Saturday, November 19, 2011

Tyzo pilih tenis


Regangan penting bagi memanaskan badan.


Malah bagi pengendali segmen Malam Jumaat di stesen radio Suria FM ini, sukan itu membuatkan tubuhnya lebih segar dan sentiasa cergas.

"Bagi saya, tenis membuatkan badan saya lebih sihat dan berstamina agar saya sentiasa bersedia mengendalikan segmen kendalian saya di Suria FM," katanya memulakan bicara.

Menurut Tyzo, pada kebiasaannya, dia akan bermain tenis pada sebelah petang.

"Memang waktu petang pilihan saya. Lagipun gelanggang tenis dekat dengan rumah.

"Jadi, sempat jugalah untuk saya mengeluarkan peluh sebelum ke udara.

"Bagi saya apabila badan segar, barulah ada momentum untuk melakukan aktiviti lain," katanya sambil bersedia untuk memulakan permainan di gelanggang tenis di Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, bagi pemilik nama Tuah Zoqarnain Idris ini, sukan menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, selain tenis dia juga akan meluangkan masa di gimnasium.

"Segala aktiviti sukan, memang baik untuk kita kerana ia dapat menghindarkan diri daripada penyakit.

"Kalau boleh, daripada kita duduk diam tanpa buat apa-apa di rumah, luangkanlah sedikit masa untuk beriadah. Tidak perlu terlalu lama, cukuplah 20 minit setiap hari," ujarnya.

Fokus pada kerja

Setelah empat tahun menceburi bidang penyiaran, Tyzo sentiasa memberi tumpuan kepada setiap kerja yang dilakukannya.

Pernah menganggotai kumpulan muzik, Shogunz bersama-sama Que Haidar pada tahun 2003, Tyzo juga sibuk mengacarakan segmen yang dikendalikannya sendiri di Suria FM, bermula pukul 8 hingga 11 malam.

"Selain segmen Malam Jumaat pada hari Khamis, saya juga mengendalikan segmen Ekspresi Mood (Isnin), Cer Cite Cer Cite (Selasa), Idola Bilik Tidur (Rabu) dan juga segmen baru, Check In pada hari Jumaat.

"Manakala pada hari Ahad pula, saya mengendalikan carta Suria Baik Bangat.

"Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, sememangnya tubuh badan yang sihat merupakan kuncinya," kata Tyzo yang turut mendukung watak antagonis sebagai Danial dalam filem Alamak Toyol.

Tambah Tyzo, dia berasa sangat bersyukur kerana setakat ini pendengar menerima secara positif setiap segmen kelolaannya.

"Alhamdulillah, sehingga kini semuanya mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pendengar setia Suria FM.

"Apa-apa pun saya tetap fokus kepada setiap perkara yang saya lakukan dalam menghasilkan produk yang terbaik," katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: