
KUALA LUMPUR - Penduduk Taman Kok Lian, Kepong di sini kesal dengan tindakan sebuah syarikat membangunkan sebuah projek rekreasi di atas sebidang tanah rizab seluas 557.4 hektar yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak taman berkenaan.
Syarikat terbabit didakwa menggunakan papan tanda palsu dengan logo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengaburi masyarakat kononnya mereka sedang membangunkan projek yang sudah diluluskan oleh pihak berkuasa.
Syarikat tersebut turut membahayakan penduduk dengan kehadiran lori-lori besar yang membawa pelbagai bahan binaan ke kawasan tersebut hampir setiap hari sejak September lalu.
Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, pihaknya yang menerima aduan daripada penduduk setempat, telah menghubungi wakil syarikat itu untuk mendapatkan penjelasan.
"Wakil syarikat tersebut mendakwa mereka telah menghantar permohonan kepada DBKL dan masih menunggu surat kebenaran untuk menjalankan projek berkenaan.
"Daripada penjelasan tersebut, jelas bahawa projek tersebut tidak sah di sisi undang-undang," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut, Poh Hing berkata, menerusi perbincangan, syarikat terbabit bersetuju untuk menghentikan projek itu tetapi sehingga kini projek berkenaan masih lagi berjalan.
"Apabila dihubungi baru-baru ini, wakil syarikat itu telah memberikan syarat baharu pula kepada kami jika mahu mereka menghentikan projek berkenaan iaitu diberikan sebidang tanah di kawasan yang lain oleh DBKL.
"Saya berharap pihak DBKL dapat menyelesaikan segera masalah ini kerana bukan kami sahaja yang mendapat susah, mereka (DBKL) juga menjadi mangsa kerana dipergunakan dalam hal ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: