Tuesday, December 13, 2011

Berhabis untuk barangan antik


Radio Sharp keluaran 1980 antara barangan antik kesayangan Mohamed Azme Ariffin.


SAYA tidak sangka pertama kali menjejakkan kaki di Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman bersama seorang rakan 10 tahun lalu telah meninggalkan kesan dalam hidup saya.

"Sebelum ini barang antik yang dianggap tidak mempunyai nilai, ternyata telah berubah menjadi satu aset yang begitu berharga untuk disimpan dan dimiliki".

Itulah adalah perkara diingati oleh Ketua Jurulatih Seni Mempertahankan diri (Karate) Pusat Latihan Polis (Pulapol), Sarjan Mejar Mohamed Azme Ariffin, 53, selepas bertanyakan mengenai hobinya yang gemar mengumpul barangan antik.

Walaupun pada suatu ketika dahulu beliau tidak pernah terfikir untuk mempunyai hobi tersebut, tetapi kini dia sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan barangan antik dari dalam dan luar negara.

Selain itu, beliau juga meminati pelbagai jenis senjata pelbagai bentuk walaupun digunakan untuk aktiviti di dapur bersama isteri dan rakan-rakan.

Walaupun aktivitinya itu dilihat pelik, namun bagi anak kelahiran Muar, Johor itu, hobi mengumpul barang antik tersebut memberi kepuasan tidak ternilai bagi pencinta barang lama sepertinya.

"Seluruh ahli keluarga terutama isteri, sentiasa memberi sokongan dan amat menyukai hobi saya, malah jika dihias di rumah akan kelihatan lebih berseri.

"Saya akan dimarah isteri sekiranya barangan tersebut tidak kemas dan diletakkan di tempat sepatutnya," katanya ketika ditemui di Pulapol Jalan Semarak di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai hobi mengumpul barangan antik itu, beliau berkata, di antara barangan yang menjadi kegilaannya adalah mengumpul wang antik dari luar negara.

Beliau berkata, wang Sukarno 1964 dan wang berlogo bekas Perdana Menteri Iraq, Saddam Hussein yang tidak boleh didapati sekarang amat disayanginya kerana mempunyai nilai tersendiri.

"Kesemua wang itu diperolehi dari seorang teman lama yang merupakan pengumpul wang lama dari 1950 sehingga 1960 dan kesemuanya masih berada di dalam keadaan baik.

"Saya masih mencari wang dari Libya pada 1960 kerana ia amat susah dijumpai dan kebanyakan kedai yang menjual barangan antik masih tidak dapat keluaran wang tersebut.

"Seperti mana sikap pengumpul barangan antik yang sentiasa dahagakan barangan yang sukar dicari, saya akan berusaha mencarinya (wang dari Libya)," katanya.

Beliau memberitahu, selain daripada koleksi wang lama dari luar negara, barangan antik lain juga turut menjadi perhatiannya dan antaranya adalah radio keluaran Sharp pada 1980, kamera Olympus 1986, beberapa peralatan senjata seperti pisau dan badek selain kunci antik.

"Saya mempunyai tiga buah radio lama dan satu daripadanya diberikan oleh seorang rakan yang tidak mahu menggunakannya lagi, manakala kamera pula dibeli dari sebuah kedai kamera di Plaza Pudu kerana ia boleh disimpan sebagai kenangan.

"Kunci turut dikumpul dan di antaranya adalah Ber-merk Walden Worcester yang merupakan keluaran Amerika Syarikat.

"Selain itu, pelbagai senjata seperti pisau dan badek yang dibeli dari pelbagai tempat seperti Sabah dan Perak kerana ia mempunyai mutu dan berbentuk unik. Bagi saya, ia juga lebih baik daripada senjata dari luar negara yang cepat tumpul.

"Walaupun kesemua barangan tersebut tidak boleh digunakan, namun ia mempunyai nilai sentimental tersendiri dan mengingatkan kita kembali kepada zaman dahulu, tambahan ia merupakan barangan pertama yang dibeli," katanya.

Menurut bekas juara karate PDRM itu, dia sentiasa ditemani isterinya yang tercinta untuk keluar mencari barangan antik pada hujung minggu.

Tambahnya, kadang-kadang isterinya itu yang bersemangat mengajak beliau untuk mencari barangan antik untuk dijadikan sebagai barangan perhiasan di rumahnya.

"Jika saya tidak mempunyai sebarang aktiviti di hujung minggu, tempat yang menjadi tumpuan membeli barangan antik adalah di Pasar Karat di Sri Petaling kerana terdapat pelbagai barangan lama yang baru sampai dari pelbagai negeri dan negara.

"Tambah pula ditemani oleh isteri, saya berasa lebih seronok untuk mengumpul barangan antik ini dan ia akan sentiasa menjadi pengubat tekanan ketika bekerja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: