Sunday, November 20, 2011

Mahal tapi hati puas

TIDAK MENGIRA UMUR...Suhaizam (dua dari kanan) bersama pengumpul patung filem aksi berkenaan.
TIDAK MENGIRA UMUR...Suhaizam (dua dari kanan) bersama pengumpul patung filem aksi berkenaan.

LAZIMNYA patung permainan atau patung adiwira lebih dikaitkan dengan kanak-kanak, namun kini patung yang turut dikenali sebagai ‘action figure itu turut digilai peminat dewasa untuk dijadikan koleksi peribadi.

Nilai yang mencecah ratusan dan ribuan ringgit sekali pun bukan alasan bagi peminat tegarnya untuk memiliki koleksi terhad itu.

  • Foto

    HEBAT...walaupun harganya agak mahal namun ia tetap menjadi pilihan.

  • Foto

    MENARIK...sebahagian karakter patung adiwira yang dipamerkan di pameran Toyscape 2011.

  • Foto

    KOLEKSI...rangkaian karakter Star Wars yang dipamerkan antara yang menjadi tarikan.

  • Foto

    KOLEKSI...rangkaian karakter Transformers yang dipamerkan antara yang menjadi tarikan.

Meskipun sering dipandang sinis oleh segelintir masyarakat yang menganggapnya sebagai hobi membazir, ia tidak mematahkan semangat golongan berkenaan untuk meneruskan hobi unik mereka ini.

Pengasas Star Wars Malaysia Fan Club, Suhaizam Mahmud, 28, berkata beliau mula meminati filem fiksyen ini sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 2002.


“Mulanya saya tidak tahu apa-apa pun mengenai filem itu tetapi pada satu hari, saya kagum melihat rakan sebilik saya mengulang kaji pelajaran, sambil menonton filem itu.


“Dia juga menghafal setiap dialog dalam filem berkenaan dan secara tidak langsung menyebabkan perasaan ingin tahu saya membuak untuk mengkaji filem berkenaan,” katanya yang mula meminati filem itu selepas menonton Star Wars Episode 3.

Dia ditemui ketika menjayakan Pameran Toyscape 2011 anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSLSR) Universiti Selangor (Unisel) di Unisel Kampus Shah Alam, baru-baru ini.

Pameran yang julung kali diadakan itu dirasmikan oleh Dekan FSLSR Unisel, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob dan disertai lebih 10 pempamer dari pelbagai kelab seperti Weapons of Mass Collecting (WeMaC), SembangToys, Macross Fans Malaysia (MFM) dan Malaysian Interest Lego Fans.

Suhaizam berkata, beliau mula mengumpul barangan Star Wars sejak 2002 dan hingga kini, koleksi barangan Star Warsnya sudah mencecah hampir 100 buah dengan nilai keseluruhannya berjumlah lebih RM8,000.

“Saya tidak hanya mengumpul patung adiwira Star Wars saja tetapi turut mengumpul barangan lain seperti cawan, kad tambah nilai, pelekat dan sebagainya.

“Bayangkan, sewaktu belajar dulu, saya sanggup berlapar untuk membeli barangan Star Wars kerana saya tahu barangan ini hanya dikeluarkan pada masa terhad saja. Walaupun mahal, saya tidak peduli kerana ia memberi kepuasan kepada diri saya,” katanya.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, semua koleksi barang Star Wars disimpannya teliti, malah dia langsung tidak terfikir untuk menggunakannya kerana ia memiliki nilai sentimental.

Sementara itu, Koordinator projek Toyscape 2011, Mohd Izham Mohd Aris yang juga pensyarah FSLSR Unisel, berkata fokus Toyscape 2011 adalah untuk memupuk kesedaran bahawa barang permainan itu bukan sekadar mainan kanak-kanak.

Katanya, pengumpulan barang permainan seperti adiwira dan pembinaan model kit ini sebenarnya mampu meningkatkan kreativiti dan inovasi pelajar.

“Melalui pameran seperti ini, pelajar dan masyarakat boleh melihat barang permainan dapat memperkayakan minda dan rohani,” katanya. Pameran itu dikelolakan pelajar Persatuan Scale Modeling Toys and Recreation Society (Stars).

Antara aktiviti menarik diadakan sempena pame­ran itu ialah ceramah pembinaan model kit, pameran pengumpulan patung mainan dan Fun Forum iaitu forum mengenai kelebihan hobi pengumpulan dan pengubahsuaian barang permainan oleh mereka yang pakar.

Sementara itu, bagi pengumpul barang permainan Gundam, Ahmad Asmawee Ahmad Mustapha, 28, dia mula mengumpul barang berkenaan sejak berumur 16 tahun sehingga sekarang.

“Sekarang saya sudah mempunyai hampir 30 koleksi Gundam yang mana nilai semuanya saya anggarkan hampir mencecah RM5,000.

“Walaupun ada yang mengatakan hobi ini membazir, saya puashati apabila dapat memilikinya dan hanya individu yang meminatinya akan tahu ‘nilainya’,” katanya.

Katanya, ketika masih di bangku sekolah, dia menggunakan duit raya yang diperoleh untuk membeli pelbagai koleksi Gundam dan ketika itu, sukar untuk mengumpul barangan itu kerana harga setiap satu mencecah sehingga RM250.

“Ketika sekolah, saya hanya membeli satu atau dua jenis saja setiap tahun kerana sumber kewangan ketika itu agak terhad.

“Apabila menyambung pelajaran di universiti, saya sanggup bekerja separuh masa untuk membelinya kerana hobi saya itu tidak pernah berkubur,” katanya.

Asmawee mengakui, ayah dan ibunya tidak tahu mengenai ‘kegilaannya’ terhadap Gundam dan dia terus merahsiakannya kerana khuatir akan dimarah.

Menurut anak sulung dari­pada tiga beradik ini, semua barangan Gundam miliknya disimpan di dua tempat berasingan iaitu di suatu tempat khas di dalam bilik tidur dan sebahagiannya lagi di pejabat.

Berbeza pula dengan pengumpul barang permainan Lego, Umi Nahdatul Idzwa Ahmad, 25, minatnya terhadap barang mainan itu bermula sejak kecil.

“Ibu dan bapa yang merangsang minat saya bermain mainan Lego sejak kecil dan apabila dewasa, minat itu bercambah. Kini saya mempunyai lebih 30 set Lego dengan pelbagai tema,” katanya yang mesra disapa Mika.

Ibarat bulan jatuh ke riba, Mika kini berpeluang untuk sentiasa ‘berkepit’ dengan barang kegilaannya itu apabila diterima berkhidmat sebagai pereka dengan syarikat pengeluar barang permainan itu, Lego Education Department.

Katanya, dia berasa amat gembira apabila diberi peluang bekerja dengan syarikat pengeluar barangan kegemarannya itu dan waktu bekerja adalah masa yang paling menyeronokkan baginya.

“Saya ditawarkan oleh syarikat Sasbadi Sdn Bhd untuk bekerja sebagai pereka di Lego Education Department sejak dua tahun lalu dan ia ibarat impian yang menjadi kenyataan kerana saya adalah peminat dan pengumpul nombor satu barangan itu,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini.



PROFIL:

NAMA: Ahmad Asmawee Ahmad Mustapha
UMUR: 28 tahun
PEKERJAAN: Eksekutif IT di Bank Pembangunan
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik


INFO:

  • Pameran Toyscape 2011 anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSLSR) Unisel Shah Alam

  • Mempamerkan pelbagai patung adiwira rancangan televisyen dan filem terkenal
  • Disertai oleh lebih 10 pempamer
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: