
MASYARAKAT sihat amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Sebab itu penting untuk memastikan amalan hidup sihat menjadi sebahagian daripada budaya rakyat negara ini.
Untuk itu Persatuan Riadah dan Kesenian Melayu Semenyih (Rikmas) dan Lembaga Promosi Kesihatan Melaysia telah menganjurkan program My Sihat dengan tema Jom Sihat Cergas Selalu di Dataran Datuk Haji Mohd. Said Rinching di Semenyih baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Kebudayaan dan Kesenian Ulu Langat, Datuk Mohd. Said Mohd. Saman yang merangkap Naib Yang Dipertua Dewan Usahawan Melayu Selangor Malaysia.
Ia turut disertai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Penilaian ProgramKementerian Kesihatan, Alfa Mahani Aman.
Pengerusi Rikmas, Muhamad Mustakim Tahir memberitahu, persatuan itu yang ditubuhkan pada Mac lalu telah mempunyai 200 ahli.
Ahlinya terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk dari golongan dewasa dan remaja.
Katanya, Rikmas juga merancang pelbagai program riadah untuk pelbagai peringkat masyarakat bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan rakyat yang sihat.
Mohd. Said dalam ucapannya berkata, program seperti itu penting bagi menyedarkan masyarakat akan pentingnya aktiviti riadah untuk kesihatan mereka.
"Ia juga menggalakkan golongan muda bersosial supaya mereka menjauhi gejala kurang sihat sebaliknya mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.
Sementara itu Alfa Mahani pula berkata, program seperti itu memastikan golongan remaja terutamanya mempunyai aktiviti yang sihat pada setiap hujung minggu.
Dengan itu katanya, mereka tidak menghabiskan masa dengan aktiviti yang sia-sia seperti melepak dan sebagainya.
"Ini adalah langkah yang turut di laksanakan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia. Program ini banyak di manfaatkan oleh agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: