Thursday, November 24, 2011

Kolaborasi muzik klasik tingkat penglibatan rakyat


LEE Yan Xing menggunakan biola mempersembahkan lagu Antonio Vivaldi-Violin Concerto in A Minor di Russian Centre for Science and Cultural, Jalan Ampang, kelmarin.


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kolaborasi antara peralatan muzik klasik Melayu dengan Barat dengan peralatan piano, violin dan cello dilihat dapat meningkatkan penglibatan rakyat tempatan dalam dunia muzikal klasik.

Pengarah Muzik Persatuan Chopin Malaysia, Prof. Snezana Panovska berkata, kolaborasi kedua-dua jenis peralatan itu mampu menarik minat rakyat di negara ini kerana sesuai dengan budaya tempatan.

"Kita pernah lakukan kolaborasi antara muzik klasik Melayu dengan Barat dan ia terbukti berjaya menarik perhatian dan minat peserta untuk mendalami kedua-dua jenis muzik menerusi perkhemahan muzikal yang diadakan.

"Di masa hadapan, kita akan cuba melakukan kolaborasi antara muzik klasik Melayu, Cina dan India dengan Barat," katanya kepada pemberita di Festival Muzik Klasik di sini, semalam.

Turut hadir Presidennya, Tunku Munirah Tunku Mustapha dan Setiausaha, Felicia Chen Yan Yee.

Tambah Snezana, tujuan festival itu diadakan bagi mempromosikan peralatan muzik klasik itu kepada orang ramai dan mencungkil bakat anak muda yang mempunyai potensi tinggi untuk dikembangkan.

"Pelbagai aktiviti disediakan menerusi festival yang julung kali diadakan ini seperti forum, konsert, perkhemahan dan kelas master.

"Matlamat kami adalah menjadikan muzik klasik tempatan setanding dengan muzik klasik yang lain dan mencapai standard antarabangsa.

"Setakat ini hanya kira-kira 100,000 rakyat Malaysia yang menduduki peperiksaan dalam permainan alat muzik klasik ini dan kita harap bilangan ini dapat ditingkatkan lagi di masa akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: