Tuesday, November 22, 2011

Kursus Pemandu Pelancong di Masjid Negara


Azhar Tuarno (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Kursus Pemandu Pelancong di Masjid Negara, baru-baru ini.


PELANCONGAN terbukti boleh menjana ekonomi negara. Lebih-lebih lagi bagi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna serta mempunyai masyarakat yang pelbagai budaya.

Kesempatan itu harus dimanfaatkan oleh pihak berkuasa agama dalam usaha memperkenal dan mempromosi masjid-masjid yang terdapat di seluruh negara.

Usaha itu juga adalah strategi dakwah yang dilihat berkesan bagi menunjukkan akhlak dan kesatuan umat Islam terutama ketika solat berjemaah di mana tidak ada seorang pun jemaah yang menyalahi perbuatan imam.

Menyedari hal itu, Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara menganjurkan Kursus Pemandu Pelancong (Sukarelawan Masjid) Siri 2/2011 Modul Mesra Malaysia di masjid itu, baru-baru ini.

Kursus dua hari bermula 2 November itu adalah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Antara tajuk ceramah yang disampaikan adalah Anda dan Malaysia, Nilai Hospitaliti Malaysia, Personaliti Mesra Malaysia, Kaedah untuk meningkatkan Kecemerlangan dalam Perkhidmatan Pelanggan dan Komunikasi berkesan.

Ia disertai oleh 72 petugas dan sukarelawan yang bertugas sebagai pemandu pelancong di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur, petugas Pensera Sdn. Bhd., petugas Uniayu Sdn. Bhd. dan petugas dan sukarelawan masjid daripada Masjid Negara dan Islamic Outreach ABIM.

Objektif utama kursus adalah memberi pendedahan dan pengetahuan melalui maklumat terkini dan berguna berkaitan bidang tugas pemandu pelancong.

Selain itu, ia dapat mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk merancang dan mengurus berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab sebagai pemandu pelancong (sukarelawan masjid).

Perasmian kursus disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Penyelarasan, Dakwah dan Ibadah, Ehsan Mohd. Hosni yang mewakili Imam Besar Masjid Negara.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dilakukan bersama oleh Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara, Azhar Tuarno dan Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM, Normah Sulaiman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: