Wednesday, November 9, 2011

Khazanah Pulau Jerejak terbiar

BANGUNAN pejabat pengurusan yang dibina pada  1911 kini dijadikan tempat penyimpanan peralatan bagi kerja pembinaan tangki air di Pulau Jerejak.
BANGUNAN pejabat pengurusan yang dibina pada 1911 kini dijadikan tempat penyimpanan peralatan bagi kerja pembinaan tangki air di Pulau Jerejak.
Lokasi pelancongan tak dipulihara dipenuhi semak samun, sampah sarap

GEORGETOWN: Pulau Jerejak, sebuah pulau kecil di selatan Pulau Pinang yang terkenal sebagai tempat tahanan penjenayah dan pusat kuarantin pada suatu ketika dulu dan kini menjadi lokasi pelancongan, didapati terbiar.
Beberapa peninggalan sejarah dan khazanah berharga di pulau itu terbiar tanpa penjagaan sehingga dipenuhi oleh semak samun, sekali gus merugikan kerajaan kerana ia boleh dieksploitasi sebagai produk pelancongan.
Bangunan warden, 500 kubur pesakit kusta dan bangunan penjara dilitupi semak samun, malah jeti utama menunggu masa untuk menyembah bumi. - Mohd Faizal Omar, Kakitangan Jerejak Rainforest Resort
Apa yang masih ada di pulau itu adalah bangunan penjara, tanah perkuburan Russia, tanah perkuburan pesakit kusta serta tempat simpanan/pusat tahanan bawah tanah (bunker), tetapi itupun terbiar sehingga menyakitkan mata memandang.

Pulau itu mempunyai sejarah tersendiri setelah dijadikan sebuah pusat kuarantin kesihatan untuk pendatang asing sebelum merdeka dan pada akhir 1930-an, hospital kusta dibina di bahagian timur pulau itu.

Tinjauan Berita Harian mendapati laluan masuk di pulau itu rosak akibat kerja pembinaan tangki air di atas bukit sehingga menyukarkan pengunjung untuk ke tempat bersejarah itu.

Berikutan itu, beberapa pihak meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya tempat bersejarah itu menjadi tarikan pelancong.
Kakitangan Jerejak Rainforest Resort, Mohd Faizal Omar, berkata beliau sedih apabila menyaksikan kawasan itu yang menempatkan tempat bersejarah itu terbiar tanpa penjagaan oleh mana-mana pihak.

“Bangunan warden, 500 kubur pesakit kusta dan bangunan penjara dilitupi semak samun, malah jeti utama menunggu masa untuk menyembah bumi,” katanya.

Beliau berkata, laluan utama menghubungkan jeti ke perkubur-an muhibah, jeti dan bangunan penjara yang menentang British, sudah rosak akibat projek pembinaan itu.

Sebelum ini jalan masuk ke tempat itu bertar, namun berikutan pelaksanaan projek pembinaan tangki simpanan air, laluan berkenaan rosak akibat kenderaan berat keluar masuk setiap hari.

“Ini menyebabkan pengunjung terpaksa meredah lecah dan tanah lembik serta air bertakung akibat sistem perparitan tersumbat. Bukan itu saja, banyak sampah sarap dibuang pekerja projek itu ke laut dan kawasan sekitar,” katanya.

Seorang lagi kakitangan resort itu, Norhasnida Mohamad Nayan, berkata jika kawasan itu tidak dijaga, akan hilanglah nilai berharga pulau yang berkeluasan 362 hektar yang kaya dengan sejarah, flora dan fauna.

Katanya, kawasan sekeliling pulau ini termasuk kuarters warden begitu menyedihkan kerana ditumbuhi belukar, malah ada rumah warisan yang sudah rosak kerana kegagalan pihak bertanggung jawab menguruskan kawasan berkenaan.

“Ada pelancong yang terkejut melihat kawasan persekitaran yang tidak terjaga dan dipenuhi belukar. Kami juga malu dengan keadaan persekitaran yang tidak terurus, sedangkan kawasan ini dikunjungi pihak luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: