JOHOR BAHRU - Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua pertuduhan menggunakan dan membuat dokumen palsu, kira-kira enam tahun lalu.

Hakim, Mohamad Haidar Abdul Aziz memutuskan keputusan itu terhadap Azmi Osman, 56, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

Mahkamah menetapkan tarikh 22, 23, 27 dan 28 Disember depan untuk tertuduh memberi keterangan bela diri selepas tertuduh memilih untuk memberi kenyataan secara bersumpah.

Bagi pertuduhan pertama, Azmi didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah oleh D Jethalal (no pasport Singapura S1568449B) bertarikh 12 Ogos 1005 yang diketahui palsu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Blok D6, Putrajaya, antara 29 September dan 10 Oktober 2005, sekali gus didakwa di bawah Seksyen 200 Kanun Keseksaan yang boleh dihukun di bawah Seksyen 193 kanun sama.

Sabit kesalahan, Azmi boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun berserta denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat satu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Oktober 2005 berserta senarai harta alih dan harta tidak alih bertarikh 29 September 2005, yang diketahui adalah palsu kepada pendakwa raya di Bandar Baru Uda, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.

Azmi didakwa mengikut Seksyen 19 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saifuddin Hashim Musaini, manakala Azmi diwakili peguam belanya, Adam Yap dan C N Sritharan.