Monday, November 21, 2011

Resah banjir lambat surut

KAWASAN rumah penduduk digenangi air   di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
KAWASAN rumah penduduk digenangi air di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Penduduk Bagan Nakhoda Omar bimbang tanaman rosak

SABAK BERNAM: Penduduk di Bagan Nakhoda Omar (BNO) resah memikirkan keadaan rumah dan kebun yang sentiasa ditenggelami air dan lambat surut setiap kali selepas hujan lebat berterusan.
Mereka bimbang kerugian besar kerana masalah itu jika tidak diatasi segera boleh menyebabkan tanaman di kebun, musnah.
Apabila hujan lebat daripada kebiasaan, air parit yang ditahan bagi memudahkan kerja pembinaan itu akan melimpah sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat dan lambat surut kerana tiada alur yang diganti untuk aliran air ke laut. - Mohd Safiq Ahmad Muslim, Penduduk Kampung Perenggan
Limpahan air itu dikatakan berpunca daripada projek pembinaan kunci air baru di BNO yang menyebabkan laluan keluar masuk air di kunci air berkenaan, tertutup.

Penduduk Kampung Perenggan, Mohd Safiq Ahmad Muslim, 21, berkata pembinaan kunci air baru tanpa perancangan rapi selain kegagalan menyediakan pilihan bagi mengeluarkan air parit yang ditahan menyebabkan air cepat melimpah dan membanjiri kawasan berkenaan.

"Apabila hujan lebat daripada kebiasaan, air parit yang ditahan bagi memudahkan kerja pembinaan itu akan melimpah sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat dan lambat surut kerana tiada alur yang diganti untuk aliran air ke laut," katanya.

Keadaan itu menyebabkan tanaman seperti sawit, pisang, limau purut dan tanaman kontan lain di kebun mulai layu dan ada sesetengahnya mati.
Warga tua, Ngatiah Kasim, 64, dan suaminya, Damiri Sarimin, 80, berkata air hujan bertakung di halaman rumahnya sejak 10 hari lalu menyebabkan mereka sukar bergerak dan terpaksa menempuh keadaan sama ketika Aidiladha lalu.

"Ini kejadian pertama sejak lebih 40 tahun menetap di sini. Selalunya apabila musim tengkujuh, memang berlaku banjir tetapi air akan cepat kering dan tidak mengambil masa lama seperti sekarang," katanya.

Ahli Jawatankuasa Masjid Ubudiah, Muharam Ali, pula berkata tanah pusara berhampiran pekan itu juga dinaiki air hingga paras betis dan pasti menyukarkan kariah jika berlaku kematian.

Mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan segera, beliau mencadangkan agar pihak berkaitan tidak menjalankan projek pembinaan sehingga menutup pintu kunci air ketika musim tengkujuh.

Sementara itu, penduduk, Muslim Marimun, 50, berkata projek pembinaan perlu ditunda dua hingga tiga bulan selepas habis musim tengkujuh.

Pada masa sama, penduduk meminta JPS menggunakan pam berkapasiti tinggi untuk mengepam air keluar ke laut dan menambah bilangan pam bagi mengatasi masalah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: