MOHD KHODRI menunjukkan sebahagian tiang kayu sebagai penyokong tambahan untuk mengelakkan masjid runtuh.
PONTIAN: Kira-kira 300 jemaah Masjid Jamek Kampung Tenggayun, di sini bimbang keselamatan mereka terancam berikutan beberapa tiang masjid berkenaan kelihatan semakin condong hingga ada tapaknya yang terbenam, sekali gus mencetuskan kebimbangan struktur bangunannya yang tidak lagi selamat digunakan.
Tiang konkrit condong sudah berlaku sejak sembilan tahun lalu dan beberapa tiang kayu diletakkan sebagai sokongan mengelakkan keadaan lebih serius, namun ia tidak bertahan lama. - Mohd Khodri Sudir, Ahli JKKK Kampung Tenggayun
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Khodri Sudir, berkata keadaan beberapa tiang konkrit penyokong struktur masjid terbabit yang semakin condong, sekali gus menimbulkan kerisauan jemaah terutama ketika mengadakan majlis membabitkan ramai penduduk seperti solat Jumaat.Katanya, pelbagai usaha dilakukan setakat ini bagi mengurangkan risiko termasuk memasang beberapa tiang tambahan dari kayu sebagai penahan, namun usaha itu tidak berhasil, sebaliknya tiang kayu itu lama kelamaan terbenam ke dalam tanah serta condong.
Beliau berkata, penduduk hanya mampu menggunakan bahan binaan seperti tiang kayu terpakai kerana harganya lebih murah dan ia dikumpul daripada wang kutipan tabung masjid.
“Kejadian beberapa tiang konkrit condong sudah berlaku sejak sembilan tahun lalu dan beberapa tiang kayu diletakkan sebagai sokongan mengelakkan keadaan lebih serius, namun ia tidak bertahan lama dan terpaksa diganti kayu lain dalam tempoh singkat,” katanya.
Mohd Khodri berkata, masjid berkenaan bukan setakat condong, malah sebahagian dinding turut dinaiki anai-anai.
Pengerusi Belia Perkasa Kampung Tenggayun, Hairul Azlan Mohd Khodri, berkata selain solat berjemaah, masjid itu sering menjadi tempat menganjurkan pelbagai majlis keagamaan membabitkan semua lapisan penduduk.
Ketua Kampung Tenggayun Kawasan 9, Ismail Ramlan berkata, berikutan masjid yang semakin uzur itu, jemaah yang hadir terpaksa berhati-hati ketika berada dalam masjid kerana bimbang ia runtuh pada bila-bila masa.
“Saya terharu ada kalangan penduduk sanggup meluangkan masa bergotong-royong untuk membina tiang tambahan dari kayu, namun ia tidak mampu bertahan lama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: