Thursday, November 24, 2011

Mengemis untuk sara keluarga


Yong Mae meraih simpati daripada setiap orang yang lalu lalang di hadapannya.


Pertemuan dengan Yong Mae, seorang pengemis kanak-kanak yang cacat kaki tangannya mengingatkan penulis kepada babak-babak menyayat hati tentang kehidupan pengemis kanak-kanak yang digarap oleh pengarah terkenal, Danny Boyle dalam filem Slumdog Millionaire.

Babak-babak dalam filem tersebut memang masih segar dalam kotak fikiran biar sudah beberapa tahun ditonton dan tidak sangka pula senario sama juga wujud di Malaysia - sebuah negara yang begitu pesat membangun.

Pasar malam Rabu di Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Selangor menjadi medan Yong Mae menagih simpati orang yang lalu lalang. Hujan lebat sejak dari petang sudah mula renyai-renyai, lantas kesempatan yang ada tidak dilepaskan untuk menghampiri kanak-kanak tersebut.

Dia kelihatan tidak selesa apabila dihampiri apatah lagi melihatkan jurukamera yang lebih lima kali lalu-lalang di situ sambil menghalakan lensa kamera ke arahnya.

"Boleh cakap Melayu?," tanya penulis yang disambut dengan anggukan perlahan daripada kanak-kanak tersebut.

"(Kaki) Kena potong oleh sindiket ke?," soal penulis lagi.

Yong Mae sedikit gelisah dengan soalan penulis, namun masih mampu memberikan senyuman kelat sebelum mula membuka mulut.

Sejak usianya sembilan tahun dia telah merantau ke negara orang, namun pengembaraannya bukanlah seperti pelancong yang bercuti riang bersama keluarga.

Sebaliknya dia membawa bersama harapan agar nasib diri dan keluarga berubah menjadi lebih baik berbanding ketika berada di negara sendiri.

Itulah erti kehidupan bagi kanak-kanak semuda Yong Mae, yang dia sendiri tidak pasti berapakah usianya lantaran tidak memiliki dokumen kelahiran yang sah.

Kecacatan pada kaki dan tangan telah menjadikan 'kerjaya' peminta sedekah selayaknya untuk kanak-kanak ini.

Wajah Yong Mae memang cantik, dengan kulit kuning langsat dan air muka lembut yang mampu meruntun hati insan melihatnya.

Tambahan pula, kedua-dua belah kaki gadis sunti ini kudung dan jari-jemari tangannya pula tidak tumbuh sempurna seperti manusia normal, yang pasti mengundang belas pengunjung pasar malam untuk menyumbang ke dalam raga kecil tadahan Yong Mae.

"Ini kudung sejak lahir kak....," pantas Yong Mae memberitahu ketika mata saya meliar melihat kecacatan yang ada pada tangan dan kakinya.

Tutur kata Yong Mae tetap dipengaruhi loghat negara asalnya, Kemboja.

Negara yang mempunyai 13 juta penduduk ini beribu negara di Phnom Penh, merupakan antara negara termiskin di rantau ini.

Kanak-kanak itu telah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu dan mempunyai rakan sekampung dari kalangan orang Melayu membuatkan dia fasih bertutur bahasa Melayu.

Mudahlah kami berbual dan banyak juga cerita yang ingin diluahkan oleh anak itu.

Anak sulung daripada enam beradik tersebut adalah punca sumber pendapatan utama ibunya yang menghidap penyakit kencing manis.

"Bapa sudah ikut perempuan lain... ibu dan adik di rumah dan kami semua tak sekolah.

"Duit yang saya dapat ini buat belanja kami makan dan ibu untuk beli ubat kencing manis," tutur Yong Mae yang bibir mulusnya sesekali menguntum senyum.

Bagi penulis susah untuk tidak berfikiran negatif dengan membuat tafsiran sendiri sama ada anak itu menyatakan kebenaran atau tidak.

Hakikatnya dia membesar dalam keadaan yang tidak sempurna seperti remaja lain.

Haknya untuk mendapat ilmu dan kemudahan memang sudah pasti diketepikan kerana dia bukanlah warga tempatan. Kehadirannya yang boleh diterima oleh penduduk negara ini umpama rahmat besar dalam diri ahli keluarganya yang lain.

Bila ditanya kenapa berhijrah ke Malaysia, Yong Mae berkata, kerana di negaranya dia tidak mendapat makanan.

"Sana miskin, tak ada duit, tak ada makan, semua susah, mak tak kerja, bapa ikut perempuan lain, adik ramai," katanya.

Memang jawapan yang agak klise, namun agaknya inilah hakikat kehidupan mereka yang mungkin sukar untuk diselami dan difahami oleh mereka yang hidup jauh lebih bernasib baik.

Apabila ditanya apa yang dimahukan dalam hidup, Yong Mae berkata: "Saya mahu pakaian yang cantik!"

Maka fikirkanlah, jika kanak-kanak semuda Yong Mae juga mahukan pakaian yang cantik, makan minum dan tempat tinggal sempurna, apalah erti hidup jika berterusan bergelar peminta sedekah?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: