HANYA-40

GELANG PATAH – “Saya buat laporan polis bukan kerana RM40, tapi ini soal hukum selain tidak mahu orang lain mempergunakan nama saya,” luah seorang warga emas, Sahar Bujang, 69, yang mendakwa masih tidak menerima wang zakat daripada seorang ketua unit dilantik oleh sebuah pertubuhan awam.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, beliau menerima wang zakat daripada pertubuhan berkenaan dan mengakui tidak pernah menghadapi sebarang masalah sebelum ini namun individu bertanggungjawab bukan orang yang sama.

“Saya sudah menunggu wang zakat berkenaan sejak bulan puasa lalu (Ogos), apabila rasa ada yang tidak kena, saya turut mengadu kepada jawatankuasa unit pertubuhan berkenaan untuk kepastian,” katanya.

Beliau mengakui terkejut selepas dimaklumkan wang berkenaan telah diserahkan kepada ketua unit oleh pihak bertanggungjawab pada Ogos lalu, malah hasil pemeriksaan juga mendapati namanya tersenarai.

“Saya tidak berkesempatan menemui lelaki berkenaan untuk mendapatkan kepastian namun hasil maklumat daripada jawatankuasa itu mereka memaklumkan ada empat penerima lagi yang senasib,” katanya.

Sahar turut memberi peluang kepada lelaki itu menyerahkan wang zakat untuknya selama tiga bulan namun peluang diberikan tidak dimanfaatkan membuatkannya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Gelang Patah pada 15 November lalu.

“Semalam (kelmarin) lelaki itu datang ke rumah dan meminta saya mengambil sampul surat yang dihulurkan kerana mendakwa berisi wang zakat berkenaan namun menolaknya dengan baik kerana ia telah menjadi kes polis,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu turut meminta Sahar menandatangani borang sebagai pengakuan menerima wang zakat daripada pertubuhan berkenaan selain meminta anaknya menjadi saksi bahawa pembayaran telah pun diberikan.

“Memang diakui nilai wang zakat berkenaan tidak membabitkan jumlah besar, tujuan saya membuat laporan polis dengan harapan ia menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak mengambil kesempatan terhadap amanah yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jawatankuasa, Ramli Othman, 46, mengakui kesal dengan tindakan lelaki berkenaan dan satu laporan polis dibuat timbalan ketua unit berkenaan sebagai bukti mereka tidak terlibat dalam masalah itu.

“Kami turut mendapatkan nama dan cap jari daripada kesemua penerima yang menghadapi masalah seperti Sahar. Selain itu ada di antara kami turut meminta penjelasan daripada lelaki itu tapi jawapan diberikan tidak memuaskan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hisham Mohamad mengesahkan menerima laporan terbabit termasuk laporan daripada pertubuhan berkenaan, beliau juga menyarankan Sahar merujuk kepada pihak bertanggungjawab berkenaan dakwaan berlaku penyelewengan.