Saturday, November 19, 2011

Skuad wanita meronda malam


MERONDA dengan menaiki basikal merupakan satu aktiviti sukarela di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah.


SAMBIL membawa lampu picit, kelihatan sekumpulan wanita sedang meronda di sekitar Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Ada yang berjalan kaki dan ada juga berbasikal.

Berbekalkan vest dan cota, raut wajah mereka kelihatan begitu bersemangat meskipun jarum jam di tangan sudah melepasi detik 12 malam.

Apakah yang dilakukan oleh wanita-wanita ini pada lewat malam ketika kebanyakan orang lain sedang asyik dibuai mimpi?

Rupa-rupanya kumpulan wanita berkenaan adalah anggota Skuad Wanita Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Mahsuri yang sedang menjalankan tugas rondaan sukarela bagi membantu pihak polis mencegah jenayah.

Kesanggupan kaum hawa itu bersengkang mata pada waktu tengah malam sehingga dinihari demi meningkatkan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan di kawasan perumahan tersebut wajar dipuji kerana lazimnya tugas berkenaan dipikul oleh lelaki.

Jarang dapat melihat golongan wanita menyertai aktiviti sukarela seumpama itu kerana kebiasaannya mereka akan berada di rumah bersama keluarga apabila malam menjelma.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad memberitahu, skuad wanita SRS taman tersebut dilancarkan pada 26 Oktober lalu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man.

Katanya, ia ditubuhkan ekoran kemahuan wanita di kejiranan itu sendiri yang ingin terlibat membantu pihak berkuasa seperti polis menjaga keselamatan penduduk Taman Mahsuri yang mempunyai kira-kira 1,500 buah rumah.

"Penubuhan skuad ini membantu operasi mencegah jenayah dengan lebih efektif apabila rondaan sukarela dapat dipertingkatkan dengan sumbangan tenaga mereka," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurut Ahmad Shaker, sehingga kini Skuad Wanita SRS Taman Mahsuri mempunyai kira-kira 20 anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum dan dipecahkan kepada empat kumpulan.

Katanya, setiap kumpulan mempunyai lima orang dan mereka dijadual menjalankan tugas pengawasan seminggu sekali khususnya pada malam minggu atau cuti umum.

Bagi memastikan semua anggota SRS dilindungi keselamatan mereka, katanya, tugas pengawasan dijalankan mengikut standard operasi yang ditetapkan.

"Taman Mahsuri mempunyai pasukan lelaki yang menjalankan tugas rondaan sukarela pada setiap malam dengan mendapat kerjasama pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Kami bekerjasama dengan skuad wanita ini dalam usaha mewujudkan sebuah kawasan perumahan yang lebih selamat untuk diduduki.

"Justeru, kami mengharapkan lebih ramai warga taman perumahan ini tidak kira lelaki atau wanita menyertai SRS kerana peranan pihak berkuasa dalam menjaga keselamatan awam tidak akan berkesan jika usaha ini tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada masyarakat'' ujarnya.

Sementara itu, seorang anggota Skuad Wanita SRS Taman Mahsuri, Umi Sofia Md. Yusof, 47, berkata, dia menyertai skuad berkenaan atas kemahuan sendiri sebagai tanggungjawab sosial warga kawasan perumahan itu.

Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memberitahu, bagi memastikan urusan menjaga keluarga tidak terganggu dengan tugas sukarela berkenaan, dia terlebih dahulu berbincang dengan suami dan anak-anak berhubung pengagihan tugas di rumah.

"Saya mengambil inisiatif ini kerana menyedari tugas menjaga keselamatan penduduk adalah tanggungjawab bersama dan bukan meletakkannya di bahu polis semata-mata.

"Walaupun terpaksa berjaga sehingga lewat pagi, ia bukan satu masalah atau mengganggu kerja hakiki saya kerana tugas rondaan ini lazimnya dilakukan pada hari minggu atau cuti," katanya.

Seorang lagi anggota skuad berkenaan, Che Rokiah Mat, 44, pula berkata, dia mengikut jejak suaminya yang turut menyertai SRS bagi membendung kegiatan jenayah di taman perumahan itu.

Katanya, dia berasa amat gembira kerana dapat menyumbang tenaga meskipun terpaksa mengorbankan waktu malam yang menjadi masa rehat bersama keluarga bagi kebanyakan wanita lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: