jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Thursday, March 31, 2011

Belasah isteri hamil mengidam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan apabila dipukul suaminya selepas dia mengidam buah kelur atau munggai serta lempuk durian dan meminta suaminya mendapatkan dua jenis makanan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini, wanita terbabit yang berusia 28 tahun dipercayai ditumbuk dan ditendang suaminya yang berusia 30-an.

Sumber berkata, ketika kejadian si suami baru pulang dari kerja sebelum mangsa memintanya keluar dan membeli makanan berkenaan kerana dia mengidamkannya serta memberitahu tidak dapat tidur jika tidak memakannya.

“Lelaki terbabit yang berkemungkinan tertekan dengan tugas di tempat kerja dan belum sempat berehat tiba-tiba berang sebelum memarahi isterinya itu.“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit sebelum si suami gagal mengawal kemarahan dan menendang serta menumbuk isterinya.“Walaupun isterinya itu berulang kali merayu dikasihani dan mengatakan bimbang kandungannya itu terjejas, ia langsung tidak dipedulikan.


“Selepas melepaskan geramnya, lelaki terbabit keluar dari rumah dengan meninggalkan isterinya sendirian,” katanya.

Difahamkan, mangsa mula meminta pelbagai makanan dan buah-buahan yang sukar diperoleh di ibu kota kepada suaminya itu kerana mengidam selepas doktor mengesahkan dia mengandung sejak dua minggu lalu.

Sebelum kejadian kelmarin, lelaki terbabit cuba memenuhi setiap permintaan isterinya, namun hilang pertimbangan selepas tidak tahan sikap isterinya yang sering meminta makanan yang pelik dan sukar didapati.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak menjejaskan bayi dalam kandungannya.

Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mangsa yang bimbang perkara sama berulang tampil membuat laporan di balai polis menuntut tindakan diambil terhadap suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Lambang elegan dan versatil

SIBUK...suasana di belakang pentas yang dipenuhi barisan model ternama Malaysia.
SIBUK...suasana di belakang pentas yang dipenuhi barisan model ternama Malaysia.

"JANGANLAH risau. Tak apa, semuanya ok!" Ringkas saja bunyinya yang keluar daripada bibir Jurusolek Acara Khas bagi Mac Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, kala penulis mengajukan soalan sama ada barisan jurusoleknya memerlukan bantuan ketika menjayakan pertunjukan fesyen sempena Karnival/Konsert Terima Kasih Meraikan Ulang Tahun Ke-20 Harian Metro di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Dengan cuaca panas membahang di luar khemah persalinan kami, selain insiden kecil yang berlaku beberapa jam sebelum ketibaan pereka serta model mereka, pasukan jurusolek Mac yang ditunjangi Shahrum nyata tenang dan fokus dalam memberikan hasil solekan terbaik untuk pertunjukan fesyen yang julung kali dianjurkan Harian Metro ini.


Seperti dijanjikan, Shahrum tiba di Dataran Merdeka tepat jam 1 tengah hari bersama Denise Khan, Emily Leong dan Eling Wong sambil masing-masing mengusung bagasi yang dipenuhi senjata solekan mereka.


  • Foto

    BINCANG...(dari kiri) Denise, Emily, Shahrum dan Eling saling bertukar pendapat mengenai rona solekan yang sesuai.

  • Foto

    PREP...Denise menggunakan penyegar Fix+ Mac pada wajah model sebelum memulakan solekan.

  • Foto

    TENGKU AZURA...Mac memilih rona Carbon, Espresso dan Vanilla untuk solekan smokey yang elegan.

Sejurus menetapkan stesen solekan masing-masing di belakang pentas, Shahrum lantas membuka lembaran kanvasnya untuk melakar solekan diingini pereka 5 Star - Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry, Nik Erwan Roseli dan Hazwani Osman - yang memilih gaya smokey dramatik untuk riasan mata dan terang bagi olesan di bibir.


Laksana si panglima yang menyusun strategi peperangan, Shahrum serius berbincang dengan Denise, Emily dan Eling mengenai lakaran solekan itu dan mereka saling berkongsi pendapat mengenai pilihan rona yang sesuai.


Segala kelengkapan solekan mula diatur dan mereka hanya menantikan saat untuk merias wajah barisan model popular tanah air antaranya Tengku Azura, Eryna, Mathini, Diana J dan Fadzlun tatkala seorang demi seorang mula memenuhi khemah itu."Seperti apa yang dipersetujui antara Mac dan pereka itu, kami memilih smokey dengan warna seperti Carbon (hitam pekat), Espresso (perang) dan Vanilla (highlight) bagi kawasan mata sementara merah terang untuk bibir.


"Solekan ini (smokey dan merah terang) bukan saja mampu mencetuskan unsur dramatik tetapi turut menjurus kepada pop klasik yang sesuai untuk majlis makan malam, gaya jalanan dan majlis siang.

"Solekan smokey sememangnya sering menjadi pilihan di pentas peragaan antarabangsa untuk setiap musim kerana sifatnya yang tidak lapuk ditelan zaman. Ia lambang elegan dan versatil tetapi pada masa sama memperlihatkan gaya funky yang lebih menyerlah," kata Shahrum.Tambahnya, solekan smokey tidak hanya bertumpu kepada warna hitam atau biru gelap kerana hampir semua rona boleh dijadikan riasan smokey.


"Bagi sesetengah orang, mereka mendefinisikan smokey sebagai solekan warna hitam, biru pekat atau perang gelap sedangkan sebenarnya wujud banyak jenis smokey iaitu semula jadi, berat dan pelbagai warna.

"Untuk pertunjukan fesyen ini, Mac cuba mencipta ilusi ton berbeza iaitu daripada gelap (Carbon), sederhana (Espresso) ke mode terang (Vanilla)," katanya yang berpengalaman menyolekkan model antarabangsa pada Minggu Fesyen New Zealand 2008.


Beralih ke riasan bibir, kuartet ini memilih Russian Red, iaitu rona merah terang yang digunakan secara meluas di butik Mac seluruh dunia.


"Dalam solekan, biasanya kami fokus kepada satu bahagian wajah, misalnya hanya mata yang dirias tebal berbanding bibir dan pipi.

"Tetapi untuk solekan dalam pertunjukan fesyen ini, pereka memilih untuk menyerlahkan mata dan bibir jadi solekan di pipi agak minimum agar riasan keseluruhan tidak terlalu padat dengan warna," tegasnya.


Sama seperti smokey, bibir bergincu merah turut dianggap klasik dan ia kerap menjadi pilihan di pentas peragaan dunia.


"Bibir merah sering dikaitkan dengan elemen seksi, justeru setiap wanita perlu ada sekurang-kurangnya sebatang gincu merah terang dalam koleksi solekan mereka.


"Ia bukan setakat klasik malah bibir merah terang dianggap mampu menyerlahkan keyakinan diri seseorang wanita.

"Ramai beranggapan ia hanya sesuai dipadankan dengan gaun adi busana tetapi ia boleh digunakan untuk solekan siang dengan dilapisi pengilat bibir untuk mengelakkannya tampak terlalu 'menjerit'," ujarnya.


Selain bertanggungjawab menyolek 10 model ternama Malaysia termasuk dua model lelaki, Shahrum, Denise, Emily dan Eling turut menata rias anggun barisan selebriti seperti Amyza Adnan, Intan Ladyana, Alyah dan Miera Liyana.

Celcom serah 200 unit BlackBerry

TEKNOLOGI...Dr  Kamarudin  (kanan) dan Saiful pada majlis penyerahan BlackBerry.
TEKNOLOGI...Dr Kamarudin (kanan) dan Saiful pada majlis penyerahan BlackBerry.

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP), Kangar menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini ditawarkan pakej penggunaan telefon pintar, BlackBerry oleh Celcom Axiata Berhad (Celcom) apabila 200 unit telefon itu dibekalkan kepada pensyarah dan kakitangannya.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, penggunaan BlackBerry dikenal pasti lebih efektif dan membantu menjimatkan kos perkhidmatan antara 30 dan 40 peratus.


“Kami cuba mengaplikasikan kemudahan telefon pintar BlackBerry ini untuk meningkatkan hubungan sesama pekerja menerusi pakej perkhidmatan disediakan termasuk e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mampu mengakses Internet.

“Sebagai permulaan, semua ketua jabatan di UniMAP sudah dibekalkan telefon berkenaan sebelum diperluaskan kepada semua kakitangan akademik dan sokongan,” katanya pada majlis penyerahan telefon pintar BlackBerry Celcom kepada Pengurusan UniMAP di Kangar, Perlis.


Hadir sama, Naib Presiden Celcom Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abd Ghaffar dan Pengurus Besar Celcom Kedah/Perlis dan Seberang Jaya, Farizad Khan Mohd Ali.

Diugut 'pemilik kereta'

TERTIPU...Yasmin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dan salinan kad pengenalan milik Edi.
TERTIPU...Yasmin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dan salinan kad pengenalan milik Edi.

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal tidak menyangka urusan jual beli sebuah Honda Accord menyebabkannya kerugian RM92,000 selain dihantui perasaan takut akibat diugut seorang anggota geng tarik kereta yang menjual kereta itu.

Difahamkan, anggota geng tarik kereta terbabit yang aktif di Shah Alam dan dikenali sebagai Edi, 26, berasal dari Kuala Terengganu kini menetap bersama isterinya yang baru dikahwini di Putrajaya.


Mangsa yang dikenali sebagai Yasmin, 39, berkata dia mengenali Edi melalui seorang lelaki yang mempunyai syarikat menjual kenderaan di Bangi dikenali sebagai Anuar, 40, Oktober tahun lalu.

Menurutnya, Anuar yang turut menawarkan penjualan kereta melalui Internet itu didatangi Edi yang ingin menjual Honda Accord yang didakwa miliknya dengan segera akibat masalah kewangan untuk melangsungkan perkahwinannya.


Katanya, dia yang menjalankan urus niaga jual beli dan sewa kenderaan itu ternampak iklan Anuar mengenai kenderaan Edi itu dalam laman webnya dan membayar wang pendahuluan RM27,000 kepada Edi yang menyamar sebagai pemilik kereta selepas membuat perjanjian sambung bayar dengan disaksikan Anuar.


Beliau berkata, dia menjual kenderaan itu pula kepada seorang lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Kilo, 20-an.“Penipuan pertama Edi diketahui selepas saya membuat pemeriksaan di bank yang mendapati bayaran ansuran kenderaan itu mempunyai tunggakan dua bulan dan saya terpaksa menjelaskannya bagi mengelak tindakan undang-undang.


“Seminggu selepas pembayaran wang pendahuluan itu, Edi bersama tiga rakannya memintas kereta dipandu Kilo di kawasan Seri Kembangan dan mengugutnya dengan besi sambil mendakwa kereta itu mempunyai tunggakan empat bulan dan akan ditarik,” katanya ketika ditemui, semalam.Yasmin berkata, Kilo menghubunginya dan dia menyelesaikan perkara itu dengan bayaran RM5,000 sebagai wang cagaran.


Namun, ugutan Edi tidak berhenti di situ, malah mengulanginya dua hari kemudian dan kali ini, dia datang bersama seorang rakannya untuk menuntut RM15,000 di hadapan rumahnya, tetapi Yasmin tidak melayan.


Bagaimanapun, lima hari kemudian, mereka mengulangi tindakan sama di Serdang dan cuba merampas kunci kereta daripada Kilo, tetapi dia melarikan diri dan menyerahkan kunci keretanya di Balai Polis Serdang.


“Kami berunding dengannya untuk membayar keseluruhan ansuran berjumlah RM75,000 kepada bank keesokan hari dan meminta jangan mengganggu Kilo, tetapi Edi mengambil balik kereta itu dan berjanji akan membayar RM5,000 yang saya bayar kepadanya pada hari sama.


“Namun, situasi di balai polis juga tidak memihak kami apabila Edi membuat laporan yang mendakwa dia pemilik asal kereta berkenaan sejak 2009 dan mendakwa dia mengambil semula kereta itu kerana saya gagal membayar ansuran bulanan kereta sejak empat bulan lalu,” katanya.


Katanya, polis Edi menyerahkan kenderaan itu kepada Edi dan barangan milik Kilo termasuk sebuah komputer riba, barangan kemas dilarikan bersama kereta itu.


Yasmin berkata, Edi juga tidak membayar RM5,000 dan dia tidak dapat dihubungi selepas itu.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas geran kereta itu mendapati ia milik bersama adik lelaki dan kakak Edi dan Edi hanya menyamar pemilik untuk mengaut keuntungan.

Enam lagi pegawai kastam ditahan

KUALA LUMPUR: Enam pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), termasuk dua wanita ditahan di Johor kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit yang dibongkar pada Isnin lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, penahanan itu adalah tindakan susulan penahanan seorang pegawai kanan bergelar Datuk dan isterinya yang juga pegawai kanan kastam di rumah mereka di Pahang.“Empat pegawai kastam terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan kini dalam proses memberi keterangan berhubung kegiatan itu. Lebih banyak penahanan akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Mereka sudah dikenal pasti termasuk pegawai kastam dan orang awam. Senarai itu kini dalam penelitian pihak berkuasa,” katanya.

Dalam serbuan Isnin lalu, pasukan khas dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain dengan diketuai oleh SPRM, membongkar sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.

Pasukan terbabit menemui wang tunai ratusan ribu berselerakan ketika menyerbu rumah pegawai kanan KDRM Pahang itu. Pasangan itu ditahan di pejabat SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk perintah reman petang kelmarin.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun.
Selain itu, sumber SPRM pula memaklumkan penahanan pasangan pegawai kanan KDRM di Kuantan hanyalah permulaan kepada pembongkaran jenayah terancang membabitkan lebih banyak sindiket dan kumpulan penggurup wang.

Beliau berkata, serbuan secara serentak membabitkan tujuh agensi penguatkuasa di lima negeri itu hanya mendedahkan rangkaian sindiket utama yang terbabit.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengambil kesempatan terhadap kelonggaran atau kepincangan dalam undang-undang sedia ada bagi memindahkan wang, selain melakukan jenayah seperti mengelakkan cukai dan membersihkan wang haram.

"Masih terlalu awal bagi menilai anggaran kerugian sebenar kerajaan dari segi kutipan cukai dan kehilangan perolehan, tetapi ini adalah kes terbesar SPRM setakat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khalid Mohd Yusof tidak menafikan ada di kalangan 13,000 pegawai dan anggotanya yang bermasalah.

“Kita memberi kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyalurkan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan dan yakin suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan secara profesional,” katanya.

Penat lelah Nikita Willy berbaloi

Penat lelah pelakon drama bersiri Safa Dan Marwah, Nikita Willy bergegas ke lokasi selepas pulang dari sekolah berbaloi apabila terus mengungguli kategori aktres pilihan dalam Panasonic Gobel Awards 2011 pada 25 Mac lalu.

Dia mengetepikan saingan lain yang tak kurang popular iaitu Shireen Sungkar, Agnes Monica, Asmirandah dan Naysilla Mirdad. Anugerah tahunan itu menilai melalui undian peminat.

Semakin popular

"Penat lelah saya akhirnya berbaloi dengan kemenangan ini. Saya hanya sempat tidur lima jam sahaja dalam sehari kerana perlu shooting dan ke sekolah," kata Nikita kepada media selepas menerima anugerah dalam majlis yang diadakan di Ballroom XXI, Jakarta Theatre, Jakarta itu. Mangga Online juga turut meliput acara itu.

Nikita, 17, memang bekerja keras ke lokasi, apatah lagi drama bersiri lakonannya Putri Yang Ditukar sedang ditayangkan di TV. Bermakna setiap hari dia harus ke lokasi menjalani penggambaran. Drama itu juga terpilih sebagai Drama Bersiri Pilihan.

"Kalau ada kerja rumah saya akan menyiapkan di lokasi," kata Nikita yang juga mengupah guru tuisyen sehingga ke lokasi.

Dapat bayaran mahal?

Nikita yang berlakon sejak kanak-kanak itu menganggap kemenangan itu sebagai pemberi sokongan kepadanya untuk bekerja lebih baik pada masa akan datang.

Harga naik?

Sebelum ini Nikita dilaporkan menerima bayaran yang tinggi untuk setiap episod pembabitannya dalam drama bersiri.

Ditanya sama ada kemenangan itu bakal menjadikan dia pelakon mahal Indonesia, Nikita mengatakan urusan itu bukan ditentukannya.

"Kalau pasal itu, saya tak tahu kerana ia diuruskan oleh ibu saya sebagai pengurus," katanya yang juga berharap dapat pegang anugerah pelakon terbaik pula suatu hari nanti.

Semua pelakon pasti mengidam anugerah pelakon terbaik dalam festival filem atau melibatkan drama.

“Semua orang pasti ada target jadi pelakon terbaik. Saya juga belum puas dengan apa yang diperolehi sekarang.

"Saya juga kena beringat tak boleh jadi sombong selepas menang ini.

"Trofi ini saya akan letak di rumah dan ia pasti akan dapat beri saya sokongan dan dapat menghilangkan rasa penat bila melihatnya," kata Nikita.

Anjasmara kembali berlakon

Pelakon Anjasmara Prasetya sudah empat tahun tidak muncul dalam drama baru. Dia bukan bersara sebaliknya fokus kepada penerbitan drama dan rancangan TV. Malah dia sendiri hot dengan program berkonsep kuiz, 1 vs 100 (satu lawan seratus) terbitan syarikatnya sendiri.

Hasilnya Anjasmara memenangi anugerah pengacara program kuiz pilihan dalam Panasonic Gobel Awards 2011 di Jakarta, Indonesia minggu lalu. Kejayaan itu membuatkan dia semakin bersemangat untuk kembali aktif di layar kaca.

Kambali ke layar kaca

"Alhamdulillah saya menjadi pilihan peminat kali ini setelah empat tahun saya menyepi," kata Anjasmara kepada Mangga Online saat ditemui usai acara tersebut.

Anjasmara, 35, pernah mencipta nama di Malaysia sekitar 15 tahun lalu menerusi drama bersiri kerjasama Malaysia dan Indonesia, Kolej yang mendapat sambutan hangat penonton, khususnya golongan remaja pada masa itu.

"Saya akan kembali berlakon drama selepas ini," kata Anjasmara yang absen kerana kesibukannya sebagai penerbit drama bersiri komedi Islam KTP yang sedang ditayangkan di stesen SCTV sekarang.

Sebagai penerbit, Anjasmara sudah mendapat hasilnya apabila terbitannya mendapat sambutan hangat. Antaranya Suami-suami Takut Isteri yang bertahan sehingga lebih 600 episod sejak ditayangkan pada 2007.

Anjas sukses sebagai penerbit juga.

Malah Islam KTP menduduki tangga pertama drama bersiri di negaranya. Anjasmara bekerjasama dengan Metrovision Plus menerbitkannya.

"Saya sudah merasakan saat paling manis dalam industri hiburan bila terbitan saya mendapat sambutan," jelas Anjasmara.

Ternyata Anjasmara tidak main-main bila mahu beralih ke bangku penerbit. Dia tidak berlakon kerana mahu fokus kepada produk yang diterbitkannya.

“Saya terlibat dari A sampai Z. Memilih sutradara, pelaon, suntingan akhir, mengejar deadline dengan pihak TV, hingga urusan kecil," jelas Anjasmara.

Di Indonesia hari ini sesebuah drama yang diterima ramai menjalani penggambaran sehingga saat-saat akhir demi mengejar rating. Malah ada drama yang disiapkan beberapa jam sebelum waktu tayangan kerana tidak mahu kalah dengan drama yang ditayangkan pada waktu sama di stesen lain.

Anjasmara juga menggunakan pengalaman sebagai pelakon untuk urusan tugas-tugas seorang penerbit. Kalau pelakon memerlukan bakat yang besar untuk berjaya, seseorang penerbit pula harus ada daya kreativiti yang tinggi.

"Kita harus fokus, pandai melihat situasi dan belajar pada bila-bila masa," sambungnya yang berazam mahu meningkat satu demi satu langkah. Manalah tahu suatu hari nanti dia akan memegang stesen TV pula.

Kejadian alam asas pemantapan iman


keindahan dan kepelbagaian flora serta fauna adalah bukti bumi ini ada penciptanya iaitu Allah SWT.


Bencana alam yang melanda Jepun baru-baru ini menyemai titik keinsafan bahawa apabila Allah telah menetapkan sesuatu kejadian alam berlaku, maka tiada siapa pun yang dapat mengekangnya.

Bandar yang dibina bertahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hampir menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila dilanda gempa bumi dan gelombang tsunami yang kuat.

Pun begitu, dalam keadaan ramai rakyat Jepun yang masih trauma dengan kejadian itu, semangat meneruskan kehidupan seperti biasa dan bangkit daripada musibah ini adalah luar biasa.

Mereka tidak terus menerus bersedih atas kejadian itu, bahkan saintis jepun mengambil langkah segera mengkaji kejadian tersebut agar pencegahan awal atau sistem amaran awal dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Sikap ini memberi makna bahawa mereka sangat memandang tinggi keperluan mengkaji hubungan alam dengan manusia. Menginsafi sikap mereka, orang Islam seharusnya insaf bahawa ilmu kejadian alam sebenarnya adalah ilmu daripada Allah yang terkandung hikmah.

Penerokaan ilmu yang tidak terbatas melalui akal yang terbatas menuntut keyakinan besar kepada kebesaran Allah.

Sesuatu yang tidak diketahui oleh akal tidak bermakna ia tidak ada. Keyakinan manusia bahawa Allah itu Maha Perkasa memberikan asas iman dalam diri manusia.

Memahami keterbatasan manusia

Segala usaha manusia untuk mengetahui kebesaran Allah melalui alat tidaklah salah kerana al-Quran memberikan asas bahawa penerokaan langit dan bumi hanya boleh berlaku dengan alat, kemudahan atau teknologi.

Surah Al-Alaq memberikan asas ilmu, sains dan teknologi yang amat nyata kepada orang-orang Islam. Ayat ke 3-5 memberikan pedoman mengenai pentingnya qalam iaitu alat atau teknologi yang merintis penerokaan ilmu.

Ia merupakan alat dan teknologi bagi mengetahui sedikit mengenai rahsia kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada daya cipta-Nya terhadap alam ini.

Al-Quran telah menjelaskan bahawa alam ini telah ditundukkan Allah untuk keperluan manusia, agar manusia beribadat kepada Allah secara lebih sempurna (Ibrahim: 32)

Penerokaan terhadap alam bumi dan alam angkasa lepas memberikan manusia ilmu dan maklumat. Daripada ilmu dan maklumat menjadikan manusia lebih rasional memahami makna alam dan kejadian.

Inilah asas ulul-albab yang terdapat di dalam Al Quran dan pendekatan tadabbur yang mendorong manusia mengkaji, berfikir, menyelidik dan akhirnya mendidik mereka menjadi orang-orang yang bertakwa.

Surah ali-'Imran ayat 190 misalnya menyebutkan bahawa hikmah kejadian penciptaan langit dan bumi serta putaran siang dan malam terhadap orang-orang yang berakal dan berfikir.

Allah juga memberi asas pedoman kepada manusia supaya sentiasa mengkaji dan berfikir tentang kejadian alam. Namun begitu, sering al-Quran mengingatkan manusia bahawa manusia adalah bahagian kecil dari alam yang sangat luas ini supaya manusia selalu melihat dan mengamati alam tersebut untuk mengetahui rahsia-rahsia yang tersimpan di dalamnya (al-Mukmin: 57) . Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan.

Maurice Bucaille, dalam bukunya bertajuk Al-Quran dan Sains Moden menceritakan dengan banyak tentang keakraban kitab al-Quran dalam dunia sains moden.

Beliau menyebut tentang sebuah kitab yang mampu menceritakan kejadian-kejadian sains yang hanya diteroka pada zaman moden. Walaupun al-Quran bukan kitab saintifik, tetapi pedoman-pedoman saintifik di dalamnya memandu tradisi keilmuan berkembang dengan mengambil kira faktor keinsanan, sains dan teknologi supaya manusia menjadi lebih manusiawi.

Keserakahan

Alam ini terlalu luas untuk dikaji dan keupayaan manusia mengkaji alam amat terbatas. Keterbatasan itu memadai untuk manusia memahami makna hidup dan kehidupan. Kehidupan akan lebih bermakna sekiranya pedoman agama dijadikan landasan.

Sekiranya manusia memberi fokus kepada aspek fizik semata-mata maka manusia akan hanya terdorong untuk mengkaji fenomena dan bukan hikmah fenomena tersebut.

Justeru penerokaan sains dan penghasilan teknologi tidak saja memberi manfaat tetapi melahirkan kebimbangan terhadap nasib manusia.

Hubungan antara manusia dengan alam sentiasa berubah, seiring perkembangan teknologi, informasi dan industrialisasi.

Perang Dunia Pertama dan Kedua memperlihatkan bagaimana bumi dan manusia dirosakkan oleh keserakahan kuasa-kuasa yang menguasai teknologi terhadap kuasa yang belum menguasai teknologi.

Perubahan dan evolusi dalam bidang sains dan teknologi memberi impak yang mendalam dalam perlumbaan menjadi yang terhebat.

Perubahan dalam tradisi Islam sebaliknya berlaku dalam dua cara.

Pertama yang bersifat bentuk atau zahiriah, ia seperti teknologi yang fungsinya adalah mekanistik, manakala yang satu lagi adalah isi (substance) yang menggambarkan perubahan dalaman dan berada dalam keadaan fitrah.

Yang fitrah adalah sesuatu yang serasi dalam kehidupan, berbuat baik umpamanya adalah sesuatu yang fitrah, memberi manfaat, berlaku adil dan amanah juga adalah sesuatu yang fitrah.

Justeru, yang fitrah itu adalah inti sebenar dalam kehidupan, tidak kira walau apa jua anutan seseorang.

Sebagai contoh, perubahan mengambil kira bagaimana teknologi dilihat sebagai alat dan bukan matlamat. Perubahan yang berlaku ialah bagaimana teknologi dan alat diberikan asas dan nilai agama supaya nilai-nilai yang fitrah menjadi manfaat kepada manusia.

Komputer misalnya, bersifat mekanistik, lalu perisian dan programnya memberi makna sama ada mampu meningkat akal budi ataupun sebaliknya.

Manusia kadangkala kehilangan kearifan pada alam dan lingkungannya. Dengan makin berkembangnya ilmu pengetahuan dan teknologi, perlu kita akui secara jujur bahawa atas nama 'penalaran dan logik', secara sedar atau tidak kita telah mengikis budaya warisan luhur dalam memahami alam dan lingkungannya.

Teknologi digunakan untuk menakluk dan merosakkan alam. Manusia tidak lagi bergantung pada alam tetapi menguasai alam dengan dilandasi keserakahan.

Sekarang ini kuasa besar menggunakan justifikasi yang menolak peradaban manusia lalu menggunakan teknologi persenjataan canggih bagi meranapkan sesebuah negara atau sekelompok manusia yang dibenci supaya melutut kepadanya. Keadaan ini membuktikan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan dan etika sudah tidak lagi jadi pertimbangan.

Amat penting bagi seorang remaja memahami bahawa tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini mempunyai had dan batasnya tersendiri.

Kejadian alam yang sempurna yang telah diciptakan untuk manusia dan isinya ini adalah untuk dinikmati secara adil dan saksama agar manusia sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.

Di dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah menjelaskan tentang golongan yang diberi nikmat dan kemudiannya tidak bersyukur atas pemberian Tuhan: Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

Justeru, sebagai remaja Islam, kita seharusnya berusaha meningkatkan ilmu dan membangunkan potensi diri seiring dengan syariat Islam.

Sedekah pintu barakah

KALA memandu dari Bulatan Pahang menuju Ke Jalan Kuching di ibu kota, sekali-sekala cuba alihkan pandangan ke sebelah kiri jalan. Di atas sebuah bangunan di situ, ada sebuah papan besar yang menempatkan sebuah iklan. Ilustrasinya mudah, ada sekaki payung yang besar dengan tulisan berbunyi: 'Bentengilah harta anda dengan zakat.'

Sebenarnya, kalimah tersebut adalah daripada sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang berbunyi: "Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa (riwayat al-Baihaqi)."

Konotasinya mudah, untuk menjaga harta dan memastikan ia selamat, maka sedekahkan harta itu. Hakikatnya, zakat juga adalah sedekah, yakni sedekah yang wajib. Menahan harta daripada disedekahkan pula, adalah lawan kepada kehendak hadis tersebut.

Dalam erti kata lain, sikap enggan berzakat dan bersedekah, adalah punca rosaknya harta.

Memang ada orang yang khuatir dengan bersedekah atau berzakat, maka hartanya akan menyusut. Makin banyak diberi sedekah, semakin banyak pula hartanya beralih tangan.

Jika memberi seringgit dua tidak mengapa, bagaimana pula jika jumlahnya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit.

Pernah terjadi, setelah penulis membantu mengira zakat seseorang, tiba-tiba dia minta tangguh menunaikannya. Alasannya mungkin tidak cukup wang. Tetapi, rasionalnya jika sudah tahu mahu mengira zakat, jika sudah sedar hartanya banyak, maka siapkanlah wang dengan jumlah yang sesuai. Masakan minta dikira zakatnya sedang wang masih tiada.

Pernah terjadi, seorang hamba Allah yang pada awalnya beria-ia mahu menunaikan zakat. Alih-alih setelah mengetahui jumlah zakatnya agak besar, mulalah berubah rona wajahnya. Mula terketar-ketar suara dan tangannya.

Rupa-rupanya, si dia merasa terkejut dengan zakat yang perlu dilunaskan. Fikirnya hanya beberapa puluh ringgit; tidak disangka jumlahnya setinggi bukit.

Syaitan dan iblis memang sentiasa membisik-bisikkan perasaan sayang kepada harta. Syaitan tahu, jeratnya selalu mengena. Maka, tatkala si hamba yang berharta mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, mulalah si Iblis berbisik.

Kata Iblis: "Kamu pun susah juga, gaji kamu kecil sahaja, masakan sudah kena berzakat". Bisikan lain pula bunyinya mungkin begini: "Anak dan isteri kamu masih memerlukan wang itu, baik disimpan, manalah tahu nanti kamu pula yang tidak berkecukupan".

Sesungguhnya bisikan sang Iblis datang dalam pelbagai cara dan rupa. Allah SWT sudah pun menegaskan hal ini agar kita mengambil sikap waspada.

Firman Allah yang bermaksud: Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (al-Israk: 64)

Sering terjadi, bisikan ini bertali arus datangnya dan sukar sekali untuk menepisnya. Selalu juga bisikan para iblis dan syaitan ini mempunyai tahap rasional yang tinggi, menyebabkan kita terfikir berkali-kali sebelum memberi. Pernah juga seorang pembayar yang sudah pun berada di hadapan kaunter zakat; tetapi hampir-hampir tidak jadi mengeluarkan zakat dek kerana halusnya desakan para syaitan ini.

Manusia mungkin lupa atau mungkin tidak sedar, bahawasanya kita dan seluruh kepunyaan kita, adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki kita agar berzakat, berinfak dan bersedekah, maka pastilah Allah SWT tidak menyuruhnya dengan sesia. Pasti ada manfaat di sebaliknya.

Ia menjadi rahsia Allah SWT yang hanya dapat kita kesani dan rasai natijahnya apabila amalan bersedekah dan berzakat itu sudah menjadi satu kelaziman pada diri. Ibarat manisnya gula, hanya dapat dimengerti oleh orang yang pernah merasai dan bukannya oleh orang yang hanya asyik berteori tentang manisnya gula.

Maka, lestarikanlah amalan bersedekah agar ia menjadi tradisi yang berakar umbi dalam kehidupan. Anak-anak kita wajar dididik agar suka memberi, kerana pastinya ia adalah kaedah terbaik melentur nurani mereka menjadi manusia berakhlak mulia.

Lagi pun, Rasulullah SAW juga sudah berjanji, bahawa orang yang suka bersedekah sama sekali tidak akan rugi. Bahkan Allah SWT sudah menjamin kehidupan mereka, bahkan menjadi punca datangnya kemuliaan di sisi manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (riwayat Muslim). Wallahu a'lam.

Kejujuran semakin hilang


SIKAP orang ramai berebut-rebut memungut beras yang bertaburan akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai tahap kejujuran rakyat negara ini.


APAKAH perkara yang menjelekkan berlaku pada bulan Februari lalu? Rasanya mungkin membabitkan insiden sebuah lori beras yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Bukan kemalangan itu tetapi situasinya yang menonjolkan kejelekkan sikap rakyat negara ini yang kononnya kaya dengan sopan santun dan budi bahasa serta tebal nilai dan budaya timur.

Dalam insiden tersebut orang ramai yang lalu lalang dengan rakus mengaut beras yang bertaburan dan mengisinya dalam apa juga bekas yang ada termasuk topi keledar dan beg tangan.

Kerana tamak mahukan beras percuma yang bertaburan mereka langsung tidak mempedulikan pemandu dan kelindan lori tersebut yang cedera serta dalam kesakitan.

Lebih mengharukan orang ramai yang mengerumuni lokasi kemalangan itu seperti semut menghurung gula - langsung tidak endah kepada mangsa yang cedera.

Persoalannya patutkah situasi tersebut berlaku di sebuah negara Islam yang kononnya mempunyai masyarakat yang mengamalkan tata susila yang tinggi?

Adakah ini menunjukkan rakyat negara ini sudah tidak ada nilai kemanusiaan dan tidak lagi prihatin terhadap mereka yang memerlukan?

Sejauh manakah tahap integriti masyarakat di negara ini terutama di bandar? Masih adakah lagi golongan yang bersikap jujur dan prihatin? Tinjauan rambang Mega di kaunter hilang dan jumpa di tiga buah pasar raya besar di ibu kota memberikan satu rumusan 'istimewa'.

Kebanyakan petugas di kaunter tersebut berkata: "Lebih banyak aduan barang hilang daripada mereka yang pulangkan barang yang dijumpai."

Ini bermakna tidak ramai masyarakat yang bersikap jujur.

Jawapan daripada petugas kaunter itu memberikan gambaran bahawa jika kita kehilangan barang atau tertinggal sesuatu, jangan harap akan menemui kembali. Mereka yang menemui barang tersebut tidak akan memulangkannya.

Tidak puas hati dengan jawapan kakitangan kaunter hilang dan jumpa itu penulis melakukan sendiri ujian untuk mengenalpasti tahap integriti dan kejujuran penduduk di ibu kota khususnya.

Apakah kita semakin tamak?

BENARKAH ada di antara kita kini mula tidak ambil peduli apabila musibah menimpa orang lain? Adakah masyarakat kita yang penuh dengan sifat sopan-santun dan berbudi bahasa sudah bertukar menjadi tamak haloba?

Beberapa kejadian yang berlaku awal tahun ini telah memaparkan realiti sebenar sikap segelintir masyarakat kita.

Februari lepas, seluruh negara membaca luahan rasa kecewa seorang pemandu lori treler Ahmad Rozlin Ahmad Murad, dengan sikap orang ramai berebut memungut kampit berisi beras yang bertaburan di atas jalan raya selepas lori treler tersebut terlibat dalam kemalangan, tanpa mempedulikan mayat rakannya yang tersepit di kenderaan itu.

Sebulan sebelum itu, keluar juga berita dalam media mengenai kenderaan pacuan 4-roda yang membawa lebih RM70,000 (dalam bentuk syiling) terlibat kemalangan di KM 244 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas.

Duit syiling itu bertaburan di atas jalan raya. Sesetengah mereka dari kenderaan yang lalu di situ seolah-olah 'berpesta' memungut wang yang bertaburan dan tidak menghiraukan rayuan pemandu kenderaan pacuan 4-roda itu agar tidak 'diambil' syiling tersebut.

Kejadian berkenaan menarik pelbagai reaksi sama ada daripada orang ramai mahupun golongan ulama serta cendikiawan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harrussani Zakaria seperti yang dinyatakan dalam laporan sebuah akhbar menegaskan, duit tersebut haram diambil serta digunakan kerana ia mempunyai pemilik dan wajib dikembalikan semula.

Manakala Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berpendapat orang ramai hendaklah membantu mangsa kemalangan tersebut dan memulangkan kembali wang syiling dan bukannya mengambil kesempatan daripada insiden itu.

Malah beliau menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia.

Wajarkah insiden-insiden yang mencerminkan 'tamak haloba' rakyat Malaysia berlaku sedangkan kita memang dididik dengan sikap Masyarakat Penyayang dan Berbudi Bahasa?

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini? Tinggal sembilan tahun sahaja lagi untuk kita sampai ke tahun 2020 dan mencapai Wawasan 2020. Malah kita juga sedang berusaha menjayakan Gagasan 1Malaysia.

Sayangnya, adakah masyarakat sudah bersedia mendekati matlamat tersebut? Ahli Psikologi Sosial dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim berkata, beliau melihat hal ini dari dua aspek.

Pertama, faktor orang ramai tidak membantu seseorang yang telah mengalami kemalangan. Kedua, kenapa pula orang sanggup mencuri/mengambil barangan yang bertaburan kesan daripada kemalangan tersebut?

Menurut Dr. Intan Hashimah, sikap itu tidak semestinya ada kaitan dengan nilai sopan-santun dalam masyarakat tetapi lebih kepada apa yang dipanggil oleh ahli psikologi sosial sebagai kesan pemerhati atau dalam bahasa Inggerisnya by-stander effect.

Banyak kajian dalam psikologi sosial menunjukkan bahawa kecenderungan untuk orang sekeliling membantu seseorang dalam suasana kecemasan (seperti kemalangan jalan raya) akan berkurangan sekiranya terdapat ramai pihak lain yang sedang memerhatikan kejadian yang sama.

"Kemungkinan dengan adanya lebih ramai orang di sekeliling akan mendorong seseorang merasakan tanggungjawab untuk menolong tidak hanya kepada dirinya seorang.

"Malahan ramai yang merasakan orang lain lebih sesuai dan sepatutnya membantu seseorang dalam kecemasan dan bukan dirinya sendiri.

"Dengan itu mereka memilih untuk tidak membantu," kata pakar psikologi sosial itu.

Dr. Intan Hashimah berpendapat fenomena ini berlaku dalam banyak masyarakat termasuk di barat.

Sikap membantu dalam kecemasan akan lebih tinggi jika yang memerhatikan kejadian itu hanya seorang dua berbanding lebih ramai orang.

Mengenai aspek kedua, Dr. Intan Hashimah berpendapat ia masih lagi berkaitan dengan rasa tanggungjawab.

"Dalam situasi kedua, mereka yang mencuri daripada mangsa kemalangan biasanya lebih daripada seorang dan mereka tidak mengenali mangsa kemalangan.

"Tambahan pula ada ramai lagi yang turut mencuri/mengambil barangan yang bertaburan, ini mengurangkan rasa malu atau bersalah dalam diri orang yang mencuri.

"Mereka juga tidak takut tertangkap kerana tiada polis atau pihak autoriti di situ yang akan mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Tenunan, sulaman kemahiran wanita Laos


Nang ketika diwawancara sambil diterjemah oleh pemandu pelancong ketika di Luang Prabang, Laos.


SEBAGAIMANA negara-negara lain di dunia, golongan wanita luar bandar di Laos turut bekerja bagi menjana ekonomi menerusi pelbagai kemahiran yang dimiliki setanding dengan kelulusan.

Begitu juga di daerah Luang Prabang, Laos yang mana 90 peratus daripada golongan wanitanya membantu mengukuhkan ekonomi keluarga menerusi kraf tangan yang dilakukan di rumah sepenuh masa.

Sedang golongan lelaki melakukan kerja-kerja lebih berat membanting tulang di sawah, pembinaan dan pertanian, golongan wanita di rumah tidak hanya berpeluk tubuh.

Mereka yang berkemahiran melakukan pelbagai kerja tangan termasuk menenun, menjahit, menyulam, membuat arak daripada nasi dan berniaga di pasar malam, pagi dan petang.

Sesekali mereka akan ke sungai menangkap ikan yang akan dijual di pasar pagi.

Di sebuah perkampungan yang dinamakan SA Paper Handicraft Village, golongan wanitanya melakukan pekerjaan membuat kertas daripada pokok malberi.

Pokok malberi yang banyak ditemui di sekitar perkampungan ini tidak dipersia-siakan oleh penduduk. Mereka menggunakan pokok ini untuk dibuat kertas, buku, cenderamata dan sebagainya.

Setelah pokok malberi ditebang, mereka akan merendam batang pokok ini selama dua malam sebelum merebusnya selama enam jam.

Setelah direbus, pokok ini akan ditumbuk lumat dengan penukul kayu kemudian direndam di dalam air dengan diletakkan hiasan di atasnya.

Apabila acuan ini diangkat dari air, akan tertinggal saki-baki kertas di atas acuan tadi yang kemudiannya akan dikeringkan seminggu sebelum boleh dijual.

Selain kraf tangan yang diperbuat daripada kertas malberi, seorang suri rumah, Nang, 35, melakukan tenunan skaf sepenuh masa untuk menyara ibunya, anak perempuan dan keluarganya.

Manakala Chanch Thone, 52, dan Khamphiew, 68, pula menenun sutera sejak empat tahun lalu apabila suami masing-masing meninggal dunia. Bagi Thone dia menenun untuk menyara empat orang anak-anaknya manakala Khampiew pula untuk menyara diri sendiri yang hidup sebatang kara.

''Kami mendapatkan benang tenunan sutera daripada si penjual yang masuk ke kampung seminggu sekali," jelas Thone.

Begitu juga dengan Ban Xang Khong, 57, yang menenun benang kapas untuk dijadikan selendang. Selain itu dia juga membuat kertas daripada pokok pisang dan tahi gajah.

Menariknya, bagi meneruskan kesinambungan golongan wanita dalam bidang kemahiran kraf tangan, perkampungan khas disediakan kerajaan untuk mereka.

Uniknya, rumah-rumah kediaman mereka dijadikan kawasan untuk menjual barangan kraf tangan secara terus dari kawasan pembuatan secara borong.

Ucapan 'sabaidi' (ucapan selamat) kedengaran ketika menyapa pelancong yang berkunjung ke rumah mereka.

Justeru, perkampungan seperti ini bukan sahaja dibina untuk menjana kehidupan, malah dijadikan tempat menarik untuk pelancong berkunjung.

Geng Celepet dan si kecil!


(DARI kiri) Aishah Sinclair bersama anaknya, Soraya Ann, Sazzy Falak dan Dynas Mokhtar yang mendukung Khyra Khalyssa.


BERGELAR ibu merupakan detik terindah buat mana-mana wanita. Bayi yang dilahirkan adalah pelengkap kepada mahligai yang dibina bersama pasangan masing-masing.

Lagi pula dikurniakan zuriat sebagai penyambung warisan adalah anugerah tuhan yang tidak terhingga nilainya. Anak-anak jugalah yang bakal membentuk generasi mendatang dalam memimpin dunia.

Berkesempatan bertemu dengan tiga sahabat baik, Dynaz Mokhtar, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair yang menggelarkan diri mereka sebagai geng Celepet, Hits teruja untuk menyelami hati mereka bagi berkongsi perihal kerenah anak masing-masing.

Dynas mahu kembali aktif

Setahun menyepi tanpa sebarang aktiviti seni, pelakon yang juga model tinggi lampai, Dynas meluahkan hasratnya untuk kembali aktif.

Kini, setelah anaknya, Khyra Khalyssa mencecah usia 11 bulan, Dynas bersedia untuk meninggalkan bayi perempuannya itu bersama penjaganya agar dia mampu melangkah semula ke dunia hiburan tanah air.

"Sudah setahun rasanya saya berehat untuk memberi sepenuh perhatian kepada Khyra.

"Sekarang, sudah tiba masanya untuk bekerja semula. Rindu untuk berada di hadapan kamera dan bergaul dengan krew-krew produksi," ujar aktres jelita bermata galak itu.

Bagaimanapun, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar itu memastikan, tawaran lakonan yang diterimanya tidak melibatkan penggambaran di luar Lembah Klang.

Terbaru, Dynas muncul dalam sebuah rancangan kanak-kanak berjudul Si Kecilku... Chak!! yang memulakan siarannya pada 22 Mac lalu.

Selaku pengacara program berkenaan, Dynas memberitahu, ia banyak membantu dirinya dalam membentuk pembesaran Khyra yang kini sudah pun pandai berjalan.

Walaupun sudah kembali sibuk, ia tidak menjadi alasan buat Dynas untuk menggantikan susu ibu kepada susu formula.

Jelas Dynas, dengan pelbagai teknologi yang terdapat pada masa kini, sudah ada pelbagai peralatan untuk kemudahan untuk si ibu menyusukan bayi mereka.

Dalam pada itu, aktres berusia 29 tahun itu meluahkan rasa kesalnya apabila terdapat segelintir ibu muda yang mengambil remeh hal penyusuan susu ibu.

Katanya, susu ibu cukup penting dalam membesarkan bayi. Tambahnya, tiada satu pun susu formula yang mempunyai khasiat sama seperti susu ibu.

Disebabkan itu, Dynas mengambil inisiatif untuk mereka pakaian khas yang membolehkan para ibu menyusukan anak-anak mereka di mana jua.

"Baju ini sesuai untuk digayakan dalam mana-mana situasi termasuklah ke pejabat kerana saya merekanya dengan pelbagai gaya dan trendy," jelasnya yang akan terus menyusukan Khyra sehingga anaknya itu berusia dua tahun.

Menurut Dynas, baju-baju tersebut boleh didapati di butiknya, Dynas Nursing Attire (DNA) yang dibuka di E@Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Aishah ikut petua ibu

Kehadiran cahaya mata comel bernama Soraya Ann yang sudah pun memasuki usia tujuh bulan benar-benar menambahkan keceriaan dalam kehidupan rumah tangga Aishah dan suaminya, Sheikh Abdul Shahnaz.

Malah, Soraya adalah keutamaan dalam hidupnya kini walaupun sibuk dengan karier sebagai pengacara program bual bicara The Breakfast Show (TBS) yang disiarkan di saluran ntv7.

Pemilik nama sebenar Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, 30, itu bagaimanapun teringin untuk kembali aktif dengan kerja-kerja pengacaraan yang selama ini merupakan pintu rezeki utama buatnya.

Namun atas rasa tanggungjawab terhadap bayi sulungnya itu, Aishah hanya fokus kepada TBS kerana siarannya bermula 8.30 pagi sehingga 10 pagi.

"Jadi, saya ada banyak masa untuk bersama Soraya. Saya berat hati untuk meninggalkan Soraya dalam tempoh masa yang lama.

"Saya amat mementingkan pemakanan Soraya. Sebab itulah saya sukar untuk berenggang dengannya supaya mudah untuk memberikan susu badan kepada Soraya," kata Aishah sambil menjelaskan, itulah petua yang diamalkan oleh ibunya bagi memastikan dia dan adik-beradiknya sentiasa sihat.

Sazzy ingin bersalin secara normal

DI KALANGAN tujuh anggota geng Celepet yang terdiri daripada Dynas, Aishah, Atilia, Daphne Iking, Serena C dan Sazzy, pemilik nama Sazlini Shamsul Falak merupakan selebriti pertama yang dianugerahkan dengan anak kembar.

Dikurniakan dua cahaya mata sekaligus adalah rahmat yang sememangnya dinanti-nantikan oleh kebanyakan suami isteri.

Menurut bintang Gol & Gincu itu, rezeki ditakdirkan bakal melahirkan sepasang anak kembar perempuan adalah berkat doanya selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon Nazril Idrus.

Bagaimanapun, memandangkan tubuh aktres dan pengacara itu bersaiz kecil, jauh di sudut hati Sazzy, dia cukup risau dengan kandungannya.

"Dengan saiz tubuh saya yang begini (kecil), macam-macam boleh berlaku. Jadi, saya begitu berhati-hati dengan pergerakan saya.

"Seboleh-bolehnya, apabila sampai masanya untuk bersalin nanti, saya berharap dapat melahirkan anak secara normal tanpa perlunya pembedahan caesar. Kalau terpaksa buat dua kali pun saya sanggup," beritahu Sazzy yang dijangka bakal menimang bayi kembarnya pada Mei ini.

Apa pun, Sazzy bersikap realistik terhadap keselamatan bayi-bayinya. Tambahnya, jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan, dia reda sekiranya dibedah.

Jelas Sazzy, dia banyak membuat kajian dan membaca beberapa perkara yang memudahkannya melahirkan bayi kembarnya secara normal.

"Kata orang tua-tua, si ibu mesti selalu bercakap dengan bayi yang dikandung dan selalu berfikiran positif selain sering berdoa agar dipermudahkan proses kelahiran bayi kelak," ujarnya.

Ratnah tipu umur?


RATNAH bersama mentornya, Afdlin Shauki.


SALAH satu syarat untuk menyertai program realiti terbitan TV3, Mentor musim kelima (Mentor 5) ialah peserta haruslah berusia 18 hingga 26 tahun.

Namun, baru-baru ini, Hits mendapat tahu protege Afdlin Shauki, Ratnah Awal berusia 28 tahun.

Berkesempatan menonton persembahan protege kumpulan A yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam, Ahad lalu, Hits terus menerpa Ratnah sejurus tamatnya siaran Mentor 5.

Tatkala persoalan mengenai usianya diajukan, Ratnah kelihatan terkejut dengan soalan tersebut.

Pada mulanya Ratnah enggan mengaku dia melepasi had umur yang telah ditetapkan ketika menghadiri sesi uji bakat Mentor 5.

Tetapi apabila terus didesak untuk dia bercakap benar, akhirnya anak jati Ampang, Selangor itu akur.

"Saya memang sedar dan tahu sangat-sangat yang usia saya melebihi had umur yang ditetapkan.

"Bukan niat untuk menipu sesiapa cuma ketika hadir pada sesi uji bakat, saya ingin melihat sejauh mana kemampuan saya untuk menceburi bidang nyanyian. Itulah yang menyebabkan saya 'langgar' syarat itu.

"Apabila terpilih untuk menjadi protege Afdlin, saya terkejut dan dalam masa yang sama beranggapan, mungkin saya diberi peluang kerana pihak penerbit (TV3) dan Afdlin percaya dengan bakat yang ada pada diri saya.

"Tanpa ada niat lain, saya bersyukur kerana diberi platform untuk kembangkan bakat nyanyian dengan menyertai Mentor.

"Sesungguhnya, tidak terdetik sedikit pun di hati saya ini untuk menipu sesiapa," ujarnya dalam nada kesal.

'Iparku Diva' : Produser Bayar Tinggi Pujuk Rozita Che Wan

Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Syarikat produksi Zeel Production mengakui terpaksa mengeluarkan bayaran yang tinggi kepada Rozita Che Wan untuk memujuknya berlakon dalam drama komedi bersiri, Iparku Diva, selepas dia mengumumkan hasrat bersara daripada dunia lakonan.

Drama 13 episod tersebut akan disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) pada malam ini selama setengah jam bermula pukul 9.30 malam.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, bukan mudah memujuk Rozita kerana pelakon itu bimbang akan berhadapan dengan pelbagai implikasi buruk selepas dia membuat keputusan untuk tidak lagi berlakon pada tahun 2011.

“Kami memujuknya banyak kali untuk terlibat dalam drama ini tetapi dia tetap menolak.

Rozita dalam salah satu adegan menerusi 'Iparku Diva'.

"Akhirnya kami terpaksa menawarkan bayaran yang agak tinggi demi memujuk hatinya agar menyertai produksi ini,” katanya yang enggan menjelaskan jumlah bayaran yang diberikan untuk Rozita dalam drama tersebut.

Kata Fadzil lagi, semasa proses memujuk Rozita itu, pihaknya terpaksa melakukan penggambaran untuk adegan-adegan lain sementara menunggunya membuat keputusan sehinggalah pelakon itu memberi kata putus selepas habis perkahwinan adiknya, Ayu Raudhah pada 21 Januari lalu.

Ditanya apakah kehebatan Rozita berbanding pelakon lain sehingga pihaknya sanggup memberikannya bayaran yang tinggi ujar Fadzil, pelakon itu mempunyai pengaruh yang kuat khususnya peminat-peminat drama Melayu.

Tambahnya, Rozita juga berjaya menaikkan rating drama terbitan mereka sebelum ini iaitu Kiah Pekasam yang disiarkan pada pertengahan tahun lalu menerusi saluran yang sama.

Norman Hakim (kanan) memegang watak chef.

“Kami percaya kalau orang sanggup membayar kepada Astro untuk saluran itu, kami juga perlu membayar lebih kepada pelakon yang penonton suka agar rating drama terbitan kami mencapai sasaran serta memenuhi kehendak penonton,” ujarnya.

Fadzil berkata, Iparku Diva adalah drama pertama lakonan Rozita selepas dia membuat keputusan bersara dan ia merupakan satu kejayaan besar buat mereka kerana berjaya memujuk pelakon itu membatalkan hasratnya.

Malah katanya kerana drama itu juga membuatkan Rozita turut menjadi rebutan beberapa syarikat produksi lain yang masih mahu mendapatkan khidmatnya.

“Selain bayaran yang tinggi, kami percaya Rozita juga sudah biasa berlakon dengan drama-drama lain terbitan syarikat produksi kami dan dia mengakui selesa dengan layanan yang diberikan sehingga gagal menolak tawaran tersebut,” tambahnya.

Iparku Diva yang melalui penggambaran pada Februari lalu turut membariskan para pelakon seperti Norman Hakim, Sheera Iskandar, Reza Hasbi, Azlee Khairi, Azzarani, Delimawati, Kismah Johari dan pelakon baru, Syaff Syamim.

Ia diarahkan oleh Jamal Khan sementara skrip tulisan Hafizul.

Zeel Production turut memperkenalkan pelakon baru, Syaff Syamim.

Drama komedi ini mengisahkan kehidupan Munirah (Rozita Che Wan) yang berkahwin dengan Cikgu Hassan (Azharani) serta mempunyai seorang anak lelaki yang petah bercakap.

Munirah terkenal sebagai seorang biras dan kakak ipar yang garang, “queen control”, serta berlagak seperti diva sehingga mampu mengarahkan suami untuk melakukan kerja-kerja isteri termasuklah memasak dan mengemas rumah.

Perbuatan Munirah itu menimbulkan rasa tidak puas hati iparnya yang lain sehingga mereka sanggup mengata sesama adik-beradik dan ipar-duai ini.

Namun begitu, kesemua mereka sering bertemu di meja makan yang sama kerana Munirah tidak pandai memasak sementara ahli keluarga yang lain pula mempunyai pelbagai angan-angan yang mungkin tidak kesampaian.

'...Dalam Botol' Kutip RM1 Juta Selepas Lima Hari Tayangan

Raja Azmi

KUALA LUMPUR: Biarpun menerima kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak sebelum ini Raja Azmi Raja Sulaiman akhirnya membuktikan filem terbaharunya ...Dalam Botol yang menceritakan kehidupan pasangan gay mencatatkan kutipan RM1 juta selepas lima hari ditayangkan.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 24 Mac lalu di 41 buah pawagam seluruh negara.

Raja Azmi yang juga penerbit filem itu berkata, kutipan tersebut merupakan satu jumlah di luar jangkaan memandangkan filem-filem yang diterbitkannya sebelum ini tidak pernah meraih kutipan sebanyak itu dalam tempoh lima hari.

Kos produksi untuk menerbitkan ...Dalam Botol adalah RM888,000 tidak termasuk promosi.

Raja Azmi berkata dia amat bersyukur dengan kutipan yang dicapai setakat ini dan berharap filem berkenaan dapat memberi satu mesej kepada masyarakat agar mengambil iktibar mengenai budaya gay.

"Bagi saya filem ...Dalam Botol ini, merupakan satu usaha dakwah saya untuk mengingatkan masyarakat agar jangan terpengaruh dengan budaya gay yang dianggap tabu di negara ini.

Salah satu adegan menerusi '...Dalam Botol'.

"Daripada sudut lain, keupayaan ...Dalam Botol yang mampu meraih kutipan sebanyak RM1 juta adalah petanda bahawa ia ditonton oleh orang ramai.

“Itu sebabnya saya sangat percaya bahawa lebih ramai akan menonton ...Dalam Botol selepas ini," katanya dalam program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, Rabu.

Filem ...Dalam Botol arahan Khir Rahman merupakan sebuah filem yang bersandarkan kepada konflik percintaan pasangan sejenis lelaki dan disifatkan sebagai satu percubaan berani Raja Azmi dalam membuka dimensi baharu filem Melayu dengan memaparkan isu realiti menerusi layar perak.

Dalam pada itu, Raja Azmi menegaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menghantar filem tersebut ke festival gay sekalipun dijemput kerana pada hakikatnya ia bukanlah sebuah filem gay.

Dia juga menambah, sekiranya filem berkenaan tidak mengaut keuntungan yang disasarkan, dia nekad akan berhenti daripada membikin filem pada masa akan datang.

Bagaimanapun dengan kutipan tersebut, Raja Azmi akan membatalkan hasrat itu dan seterusnya bercadang menghasilkan filem Anak Ikan iaitu sebuah karya mengisahkan kehidupan lelaki “jambu” yang menjadi rebutan ramai.

Selain ...Dalam Botol, produser tersebut pernah menghasilkan filem Black Widow Wajah Ayu, Cinta 200 Ela dan Haru Biru.

Raja Azmi adalah isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek.

Yuzwan 'Pilih Kasih' Luah Rasa Sedih, Tiada Tawaran Berlakon

Yuswan ketika melakonkan salah satu babak di pentas akhir Pilih Kasih 2 baru-baru ini.

PETALING JAYA: Naib juara Pilih Kasih musim kedua, Yuzwan Yunus gelisah kerana masih belum menerima tawaran berlakon daripada mana-mana penerbit atau pengarah sejak sebulan lalu.

Pelakon itu berkata dia tertanya-tanya kenapakah bakatnya dalam dunia seni tidak dipandang sedangkan rakan-rakannya yang lain dalam program serupa sudah ditawarkan berlakon filem dan juga drama.

“Saya sanggup berpindah dari Kuala Lipis, Pahang dan menetap bersama abang saya di Rawang, Selangor untuk memudahkan saya menjalani apa-apa uji bakat dalam bidang seni tetapi sayang sekali ia tidak seperti yang saya harapkan,” katanya.

Yuzwan memberitahu dia turut bertanyakan kepada Rosyam Nor mengenai apa-apa tawaran berlakon tetapi penerbit drama ini memintanya bersabar.

Biarpun risau dengan keadaannya sekarang, Yuzwan tidak menyesal untuk bergelar pelakon dan masih berusaha untuk menerima tawaran berlakon dengan bantuan kawan-kawannya termasuk Shasha Alkred (Pilih Kasih 2) yang mempunyai ramai kenalan dalam industri.

“Antara finalis Pilih Kasih 2, saya seorang sahaja terkapai-kapai mencari kerja sedangkan yang lain sudah berlakon dan sedang menunggu masa untuk penggambaran.

“Sepanjang sebulan ini, saya hanya menganggur dan mencari-cari kerja. Jika perkara ini berterusan sehingga beberapa bulan lagi, mungkin saya akan mencari kerja separuh masa untuk menampung duit poket,” ujarnya yang baru menerima hadiah selepas memenangi tempat kedua Pilih Kasih 2.

Jelasnya, dia tidak kisah untuk berlakon apa jenis watak sekalipun asalkan dia boleh membawa watak tersebut.

“Saya bersedia untuk membawa watak apa sahaja. Saya sanggup melakonkan watak sedih atau watak jahat. Bagaimanapun saya belum pasti sama ada mampu membawakan watak komedi atau tidak,” katanya.

Berduet Dengan Sohaimi : Erra Fazira Tunggu Kata Putus SRC

Erra tunggu kebenaran dari pihak SRC sebelum berduet dengan Sohaimi.

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira, 37, sedang menunggu 'lampu hijau' dari syarikat rakamannya, Suria Records (SRC) untuk berduet dengan penyanyi Sohaimi Mior Hassan menerusi lagu Dalam Berumah Tangga.

Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan tentang hasrat Sohaimi untuk melakukan kolaborasi dengan penyanyi jelita itu setelah kejayaannya berduet dengan Ana Raffali dan Altimet menerusi lagu Kalau Berpacaran.

“Memang saya telah ditawarkan berduet dengan Abang Sohaimi dan saya berkenan dengan lagu tersebut kerana irama yang catchy.

“Tetapi disebabkan saya masih terikat kontrak dengan SRC sehingga bulan Ogos ini, jadi saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.

Sohaimi Mior Hassan.

“Sekarang saya masih menunggu kata putus daripada mereka. Jika mereka bersetuju, baru saya boleh teruskan kepada proses seterusnya,” kata Erra kepada mStar Online.

Dalam perkembangan lain, Erra sedang sibuk dengan program Mentor untuk menggilap bakat protegenya bernama Salma.

Dia juga masih aktif termasuklah sebuah telefilem terbaru Sanggul Beracun untuk Astro Citra.

“Saya memegang watak seorang wanita cacat yang akhirnya mendapat kecantikan setelah membunuh 100 orang suami,” ujarnya lagi.

Erra lebih dikenali di layar perak menerusi filem Sembilu, Maria Mariana, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak dan 21 Hari Mencari Suami.

Album Kompilasi Terbaru Rossa Inspirasi Filem 'Notting Hill'

Rossa

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun sunyi tanpa album, kini penyanyi dari seberang, Rossa muncul dengan album baru, Harmoni: Jalinan Nada & Cerita.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan lagu-lagu kompilasi yang pernah popular serta dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama yang antaranya lagu Tegar, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies.

Menurut Rossa, dia turut menampilkan sebanyak tiga buah lagu baru iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, dan ketiga-tiga lagu tersebut merupakan hadiah buat peminat-peminatnya.

"Sebenarnya album ini diinspirasikan daripada filem kegemaran saya iaitu Notting Hill lakonan Julia Robert yang menampilkan lagu-lagu cinta popular.

"Justeru itu, saya pun nak kumpulkan kesemua lagu-lagu popular saya untuk disatukan dalam album ini.

Rossa melancarkan album barunya, Harmoni:Jalinan nada & Cerita

"Bagaimanapun, tiga lagu baru yang dihasilkan pasti memikat hati para pendengar kerana konsep nyanyian yang pelbagai," katanya pada sidang media pelancaran album Harmoni:Jalinan Nada & Cerita di Restoran IlPrimo, di sini, Rabu.

Tambah Rossa, lagu Ku Menunggu yang dihasilkan dalam bentuk akustik itu mempunyai persamaan dengan lagu Ku Merindu, yang pernah dibawakan oleh Ella dan Shah. Ia menggunakan khidmat komposer yang sama iaitu Mery LC.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu berharap agar tiada sebarang kontroversi yang tercetus hanya kerana persamaan lagu yang dibawakannya.

"Walaupun melodi lagunya sama, lirik dan susunan lagu ternyata berbeza. Saya dapat tahu tentang persamaan ini selepas merakamkan lagu tersebut. Ternyata saya serta Ella dan Shah mempunyai cita rasa yang sama.

"Saya harap lagu ini tidak akan menimbulkan masalah. Lagipun ia seronok untuk dinikmati. Saya merakam lagu ini bukan mahu timbulkan masalah, sebaliknya mahu para pendengar serta peminat senang dan gembira dengan lagu itu," tuturnya.

Freida Pinto Enggan Berlakon Dengan Dev Patel

Dev Patel dan Freida Pinto

AKTRES Freida Pinto yang mula menjalinkan hubungan cinta dengan aktor Dev Patel sejak kedua-duanya membintangi filem Slumdog Millionaire nekad tidak mahu bergandingan dengan Dev lagi untuk mana-mana filem pada masa akan datang.

Ini kerana, Freida mendapati, keserasian dia dan Dev mula hilang. Mereka juga tidak sehangat seperti awal-awal bercinta dahulu.

"Saya tidak mahu bekerjasama dengannya. Bagaimanapun ini tidak bermaksud yang saya sudah tidak ada apa-apa lagi hubungan dengan dia.

"Sebelum ini, Dev juga pernah menyatakan tentang hal ini pada sebuah wawancara tetapi ia disalah ertikan.

"Keputusan ini dibuat ada sebabnya. Sejak digandingkan bersama dalam Slumdog Millionaire, kami menerima pelbagai tawaran yang mahukan kami berdua.

"Saya percaya, jika kami digandingkan lagi, watak yang dibawakan itu pasti tak akan hidup seperti yang diinginkan," katanya.

Tambah aktres berusia 26 tahun itu, dia tidak mahu kerjayanya dibayangi hubungan cintanya bersama Dev.

Sebelum ini, Freida akui, dia terasa amat terganggu dengan kehadiran paparazzi yang mengambil foto mereka.

"Saya kurang senang aqpabila mereka memburu kami semata-mata untuk mendapatkan gambar kami bersama. Lainlah kalau untuk promosi filem," ujarnya.

Mariah Carey Sambut Hari Lahir Dengan Tatu Di Punggung

LONDON: Penyanyi Mariah Carey (gambar) dilaporkan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 dengan cara yang pelik.

Penyanyi yang sarat mengandung itu dikatakan telah membuat tatu rama-rama pada bahagian punggungnya.

Carey yang dijangka bakal melahirkan bayi kembar iaitu lelaki dan perempuan itu mengakui sudah bersedia untuk menyambut kedatangan anak-anaknya ke dunia, demikian menurut laporan yang dipetik daripada laman web femalefirst.co.uk.

Dalam Botol catat kutipan RM1 juta

Filem Dalam Botol menerima pelbagai kontroversi sebelum ditayangkan. Bermula dengan tajuknya yang dikatakan negatif, kemudian pengarahnya pula silih berganti. Akhirnya filem itu diberikan kepada Khir Rahman.

Meskipun dilanda pelbagai kontroversi, namun penerbit filem ini Raja Azmi begitu yakin dengan buah tangan terbarunya ini.

Ternyata, filem itu mendapat respons yang baik. Tidak hanya itu, filem ini berjaya mencapai kutipan sebanyak RM1 juta selama lima hari ditayangkan.

“Saya berbangga dengan filem ini. Hasrat saya untuk berdakwah terlaksana. Masyarakat akhirnya boleh menerima karya saya, apa yang penting mereka tahu apa maksud di sebalik kisah itu.

“Sebagai penggiat filem, saya tidak akan berhenti berkarya. Buat masa ini, saya sibuk dengan skrip filem seterusnya iaitu Anak Ikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Katanya lagi, kesemua filem garapannya adalah berunsurkan nasihat tetapi ada kala masyarakat tidak tahu menilai sentimen nasihat yang cuba diberikan.

“Mungkin filem saya akan datang nanti akan mencetuskan lagi kontroversi, tetapi bukan itu niat saya. Saya hanya nak berdakwah menerusi filem,” katanya.

Katanya lagi, filem terbarunya itu tidak akan ditayangkan dalam masa terdekat dan perlu bijak meneliti mentaliti masyarakat tempatan.

CUN! Karya Terbaik Osman Ali



Jika anda pernah membayangkan bagaimana seorang selebriti popular jatuh cinta dengan orang kampung, maka filem terbaru Osman Ali, CUN! wajar ditonton.

Filem komedi santai ini cuba digarap melalui mimpi indah seorang pemuda kampung yang ingin memiliki cinta artis popular menjadi kenyataan.

Tidak sama dengan dua filem arahan lalunya iaitu Puaka Tebing Biru dan Anak Halal yang lebih serius dan sarat dengan isu di sebaliknya, Osman Ali berkata, CUN! digarapnya secara ringkas dan santai bagi menyentuh hati khalayak filem tempatan.

Kekuatan filem CUN! terletak kepada lawak situasi dan dialog spontan. Tambahan pula sebagai pengarah, Osman Ali tidak begitu mengongkong pelakon dan memberi kebebasan kepada pelakon mereka menjayakan watak.

“Saya cuba menghasilkan kelainan dan memberi penonton sebuah filem bergenre komedi romantik agar lebih dekat dengan hati penonton masa kini.

“Memang CUN! lebih mudah dibuat tapi secara dalamannya ia memang agak sukar untuk dihasilkan kerana bagi saya, jika mahu menghasilkan filem yang mampu menyentuh hati orang ramai, ia bukanlah semudah yang disangka.

“Namun, saya cuba sedaya-upaya untuk rangkumkan segala ilmu yang ada pada diri saya untuk hasilkan sebuah filem yang komedi dan lebih santai,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton CUN! yang diadakan di GSC, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, Osman Ali juga cukup teliti dalam soal memilih pelakon kerana beliau tidak mahu keserasian antara hero dan heroin seperti dibuat-buat.

“Masa pilih pelakon kita kena cari pelakon yang benar-benar sesuai untuk Maya. Selepas pilih Remy Ishak, timbul pula isu untuk mencipta keserasian. Saya perlu memastikan cinta antara mereka berdua benar-benar wujud dalam filem terbabit.

“Sebab saya tidak mahu nampak di layar perak keserasian mereka itu tak asli dan hanya dibuat-buat. Mujur, latihan yang dibuat secara kerap banyak membantu untuk mewujudkan keserasian antara mereka berdua,” katanya.

Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd ini akan membuka tayangannya di 45 pawagam tempatan bermula 31 Mac ini. Dibintangi Maya Karin, Remy Ishak, Jehan Miskin, Faezah Elai, Kartina Aziz dan ramai lagi, CUN! sesuai ditonton semua lapisan umur.

Nenek tujuh cucu dihukum mati


MARIAH menutup muka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi dekat sini semalam selepas didapati bersalah mengedar 92.68 gram dadah jenis heroin pada 2009.

Tertuduh, Mariah Hamad, 49, yang memakai baju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa membacakan hukuman tersebut.

Hakim memberitahu, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah berhubung tuduhan ke atas wanita itu yang mengedar dadah jenis heroin pada 3 Ogos 2009.

Mengikut fakta kes, Mariah didakwa melakukan kesalahan pada tarikh tersebut kira-kira 3.45 petang di pekarangan Masjid Padang Nenas dekat sini dengan membawa satu bungkusan berwarna hitam.

Bungkusan tersebut mengandungi 100 botol plastik yang berisi dadah jenis heroin dengan berat keseluruhan sebanyak 92.68 gram.

Atas kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama iaitu gantung sampai mati.

Menurut Mohd. Yazid, keterangan tertuduh bahawa dia tidak tahu kandungan bungkusan yang diambilnya daripada seorang wanita dikenali sebagai Ida di Stesen Minyak Petronas Rantau Panjang pada hari kejadian adalah tidak benar.

“Mengikut keterangan saksi ketika tertuduh ditangkap dia berada di dalam keadaan terkejut, takut dan pucat,” katanya yang menguatkan tuduhan bahawa tertuduh tahu kandungan di dalam bungkusan tersebut.

Peniaga tak berganjak


PENIAGA makanan meneruskan perniagaan mereka seperti biasa biarpun menerima notis mengosongkan premis mereka di Pasar Besar MPKB, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Mereka sepatutnya mengosongkan bangunan Pasar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) hari ini seperti yang diarahkan notis daripada syarikat pengendali sewa, namun semalam tidak nampak tanda-tanda para peniaga di situ akan berganjak dari premis masing-masing.

Tinjauan Kosmo! di kawasan tersebut mendapati mereka meneruskan operasi seperti biasa baik perniagaan pakaian mahupun makanan dan tidak ada satu pun kedai yang melakukan aktiviti memunggah barang-barang atau berkemas bagi mengosongkan lot perniagaan masing-masing.

Seorang peniaga kain, Wan Azhar Wan Salleh, 39, menegaskan bahawa peniaga-peniaga di situ akan tetap meneruskan perniagaan mereka meskipun telah diberikan notis pengosongan.

Katanya, mereka berpegang kepada janji kerajaan negeri yang memberi tempoh kepada mereka sehingga 31 Mei depan.

“Hujah saya mudah. Kalau sudah janji maka tunaikan sahaja sebab memang itu yang kami harapkan. Kalau janji itu belum terlaksana kami akan terus berada di sini.

“Sudah lebih 10 tahun berniaga di sini, jadi kenapa perlu berpindah? Kerajaan negeri perlu faham dan ambil langkah selesaikannya,” tegasnya.

Geng Aboy curi kereta dicekup


ABD. RAZAK menunjukkan salah sebuah kereta yang dirampas daripada enam suspek pada sidang akhbar di Seri Kembangan semalam.


SERI KEMBANGAN – Kegiatan jahat sekumpulan lima lelaki dan seorang wanita bergelar Geng Aboy yang telah mengaut keuntungan sehingga RM60,000 dengan menjual komponen kereta curi sejak awal tahun ini bertemu buku dengan ruas apabila kesemuanya ditahan baru-baru ini.

Serbuan pukul 4 petang di sebuah rumah di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan di sini pada 21 Mac itu dilakukan hasil risikan polis selepas menerima laporan daripada mangsa yang kehilangan kereta.

Selain itu, tindakan suspek yang mengiklankan komponen curi yang hendak dijual seperti ekzos, enjin dan alat ganti yang sentiasa mendapat permintaan di sebuah laman sesawang turut memudahkan polis mengesan kegiatan mereka.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kegiatan suspek terbongkar apabila pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah bengkel di Taman Medang, Puchong sebelum bakinya ditahan di Taman Puncak Jalil beberapa jam kemudian.

“Modus operandi suspek mengumpil kereta mangsa yang telah dikenal pasti dengan sejenis alat yang diubah suai.

“Suspek kemudian mengiklankan komponen yang telah dileraikan di sebuah laman sesawang untuk dijual. Mereka dianggarkan sudah mengaut keuntungan sebanyak RM60,000,” katanya yang turut merampas empat kereta curi jenis Mitsubishi, Proton Wira, Satria dan Perodua Kancil.

Isteri tekad akhiri derita


SEORANG wanita menunjukkan tingkap rumahnya yang dipalang selepas mendakwa cuba dipecahkan suaminya di Padang Sera, Jitra semalam.


JITRA – “Penderitaan selama saya hidup bersama bekas suami sangat perit dan saya sudah serik. Hanya Allah yang tahu bagaimana seksanya saya sejak bernikah dengan dia (suami) lima tahun lalu.

“Walau apa pun yang terjadi, saya tetap dengan keputusan saya dan tidak akan kembali kepadanya. Muktamad!”

Kata-kata itu diluahkan oleh seorang wanita berusia 34 tahun bagi mempertahankan dirinya selepas dia didakwa membeli surat cerai taklik palsu dari Songkhla, Thailand untuk bercerai dengan suaminya, 43.

Menurut wanita itu, dakwaan itu tidak berasas kerana dia memliki surat itu secara sah daripada The Islamic Committee of Songkhla.

Katanya, dakwaan suaminya mengatakan ia palsu dan dibeli hanyalah omongan kosong semata-mata.

“Suami saya menunjukkan perangai sebenar selepas bernikah. Dia jenis yang panas baran selain suka memukul dan menendang saya jika bertengkar.

“Sejak kami bernikah di Songkhla, Thailand pada 2006, saya terpaksa bekerja untuk menanggung perbelanjaan keluarga sedangkan dia langsung tidak ambil pusing kerana dia tinggal bersama isteri pertamanya di Arau, Perlis.

RM50 juta selenggara kapal selam


KAPAL selam pertama milik Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dianggarkan RM50 juta setahun.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.

Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat semalam, beliau memberitahu, kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn. Bhd..

Jelasnya, kontrak antara kerajaan dan syarikat itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

"Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakannya pada bila-bila masa," katanya.

Malaysia 'mangsa' gempa jiran


PETA menunjukkan kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ada kemungkinan turut menerima kesan jika berlaku gempa bumi kuat di negara-negara jiran.


KUALA LUMPUR – Kajian mendapati Malaysia akan turut berisiko menerima tempias gegaran dari semasa ke semasa sekiranya bencana alam yang teruk berlaku di Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina.

Walaupun negara ini tidak termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik namun fenomena itu diakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains sendiri melalui kajian yang dilakukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, jika gempa bumi melanda Sumatera, sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia akan terasa gegaran manakala Sabah dan Sarawak pula menerima kesan sama jika bencana itu berlaku di Filipina.

“Kepingan tektonik bumi dan titik gempa di negara ini dalam keadaan solid (kukuh) berbanding negara lain yang sentiasa aktif.

“Namun negara ini tidak akan terlepas merasai gegaran sama ada kuat atau sedikit akibat tempias daripada kedua-kedua negara itu dan ia bergantung kepada skala di mana titik gempa di dua negara itu sama ada cetek atau dalam,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Elia Suhana masih isteri Sultan Ismail


ADA sesuatu yang mencuit hati Elia Suhana ketika berbual dengan peguamnya Fakhrul Azman (kiri) di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - "Syukur Alhamdulillah, saya masih lagi isteri baginda. Mahkamah dah buat keputusan dan itulah kebenaran yang mahkamah sahkan. Saya doakan kesejahteraan dan kebahagiaan baginda."

Demikian kata Elia Suhana Ahmad, 32, setelah Mahkamah Rayuan Syariah di sini, semalam membatalkan permohonan Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 5 Disember lalu, menolak permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap Elia Suhana yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.

Keputusan itu bererti, Elia Suhana kekal sebagai isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang bersidang semalam, dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Datuk Daud Muhammad bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Datuk Dr. Johari Mat, membatalkan permohonan Nik Rorhana selaku perayu selepas gagal hadir di mahkamah.

Banjir di Perlis bertambah buruk


KENDERAAN menggunakan laluan yang dinaiki air di persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau semalam.


KANGAR - Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan 2,386 mangsa daripada 593 keluarga dipindahkan ke 25 buah pusat pemindahan yang dibuka kerajaan negeri sejak kelmarin.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid berkata, mangsa di daerah Kangar merupakan paling ramai dipindahkan ekoran banyak penempatan penduduk dinaiki air sehingga paras pinggang.

Bagaimanapun, pihaknya menyifatkan banjir kali ini bukan bencana alam sebaliknya merupakan banjir kilat ekoran hanya di kawasan bandar paling teruk terjejas.

"Taburan hujan sejak 29 Mac lalu mencatatkan taburan tertinggi sekitar 130 milimeter menyebabkan sungai Perlis melimpah di sekitar di bandar Kangar.

"Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih melepaskan air daripada enam Empangan Timah Tasoh ekoran paras air di empangan itu melebihi paras normal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hasrat jadi penyanyi tercapai




SEWAKTU lagu Kau Yang Punya nyanyian Malique Too Phat hangat di corong radio, suara enak penyanyi wanita yang tidak diketahui identitinya menjadi persoalan. Waktu itu, nama Najwa cukup asing bagi penggemar muzik tempatan. Itu kisah lebih setahun lalu.

Namun hari ini, menyebut nama Najwa, terus terbayang sosok tubuh mungil seorang gadis manis yang tidak pernah kering dengan senyuman. Najwa Muhyiddin bukan asing lagi, tetapi suara lunak dengan gaya soulnya selalu dirindui.

Lantas apabila dia muncul dengan album debut penuh miliknya sendiri, ia membangkit keterujaan di hati peminatnya. Diberi nama Innocent Soul, ia adalah sebuah album Inggeris penuh daripadanya.

Saat melancarkan album tersebut di Restoran Ecoba, Kuala Lumpur, baru-baru ini, air matanya tidak dapat ditahan daripada mengalir apabila disoal mengenai perjalanan proses penerbitan album tersebut.

Bukan gimik, bukan juga drama tetapi air matanya itu sebagai tanda betapa besar pengorbanan dan keinginannya untuk melahirkan sebuah album.

“Lama rasanya untuk saya hasilkan album ini. Selepas penat lelah dan berulang-alik di antara Jakarta, Indonesia dan Kuala Lumpur, akhirnya impian saya untuk melahirkan sebuah album tercapai,” tuturnya sambil menguntum senyuman.

Katanya, dia meminati muzik sejak dari kecil dan tidak dapat melupakan persembahan pentas pertamanya untuk hari penyampaian hadiah di sekolah rendah ketika dia berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, demi jaminan masa hadapan dan kepuasan hati ayah bonda, dia terlebih dahulu bergelar siswazah jurusan Kejuruteraan Elektronik yang ditimba di Melbourne, Australia.

Selepas dua tahun menimba pengalaman di bumi kanggaru itu, sekembali Najwa ke tanah air, dia tahu yang dia perlu lakukan sesuatu demi minat dan cintanya terhadap muzik.

Dek kerana minat, dua tahun juga masa dihabiskan di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), Kuala Lumpur, sambil dia mencari peluang dan ruang untuk muncul dengan hasil karyanya sendiri.


TIMBA ilmu. Najwa mengakui dia masih dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan lagu-lagu Melayu.


“Saya bekerjasama dengan Maliq & D'Essentials, band jazz popular di Indonesia untuk lahirkan album ini. April tahun lepas saya terbang ke Jakarta dan berbincang dengan mereka.

“Selepas itu, sekitar bulan Ramadan saya terbang ke Jakarta, untuk proses rakaman. Syukur, kerana mereka memahami apa yang saya mahukan untuk album ini,” balasnya gadis berusia 25 tahun itu lagi.

Apabila disoal mengapa terbang sehingga ke Jakarta untuk merakamkan album, jawab Najwa, dia bukan meragui kemampuan penerbit album di Malaysia, tetapi ketika dia ingin menerbitkan album genre neo soul itu, dia tidak berjumpa dengan orang yang sesuai di Malaysia.

“Genre muzik yang saya pilih, tidak berapa popular di Malaysia, saya tidak mahu ambil risiko sebab itu saya ambil keputusan untuk bekerjasama dengan Maliq & D'Essentials.

“Genre muzik kami lebih kurang sama, jadi bekerjasama dengan mereka akan memberikan nafas yang sama terhadap muzik saya tetapi dengan identiti saya sendiri,” katanya yang merupakan peminat band tersebut.

Tidak perkecil lagu Melayu

Sepuluh buah lagu yang terkandung dalam album sulungnya itu semuanya dalam bahasa Inggeris, namun jauh di sudut hatinya, satu hari nanti dia ingin menghasilkan sebuah album Melayu.

Sungguhpun begitu, Najwa sedar di mana tahap kemampuannya untuk menulis lagu puitis dalam bahasa Melayu.

“Saya akui, saya lebih selasa menulis lagu dalam bahasa Inggeris, sebelum ini saya ada terfikir untuk tulis lagu dalam bahasa Melayu tetapi sedar yang saya tidak berapa bagus untuk menulis sebuah lagu yang puitis dalam bahasa Melayu.

“Buat masa ini saya masih dalam proses belajar membikin lagu, Insya’allah mungkin untuk album akan datang saya akan memuatkan lagu bahasa Melayu,” jelasnya.

Tambah Najwa, album Innocent Soul terlalu istimewa buat dirinya kerana hampir kesemua lagu yang dimuatkan dalam album itu merupakan koleksi peribadinya. Ia ibarat sebuah diari yang dibikinnya sendiri sejak berusia 16 tahun.

“Bukan 100 peratus lagu dalam album ini berdasarkan pengalaman yang betul kerana ada juga berdasarkan pengalaman orang lain,” tuturnya mengenai album yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Sumpahan Kum Kum taruhan terbaru Bob


KANAN: Bob(empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Sumpahan Kum Kum.


SELEPAS mencipta rekod luar biasa menerusi filem komedi seram, Ngangkung yang berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM8.45 juta, Ismail Bob Hasim atau Bob beralih selera kepada filem bergenre seram untuk filem kelimanya, Sumpahan Kum Kum.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bob sebagai seorang pengarah muda telah berjaya meletakkan satu penanda aras untuk pengkarya-pengkarya filem bagi menerbitkan filem yang pecah panggung yang menepati selera penonton.

“Rekod kutipan filem di negara ini ada turun dan naiknya. Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkan tentang kutipan dan kini saya hanya mahu fokus terhadap penggambarannya sahaja,” katanya.

Ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem itu, Bob masih mempunyai baki tiga lagi filem yang belum ditayangkan selepas Ngangkung iaitu Senario The Movie: Ops Pocot, Alamak Toyol dan Bini-Biniku Gangster yang semuanya bercorak komedi.

Bercerita tentang pengarahan filem seram pertamanya itu, Bob tanpa berselindung mendedahkan dia tidak mampu untuk mengelak sekiranya terdapat antara babak filem tersebut yang berkemungkinan boleh bertukar menjadi bahan ketawa penonton.

“Saya buat filem lebih buat tontonan seorang penonton dan saya mahu ia jujur, selain mempunyai unsur ketakutan.

“Saya juga tidak menolak kemungkina akan ada babak yang mampu menimbulkan rasa geli hati kepada penonton meskipun ia merupakan filem seram. Namun, sudah pasti ia tidak akan berlaku kepada keseluruhan filem,” ujarnya.

Sumpahan Kum Kum telah mula menjalani penggambaran bermula 23 Mac lalu di sekitar Ijok serta Kuala Selangor dan dijangka akan selesai dalam masa 24 hari.

Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan konsep penceritaan dan latar cerita yang berbalik kepada era 90-an dan menurut Bob lagi, pemilihan lokasi amat penting kerana ia mampu membantu dalam memberi kesan serta mood lakonan kepada para pelakonnya.

Antara pelakon yang terlibat ialah Fezrul Khan, Putri Mardiana, Farisya Fatin, Lydiawati, Kaza dan dua pendatang baru iaitu Shima Anuar dan Wawa Zainal.

Tip tubuh seksi Son Dambi


SON DAMBI


BINTANG terkenal Korea Selatan, Son Dambi bukan sahaja telah menunjukkan bentuk tubuhnya yang seksi ketika membuat fotografi jenama pakaian sukan Decente baru-baru ini.

Malah aktres, penyanyi dan model itu juga telah memberi tip kepada peminatnya bagaimana untuk mendapatkan bentuk tubuh yang sihat dan mantap.

Pertama, dia menegaskan regim senaman perlu dimulakan dengan latihan angkat berat, sebelum diikuti dengan aerobik dan akhirnya regangan badan.

"Saya sangat berdisiplin dengan regim dan rutin senaman saya. Kalau pada hari saya tidak menjalani latihan di gim, saya akan berjoging di sekitar kawasan kejiranan saya," ujarnya.

Satu lagi regim bagi mengekalkan stamina dan bentuk tubuh yang mantap yang diamalkannya adalah dengan menari.

"Saya menari dan menari kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh selain menjadikan bentuk tubuh kita mantap, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan," ujarnya yang menyukai tarian hip hop dan jazz.

Britain akan bekal senjata kepada pemberontak


PEJUANG pemberontak bergegas menaiki trak ketika berundur dari serangan meriam tentera Gaddafi di antara bandar Ajdabiyah dan Brega.


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam tidak menolak rancangan untuk melengkapkan pihak pemberontak yang memerangi tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan senjata.

"Britain tidak menolaknya, tetapi kami juga belum memutuskan untuk melaksanakan rancangan itu," kata Cameron kepada Parlimen Britain ketika disoal tentang dasar Britain mengenai isu tersebut di sebalik sekatan senjata yang dikenakan ke atas Libya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Cameron, resolusi PBB, termasuk penguatkuasaan zon larangan terbang dan sekatan senjata ke atas Libya, tidak membabitkan operasi membekalkan senjata kepada pemberontak yang memerangi rejim Gaddafi.

"Peraturan PBB jelas, sekatan senjata itu melibatkan semua wilayah Libya," kata Cameron

"Namun, pada masa yang sama, Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 1973 membenarkan semua bentuk tindakan bagi melindungi orang awam dan kawasan penduduk awam. Kami berpendapat, bantuan senjata perlu untuk membantu mereka (pemberontak) melindungi orang awam Libya dalam situasi sekarang," tambahnya.

Pendirian Cameron itu senada dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menimbang untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Libya.

Setakat ini, Perancis turut menyokong rancangan itu tetapi ia ditentang oleh Rusia.

Sementara itu, pihak pemberontak Libya terus berundur semalam apabila mereka dibedil meriam tentera Gaddafi, sekali gus menunjukkan bahawa mereka lemah tanpa serangan udara Barat.

Pengunduran mendadak itu berlaku dua hari selepas tentera pemberontak mara di sepanjang jalan raya pesisir pantai barat Libya untuk memburu tentera Gaddafi.

Tentera pemimpin Libya berusia 68 tahun itu berundur dari bandar Ajdabiyah selepas deretan kereta kebal dan artileri mereka musnah dalam serangan udara Barat selama lima hari.

Mereka kemudian menyerang hendap konvoi pemberontak di luar bandar pemimpin itu, Sirte manakala bandar Nawfaliyah, Bin Jawad dan Ras Lanuf turut jatuh dalam serangan balas tentera Gaddafi.

"Kami hanya memiliki raifal dan mesingan. Kami tidak berdaya menentang meriam serta trak pelancar roket Gaddafi," kata seorang pejuang pemberontak.