Tuesday, November 8, 2011

Se-Merah Padi ke Istana Budaya


Tenaga produksi dan barisan pelakon yang akan mempersembahkan teater Se-Merah Padi di Istana Budaya, Kuala Lumpur, akhir tahun ini


PERSEMBAHAN teater tempatan semakin mendapat tempat di hati peminat, baik dari kalangan mereka yang menetap di sekitar Lembah Klang mahupun di luar kawasan tersebut.

Pentas yang sememangnya sudah sinonim dengan pelbagai naskhah teater di negara kita pastilah Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Dalam tahun ini sahaja, pelbagai naskhah telah dipentaskan di sana dan teater yang bakal menutup jadual pementasan IB tahun ini adalah satu naskhah yang bakal mengangkat karya seniman agung, Tan Sri P. Ramlee.

Teater tersebut diadaptasi daripada filem Se-Merah Padi keluaran Shaw Brothers pada tahun 1956 yang menjulang nama P. Ramlee sebagai seniman terulung pada zamannya.

Teater yang akan menggunakan tajuk yang sama iaitu Se-Merah Padi, bakal diterbitkan oleh Megat Mohd. Noor Salleh Ghani (Keno), dan mendapat sentuhan pengarah teater, Rosdeen Suboh.

Keno berkata, idea untuk mementaskan antara filem Melayu klasik terhebat ini ke pentas teater bermula pada tahun lepas lagi semasa beliau dalam proses menerbitkan teater Sri Mersing.

"Saya memang minat dengan filem-filem klasik memandangkan saya pernah bergaul dengan seniman dan seniwati pada zaman kegemilangan filem Melayu.

"Selepas pementasan teater Sri Mersing, saya yakin hasil karya daripada seniman agung Tan Sri P. Ramlee perlu diangkat menjadi suatu naskhah teater.

Ini kerana sehingga kini, filem-filemnya masih ditayangkan dan mempunyai pengikut tersendiri walaupun zamannya sudah berlalu," katanya pada majlis sidang akhbar teater Se-Merah Padi yang berlangsung di IB, baru-baru ini.

Teater ini mengisahkan Aduka lakonan Zul Huzaimy yang terperangkap antara kesucian dan dosa bersama Dara (Jue Aziz) di mana mereka telah bermukah.

Dara pada waktu itu telah ditunangkan dengan Teruna (Fauzi Nawawi) yang juga merupakan anak kepada Tok Penghulu (Datuk Baharuddin Omar) yang sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan menegakkan undang-undang Islam.

Sementara itu, selaku pengarah teater Se-Merah Padi, Rosdeen Suboh berkata, hampir 75 peratus babak asal dalam filem itu dikekalkan bagi mengekalkan sentuhan idea Allahyarham P. Ramlee.

"Ada beberapa babak yang telah saya ubah bagi disesuaikan dengan jalan cerita di atas pentas teater.

"Saya juga lebih menekankan elemen-elemen spiritual Islam dan mistik Melayu bagi menambah lagi penghayatan penonton dalam pementasan teater ini nanti," katanya.

Beliau berkata, teater tersebut juga telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang bertindak selaku penaung.

Rosdeen menambah, pementasan Se-Merah Padi nanti bakal menggunakan khidmat dua pertubuhan silat dan satu kumpulan seni mempertahankan diri yang akan melakukan pelbagai aksi bagi menambahkan lagi tarikan ke atas teater tersebut.

Katanya lagi, teater tersebut turut memperkenalkan watak baru bernama Kelana yang bertujuan menyuntik elemen spiritual dalam teater ini nanti.

Teater Se-Merah Padi turut dibarisi oleh pelakon seperti Baby Erin, Bohari Ibrahim, Ikbal Hakim dan Azizah Mahzan.

Se-Merah Padi bakal dipentaskan pada 22 hingga 31 Disember ini. Untuk pertanyaan lanjut sila layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: