![]() |
| PERCINTAAN antara Aladdin dan Puteri Jasmin berjaya dihayati dengan sempurna oleh kedua-dua pemegang watak utama. |
KISAH Aladdin bersama teko ajaibnya merupakan salah satu karakter kartun yang popular di seluruh dunia. Meskipun kisah dongeng itu dipercayai berasal dari Tanah Arab, namun ia tetap menjadi kegemaran karyawan dari Barat untuk dikomersialkan.
Malah, di Malaysia juga sudah banyak pementasan Aladdin dilakukan oleh produksi tertentu dalam usaha menarik minat masyarakat terhadap kesenian teater.
Terkini, sekumpulan pelajar tahun dua Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memilih karya tersebut untuk dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara.
Berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober lalu, teater kanak-kanak Aladdin itu berjaya menghiburkan penonton menerusi lakonan mantap para pelajar dan set pentas yang menarik.
Pensyarah Fakulti Teater, Datin Marlia Musa memberitahu secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan setiap pelajar yang terlibat dalam produksi tersebut.
Walaupun setiap semester pelajar hanya perlu menyiapkan satu produksi teater sahaja, namun pada semester ini mereka membuat kejutan dengan menghasilkan dua produksi teater.
“Sempena Seminar Teater Kebangsaan yang berlangsung pada bulan September lalu, kumpulan pelajar ini telah mengadakan persembahan teater bertajuk Baju Emas Sang Maharaja karya Johan Jaaffar.
“Sebulan kemudian, mereka tampil dengan persembahan teater kanak-kanak Aladdin ini pula untuk penilaian akhir tahun,” jelas Marlia yang turut bertindak sebagai pengarah bagi kedua-dua teater tersebut.
Tambah Marlia, maklum balas yang diterima daripada penonton terutama ibu bapa yang membawa anak-anak kecil mereka menyaksikan persembahan teater Aladdin juga sangat memberangsangkan.

“Ada ibu bapa yang sanggup membawa anak-anak menonton persembahan ini beberapa kali. Malah, apabila melihat penonton cilik itu menghayati setiap persembahan dengan penuh teruja, ia merupakan satu kepuasan kepada kami.
“Selaku pengarah, tanda aras untuk persembahan yang dijayakan terletak pada keseronokan penonton kecil ini. Jika mereka terhibur, maka ia dianggap kejayaan yang bermakna,” tuturnya lagi.
Sementara itu, pelakon utama watak Aladdin, Aizat Akmal Ahmad, 25, mengakui dia amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh rakan-rakannya termasuk pensyarah yang terlibat.
“Bayangkan dalam tempoh yang singkat iaitu lebih kurang sebulan selepas persembahan Baju Emas Sang Maharaja, kami menjayakan produksi teater Aladdin ini pula. Semua itu hasil komitmen seluruh krew produksi yang bertungkus-lumus untuk menjadikan persembahan ini satu hiburan untuk seisi keluarga,” ujar Aizat sambil memberitahu pemilihan pelakon teater itu adalah berdasarkan sesi uji bakat.
Seronok
Majoriti pelakon teater tersebut diterajui oleh pelajar tahun dua dalam jurusan Diploma Teater di Aswara. Namun, ia turut dibantu oleh pelajar tahun pertama jurusan yang sama.
Seorang lagi pelajar bagi produksi terbabit, Anip Latip berkata, dia seronok menyertai persembahan teater Aladdin yang diminati oleh kanak-kanak itu.
Walaupun memilih untuk tidak berlakon, pelajar yang memikul tanggungjawab sebagai pengurus pentas itu tetap memainkan peranannya dengan penuh semangat.
“Tugas sebagai pengurus pentas agak mencabar tapi saya gembira kerana dapat melaksanakan amanah yang diberikan oleh pensyarah sebaik mungkin,” kata Anip yang dipetik dari blognya, hidupitukejam.blogspot.com.

Teater tersebut mengisahkan seorang budak bernama Aladdin yang tinggal di kota Baghdad. Pada suatu hari, Aladdin bertemu dengan Jaafar yang mengaku dirinya sebagai pak cik Aladdin.
Jaafar menyuruh Aladdin masuk ke dalam gua untuk mengambil teko ajaib. Tiba-tiba muncul jin bernama Jinny yang sangat lucu.
Pada keesokan hari, Jaafar datang ke kota Baghdad dan menyamar sebagai seorang perempuan. Jaafar ingin mendapatkan teko ajaib yang sebenar daripada Aladdin.
Jaafar dikejar oleh penduduk Baghdad kerana dituduh mencuri, tetapi mereka gagal menangkapnya. Kemudian, muncul pula Puteri Jasmin yang cantik jelita diiringi dua orang pengiring. Aladdin kemudian jatuh cinta setelah melihat kecantikan Puteri Jasmin.
Jaafar yang melihat kemesraan antara Puteri Jasmin dan Aladdin menyebabkan Jaafar mengugut untuk membunuh Puteri Jasmin sekiranya teko ajaib itu gagal dimilikinya.
Namun, atas kebijaksanaan Aladdin, dia berjaya menyelamatkan Puteri Jasmin daripada dibunuh oleh Jaafar, sekali gus menewaskan penjahat itu serta hidup bahagia bersama Puteri Jasmin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: