Tuesday, November 8, 2011

Lady Gaga menang besar pada Anugerah Muzik MTV Eropah


Lady Gaga dengan pakaian luar biasa semasa mengadakan persembahan pada Anugerah Muzik MTV Eropah di Belfast, kelmarin.


BELFAST 7 Nov. - Lady Gaga sekali lagi menguasai pentas Anugerah Muzik MTV Eropah di Belfast, semalam, membawa pulang empat anugerah, lebih satu daripada majlis berprestij sama yang diadakan pada tahun lalu.

Penyanyi yang gemar berani beraksi luar biasa dari New York itu memenangi anugerah Penyanyi Wanita Terbaik, Lagu Terbaik dan Video terbaik bagi lagu hit terbarunya, Born This Way serta anugerah Peminat Teramai.

"Saya tahu lagu ini (Born This Way) amat istimewa ketika saya menulisnya dan saya tidak tahu bila saya memulakannya.

"Anda semua sangat istimewa bagi saya. Ia merupakan lagu yang paling penting saya pernah tulis untuk anda semua," kata Gaga dalam keadaan menangis ketika menerima anugerah Lagu Terbaik sambil disorak penonton yang berada dalam Odyssey Arena itu.

Penyanyi kegilaan ramai dari Kanada, Justin Bieber antara penyanyi yang memenangi lebih daripada satu anugerah, membawa pulang anugerah Penyanyi Pop Terbaik dan Penyanyi Lelaki Terbaik.

Penyanyi remaja berusia 17 tahun itu menjadi tumpuan ramai sepanjang majlis tersebut setelah seorang remaja dari Amerika Syarikat (AS) mendakwa Bieber merupakan bapa kepada anak yang dilahirkannya.

"Pelbagai perkara yang merepek diperkatakan tentang saya baru-baru ini, tetapi saya berjaya melaluinya," katanya yang turut menafikan tuduhan tersebut.

Kumpulan Rock dari Los Angeles, Thirty Seconds To Mars memenangi dua anugerah iaitu Penyanyi Alternatif Terbaik dan Persembahan Konsert Terbaik manakala Bruno Mars pula memenangi anugerah Penyanyi Baru Terbaik dan Penyanyi Harapan.

Katy Perry memenangi Penyanyi Live Terbaik, Eminem mengulangi kemenangannya pada tahun lalu iaitu Penyanyi Hip Hop Terbaik, dan Linkin Park menepati jangkaan ramai dengan membawa pulang anugerah Penyanyi Rock Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: