adele

Sana-sini orang memperkatakan mengenai vokalnya yang cukup memukau. Pelantun lagu Someone Like You, Adele atau nama sebenarnya Adele Laurie Blue Adkins, 23, kini cukup disegani bukan sahaja dalam kalangan peminat, malah selebriti terkenal antarabangsa turut mengagumi vokalnya.

Memiliki badan yang agak ‘berisi’ bukanlah penghalang untuknya dikenali sebagai penghibur yang hebat.

Buktinya, penyanyi dan penulis lagu ini telah diiktiraf bakatnya dengan menerima tiga anugerah iaitu Artis Kontemporari, Artis Wanita Pop Rock dan Album Pop Rock semasa American Music Awards 2011 yang diadakan pada 20 November lalu, di Los Angeles.

Menelurusi sejarah hidupnya, penyanyi kelahiran England ini bukanlah berasal dari kalangan keluarga yang menceburi bidang muzik. Biarpun begitu, keluarganya sentiasa menyokong minatnya yang mendalam terhadap bidang seni suara.

Menurut Adele, pernah suatu ketika, ibunya sanggup menguruskan persembahan pentas untuknya di rumah dengan dihadiri oleh rakan-rakan ibunya sebagai penonton.

Seawal usianya empat tahun lagi, Adele sudah menunjukkan minat dalam bidang muzik dan nyanyian. Membesar bersama lagu-lagu kumpulan Spice Girls, Adele tidak terkecuali dipengaruhi dengan konsep dan muzik kumpulan yang terkenal di era 90-an itu.

Dalam pada itu, anak kepada pembuat perabot ini turut meminati penyanyi British, Gabrielle, yang terkenal suatu ketika dahulu.

Suatu hari, rakan bapanya yang bekerja sebagai penerbit tarian terdengar Adele menyanyi dan memuji keunikan suaranya. Lantaran itu, semangat Adele untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian semakin berkobar-kobar.

“Sebaik sahaja memegang mikrofon, saya dapat rasakan masa depan saya adalah dalam bidang muzik,” katanya yang menyukai genre R&B.

MySpace medium pertama

Bakat Adele mula dikesan sewaktu menuntut di The BRIT School. Memasuki sekolah yang berjaya melahirkan artis-artis terkenal seperti Amy Winehouse, Kate Nash dan Leona Lewis, Adele tidak pernah lupa kepada jasa sekolah yang telah mengajarnya asas menjadi penghibur.

“Di sekolah ini, saya berkenalan dengan penyanyi terkenal Shingai Shoniwa yang menjadi vokalis band The Noisettes.

“Duduk berjiran dengan Shoniwa membolehkan saya menggunakan peluang itu untuk membuat latihan muzik dengannya. Di saat itu juga, Shoniwa menyedarkan saya untuk menjadi penulis lagu, bukan sekadar mendendangkan lagu Destiny’s Child sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Bagi memantapkan lagi perjalanan seninya, Adele membuka satu akaun MySpace dan meletakkan lagu-lagu ciptaannya untuk mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan di laman sosial itu.

Percaturannya meletakkan lagu dendangan sendiri ternyata menjadi apabila semakin dikenali sebagai penyanyi online.

Bakatnya tidak hanya tersekat di situ apabila pelantun lagu Rolling In The Deep ini berpeluang mengadakan persembahan jelajah bersama Jamie T, Jack Penate dan Davendra Banhart pada Mei 2006.

Melalui label indie Jamie T, Pacemaker Records, Adele berjaya mengeluarkan album bertajuk Hometown Glory yang hanya boleh didapati dalam format vinil tujuh inci.

Saat albumnya dikeluarkan, ramai yang menunjukkan minat untuk menandatangani kontrak dengannya.

Namun, Adele membuat keputusan menerima tawaran XL Recordings dan terhasillah album 19 di United Kingdom (UK) pada Januari 2008 di mana

Adele merakamkan album ketika berusia 19 tahun.

Album itu berjaya mencetuskan fenomena apabila melonjak ke tangga pertama dalam carta Album UK berbekalkan populariti single pertamanya, Chasing Pavements.

Kejayaan demi kejayaan diraih. Bakat Adele semakin dipandang apabila berjaya menggondol trofi Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik dalam Grammy Awards 2009. Dalam pada itu, penyanyi wanita ini juga turut menerima pencalonan bagi Album Terbaik dan Lagu
Terbaik pada anugerah sama.

Tahun ini, Adele semakin melebarkan pengaruhnya melalui penghasilan album kedua berjudul 21 yang mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia.

Ilham cipta lagu akibat putus cinta

Berada di puncak kejayaan ketika itu tidak pernah membuatkan Adele mendabik dada. Dalam pada sibuk menempuhi onak ranjau bergelar penyanyi, Adele akui, mendapat idea mencipta lagu gara-gara gagal dalam bercinta.

“Berpisah dengan kekasih adalah amat menyakitkan. Disebabkan itu juga saya boleh jadi seperti sekarang. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada bekas kekasih kerana tanpa beliau, tidak mungkin saya sampai ke tahap ini.

“Jika dilihat kepada lirik lagu yang saya hasilkan, kebanyakannya menggambarkan sakitnya bercinta. Lagu Someone Like You amat bermakna bagi saya. Setiap kali menyanyikan lagu itu saya pasti sukar mengawal emosi kerana teringat pada dia,” katanya.

Peristiwa putus cinta ternyata memberi ruang kepada gadis ini untuk menghasilkan karya terbaik bagi dipersembahkan kepada peminatnya.
Terbaru, penyanyi berbintang Taurus ini dianugerahkan sebagai Artis Terbaik carta akhir tahun 2011 oleh Billboard.