Sunday, December 11, 2011

Ikhlas, jujur pegangan Meer Sadik

MESRA...Meer bersama kakitangannya.
MESRA...Meer bersama kakitangannya.

HANYA jauhari mengenal manikam dan ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi dua pepatah lama yang tepat menggambarkan generasi kedua keluarga Habib yang sinonim dengan perniagaan emas Habib Jewels.

Bermula sebagai sebuah kedai emas kecil di Pitt Street, Pulau Pinang yang diasaskan Habib Mohamed Abdul Latif pada 1958 sebagai perniagaan keluarga, persaingan ketika itu dengan deretan kedai emas lain sememangnya bukan sesuatu yang mudah.

  • Foto

    MEWAH...antara koleksi barang kemas terkini Habib.

  • Foto

    OPTIMIS...mementingkan kualiti dan menjual emas pada harga berpatutan.

Boleh dikatakan setiap kedai mempunyai kelebihan tersendiri, namun perniagaan dengan nama Haji MA Habib Mohamed Sdn Bhd ini mempunyai aura tersendiri.
Benarlah kata orang, keikhlasan serta kejujuran penting dalam sesebuah perniagaan.

Daripada perniagaan kecil, syarikat ini berkembang menjadi Habib Corporation Berhad - petukang barang kemas Malaysia pertama disenaraikan di bursa saham pada 1998 di bawah kelolaan anak lelaki tunggal keluarga Habib.

Kini selepas 25 tahun meneruskan legasi bapanya, Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk Meer Sadik Habib boleh berbangga dengan pencapaian luar biasa produk emas keluaran syarikatnya.

Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987, Habib kini menjadi antara pelopor perniagaan barangan kemas dengan 24 cawangan seluruh negara, dua kilang di samping lebih 600 kakitangan terlatih dan profesional.

Mengakui bukan mudah berada pada tahap sekarang, Meer menjelaskan, paling penting dalam perniagaan adalah ikhlas dan jujur iaitu prinsip bapanya yang dipegang hingga kini.

“Dalam perniagaan, kami bukan hanya menjual barang tetapi pada masa sama menjadi perunding kepada pelanggan mengenai emas, permata dan berlian yang terbaik untuk mereka.

“Pada saya, jika mahu berniaga, kita harus melengkapkan diri dengan pengetahuan supaya mudah menjadi rujukan kepada pelanggan apabila mereka memerlukan perkhidmatan tertentu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Habib di Ampang Point, Kuala Lumpur.

Mungkin juga reka bentuk terkini dan motif flora khas untuk wanita menyebabkan ia sering dikunjungi dan menjadi pilihan biarpun ada deretan kedai emas yang tidak kurang hebatnya.

Selain itu, layanan baik dan ikhlas menyebabkan jenama Habib kekal utuh hingga kini dengan pelanggannya daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Ramai beranggapan produk Habib hanya untuk golongan kaya dan ternama.
Sebenarnya produk Habib untuk semua. Kami menjual emas, permata dan berlian dengan kualiti antarabangsa berserta harga berpatutan.

“Habib Jewels mementingkan kualiti dan rekaan berlian terkini dalam usaha memastikan ia memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

“Melalui pengiktirafan antarabangsa, Habib Jewels menjadi entiti perniagaan yang dipercayai pelanggan, termasuk di Eropah, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Semangat kerja profesional dan mementingkan mutu rekaan serta kajian pasaran yang berterusan menjadikan syarikat itu bertahan dan pesaing yang kompetitif dalam industri ini hingga disenaraikan sebagai perniagaan berasaskan hiasan berlian terbesar Malaysia.

Bagi terus memperkukuhkan jenama dan memperkembangkan rantaian perniagaan, Habib Jewels turut menjalin kerjasama dengan pengeluar berlian hiasan antarabangsa seperti koleksi Queen’s Heart dan Hearts on Fire daripada Amerika Syarikat di samping menyertai pameran perdagangan, termasuk di Asia Barat dan Eropah.

Ditanya mengenai persaingan yang semakin sengit serta kewujudan banyak kedai emas seperti cendawan tumbuh lepas hujan, Meer mempunyai pandangan dan cara tersendiri menangani isu berkenaan.

“Tidak dinafikan, untuk mencapai tahap seperti sekarang, kerja keras sangat diperlukan selain kejujuran. Yang membezakan Habib dengan jenama lain adalah kami tidak sekadar menjual, sebaliknya memberi rundingan kepada pelanggan.

“Disebabkan itu, tidak hairan kami mempunyai pelanggan setia kerana yakin mutu dan kualiti ditawarkan terhadap mereka.

“Kami juga akan cuba membantu apa yang termampu untuk pelanggan mencapai kepuasan apabila membeli barangan Habib,” katanya.

Sebagai syarikat terkemuka dalam industri barang kemas di Malaysia dan bidang kepakaran merangkumi pemborongan, jualan, pengeluaran, pemasaran serta francais, Habib komited dan mampu menawarkan berlian kualiti bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan.

Selain menjual barang kemas dan berlian, Habib menubuhkan pajak gadai berteraskan syariah bercagarkan emas dan berlian, Ar-Rahnu Time Zone Sdn Bhd, (Ar-Rahnu).

Pajak gadai ini diharap dapat membantu masyarakat yang memerlukan kewangan selain membeli balik barangan kemas yang mungkin tidak ditawarkan di tempat lain. Ia diwujudkan khas bagi memberi kemudahan kepada pelanggan, terutama yang terdesak memerlukan wang.

Ar-Rahnu Time Zone adalah 100 peratus milik Habib Jewels dan beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan cawangan di Ampang.

Lumrah berniaga pasti ada pasang surutnya. Syarikat itu tidak terkecuali menghadapi situasi berkenaan, namun dapat diatasi sebaik mungkin.

Menurut Meer, pekerja di Habib Jewels tidak hanya tertumpu kepada satu bidang bagi memastikan mereka menjadi pekerja serba boleh.

“Misalnya, pekerja bahagian perakaunan tidak hanya mengira keuntungan syarikat tetapi turut sama turun padang membuat jualan. Seperti saya, meskipun bergelar Pengarah Urusan, tetapi masih turun padang membuat jualan.

“Cara seperti ini bukan saja inisiatif terbaik menambah ilmu, tetapi juga dapat mengetahui keluhan atau bertukar-tukar pendapat dengan pelanggan mengenai produk yang mahu dibeli selain mendekatkan diri kepada mereka,” katanya.

Demi kepuasan pelanggan, Habib memberi 100 peratus komitmen meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi mengenal pasti kehendak pasaran dan berusaha bekerjasama dengan pereka antarabangsa mengeluarkan barang kemas bertaraf dunia khusus untuk pasaran domestik dan luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: