
Berusia lebih seribu tahun, Osaka kini diiktiraf ramai sebagai sebuah kota futuristik berlandskapkan seni bina moden dan tradisional.
Selain dijadikan sebagai hab perdagangan antarabangsa dan pertukaran kebudayaan dengan China dan Korea, bandar Osaka merupakan penggerak ekonomi terbesar Jepun sejak zaman Edo.
Jika anda berpeluang mengunjunginya, bandar tersebut kelihatan seperti dibahagikan kepada dua bahagian yang berbeza.
Bahagian tersebut menawarkan pemandangan menghijau kawasan pergunungan dan kebiruan di sekitar Pelabuhan Osaka manakala sebahagian lain pula menawarkan pemandangan moden dipenuhi bangunan pencakar langit.
Seperti Tokyo, bandar raya itu juga merupakan sebuah destinasi hebat untuk diterokai kerana Osaka turut menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi.
Antaranya Istana Osaka yang berusia 400 tahun, Universal Studio, Aquarium Kaiyukan dan bangunan Umeda Sky.
Bagi mereka yang berminat untuk menerokai gaya kehidupan lama Osaka, bolehlah mengunjungi kuil keramat Simiyoshi Taisha Shrine yang terkenal sebagai kuil tertua di Jepun.
Selain tarikan tersebut, Osaka juga dijadikan sebagai tempat tumpuan buat mereka yang gemarkan kehidupan malam.
Pendek kata, selagi neon di sekitar bandar tersebut bernyala, selagi itulah aktiviti malamnya hidup seperti kawasan hiburan Dotombori, National Bunraku (teater boneka) dan Kamigata Ukiyo-e.
Kesemua tempat tersebut merupakan tarikan utama yang berbaloi untuk dilawati selain singgah ke restoran-restoran masakan tradisional Osaka yang terkenal dengan cara hidangan sihat seperti okonomiyaki dan takoyaki.
Buat mereka yang pertama kali melawat Osaka, musim bunga (Mac hingga Mei) atau musim luruh (September hingga November) merupakan masa terbaik melawat tempat tersebut.
Berbanding daerah lain dalam rantau Kansai termasuk Kobe, Nara dan Kyoto, Osaka menyajikan suasana yang berbeza terutama dari segi kehidupan malam di Dotonburi yang dianggap sebagai syurga beli-belah.
Walaupun harga barangan di lokasi tersebut agak mahal, namun setiap yen yang dibelanjakan pasti berbaloi terutama bagi mereka yang meminati barangan edisi terhad.
Selain kedai pakaian berjenama seperti Shinsaibashi, gerai di sekitar Niponbashi juga banyak menyediakan pakaian ala budaya k-pop yang menjadi kegilaan anak muda Jepun sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: