Nawal Jes 2

Berkasut tumit tinggi sememangnya menjadi pilihan kebanyakan wanita sebagai pelengkap penampilan seharian khususnya bagi mereka yang sangat menjaga keterampilan serta imej. Tidak kira sama ada pada majlis keramaian mahupun ke pejabat, soal pemilihan kasut adalah antara yang sering menjadi subjek utama kepada kebanyakan wanita.

Menyedari hakikat itu, seorang pereka kasut, Nawal Jes mengambil peluang memperkenalkan bakat kreativiti anugerah ALLAH SWT dengan melahirkan pelbagai rekaan kasut sekali gus menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini, Nawal Jes menggunakan perkhidmatan atas talian sebagai medium promosi dan pemasaran bagi memperkenalkan produk kasut rekaannya kepada umum yang diyakini lebih mudah dan cepat.

Melihat kepada perkembangan dan pulangan perniagaan yang diperoleh menerusi perniagaan yang dikendalikan secara alam maya ini, wartawan NURAINN AZHAR telah mendekati pemilik jenama kasut mula meningkat naik, Nawal Jes ini bagi menyingkap perjalanan perniagaan atas talian yang dikendalikannya.


Obses kasut tumit tinggi

Setiap kali melihat atau menyentuh kasut bertumit tinggi, hati Nawal sering digamit dengan suatu perasaan yang sukar digambarkan dengan satu perkataan kerana ia merangkumi pelbagai rasa seperti seronok, gembira dan kagum.

Walaupun, baru berusia 13 tahun, Nawal telah mula mempunyai imaginasi tinggi dan keyakinan teguh bahawa suatu hari nanti dia juga berjaya menghasilkan kasut rekaan tersendiri dengan ciri-ciri eksklusif dan elegan.

Atas dorongan minat dan desakan keinginan untuk meraih kejayaan dalam bidang rekaan kasut ini, Nawal tekad menjadikannya realiti dan ternyata ia tidak sia-sia kerana kini, Nawal boleh tersenyum gembira kerana kasut rekaannya yang dikomersialkan menggunakan jenama sempena nama sendiri ‘Nawal Jes’ semakin mendapat tempat dan dikenali di kalangan mereka yang gemar membeli-belah secara atas talian.
RM5,000 modal sendiri

Nawal berkata, sebanyak RM5,000 telah dibelanjakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan.

“Dengan modal RM5,000 itulah saya mula mereka, mencipta dan menghasilkan kasut untuk dijadikan contoh. kasut-kasut contoh yang saya reka itu saya anggap ia sebagai koleksi rekaan kasut pertama,” katanya.
Menurutnya, perniagaan yang dikendalikan adalah atas usahanya sendiri tanpa menggunakan mana-mana wang simpanan daripada pihak bank ataupun organisasi lain.

“Semua modal yang diperuntukkan untuk perniagaan ini adalah hasil wang simpanan sendiri dan saya bersyukur kerana produk pertama rekaan yang dikeluarkan mendapat sambutan.

“Pada bulan pertama pelancaran atau pengenalan produk kasut rekaan saya, sebanyak 15 pasang kasut berjaya dijual,” katanya.


Niaga secara alam maya lebih efektif

Nawal berkata, selain blog, laman sosial Facebook (FB) turut digunakan sebagai medium untuk mempromosikan kasut rekaan sekali gus platform yang efektif bagi tujuan pemasaran produk.

“Sebagai salah satu strategi pemasaran, saya telah bekerjasama dengan beberapa pihak yang mengendalikan acara-acara menarik yang saya anggap ia sebagai kerjasama yang sangat membantu.

“Antara acara-acara menarik tersebut adalah seperti dengan ahli-ahli pemuzik dan beberapa pelukis-pelukis terkenal. Secara tidak langsung dengan penggabungan usaha sama ini, jenama Nawal Jes dapat diperkenalkan,” katanya sambil memberitahu dirinya optimis jual lima pasang kasut sehari.


Capai untung RM8,000 sebulan

Nawal berkata, setakat ini perniagaan yang dikendalikan berjaya meraih keuntungan sekitar RM8,000 sebulan.

“Pasaran perniagaan yang dikendalikan tidak hanya fokus di sekitar Lembah Klang sahaja malah tumpuan pemasaran turut diberikan di sekitar Pulau Pinang, Kelantan dan Johor serta di tiga negeri ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

“Selain itu, Nawal Jes turut mempunyai pelanggan luar dari Malaysia dan setakat ini pelanggan tetap luar negara adalah dari New York City, Amerika Syarikat.

Katanya, antara faktor lain kejayaan pemasaran Nawal Jes adalah kerana kecepatan dan kemudahan masyarakat dunia kini mengakses internet selain kemudahan teknologi tersebut yang memberikan penduduk dunia zaman ini melakukan transaksi beli-belah hanya di hujung jari sahaja.

“Dunia beli-belah kini adalah satu pengalaman baru kerana ia tiada sempadan,” katanya sambil memberitahu maklumat yang tersenarai laman-laman kedai sesawang kebanyakannya lebih terperinci dan pelanggan boleh melihat katalog barangan yang disediakan dengan mudah.


Ada tuah

Pemilihan nama ‘Nawal Jes’ adalah sesuatu yang unik di mana ia dianggap sebagai ‘anak emas’ buat dirinya sendiri, dan merasakan ia adalah sebagai aspirasi unggul dan hadiah peribadi untuk diri sendiri.

“Ia adalah sesuatu yang sangat mahal pada saya. Rekaan kasut dihasilkan mengikut hati, apa yang dirasakan itulah yang akan lahirkan menerusi kerja-kerja penghasilan sepasang kasut. Oleh itu, dengan menggunakan nama sendiri sebagai jenama, ia adalah satu penghargaan paling tinggi,” katanya.

Menurutnya, walaupun kini Nawal Jes hanya terkenal sebagai jenama untuk produk kasut bertumit tinggi khusus untuk wanita, sebagai melahirkan aspirasi kecintaan kepada dunia rekaan bercirikan elegan, Nawal berhasrat mempelbagaikan lagi segmen rekaan produk seperti tas tangan dan kasut untuk lelaki.


Manik jadikan rekaankasut unik

Nawal berkata, penggunaan manik pada kasut rekaannya menampilkan perbezaan dan kelainan berbanding kasut bertumit tinggi lain sekali gus memperlihatkan gaya elegan apabila ia dipakai dan digayakan seorang wanita.

Melihat pada rekaan yang dihasilkan untuk setiap pasang kasut, jelas memperlihatkan Nawal begitu sensitif dan peka dengan naluri fitrah kejadian wanita yang sentiasa ingin dilihat cantik, elegan, dan feminin.

Kasut yang ditambah dengan manik unik ternyata menyerlahkan lagi keanggunan seseorang wanita setiap kali melangkah.

“Setiap kasut rekaan saya, setakat ini mendapat sambutan positif daripada pelanggan atas talian dan ia secara tidak langsung memberikan satu keyakinan kepada saya untuk terus mengorak langkah dan maju dalam perniagaan ini,” katanya.


Kasut Nawal Jes ‘is made to fit’

Nawal berkata, dalam mengendalikan perniagaan ini, antara teras yang diberi penekanan dalam setiap rekaan kasut yang dihasilkan adalah bercirikan glamor dan elegan selain selesa dipakai bukan sahaja untuk digayakan di majlis-majlis khas malah untuk dipakai dalam aktiviti harian.

Oleh itu, walaupun harga minimum sepasang kasut Nawal Jes bermula sekitar RM350, ia masih mendapat sambutan.

“Kasut yang dihasilkan adalah 100 peratus buatan tangan dan setiap pelanggan akan mendapat keistimewaan eksklusif kerana setiap kasut yang dihasilkan adalah mengikut saiz kaki supaya memastikan kasut yang dihasilkan is made to fit’,” katanya.