
INSIDEN tanah runtuh yang meragut nyawa 16 mangsa di Rumah Anak-Aanak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Selangor sudah enam bulan berlalu.
Namun, insiden ngeri itu masih segar dalam ingatan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.
Ini kerana bencana itu merupakan kes pertama dan paling mencabar pernah dikendalikannya sepanjang bertugas dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika kejadian itu Ab. Rashid, 52, belum sampai seminggu melaporkan diri sebagai ketua polis daerah.
"Saya baru memulakan tugas di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kajang pada hari Isnin 16 Mei 2011. Kejadian tanah runtuh itu pula berlaku pada hari Sabtu iaitu 21 Mei.
"Bayangkan, saya ketika itu belum mengenali selok belok daerah Kajang, tetapi diuji dengan satu musibah yang menyayat hati dan mendapat perhatian rakyat negara ini," jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Sambil mengimbau kembali detik-detik mencemaskan itu, Ab. Rashid menganggap tragedi buruk itu sebagai satu cabaran terbesar apabila menyaksikan ramai mangsa yang terkorban.
Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, beliau segera mengarahkan anggota dan pegawainya di IPD Kajang untuk mengawal keadaan di sana.
"Keadaan ketika itu kelam-kabut. Orang awam turut cuba membantu mengeluarkan mangsa namun kita terpaksa menghalang mereka daripada berbuat demikian.
"Ini kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke tapak lokasi tanpa kebenaran disebabkan kawasan itu diklasifikasikan sebagai lokasi berbahaya.
"Polis juga tidak tahu sejauh mana keselamatan dan pergerakan tanah serta risiko yang dihadapi ketika itu," katanya.
Pada mulanya, beliau mengakui agak kekok bila berada di tapak tragedi tanah runtuh itu namun hasil bantuan para pegawai yang sudah lama bertugas di IPD Kajang, tugas itu mampu dilaksanakan.
"Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh. Namun, dengan sokongan dan kerjasama daripada seluruh warga IPD Kajang dan agensi-agensi lain, operasi mengeluarkan mangsa berjalan lancar walaupun kami berdepan pelbagai kesukaran," jelasnya.
Ab. Rashid turut memegang teguh kepada prinsip andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Untuk itu, beliau komited melaksanakan tugas dengan mementingkan hubungan pasukan dengan masyarakat.
Katanya, masyarakat dan polis perlu saling mengenali antara satu sama lain bagi memudahkan pihaknya mengetahui masalah mereka sekali gus menanganinya secara bersama.
"Sebab itu, IPD Kajang aktif melaksanakan program kepolisan komuniti bersama penduduk di sesuatu kawasan bagi memastikan tahap kesedaran di dalam menangani jenayah dapat dipertingkatkan.
"Selain itu, sektor-sektor seperti pendidikan dan perkilangan turut menjalinkan kerjasama dengan pihak polis bagi bersama-sama membanteras jenayah di lokasi berkenaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: