jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, November 21, 2011

Ultraman Masih Digilai Kanak-Kanak Malaysia

Dua peminat cilik ditemani ibu mereka bergambar bersama dengan maskot Ultraman.

WATAK hero mempertahankan bumi daripada serangan raksasa dengan mengeluarkan kuasa melalui api menjadikan Ultraman, program televisyen digilai sebahagian besar kanak-kanak di seluruh dunia.

Kewujudan watak-watak adiwira seumpamanya seperti Transformers, Star Wars, Batman dan Ben 10 tidak sedikitpun menjejaskan pengaruh luar biasa Ultraman ciptaan negara matahari terbit, Jepun.

Siapa sangka dalam ribuan program hitam putih yang ditayangkan di negara ini dari tahun 1970-an, Ultraman terus menjadi magnet menarik minat penggemar watak hero itu sehingga ke hari ini.

Dari satu generasi ke satu generasi, Ultraman masih digilai oleh kanak-kanak Malaysia.

Jika dahulu watak ini hanya boleh ditonton di kaca televisyen, namun perkembangan teknologi membolehkan peminat-peminatnya kini memiliki koleksi patung, baju dan cakera video digital (DVD).

Adiwira itu terus bermain-main dalam imaginasi kanak-kanak dengan menjadikannya sebagai antara kelengkapan persekolahan wajib ada seperti beg sekolah, kotak pensel dan pensel warna.

Baru-baru ini, peminat cilik watak Ultraman berpeluang mendekati dan bergambar dengan hero sepanjang zaman dari Jepun bersempena penganjuran Pesta Permainan Antarabangsa Malaysia (MITF) di pusat membeli-belah terkemuka negara, Midvalley.

Kehadiran maskot Ultraman di pesta MITF mencetuskan suasana gamat diiringi dengan bunyi tema program televisyen yang popular di negara matahari terbit itu sejak era 60-an.

Muhamad Adam meminati Ultraman Zero.

Bagi Muhamad Adam Mohamad Hafizuddin, 8, kehebatan dan kuasa luar biasa yang dimiliki Ultraman dalam menewaskan raksasa membuatkan dirinya tertarik dengan watak hero itu sejak berusia tiga tahun lagi.

“Ultraman akan mengeluarkan api dan cahaya di dada dan mata untuk memusnahkan raksasa. Saya amat mengagumi kuasa luar biasa yang dimiliki Ultraman,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, Kajang itu berkata, dia mempunyai beberapa koleksi patung Ultraman yang dibelikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Patung-patung itu disimpan di dalam almari. Koleksi yang dibeli sejak kecil masih ada sehinggalah ke hari ini,” ujarnya yang amat meminati watak Ultraman Zero.

Susannah Ruslan, ibu kepada pasangan kembar tidak seiras, Ahmad Razif Colin dan Sarah Hawa Jean masing-masing berusia tiga tahun berkata, anak lelakinya itu amat menggilai Ultraman sehingga boleh menghafal aksi-aksi pertarungan yang dilakonkan watak itu.

“Hari ini pun, Ahmad Razif pakai baju Ultraman. Dia memang obses dengan Ultraman sejak berusia dua tahun lagi. Abang sulungnya sedikit sebanyak mempengaruhi Ahmad Razif untuk menonton program itu,” katanya.

Dia yang pertama kali membawa kedua-dua anak-anaknya itu ke pesta MITF turut membeli beberapa barangan dari gerai Speedy Video termasuk patung Ultraman Mebius yang digemari Ahmad Razif.

Menurut Susannah lagi, dia sanggup merakamkan program Ultraman untuk tontonan anak-anaknya pada bila-bila masa.

“Jika terlepas menontonnya di televisyen, saya akan merakamkan program itu melalui perkhidmatan Astro Beyond. Jika beli DVD pun tiada gunanya kerana ia mudah tercalar dan cepat rosak,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, keluarga yang berasal dari Muar, Johor sanggup turun ke ibu kota untuk membeli koleksi barangan Ultraman sebagai hadiah hari jadi anak mereka.

Mukriz Danish, 3, yang meraikan hari kelahirannya pada Jumaat berkesempatan memiliki koleksi patung Ultraman yang ke-15 iaitu Ultraman Leo.

Menariknya, anak bongsu daripada dua beradik itu berkongsi minat sama dengan sepupunya, Zharif Amsyar, 2 yang turut ditemani kedua-dua ibu bapanya ke pesta MITF.

“Saya suka Ultraman Leo dan Hikari...mereka kuat dan boleh menggalahkan musuh,” katanya sambil menunjukkan gaya Ultraman.

Walaupun program Ultraman sinonim dengan kanak-kanak, koleksi patung watak hero itu turut digemari golongan dewasa untuk dijadikan koleksi perhiasan rumah.

Bagi Meow Min Kong, 49, beliau yang meminati program itu ketika waktu kecilnya mempunyai beberapa koleksi patung Ultraman di rumahnya.

“Masa kecil dulu saya suka tengok Ultraman. Pada era 70-an, kita hanya dapat tengok satu Ultraman dalam bentuk hitam putih. Kini ada kira-kira 40 jenis Ultraman yang berada di pasaran,” kata bapa kepada seorang anak yang menetap di Kepong.

Jelasnya, seiring dengan peredaran zaman dan permintaan tinggi terhadap koleksi barangan Ultraman mungkin memberi idea kepada pencipta Ultraman di Jepun untuk mengeluarkan pelbagai versi Ultraman pada zaman serba moden ini.

“Dengan kehadiran Batman dan beberapa kartun animasi popular dari Jepun, permintaan terhadap Ultraman terutamanya di kalangan kanak-kanak tidak pernah terhenti sehingga hari ini,” katanya.

Pesta MITF edisi kedua yang bermula Jumaat dan berakhir pada Ahad lalu, berjaya menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara yang menggemari permainan video, watak adiwira dan kartun animasi popular dari Jepun.

Selain gerai yang menawarkan pelbagai koleksi barangan seperti Ultraman, Star Wars dan Transformer, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan menarik daripada beberapa kartun popular Jepun, pertandingan pakaian tradisional masyarakat Cina dan sesi bertemu dengan pelukis terkemuka negara, Keith dan Kaoru.

Sanggup berbelanja besar demi minat anak

Mohd Syukori (kanan) dan dua puteranya bergambar bersama koleksi permainan Transfomers dan Ultraman.

SETIAP orang ada minat. Dan ada yang sanggup berhabis wang demi kepuasan anak-anak mereka.

Misalnya bapa kepada dua orang anak, Mohd Syukori Mohd Amin sanggup membelanjakan kira-kira RM8,000 untuk membeli koleksi patung adiwira seperti Transfomers dan Ultraman kerana ia adalah minat anak-anaknya.

Biarpun kanak-kanak seusia mereka lebih gemar bermain permainan video, Mohd Syukori berkata, kedua-dua anaknya, Mohd Aminur Haziq, 6, dan Mohd Aniq Shaheen, 3, tetap meminati watak Transformers dan Ultraman.

“Haziq menunjukkan minat paling ketara terhadap kedua-dua watak adiwira itu. Malah dia mula meminati karakter Transfomers selepas menyaksikan filem pertama Transformers pada 2007,” kata Mohd Syukori yang menetap di Sepang, Selangor.

Berbeza dengan abangnya, Aniq tidak begitu menggemari Transfomers tetapi obses terhadap Ultraman yang boleh dianggap sebagai hero sepanjang zaman di kalangan kanak-kanak.

“Aniq ada lebih kurang 20 koleksi patung Ultraman dari pelbagai generasi. Zaman kita dulu hanya ada satu atau dua Ultraman saja tapi pada hari ini, ada 40 jenis Ultraman,” katanya.

Mohd Syukori tidak pernah menyesal membelanjakan ribuan ringgit demi memenuhi kehendak kedua-dua anaknya. Antara miniatur Transformers yang dimiliki anak-anaknya termasuk Bumblebee, Optimus Prime dan Megatron.

“Bagi saya wang boleh dicari. Saya tidak mahu anak-anak sedih apabila melihat rakan-rakan mereka memiliki permainan yang mereka inginkan,” ujarnya yang turut minat mengumpul kereta mainan Hot Wheels.

Menurut Mohd Syukori, kehebatan Transformers dan Ultraman dalam menyelamatkan bumi daripada ancaman musuh dan rupa objek tersebut yang comel menjadi daya tarikan utama kepada kanak-kanak meminati watak-watak tersebut.

“Sebagai contoh, Transformers boleh berubah rupa bentuk. Itulah faktor yang mendorong kanak-kanak untuk membeli patung permainan itu,” katanya.

Bukan saja dianggap alat untuk menghilang bosan kedua-dua anaknya, Mohd Syukori berkata, miniatur permainan itu turut disusun rapi di dalam almari, dijadikan sebagai hiasan rumah.

“Saya cukup kagum dengan kreativiti mereka yang mencipta dan menghasilkan watak itu. Hasil kerja mereka begitu halus sehinggakan benda yang kecil pun kita akan dapat lihat betapa indah pembuatannya,” jelasnya.

Ketika ditemui di Pesta Permainan Antarabangsa Malaysia (MITF) di ibu negara baru-baru ini, Mohd Syukori ingin membeli miniatur permainan Transfomers terbaru untuk Haziq tetapi produk itu kehabisan stok.

“Saya diberitahu, pihak pengedar perlu mengimport miniatur itu sebelum dipasarkan ke Malaysia. Jadi Haziq terpaksa menunggu sedikit untuk mendapatkan koleksi tersebut,” katanya.

1 comment:

  1. Mana nak cari patung ultraman yang Besar kat kl nie

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: