
SEREMBAN – Negeri Sembilan menawarkan insentif tertentu kepada mana-mana pihak yang menerapkan teknologi hijau dalam projek pembangunan mereka di negeri ini mulai tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insentif itu bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam semua kategori pembangunan selaras dengan matlamat kerajaan dalam dasar tersebut.
Beliau berkata, antara insentif tersebut ialah diskaun bayaran premium tanah meliputi setiap industri dan pembangunan seperti pengeluaran makanan, elektronik dan perumahan.
“Melalui langkah ini, mata tertentu akan diberikan berdasarkan kepada kandungan teknologi hijau yang menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang diguna pakai oleh mereka.
“Penarafan akan diberi berdasarkan jumlah mata dikumpul yang akan melayakkan mereka menikmati insentif tersebut,” katanya selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Sembilan (MAPEX 2011) anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini kelmarin.
Turut hadir, Presiden REHDA, Datuk Seri Michael K.C Yam.
Mohamad berkata, sehingga kini penggunaan teknologi hijau semakin mendapat perhatian dalam kalangan pemain industri tempatan walaupun ia sebenarnya sudah menjadi amalan pelabur antarabangsa.
Sebagai contoh, katanya, kilang pembotolan Coca-Cola di Bandar Enstek, Nilai sudah mengguna pakai teknologi hijau mengikut piawaian pensijilan Kepimpinan Reka Bentuk Alam Sekitar dan Tenaga tahap perak.
“Ia mungkin teknologi baharu di negeri ini tetapi kerajaan negeri komited untuk menjayakannya,” ujarnya.
Pada pameran itu, sebanyak 2,330 unit hartanah pelbagai jenis bernilai RM932 juta ditawarkan pada harga RM36,000 hingga RM1.6 juta seunit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: