REMBAU – Sukarelawan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang kini memikul tanggungjawab sebagai Skuad 1Malaysia dilihat merupakan antara pendekatan proaktif organisasi berkenaan dalam membantu pemulihan penagih.
Antara barisan sukarelawan yang bernaung di bawah Skuad 1Malaysia ialah Rakan Antidadah (Rada), Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD), Masyarakat Wanita Antidadah (Mawadah), Ahli Lembaga Pelawat (ALP), Persatuan Alumni AADK (Pendamai) dan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK Malaysia, Profesor Dr Mahmood Nazar Muhamad, barisan sukarelawan berkenaan merupakan tulang belakang dalam menggerakkan masyarakat memerangi ancaman dadah.
“Walaupun AADK merupakan agensi peneraju dalam membanteras permasalahan dadah, namun sokongan dan kerjasama dari agensi serta jabatan lain amat penting.
“Langkah berkenaan amat penting memandangkan trend penagihan dadah masa kini semakin kompleks serta mencabar yang mana ianya memerlukan program rawatan serta pemulihan melibatkan sokongan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Skuad 1Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Padang Dataran Rembau, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan, Datuk Abd Samad Ibrahim; Adun Chembong, Zaifulbahri Idris; Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said dan Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Rawi Baharom.
Sementara itu, Mahmood berkata, bermula Julai 2010, transformasi yang diperkenalkan AADK melalui inisiatif rawatan dan perkhidmatan di Klinik Cure & Care 1Malaysia; Cure & Care Service Centre (CCSC) dan Caring Community House (CCH) mendapat reaksi positif.
Menurutnya, sehingga akhir September 2011, sebanyak 8,118 klien telah mendapatkan perkhidmatan secara sukarela di lapan buah klinik Cure & Care 1Malaysia iaitu di Bukit Mertajam; Sungai Besi; Kota Bharu; Tampin; Tampoi, Jerantut; Kuching dan Papar di Sabah.
“Sementara itu, klien yang mendapatkan perkhidmatan di CCSC juga bertambah iaitu seramai 277,018 orang sehingga akhir September 2011,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: