
JENAMA jam tangan terkemuka dunia, Omega memperkenalkan koleksi Planet Ocean terbaharunya bagi memenuhi permintaan penggemar sukan air dan penaklukan lautan dalam dengan mengetengahkan reka bentuk eksklusif dan berteknologi terkini.
Pembikinan penuh teliti jam tangan dengan gabungan teknologi seperti seramik biru dan liquidmetal itu mampu memberikan alternatif kepada penggemar aksesori tangan yang sentiasa dahagakan kelainan.
Naib Presiden Omega Asia Tenggara, David Ponzo berkata, pengkhususan pembikinan jam tangan pertama digunakan untuk aktiviti selaman telah dibangunkan sejak tahun 1972.
"Melalui koleksi terbaharu ini, kita telah mengetengahkan teknologi terkini dan reka bentuk menarik dalam memenuhi kehendak pengguna.
"Antara bahan-bahan berkualiti tinggi yang digunakan dalam pembikinan jam tangan baharu ini termasuklah penggunaan teknologi gabungan liquidmetal dan seramik," katanya semasa melancarkan koleksi Planet Ocean di The Club Saujana Resort di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, bintang filem antarabangsa terkenal merangkap duta jenama Omega, Simon Yam turut memeriahkan suasana bersama 120 tetamu yang lain.
Beliau menambah, salah satu pilihan utama dalam koleksi terbaharu itu adalah Seamaster Planet Ocean Kronograf 45.50 milimeter (mm) titanium liquidmetal sekali gus membuatkan ia berbeza berbanding jam tangan sebelum ini.

Katanya, rangka jam tangan bersaiz 45.50 mm mempunyai seramik bezel berwarna biru yang menarik malah dimensi dan nombor-nombornya diperbuat daripada aloi zirkonium yang dipanggil liquidmetal.
"Selain itu, terdapat juga Seamaster Planet Ocean Kronograf 45.50mm yang dilengkapi dengan Omega co-axial. Ia merupakan kronograf pertama dalam revolusioner keluarga pergerakan co-axial dalaman jenama ini.
"Seperti pergerakan co-axial yang lain, jam tangan berkaliber 9,300 ini mempunyai corak hiasan yang dikenali sebagai Cotes de Geneve di Arabesque. Fungsi zon masa dalam pergerakan itu bermakna penanda jam boleh diselaras tanpa memberhentikan jam tangan, satu ciri yang amat berguna untuk pelancong," katanya.
Kronograf yang menakjubkan ini mempunyai rangka keluli tahan karat berukuran 45.50mm dengan pilihan bezel yang ditawarkan sama ada dalam warna oren kusam aluminium atau seramik hitam kusam dan hitam kusam.
Bagi yang gemarkan kemewahan, terdapat juga versi ditawarkan dengan bezel keluli tahan karat yang dilengkapi 42 berlian yang berjumlah 2.69 karat.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian koleksi jam tangan Planet Ocean Omega sila layari laman web www.omegawatches.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: