![]() |
| Dua pelakon Filipina, Christian Bautista dan Karylle Tatlonghari (kanan) turut tampil dalam The Kitchen Musical. |
RANCANGAN berbentuk muzikal sering menjadi pilihan ramai. Ia ditonton mungkin kerana memiliki pelbagai elemen yang bukan sahaja drama dan lakonan tetapi juga diselitkan dengan nyanyian dan tarian yang mengasyikkan.
Selain muzik, ramai antara kita yang suka makan dan masakan yang enak tentu menjadi pilihan. Tidak hairanlah jika masyarakat kita dikenali menerusi pelbagai resipi masakan yang enak lagi menyelerakan.
Itu antara elemen yang ditampilkan oleh drama 13 episod, The Kitchen Musical yang mula disiarkan di ntv7 sejak 4 November lalu.
Selain gabungan lakonan, nyanyian, tarian dan makanan, drama itu memiliki satu lagi elemen istimewa yang pasti membezakannya dengan drama lain yang disiarkan di kaca televisyen.
The Kitchen Musical dibarisi pelakon handalan yang dikumpulkan daripada beberapa negara.
Antara yang membintangi drama muzikal itu ialah aktor kacukan Inggeris-Melayu, Stephen Rahman-Hughes, pelakon handalan dari Filipina, Karylle Tatlonghari dan Christian Bautista serta ramai lagi seperti Arthur Acuna dan Rosemary Vandenbroucke.
Drama bersiri itu mengisahkan Madie Avilon lakonan Karylle Tatlonghari yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di sebuah sekolah memasak ternama di Paris dan kini bekerja di restoran milik ayahnya, The Avilon.
Kehadiran Madie di The Avilon kurang disenangi oleh ketua chef di situ, Alex Marcus lakonan Stephen Rahman-Hughes.
Ini kerana Alex seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam tugasnya. Manakala Madie sering memberikan idea-idea masakan baru yang tidak dapat diterima.
Karylle yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon di Filipina berkata, bekerja di set penggambaran The Kitchen Musical memberinya kepuasan kerana sudah lama dia ingin terlibat dengan sebuah rancangan berbentuk muzikal.
"Apabila terpilih untuk melakonkan watak utama dalam drama ini, ia umpama mimpi menjadi kenyataan kerana saya menyukai kedua-dua bidang tersebut.
"Apabila dapat suatu tugas yang menggabungkan kedua-duanya, saya rasasangat gembira," katanya.
Gadis yang sudah mempunyai empat album itu juga berkata, dia tidak terlalu mengharap untuk mendapat tawaran berlakon dalam drama tersebut kerana latarbelakangnya lebih kepada seorang penyanyi.
"Selepas selesai ujibakat, saya memang tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi apatah lagi Madie Avilon merupakan watak utama dalam drama muzikal tersebut.
"Saya terkejut apabila terpilih. Mungkin ini rezeki dan saya gembira melakonkannya," jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Kreatif The Group Entertainment, CheeK berkata, siri The Kitchen Musical berkisar kepada minat mendalam warga Asia pada makanan.
"Rasanya belum pernah ada rancangan muzikal khususnya drama bersiri yang berkisar tentang makanan dan menggabungkan pelakon daripada beberapa negara yang berbeza.
"The Kitchen Musical ini bukan sahaja menampilkan pelakon dari luar tetapi tenaga produksi juga kita gandingkan dengan orang tempatan.
"Ada tenaga produksi daripada Filipina, Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Itali.
"Ini adalah sesuatu yang baru dan mengujakan. Hasil kolaborasi ini, kita tampilkan satu rancangan yang segar dan asli untuk penonton global dantetap mengekalkan ciri-ciri tempatan," jelasnya.
Antara tenaga produksi yang turut terlibat menjayakan drama muzikal ini ialah koreografer terkenal Australia, Jason Coleman yang merupakan seorang juri bagi rancangan So You Think You Can Dance, pengarah muzik Filipina, Gerard Salonga dan jurusolek artis antarabangsa dari Itali, Massimiliano Della Maggesa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: