Friday, November 11, 2011

Kongsi masakan di You Tube




SALAH seorang kawan, Farina Tazijan telah mencadangkan agar saya merekodkan cara-cara membuat makanan menggunakan video.

Katanya video yang dirakamkan itu dimuat naik di laman You Tube agar orang ramai boleh belajar membuatnya.

Saya terus bersetuju kerana benda yang baik tidak harus kita simpan, betul tak? Lagipun dia bersedia membantu saya merakamkannya.

Jadi pada minggu lepas saya berkesempatan berkunjung ke rumah seorang lagi kawan, Suzana yang membuat dua jenis makanan iaitu quiche dan kek buah pic.

Inilah keseronokan apabila kita memasak. Selain boleh merapatkan silaturahim, kita boleh melakukan merakamkan apa yang di masak.

Dengan cara itu juga kita boleh berkongsi video cara membuatnya dengan orang ramai di Internet.

Pada minggu ini saya akan menulis tentang quiche. Mungkin ada yang tidak pernah dengar mengenai sajian ini.

Quiche (disebut keesh) adalah makanan yang tidak manis. Bentuknya seakan pai yang terdedah dan tidak bertutup dengan doh pastri. Jadi, anda boleh nampak isinya.

Isinya seperti daging dan keju dalam kastard (bancuhan telur,susu dan krim) yang dibakar dalam kulit pastri.

Jadi, apabila dinikmati ia seakan menikmati pai yang rapuh dan lembut isinya. Cuma ia berasa masin dan tidak manis. Kebiasaannya quiche lebih tinggi daripada pai manis.

Perkataan quiche sebenarnya bermakna 'dapur ' yang berasal daripada dialek bahasa Jerman yang kemudian ditukar ejaannya mengikut peredaran zaman menjadi quishe. Kemudian ia ditukar mengikut ejaan Perancis menjadi quiche, kekal sehingga sampai ke hari ini.

Kini ia diakui sebagai makanan asli dari Perancis. Bagaimanapun kastard yang dimasak dalam kulit pastri telah mula diperkenalkan seawal abad ke-14 lagi.

Ada pelbagai jenis dan nama quiche namun antara yang terkenal ialah quiche Lorraine yang asalnya merupakan satu pai yang terbuka dengan isi kastard, kepingan daging salai atau lemak lembu. Kemudian barulah ia ditambah dengan keju parut.

Quiche Lorraine yang berasal dari wilayah Lorraine di Perancis sungguh popular dan resipi asalnya mengandungi bacon yang sudah tentunya tidak sesuai untuk orang Islam.

Namun kini ia telah dipelbagaikan. Sekiranya resipi quiche Lorraine itu ditambah dengan keju gruyere, ia akan menjadi quiche gruyere atau quiche vosgienne. Manakala quiche Lorraine yang ditambah bawang dalam resipinya akan menjadi quiche alsacienne.

Kerak bawahnya (kulit pastrinya) dahulunya diperbuat daripada roti tetapi kerana peredaran zaman kulit pastrinya menggunakan pastri rapuh yang diperbuat daripada mentega, tepung dan sedikit air dan dibakar dalam acuan springform.

Hari ini, banyak jenis quiche sebenarnya, dari quiche lorraine yang asli, kepada versi yang dicampur dengan brokoli, cendawan, ham atau makanan laut.

Quiche boleh dinikmati sebagai makanan utama, untuk dijamu ketika makan tengah hari, makan malam, sarapan pagi atau minum petang dan snek. Hingga ke hari ini, terdapat sedikit pengaruh Jerman dalam hidangan di negeri Lorraine di Perancis.

Namun hari ini keaslian quiche Lorraine telah dipelbagaikan dan minggu ini saya berkongsi versi Quiche Lorraine yang telah diubahsuai. Selamat mencuba .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: