
Siapa sangka dengan hanya mengeja secara tepat perkataan ‘Edifice’ membawa kejayaan kepada murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang, Melaka, Wong Zhu Chi, 11, yang dinobatkan Sebagai Juara Mengeja Kebangsaan 2011, baru-baru ini.
Pada pertandingan anjuran bersama majalah Knowledge Discovery dan Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Champs, Zhu Chi menewaskan 48 peserta lain dari seluruh negara.
Manakala tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik dua peserta dari Kuala Lumpur iaitu Yashin Kumar a/l Anil Kumar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Audrie Au Yue Min dari SJKC Taman Connaught.
Hadir merasmikan majlis yang berlangsung di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur, tersebut ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Kah Siong.
Ketika ditemui, Zhu Chi memberitahu, dia tidak menyangka dirinya terpilih dan dinobatkan sebagai pemenang.
“Melihat peserta-peserta lain yang hebat-hebat membuatkan saya tidak yakin dengan diri sendiri,’’ ujarnya.
Kata anak sulung daripada empat beradik ini, mengakui hampir putus asa apabila juri memberikan perkataan tersebut.
“Memang di pentas tadi saya kecewa kerana tidak yakin dengan jawapan yang diberikan, lagipun perkataan yang diberikan tidak diketahui maksudnya,’’ ujarnya.
Bagaimanapun, terangnya dia cuba meyakinkan juri dengan jawapan yang diberi dan terbukti ejaan yang diberi betul.
Kejayaan tersebut telah melayakkan Zhu Chi membawa pulang sebuah trofi kejohanan, sijil, Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai RM1,000, pakej percutian, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital, set alat tulis serta langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun.
Ditanya persediaan untuk menghadapi pertandingan, Zhu Chi memberitahu, dia hanya mengambil masa seminggu untuk menghafal perkataan-perkataan yang susah untuk dihafal.
“Dalam tempoh seminggu sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa bersama kamus untuk menghafal dan mencari perkataan yang sukar,’’ ujarnya yang suka membaca buku cerita dan bermain piano.
Malah setiap hari selepas pulang dari sekolah, kamus dan buku cerita adalah peneman setianya dan setiap hari dia akan memastikan untuk menghafal 100 perkataan yang susah .
“Setiap hari saya akan pasti antara lima atau tujuh buku dihabiskan untuk dibaca, keadaan ini penting bagi memastikan saya banyak mengetahui perkataan-perkataan penting,’’ ujarnya tenang.
“Biasanya setiap bulan ibu akan membelikan buku-buku baru kepada saya untuk di baca,’’ ujarnya yang berminat untuk menjadi chef terkenal suatu hari nanti.
Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya memberitahu, pertandingan tersebut memberi motivasi kepada murid untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan belajar untuk mengeja dengan betul.
“Pertandingan ini sejajar dengan matlamat KPM untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di kalangan murid di negara kita,” katanya.
katanya lagi, program tersebut boleh menggalakkan kanak-kanak untuk meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan kefahaman, mengeja juga boleh menanam minat membaca sejak kecil.
“Penganjuran pertandingan mengeja ini menjadi penggalak bagi murid untuk meningkatkan keupayaan mengeja dan membaiki kefasihan bahasa Inggeris mereka dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang minat membaca,” katanya.
Penguasaan bahasa Inggeris amat penting pada masa kini kerana ia merupakan elemen utama untuk anak-anak kita mengembangkan pengetahuan mereka di peringkat global.
Sementara itu, Pengarah Bahagian CCM Pharmaceuticals, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pertandingan tersebut menawarkan saluran terbaik kepada murid-murid bagi menguji kemahiran mengeja dan membaiki penguasaan bahasa Inggeris selain memperkuatkan keyakinan diri dalam menghadapai persaingan.
“Peserta perlu mempunyai ketekunan, disiplin dan juga keyakinan untuk naik ke pentas berdepan dengan penonton dan pesaing lain.
“Menerusi cabaran ini, kami berharap untuk menerapkan nilai dan tabiat yang baik di kalangan murid dan meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka sambil memberi permulaan yang baik dalam segala usaha mereka pada masa hadapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: