Friday, November 11, 2011

Kuih sejuk beku lebih mudah


Biskut dengan hiasan krim yang sesuai sebagai cenderahati.


KESIBUKAN bekerja dan tidak berkesempatan membuat sendiri makanan seperti kuih-muih untuk keluarga membuatkan ramai suri rumah membeli kuih-muih sejuk beku.

Banyak keistimewaan kuih-muih sejuk beku kerana ia boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh dimakan pada bila-bila masa tanpa perlu ke kedai untuk membelinya.

Kuih-muih sejuk beku ini boleh disediakan sebagai hidangan sarapan, minum petang atau sebagai hidangan untuk tetamu yang datang mengejut.

Menyedari keperluan ramai wanita terhadap kuih-muih sejuk beku ini, Aimi Food & Beverages berusaha mengeluarkan pelbagai jenis kuih-muih sejuk beku bagi keperluan orang ramai.

Jenis kuih-muih yang disukai ramai seperti karipap ayam dan daging, pau ayam, daging, kacang, kaya dan kelapa, kuih bakar bijan, labu, kacang hijau, pulut panggang, apam cantik manis, apam karamel, roti gulung sardin, donut dan banyak lagi.

Pengasasnya, Asiah Hashim berkata, selain kuih-muih, syarikat miliknya juga turut mengeluarkan produk pes asam pedas, pes mi bandung prima dan pes ikan bakar.

''Ketiga-tiga jenis pes ini mudah disediakan. Pengguna hanya perlu menyediakan bahan asas dan ikuti arahan yang disediakan. Masa penyediaan juga terlalu minimum dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berada di dapur.

''Pes ini begitu praktikal untuk disimpan di rumah dan boleh digunakan pada bila-bila masa anda teringin. Sama ada ketika makan tengah hari, malam atau apabila dikunjungi saudara-mara.

''Resipi produk kami menggunakan sukatan yang konsisten dan rasanya adalah sama. Produk ini juga dikeluarkan hari-hari dan sentiasa dibeli oleh pelanggan dan tiada produk yang disimpan lama,'' kata Asiah yang ditemui di kedai dan kafe Aimi yang terletak di Prima Saujana, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selain mengeluarkan kuih-muih sejuk beku, Asiah yang dibantu oleh anaknya, Aimi Anuar turut menghasilkan produk kek cawan, coklat dan kuih tradisional seperti bahulu dan agar-agar sakar sebagai cenderahati perkahwinan, korporat dan majlis-majlis lain.

Tambah beliau, setiap produk yang dikeluarkan mendapat pengesahan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sirim.

Perpengalaman lebih 30 tahun dalam industri juga dikongsi bersama dengan wanita lain apabila beliau membuka kelas masakan.

Pada awalnya, kelas masakan Asiah diadakan di rumah pada setiap hujung minggu atau cuti sekolah.

Ramai wanita yang telah mengikuti kelas masakan beliau akhirnya berjaya membuat perniagaan sendiri dalam bidang kuih-muih dan biskut.

''Setiap orang yang berniaga inginkan peningkatan dalam perniagaan begitu juga saya. Untuk itu, saya telah membuka kafe mini bagi memudahkan orang ramai membeli atau merasa dahulu kuih-muih sejuk beku sebelum membeli,'' ujar ibu kepada dua orang anak.

Kepada yang berminat mendapatkan kuih-muih sejuk beku, menempah cenderahati atau mengikuti kelas masakan Asiah boleh lawati blog www.asiahfoodbeverage.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: