Sunday, November 20, 2011

Renang berirama mula bergaya


DARI kiri, Katrina Ann, Shareen Png dan Zyanne Lee memenangi pingat emas dalam acara duet rutin teknikal di Palembang semalam.


SKUAD renang berirama membuka tirai pada Sukan SEA 2011 dengan cemerlang apabila memenangi pingat emas semalam.

Pingat emas sulung itu diperoleh dalam acara yang pertama dipertandingkan iaitu duet rutin teknikal.

Gandingan Katrina Ann Abdul Hadi dan Shareen Png Hui Chen mengumpul 76.125 mata untuk menewaskan pasangan Singapura, Stephanie Mei-Crystal Yap (72.750) di tempat kedua dan pasangan Indonesia, Adela Amanda-Nirmala (71.000) di tempat ketiga.

Apa yang menarik, emas sulung yang dimenangi duet rutin teknikal itu adalah yang ke-45 untuk kontinjen negara mencapai sasaran maksimum yang ditetapkan sebelum ini.

Pengurus pasukan, Siu Wai Leng berkata, memang menjadi hasrat skuad renang berirama untuk terus menang emas sebaik bermula acara itu.

"Ia memang emas yang kami jangkakan bagi menguatkan keyakinan perenang kita. Nampaknya hasrat kami tercapai dan berharap akan ada emas lagi selepas ini," katanya selepas pertandingan.

Ternyata ramalan Wai Leng itu benar belaka apabila tidak lama selepas itu di sebelah petang, mereka meraih emas kedua menerusi acara berpasukan rutin teknikal pula.

Pasukan Malaysia yang menggandingkan Katrina, Tan May Mei, Shareen Hui, Emanuelle Thil Da, Mandy Yeap, Ling Yeo Pei, Zyanne Lee dan Zylane Lee mengumpul 74.750 mata.

Mereka menewaskan Thailand (70.750) di tempat kedua dan Indonesia (70.375), ketiga.

"Ini adalah emas bonus bagi kami. Jika duet kita memang berada di ranking lebih baik tetapi acara berpasukan ini, saingan adalah seimbang. Syukur kami dapat menang emas juga," kata Wai Leng.

Hari ini dua lagi acara akhir akan dilangsungkan iaitu duet rutin bebas dan berpasukan rutin bebas sebelum menutup tirai dengan dua acara terakhir iaitu duet bebas individu dan keseluruhan esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: