Monday, November 7, 2011

Puting sakit ketika menyusu bayi


JIKA anda rasa bayi anda inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan.


Soalan:

SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

Jawapan:

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan".

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

kesakitan

Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

menggigit

Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment