
Pada awalnya, dalam pertandingan berkenaan, penulis menjangkakan kemenangan berpihak kepada karya lain yang lebih menonjol. Tambahan pula gimik kejutan pihak Rado yang mengumumkan dua nama pemenang tempat pertama di saat akhir menjadikan suasana riuh.
Namun, selepas nama Haris Abadi dan Lim Hong Ann diumumkan sebagai juara, penulis cuba mencari keistimewaan di sebalik karya yang dihasilkan dan mengapa karya seni mereka mampu menewaskan peserta lain.
Namun itulah seni. Hasil kerja tangan memang sukar diduga kerana setiap individu mempunyai persepsi tersendiri dalam penafsiran terhadap sesuatu karya seni visual.
Mungkin kerana alasan ini membolehkan kedua-dua anak muda bertuah itu berpeluang membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000 dan seutas jam tangan Rado setiap seorang.
Menurut Naib Presiden Rado Malaysia, Bernard Yong , karya seni mereka berbeza tetapi sama bernas.
"Kedua-dua hasil seni mereka mempunyai daya tarikan yang cukup menambat hati sehingga membuatkan para juri memilih hasil karya mereka berdua sebagai pemenang," katanya.
Haris Abadi berkata, pada mulanya beliau tidak menjangkakan kemenangan kerana peserta lain tidak kurang hebatnya.
"Tujuan saya menghasilkan karya ini adalah untuk menyoal perilaku manusia yang terlalu bergantung terhadap penggunaan Internet.
"Sebab itu, karya Your Axis Mundi? dihasilkan dengan menggunakan teknik video mapping yang ditayangkan bersama objek nyata dan simbol-simbol dunia siber seperti Facebook.
"Mungkin kerana pendekatan baru inovasi gabungan kaedah yang kreatif berserta aplikasi medium kesenian moden memberi kelebihan buat saya," jelasnya.
Lim Hong Ann pula berkata, walaupun beliau hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti penutup tin kosong untuk menghasilkan Arca Go Unlimited, daya kreativitinya itu mempelopori pendekatan baru dalam penghasilan sesebuah karya seni.
"Saya rasa mesej simbolik yang terdapat pada karya ini seperti menyampaikan detik penentuan tidak terbatas menarik perhatian juri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: