Tuesday, December 13, 2011

Bukan katak di bawah tempurung


Program Rasa Halal yang memasuki musim keenam masih mengekalkan khidmat Farah sebagai pengacara.


FARAH Diana Anuar atau lebih dikenali sebagai Farah AF mula mencipta nama dalam bidang nyanyian setelah menyertai program realiti televisyen (TV), Akademi Fantasia pada tahun 2004.

Walaupun hanya menduduki tempat keempat pada program tersebut, Farah sudah memiliki dua album iaitu Antara Dua yang diterbitkan pada tahun 2005 dan Fantasia, 2009.

Namun, rezeki Farah tidak menjurus ke arah bidang nyanyian semata-mata sebaliknya bintangnya mula bergemerlapan setelah semakin melibatkan diri dalam bidang pengacaraan.

Justeru, selain menjadi pengacara untuk rancangan pagi terbitan stesen TV9, Nasi Lemak Kopi 0, Farah kini dikenali pula sebagai pengacara program Rasa Halal, terbitan Astro Oasis.

Rasa Halal adalah sebuah rancangan travelog yang membawa penonton mengembara ke negara-negara luar sambil memperkenalkan masakan tradisonal masyarakat setempat yang halal.

Selain itu, rancangan ini juga memberikan maklumat berhubung kawasan untuk solat bagi pelancong beragama Islam yang berminat untuk melawat ke negara yang disiarkan melalui rancangan tersebut.

Musim pertama Rasa Halal, Farah telah membawa penonton menjelajah ke Xian, China yang mana, sambutan ke atas episod tersebut amat memberangsangkan.

Dari situ, Farah diberi peluang untuk meneruskan tugasnya sebagai pengacara Rasa Halal sehingga ke musim terbaru yakni keenam.

Selain Xian, program ini juga telah membawa Farah menjelajah sehingga ke Taiwan, Hong Kong, Kemboja dan juga Vietnam.

Memasuki musim keenam, program ini bakal membawa penonton mengembara bersama ke Laos dan Thailand dan telah pun mula bersiaran pada 6 Disember lalu.

Menyelami penglibatan Farah dalam bidang pengacaraan, wanita ini berkata, pengalaman yang ditimba menambahkan lagi minat terhadap bidang pengacaraan.

“Peluang untuk menjadi pengacara membawa saya ke tempat-tempat yang belum pernah saya lawati sebelum ini.

“Pelbagai negara telah saya pergi dan ini sekali gus mendedahkan saya kepada pengalaman yang pastinya tidak akan saya lupakan.

“Melalui bidang ini juga, ia banyak menambah ilmu yang dimiliki kerana menjadi pengacara memerlukan kita banyak membaca serta membuat kajian sebelum memulakan tugas.

“Selain itu, benarlah kata orang bahawa jauh perjalanan, luas pandangan kerana kita berpeluang bertemu dengan macam-macam jenis orang dan ragam serta mengenali sejarah dan budaya yang berbeza.

“Semua itu banyak membantu saya dalam mematangkan diri bukan hanya sebagai seorang pengacara, tetapi juga sebagai seorang wanita,” katanya kepada Hits.

Wanita ini yang baru melangsungkan perkahwinannya pada 15 Julai lalu juga berkata, antara pengalaman yang memberikan impak terbesar kepadanya ialah pada musim pertama apabila mereka singgah di bandar Xian.

“Semasa di sana, kami singgah di sebuah perkampungan Islam. Masjid di sana cukup unik dan alunan azannya juga berbeza.

“Ketika itu, saya merasa cukup tersentuh kerana berpeluang berjumpa dengan saudara seagama walaupun berada beribu-ribu batu jauhnya daripada tanah air.

“Saya bukanlah seorang yang suka berjalan pada asalnya, tetapi peluang untuk melihat pelbagai budaya yang terdapat di sekeliling kita sudah mengubah pendirian itu.

“Jikalau berpeluang, saya nasihatkan kepada orang ramai agar mengambil kesempatan yang ada berjalan ke negara orang.

“Pastinya kita tidak akan kesepian kerana masyarakat beragama Islam berada di mana-mana sahaja dan mereka juga akan menerima kehadiran kita dengan tangan yang terbuka,” jelasnya lagi.

Setelah bersiaran selama enam musim, pastinya ada kelainan yang ingin ditampilkan oleh pengacara ini yang juga penyanyi lagu tema program Ustazah Pilihan, Warisan Hawa.

Katanya, yang kali ini bukan sahaja akan tampil dengan imej yang lebih santai dan bersahaja, tetapi juga memaparkan kematangannya dalam mengendalikan rancangan tersebut.

Belum Rezeki

Dalam setiap perkahwinan, pastinya kehadiran cahaya mata antara sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Begitu juga dengan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini, apabila tiba soal cahaya mata, dia juga ternanti-nantikannya.

Pasti ada pihak yang tertanya apakah Farah dan suaminya, Johan Johari bakal menimang kehadiran orang baru dalam keluarga mereka apatah lagi perkahwinan mereka kini sudah menghampiri tempoh lima bulan.

Wanita yang pernah memenangi anugerah Artis Harapan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-12 ini berkata, sehingga kini, mereka masih belum dikurniakan rezeki.

“Kami sememangnya tidak merancang kerana segalanya terserah kepada takdir.

“Anak adalah rezeki yang sememangnya dinantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin, jadi kami memang mempunyai harapan tersebut.

“Apatah lagi tahun depan Farah sudah memasuki 27 tahun, kalau boleh biarlah dapat timang anak secepat mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: