Tuesday, November 8, 2011

Medan cetusan idea

Martias (tengah) bersama Jurey Latiff (empat dari kanan) dan Shariff (kiri) pada majlis taklimat MCPitch FFM24 di FINAS.
Martias (tengah) bersama Jurey Latiff (empat dari kanan) dan Shariff (kiri) pada majlis taklimat MCPitch FFM24 di FINAS.
Orang awam dipelawa kemuka idea menarik untuk program TV, filem

MASALAH ketandusan idea di dalam industri penerbitan bukan isu terpinggir. Hari ini penerbit, pengarah dan stesen televisyen semakin buntu untuk mendapatkan idea bagi tontonan masyarakat.
Kesudahannya, hari ini kita banyak disajikan dengan pelbagai program yang sering dikatakan kurang memberi manfaat kepada penonton sekali gus mengekang minda masyarakat untuk berfikiran jauh. Berbeza dengan negara barat yang jauh maju, idea yang dihasilkan di dalam penerbitan kadang-kadang melangkaui akal fikiran manusia normal, namun masih boleh diterima di seluruh dunia sebagai hiburan.
Penonton lebih memahami dengan apa yang ingin mereka mahukan berbanding penerbit, pengarah mahupun stesen televisyen. Di Barat, mereka menjalinkan kerjasama dengan orang awam khususnya penonton untuk berkongsi idea bagi melahirkan program yang lebih kreatif.

Kebanyakan idea yang lahir untuk penerbitan TV mahupun filem bukan lahir daripada orang dalam industri kreatif, tetapi mereka yang memiliki bidang berbeza. Sebagai contoh filem Harry Potter adalah cetusan idea daripada seorang doktor, begitu juga dengan produk lain yang lahir daripada individu seperti petani, guru, pemandu teksi, nelayan malah penganggur.

Individu seperti ini lebih memahami kerjaya mereka dan pengalaman itulah yang mampu dicetuskan sebagai idea. Tidak hairanlah kenapa penerbitan drama di negara ini sekiranya menceritakan mengenai doktor, wartawan dan pasukan beruniform dan sebagainya tetapi tidak kelihatan realiti dengan dunia nyata.

Menyedari situasi industri penerbitan yang semakin ketandusan idea, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) akan menganjur acara cetusan idea atau ‘pitching’ secara besar-besaran membabitkan semua masyarakat di negara ini di dalam Malaysia Creative Pitch (MCPitch).
Acara yang pertama kali dianjurkan ini diadakan sebagai pengisian sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24).

Pengarah MCPitch, Martias Mohd Ali berkata, penganjuran itu bagi membuka peluang kepada seluruh rakyat negara ini untuk berkongsi idea melahirkan karya yang lebih kualiti dan mengikuti kehendak penonton masa kini.

“Idea ini adalah inspirasi daripada pengalaman saya ketika berkunjung ke Hollywoodpada 2005 untuk merasai acara ‘pitching’ yang di sana. Lebih 6,000 orang berkumpul dalam acara itu menyumbang idea.

“Sesiapa saja boleh menyumbang idea dan sekiranya diterima penerbit, mereka dibayar dengan jumlah yang agak besar. Inilah yang akan berlaku pada MCPitch pada 17 November ini di FINAS nanti,” katanya pada sidang media, Selasa lalu.

Hadir sama Pengerusi Komitee Pitching FFM24, Datuk Shariff Ahmad dan Presiden GAFIM, Jurey Latiff Rosli.

Acara ini akan disertai seramai 80 penerbit tv/filem/buku, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Filem Negara Malaysia (FNM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta empat stesen televisyen dari Media Prima, Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

Penganjur akan menyediakan 80 meja yang akan diisi oleh syarikat penerbit untuk menerima siapa saja yang ingin memberi idea. Sekiranya idea itu diterima oleh penerbit, idea itu akan terus dikemukakan kepada wakil empat stesen televisyen untuk menimbangkan kualitinya.

Menurut Martias, orang ramai tidak perlu risau dengan idea yang dikemukakan diciplak oleh penerbit kerana pihaknya sudah mengatur langkah keselamatan menjaga hak cipta mereka.

“Sebagai contoh, idea yang sudah dikemukakan kepada penerbit A, sama ada diterima atau tidak, penerbit itu harus memberi cop bukti menandakan dia sudah mendengar idea itu, dan idea itu juga boleh diperdengarkan kepada penerbit lain,” katanya.

Pada acara itu juga, penganjur turut menganjurkan Pertandingan Pitch Terbuka yang menawarkan hadiah RM2,000 untuk orang awam.

“Bertempat di Mini Pawagam P.Ramlee, sesiapa saja yang mempunyai idea kreatif boleh membuat pitching secara terbuka kepada orang ramai yang akan diadili oleh juri profesional. Mereka akan diberi masa selama lima minit untuk mengemukakan apa saja idea,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: