suami Sazzy, Nazril Idrus yang dihubungi berkata, kedua-dua bayi tersebut dilahirkan secara pembedahan dengan berat yang sama iaitu dua kilogram.

Katanya, dia bersyukur setelah proses kelahiran dua bayi kembar sulungnya itu berjalan lancar walaupun impiannya untuk melihat Sazzy bersalin secara normal tidak kesampaian.

"Syukur alhamdulillah, saya gembira isteri dan dua anak kembar saya selamat.

"Ketika di dalam bilik bedah, saya rasa proses untuk kelahiran berlaku dengan begitu pantas. Mungkin kerana saya teruja dengan keadaan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, apa yang lebih membahagiakan Nazril ialah kelahiran dua anak kembarnya itu jatuh pada hari lahirnya dan menganggap ia satu hadiah yang paling bermakna buat dirinya.

Sementara itu, ditanya pula mengenai keadaan Sazzy, kata Nazril isterinya begitu gembira dan sedikit letih selepas melalui proses pembedahan.

Sazzy dan dua anak kembanya akan keluar wad pada Ahad ini dan bakal mengadakan kenduri doa selamat tidak lama lagi.

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada November 2006.

Wings Bersatu Dalam Konsert Opera Hidup

Aksi memukau Wings dalam Konsert Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya yang akan bermula malam ini hingga 2 Mei.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wings yang kali terakhir muncul dengan album Naga Kramat (2002), hampir sembilan tahun berjanji untuk mengeluarkan album penuh mereka tidak lama lagi.

Menurut Awie, dia dan tiga lagi anggota Wings iaitu Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) memang sudah merancang untuk tampil dengan album baru tetapi perkara itu terpaksa ditangguhkan selama ini ekoran kesibukan masing-masing.

"Kami akan mengeluarkan album penuh terbaru tidak lama lagi. Kali terakhir kami muncul dengan album pun kira-kira sembilan tahun lalu.

"Kalau diikutkan Joe sudah ada beberapa lagu yang hanya menunggu saya untuk memasukkan vokal saja. Berkemungkinan, kami akan keluarkan single dulu," katanya.

Awie bersama Joe (kiri) dan Eddie dalam lagu pembukaan, Opera Hidup.

Sementara itu, kumpulan rock yang berusia 25 tahun itu terus membuktikan keunggulan mereka menerusi persembahan memukau dalam Konsert Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya, malam Khamis.

Dalam konsert selama lebih dua jam itu, Wings mempersembahkan 19 buah lagu popular mereka antaranya Sejati, Taman Rashidah Utama, Hukum Karma, Biru Mata Hitamku, Bernafas Dalam Almari, Ranggi Metropolis, Biarkan Berlalu dan Lena Diulit Intan.

Tidak hanya tampil berempat, persembahan mereka turut diserikan dengan kemunculan istimewa bekas anggota kumpulan itu termasuk Mel (vokalis 1995-1996), Mus (vokalis 1996-2001), Sham (gitar 1985-1987) dan Jojet (1990-1993).

Vokal Awie memukau sepanjang konsert selama lebih dua jam.

Antara selebriti yang turut kelihatan pada konsert tersebut adalah penyanyi Hattan, pemain dram kumpulan Search iaitu Yazid, pemuzik Edrie Hashim dan bekas bintang bola sepak kebangsaan Zainal Abidin Hassan.

Persembahan Wings bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan itu dipimpin oleh konduktor Mustafa Fuzer Nawi.

Konsert Wings Opera Hidup Rockestra akan bermula pada malam ini sehingga 2 Mei di Istana Budaya.

Memandangkan tiket-tiket untuk empat malam itu telah habis dijual, peminat yang tidak berpeluang untuk menonton di Istana Budaya masih boleh melanggan 'Live Streaming' konsert ini menerusi Asyik.TV.

Awie bersama dua bekas vokalis Wings iaitu Mus (tengah) dan Mel.

Untuk melanggan pakej ini, sila layari laman web rasmi Wings iaitu www.sayap2wings.com, Asyik.TV atau hubungi 019-2537575.

Konsert Opera Hidup Rockestra dianjurkan oleh Bombay Worldwide, Anggerik Event dan Red On Black.