Sorakan dan tepukan gemuruh penonton sepanjang persembahan kumpulan Osbon, menggamatkan dewan Royal Theater Selangor.
Bertemakan cinta, Osbon menjadi peserta yang paling berjaya mencuri tumpuan penonton dalam persembahan minggu keempat Maharaja Lawak Mega (MLM), malam Jumaat lalu.
Sebaik sahaja muncul di pentas, kumpulan yang diterajui dua pelawak senior, Os dan Abon ini sudah mengundang gelak tawa penonton tanpa henti.
Masakan tidak, lakonan mereka sebagai pasangan pengantin, benar-benar mencuit hati penonton.
Melihat Abon sebagai pengantin perempuan dengan gaun berwarna putih tanpa berambut palsu, sudah cukup membuatkan sesiapa saja melihatnya tergelak panjang.
Ditambah pula dengan lawak bersahaja Os sebagai pengantin lelaki, menggamatkan lagi suasana. Menggunakan pelamin sebagai prop, kesungguhan mereka turut mendapat pujian menggunung daripada juri tetap, Zainal Abidin Hasan.
Malah jalan cerita yang dipersembahkan mereka juga sangat menarik. Kisah cinta Facebook, memberi impak besar terhadap penonton. Bukan sekadar hiburan semata-mata, ia turut menyelitkan mesej berguna kepada masyarakat. Sekali gus memperlihatkan lawak Osbon, bukanlah sekadar lawak kosong.
Pantun jadi penyeri
Lebih menarik, persembahan Osbon, turut diserikan dengan berbalas pantun. Digarap dengan unsur jenaka, ia nyata berhasil memikat hati penonton.
Menurut Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, 51, pantun itu dihasilkan secara spontan.
Katanya, mereka tidak pernah berlatih untuk menghasilkan pantun. Begitu juga dengan skrip, mereka akan menyediakan skrip masing-masing dan apabila berjumpa mereka akan gabungkan.
“Sebelum hasilkan skrip, kami akan bincang konsep yang akan dibawa dan kemudiannya masing-masing keluarkan idea.
“Selain hasilkan skrip masing-masing, kami juga akan bersedia dengan skrip individu. Kita tidak tahu kalau salah seorang daripada kita tidak dapat buat persembahan sekiranya ada masalah. Jadi, lebih baik kita sediakan skrip solo,” katanya yang kini masih aktif menerima undangan persembahan pentas.
Tidak mengharapkan ‘pancing undi’, Osbon menegaskan bahawa mereka tidak akan 'menjual’ persembahan dengan cara yang salah.
Menurut Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Hamid, dalam pertandingan sebegini, pelbagai taktik yang boleh digunakan untuk meraih undian peminat.
Namun katanya, segala taktik tersebut tidak akan sesekali digunakan untuk meraih undi kerana penonton kini bijak menilai.
Malah katanya, dalam pertandingan, tidak boleh menggunakan cara yang salah kerana kesannya akan berbalik kepada kita sendiri.
“Kami amat menekankan soal kualiti. Lawak yang tidak berkualiti hanya membuang masa. Kita tidak perlu memancing peminat dengan cara yang salah.
“Jika kami bagus atau tidak, katakan dengan ikhlas. Itu sebenarnya adat pertandingan. Dalam MLM, tidak mungkin ada perkara sebegini kerana barisan juri yang dipilih juga adalah mereka yang mempunyai kredibiliti dalam memilih yang terbaik. Begitu juga dengan penonton,” katanya yang berjanji akan membuat persembahan lebih baik untuk minggu seterusnya.
Jalil Hamid tersingkir
Tampil seorang diri di pentas MLM dengan nama JH, pelakon dan pelawak senior, Jalil Hamid akhirnya terpaksa akur dengan penyingkirannya pada minggu ini.
Hanya mendapat undian sebanyak 46 peratus, Jalil menganggap itu adalah keputusan yang harus diterima dengan hati terbuka.
“Saya bersyukur kerana walaupun saya peserta solo, saya mampu berada di pentas ini sehingga minggu keempat.
“Mungkin rezeki saya bukan di sini dan ingin sekali saya tegaskan bahawa keupayaan pemikiran seorang jauh berbeza dengan pemikiran dua atau tiga orang.
“Begitu juga dengan lawak dan lakon lawak, ia adalah dua perkara yang berbeza. Saya berharap agar juri dan penonton mampu membuat pilihan yang bijak,” katanya selepas proses penyingkiran.
Sobri tanpa Bob Kuman
Tepukan semangat sememangnya patut diberikan kepada Sobri, salah seorang kumpulan Bawal Power (BP) apabila kesungguhannya beraksi tanpa Bob Kuman.
Lakonannya sebagai penyanyi pondan yang berani untuk turun ke pentas dan berada bersama di barisan kerusi penonton menampakkan kelainan berbanding minggu sebelumnya.
Walaupun Bob telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bilik air di rumahnya, Sobri optimis untuk beraksi.
Menurut Sobri, Bob terjatuh di dalam bilik air ketika hendak mandi untuk datang ke MLM. Memandangkan dia dimaklumkan pada saat-saat akhir, dia terpaksa memilih untuk beraksi seorang diri dengan membawa nama BP.
“Kami tidak boleh menghampakan peminat yang sedang menunggu persembahan kami. Jadi, saya perlu berani untuk tampil seorang.
“Idea juga datang pada saat akhir. Apa yang saya lakukan adalah untuk Bob sebagai sahabat saya. Saya harap dia cepat sembuh dan kembali bersama saya untuk beraksi,” katanya.
Chef Wan menghilang?
Ketiadaan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada malam Jumaat lalu, menimbulkan tanda tanya ramai pihak. Sementelah lagi, sejak akhir-akhir ini, peranannya sebagai juri MLM mendapat kritikan hebat.
Bagaimanapun, menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, Chef Wan tidak dapat bersama MLM kerana ada tuntutan tugas di Singapura.
“Sepatutnya, beliau mahu ke sana pagi Sabtu selepas selesai MLM minggu ini. Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pihak Singapura meminta Chef Wan untuk hadir lebih awal.
“Tidak perlu ditimbulkan apa-apa spekulasi terhadap Chef Wan kerana saya tahu, Chef Wan tidak seperti itu. Tidak perlu mempertikaikan kredibilitinya kerana kami sebulat suara memilihnya sebagai juri berdasarkan pelbagai faktor.
“Chef Wan seorang yang ikhlas dalam berkata-kata walaupun sedikit ‘pedas’. Itulah Chef Wan. Kami memilih orang di luar bidang lawak, kerana untuk mengelak berlakunya salah faham. Kami mahu juri dari kalangan skop penonton. Bukan sahaja Chef Wan, malah Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hasan juga daripada bidang berbeza,” katanya.
Boboi raih undian tertinggi
Memilih kisah cinta Facebook, penampilan Harun Salim Bachik, sebagai pelantun lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif, turut mendapat sorakan penonton.
Tidak kurang hebatnya lakonan Afdlin Shauki dengan watak kanak-kanak. Persembahan duo serasi daripada kumpulan Boboi ini juga dilihat konsisten setiap minggu.
Berada di kedudukan teratas, Boboi mendahului undian sebanyak 70 peratus, diikuti 3G, 66 peratus dan Osbon, dengan undian peratusan yang sama.
Sementara Bawal Power, 62 peratus, Saehu (62), Bawel, (61), Pimai (60), Adlin (53), Hiro (53), Syok (49) dan JH (46). Jika minggu lepas menyaksikan kumpulan Pimai mendahului peserta lain, namun minggu ini, mereka terpaksa akur di kedudukan ketujuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: