Thursday, November 17, 2011

KWSP yakin pulangan PLUS Expressways 10 peratus setahun

ROHAYU bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif UEM Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris pada sidang media bersama KWSP dan UEM Group Bhd di Kuala Lumpur semalam.
ROHAYU bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif UEM Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris pada sidang media bersama KWSP dan UEM Group Bhd di Kuala Lumpur semalam.
Pelaburan jamin agihan dividen stabil

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yakin pelaburannya dalam PLUS Expressways Bhd mampu memberikan kadar pulangan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.
Ketua Bahagian Pasaran Modalnya, Rohayu Mohammad Yusof berkata, ini sejajar dengan garis panduan umum mengenai jangkaan pulangan daripada setiap pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana pencen itu.
Berdasarkan jangkaan pulangan minimum 10 peratus setahun itu, KWSP katanya, menjangkakan mampu memberikan dividen stabil antara lima hingga enam peratus setahun kepada 12.9 juta pencarumnya.

“Pelaburan yang dibuat KWSP dalam PLUS Expressways dijangka menjana hasil yang stabil dan mapan, bersesuaian dengan kehendak peruntukan aset strategik KWSP.

“Justeru, apa yang boleh saya katakan adalah, ia (pelaburan KWSP dalam PLUS Expressways) memenuhi objektif pelaburan kami,” katanya mengulas kesan pelepasan bayaran pampasan membabitkan sejumlah RM6.5 bilion yang harus dibayar kerajaan kepada PLUS Expressways susulan semakan semula syarat perjanjian konsesi tol antara pengendali lebuh raya itu dengan kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama KWSP dan UEM Group Bhd berhubung hasil semakan syarat konsesi tol terbaru dengan kerajaan di Kuala Lumpur, semalam.
Persetujuan semakan semula syarat perjanjian konsesi tol itu dimeterai kerajaan dengan UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu lalu.

Ia susulan cadangan pembelian aset dan liabiliti PLUS Expressways dan Penang Bridge Sdn Bhd oleh KWSP dan UEM Group.

Di bawah perjanjian konsesi tol baru itu, kadar tol di empat lebuh raya kendalian PLUS Expressways dikekalkan sehingga 2015, manakala kadar peratusan kenaikannya selepas itu akan dikurangkan daripada 10 peratus bagi setiap tiga tahun kepada lima peratus, sehingga berakhirnya tempoh konsesi pada 31 Disember 2038.

Di bawah syarikat konsesi baru itu juga, kerajaan akan memperoleh penjimatan sehingga RM6.5 bilion kerana tidak perlu membayar pampasan kepada PLUS Expressways.

Jika mengikut perjanjian konsesi tol lama, kerajaan perlu membayar pampasan tertunggak RM2.9 bilion dan pampasan pembekuan kenaikan tol selama lima tahun yang berjumlah kira-kira RM3.6 bilion kepada PLUS Expressways.

“KWSP melihat perjanjian konsesi tol baru itu akan memastikan pencarum KWSP memperoleh faedah dari segi pulangan daripada aliran tunai yang dijana PLUS Expressways,” kata Rohayu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Eksekutif KWSP (Bahagian Pelaburan), Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP melihat PLUS sebagai pelaburan jangka panjang yang baik dengan hasil pulangan stabil dan menarik.

Pada 18 Oktober tahun lalu, UEM Group dan KWSP mengemukakan tawaran bersama bernilai RM23 bilion atau RM4.60 sesaham untuk mengambil alih PLUS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: