Monday, November 7, 2011

Milik Anuar atau Azlan?


LAGU Sedetik Lebih telah mengukuhkan tapak Anuar Zain sebagai penyanyi lelaki terbaik negara.


TERASA pantas masa berlalu apabila acara anugerah muzik paling berprestij yang ditunggu-tunggu, Anugerah Industri Muzik kembali untuk tahun ke-18.

Bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 November ini, industri muzik tempatan sekali lagi menjadi tumpuan ramai yang terus berteka-teki siapakah yang bakal menjulang kejayaan tahun ini.

Biarpun dihambat dengan kontroversi, ternyata ia bukan halangan untuk seluruh warga industri muzik untuk sama-sama meraikan hari istimewa ini.

Seperti biasa, Hits juga mahu mengambil kesempatan ini untuk menghangatkan lagi sambutan AIM 18 dengan melihat kepada beberapa kategori yang cukup menarik untuk diperkatakan.

Sayugia diingatkan tulisan ini langsung tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh juri yang bijaksana.

Ternyata, juri yang lebih bijak menilai dalam memilih pemenang yang benar-benar layak untuk menggenggam trofi idaman ramai itu.

Sebagai permulaan, pembaca dibawa untuk melihat siapakah di antara lima calon ini yang berpotensi besar untuk membawa pulang trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik?

Memasuki tahun ketiga dan seiring dengan perubahan dalam industri hiburan tempatan, penilaian tidak lagi dibuat berdasarkan album sebaliknya menerusi single mahupun lagu.

Untuk AIM 18, mereka yang bertuah menembusi senarai calon akhir ialah Anuar Zain yang dicalonkan untuk lagu Sedetik Lebih, Azlan & The Typewriter (Jeritan Batinku) dan Black (Sofea Jane).

Dua calon lain termasuklah Reza Salleh yang menerima pencalonan atas tiket lagu What The Hell Just Happened I'm Not Really Sure dan vokalis kumpulan Spider, Tam yang bertanding atas lagu Kitasatu.

Tidak dinafikan, kategori ini antara yang cukup menarik untuk dibicarakan apabila ia menyaksikan pertembungan antara penyanyi senior dan junior.

Sudah pasti, Anuar dilihat sebagai calon utama untuk dinobatkan dengan gelaran ini buat kali ketiga. Mungkin ada yang terlupa, Anuar pernah memenangi kategori ini sebanyak dua kali sebelum ini.

Penyampaian dan alunan Anuar menerusi lagu Sedetik Lebih sememangnya cukup indah dan mengasyikkan. Apatah lagi, memang sudah termaktub dalam direktori hiburan tempatan bahawa Anuar merupakan salah seorang penyanyi lelaki terbaik negara.

Adakah Sedetik Lebih akan membawa tuah kepada Anuar untuk memberinya peluang naik ke pentas menerima anugerahnya selepas lapan tahun?

Tetapi, laluan Anuar tidak semudah yang disangka kerana dia perlu berdepan dengan dua calon lain yang sudah terbukti kemantapan vokal mereka iaitu Azlan & The Typewriter dan Black.

Interpretasi Azlan menerusi lagu klasik ciptaan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku sememangnya mengagumkan sekali gus membuktikan bahawa bakat anak muda ini memang luar biasa.

Namun, usah pula dipandang sebelah mata kepada kemampuan Black yang juga berpotensi untuk menjulang trofi ini. Penghayatan dan lontaran vokalnya menerusi lagu Sofea Jane memang mendapat pujian ramai pihak.

Seperti mana yang sedia maklum, AIM tidak akan terlepas daripada kejutan dan tidak mustahil jika nama penyanyi dan komposer berbakat besar, Reza Salleh dipilih sebulat suara oleh pihak juri.

Gaya penyampaian penuh bersahaja dan santai namun emosinya cukup dirasai memungkinkan Reza mengungguli kategori ini.

Jika bukan Reza mahupun calon-calon lain sekali pun, adalah bukan menjadi satu kesalahan pun seandainya nama Tam dipilih untuk menjulang trofi Vokal Lelaki Terbaik.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pemilik vokal unik seperti Tam diiktiraf oleh anugerah berprestij seperti AIM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: