Tuesday, November 22, 2011

Renang berirama sapu bersih lima pingat emas


PASUKAN renang berirama negara memberikan gaya istimewa selepas memenangi pingat emas dalam acara kombinasi bebas di Pusat Akuatik Jaka Baring, Palembang semalam.


PALEMBANG - Siapa sangka, renang berirama yang tidak langsung diletakkan harapan untuk memenangi banyak emas pada Sukan SEA 2011 akhirnya menyapu bersih kesemua lima emas yang ditawarkan.

Semalam, skuad renang berirama negara meraih emas kelima dan yang terakhir dipertandingkan menerusi acara kombinasi bebas selepas meraih empat emas sejak dua hari lalu.

Semuanya berkat kesungguhan dan iltizam yang ditunjukkan 10 perenang comel negara untuk membuktikan pembangunan sukan ini perlu diberi lebih perhatian selepas ini.

Gandingan yang diketuai Katrina Ann Abdul Hadi itu menewaskan pasukan Singapura (73.101) di tempat kedua dan Indonesia (71.713), ketiga.

Malaysia yang turut diwakili Tan Mey Mei, Mandy Yeap, Shareen Png, Tasha Jane Taher Ali, Emanuelle Mah Thilda, Ling Yeo Pei, Gan Zhen Yu, Zyane Lee dan Zylane Lee itu mengumpul 75.363 mata.

"Malangnya acara ini dikhabarkan tidak akan dipertandingkan di Myanmar pada 2013 nanti. Jadi apa yang boleh kami buat lepas ini ialah mencari pelapis kerana ada di antara anggota skuad kali ini akan bersara.

"Saya harap walaupun tidak dipertandingkan di Myanmar, ada pihak dapat memberikan perhatian terhadap sukan ini kerana kita sekarang sudah semakin meningkat," kata pengurus pasukan, Siu Wai Leng.

Malaysia jelas bukan tandingan di peringkat Asia Tenggara tetapi kesinambungan kecemerlangan ini perlu diteruskan dalam usaha kita untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun depan.

"Kelayakan Olimpik akan diadakan April tahun depan. Jadi pasukan ini perlu dipersiapkan dengan lebih baik kerana hanya 24 ranking terbaik layak. Kita sekarang di ranking ke-32 dunia," tegasnya.

Selain menjuarai acara kombinasi bebas semalam, skuad renang berirama negara turut menjuarai acara duet dan berpasukan rutin teknikal serta acara duet dan berpasukan rutin bebas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: