
HATI ibu mana yang tidak sayu dan sedih apabila diberitahu anak yang berada di dalam kandungan bakal dilahirkan dengan jantung yang tidak normal.
Walaupun dinasihatkan agar 'membuang' kandungan tersebut, namun bagi ibu muda, Shamsinar Jauhari, 23, dia tidak sanggup berbuat demikian apatah itu merupakan kandungan pertamanya.
Dia bagaimanapun reda dengan ketentuan Tuhan bahawa bayi yang bakal dilahirkan tidak akan normal seperti bayi-bayi lain.
Menurut Shamsinar, selepas melahirkan, anaknya yang kini berusia setahun 10 bulan walaupun pada zahirnya kelihatan aktif dan ceria, sebenarnya telah menjalani tiga kali pembedahan di bahagian jantung.
Walaupun mengetahui ajal dan maut di tangan Tuhan, pernah doktor yang bertanggung jawab melakukan pembedahan ke atas anaknya itu pada awalnya memberi jaminan umur permata hatinya itu akan bertahan sehingga 21 tahun.
Tetapi, setelah pembedahan yang ketiga dilakukan, doktor menyatakan bahawa anaknya itu sudah tiada harapan malah dia akan 'pergi' bila-bila masa sahaja.
"Anak saya sememangnya tidak mempunyai harapan untuk hidup lebih lama kerana doktor memberitahu pembedahan yang seterusnya hanya sia-sia dan menyakitkan anak saya kerana ia akan dibedah di tempat yang sama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai penderitaan anaknya, Nur Najatul Syifa Ismail atau panggilan manjanya Syifa, sebaik sahaja dilahirkan, telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.
Ulas Shamsinar, dia terpaksa bersalin ketika kandungannya berusia tujuh bulan kerana dikhuatiri anaknya lemas.
"Selepas sebulan berada di ICU, Hospital Kuala Lumpur, Syifa dijangka terus dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) kerana jantungnya tidak mempunyai injap, saluran darah ke jantung sempit selain paru-paru bermasalah.
"Tetapi pembedahan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir dan terpaksa menunggu sehingga umurnya tiga bulan kerana darah Syifa telah dijangkiti kuman," katanya.
Shamsinar yang juga seorang ibu tunggal bagaimanapun tenang apabila memberitahu bahawa dia sudah bersedia sekiranya Tuhan ingin mengambil nyawa anaknya pada bila-bila masa.
Ini kerana, Shamsinar tidak lagi tahan melihat penderitaan yang ditanggung Syifa setiap hari apabila sering mengadu sakit dada.
Dalam masa yang sama, Syifa juga sering menghidap batuk dan selesema. Tetapi, jelas Shamsinar, anaknya tidak boleh mengambil ubat batuk ataupun selesema untuk mereda atau mengubat penyakit tersebut kerana Syifa akan pengsan sekiranya memakan ubat-ubat tersebut.
Selain bergantung hidup dengan tiga jenis ubat, Syifa juga perlu minum susu khas yang berharga RM300 sekotak. Untuk sebulan Shamsinar perlu membeli empat kotak bagi keperluan Syifa.
Begitupun, disebabkan kesempitan hidup, Shamsinar telah berhenti daripada memberi susu tersebut dan hari ini Syifa hanya meminum susu biasa.
"Saya hanya bekerja sebagai kerani yang berpendapatan RM900 sebulan.
"Gaji tersebut tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian sekiranya saya memperuntukan untuk membeli susu khas Syifa.
"Ini kerana saya juga perlu memperuntukan sedikit duit untuk bil-bil hospital dan ubat-ubatan kerana selain rawatan susulan Syifa juga kadang kala akan dibawa ke hospital sekiranya dia sakit," katanya.
Ketika ditemui, Syifa ternyata seorang kanak-kanak yang aktif. Malah sekiranya tidak diberitahu akan penyakitnya, tiada siapa menyangka kanak-kanak itu sedang bertarung nyawa.
Apa yang lebih memilukan, ketika ibunya menitiskan air mata bercerita masalah yang dihadapinya, Syifa dilihat cuba mententeramkan Shamsinar dengan memeluk dan mengesat air mata ibunya.
Dia seolah-olah mengerti akan penderitaan yang dihadapi ibunya dan dia tidak mahu ibunya menangis kerana dirinya.
Kata Shamsinar, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat Syifa sebaik sahaja mendapat tahu anaknya itu bermasalah.
Walaupun hakikatnya Shamsinar menerima takdir tersebut dengan hati yang tenang, namun dia memberitahu sekiranya selepas ini anaknya sudah tiada lagi, dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya.
"Syifa satu-satunya anak yang saya ada untuk mengubat keresahan hati. Setiap kali penat balik dari bekerja, Syifalah penghibur hati saya.
"Syifa juga seorang anak yang baik dan mendengar kata malah Syifa jugalah tempat untuk saya bermanja.
"Sekiranya selepas ini ditakdirkan Syifa sudah tiada, saya tidak tahu apa yang terjadi dengan kehidupan saya," katanya. mengakhiri bicara.
oh my..besarnya dugaan!!! dh menitis air mata saya...
ReplyDeletesemoga ibu ini tabah menghadapi.