![]() |
| Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszafar Shukur Sheikh Mustafa juga pernah mendapat pengiktirafan Oxcell. |
SEBAGAI pusat pendidikan kepimpinan khususnya dalam bidang profesional, korporat dan keusahawanan, sudah menjadi resam bagi Pusat Kecemerlangan Oxford (Oxcell) mengiktiraf sumbangan tokoh tertentu yang bekerja keras memajukan sektor pendidikan dan kepimpinan di negara masing-masing.
Selain peranannya sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang bertanggungjawab melatih pemimpin, pembelajaran menerusi pengalaman, simulasi dan pembentangan untuk pemimpin perniagaan, anugerah oleh Oxcell merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap mana-mana tokoh-tokoh yang terpilih.
Untuk dipilih, setiap tokoh terbabit perlu memenuhi sembilan kualiti kepimpinan yang telah ditetapkan.
Sembilan kualiti tersebut ialah terkemuka dan memajukan yang lain, membangunkan keupayaan dan kapasiti, mempengaruhi, memahami kerumitan dan kekaburan, integriti, beretika, arif terhadap adat majlis, memimpin perubahan dan bijak mengendali kepelbagaian budaya.
Jelas Pengarah Oxcell United Kingdom (UK), Dr. Mike Kearsley, dunia kini memerlukan kepimpinan yang kreatif dan bermatlamat.
"Kepimpinan kreatif dan bermatlamat itu lahir ketika berlakunya krisis. Berdasarkan pengalaman saya, sekurang-kurangnya seseorang pemimpin yang kreatif dan bermatlamat menggunakan krisis sebagai teleskop dan periskop untuk melihat peluang yang terdapat pada krisis tersebut," katanya.
Tambah beliau, pemimpin seperti itu tidak hanya melihat krisis sebagai halangan, sebaliknya mereka melihatnya melangkaui sempadan krisis tersebut, dalam usahanya mencari peluang yang luar biasa.
Sebab itu katanya, Oxcell telah mengenalpasti 18 pemimpin dari Malaysia dan Mauritius bagi menerima anugerah cemerlang itu ekoran sumbangan mereka kepada masyarakat.
Pada majlis penganugerahan yang dihadiri orang-orang kenamaan dari Malaysia, Mauritius dan United Kingdom (UK) itu, pelajar yang telah menamatkan program kepimpinan Oxcell turut menerima ijazah masing-masing.
Ijazah dikeluarkan pusat itu mendapat pengiktirafan European-American University (EAU), universiti bertaraf global yang terbabit dalam bidang perniagaan meliputi pemasaran, sumber manusia, keusahawanan dan pengurusan projek.
Ijazah tersebut yang dikenali Oxcell-EAU Joint Professional Award adalah bersamaan dengan sijil UK National Qualifications Framework (NQF) tahap enam, tujuh dan lapan.
Bagi rantau Asia-Pasifik Oxcell kini mempunyai 11 pejabat perhubungan iaitu di Kuala Lumpur, Singapura, Isa Town (Bahrain), Phnom Penh (Kemboja), tiga di Vietnam iaitu dua di Ho Chi Minh dan satu di Danang City, Sumatera Utara (Indonesia) dan Hong Kong, manakala Accra, Ghana menjadi pusat untuk Oxcell Afrika.
Selain itu Oxcell juga terbabit dalam pelbagai program sosial terutama dalam mengiktiraf mereka yang menyumbang bakti dalam bidang pendidikan.
Pada tahun lalu, sekumpulan guru dari negara ini turut menerima anugerah kecemerlangan Oxcell sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan mereka.
Dari semasa ke semasa Oxcell turut menganjurkan seminar dan persidangan yang berkaitan rapat dengan pembangunan profesional berterusan termasuk di Malaysia yang membabitkan tokoh-tokoh terkemuka dari luar negara.
Sementara itu, Presiden Oxcell Asia Pasifik, Dr. Saiful Bahri Musa berkata, pihaknya telah memperkenalkan kaedah yang mudah untuk menguasai bahasa Inggeris dengan memperkenalkan 'E-Blok' iaitu penguasaan bahasa Inggeris menerusi kaedah pengajaran berasaskan permainan dan literasi.
Katanya, kaedah pintar ini adalah satu cara penyelesaian yang dirancang khusus untuk pelajar bagi meningkatkan kemahiran mereka secara lebih berkesan.
"E-Blok memberi penekanan kepada kaedah pembelajaran secara praktikal atau 'learning by doing' yang menggalakkan kanak-kanak belajar bahasa Inggeris secara bekerjasama yang memudahkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu," katanya.
Pada akhir tahun depan, tambahnya, sebuah pusat kecemerlangan Oxcell bernilai RM12 juta bakal beroperasi di Cyberjaya.
Beliau memberitahu, pusat kecemerlangan ala universiti terulung di dunia, Universiti Oxford itu dijangka menempatkan kira-kira 20,000 peserta dari rantau Asia setahun.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: