james bond

Peminat filem, agen perisik terkenal, James Bond, pastinya tidak sabar menunggu tayangan terbaru filem ini.

Dijangka berada di pawagam Oktober 2012, filem James Bond ke -23, turut diselubungi kontroversi.

Seperti filem-filem terdahulu, kisah agen perisikan ini, berdepan dengan masalah. Baik dari segi pemilihan pelakon, judul, mahupun pengarah.

Ia juga tidak terlepas dari krisis kewangan apabila produksinya, MGM dikatakan hampir bankrap, sehingga filem ini yang sepatutnya ditayangkan pada 2010 terpaksa ditunda ke 2012.

Hari ini (Khamis), satu sidang media diadakan bagi memperkenalkan penerbit, pengarah dan barisan pelakon filem ini.

Dalam sidang media terbabit, segala info rasmi berkenaan filem itu, didedahkan termasuklah judul sebenarnya yang menjadi tanda tanya sebelum ini.
Sungguh pun begitu, bukanlah semua maklumat mengenai filem ini berjaya dirahsiakan dengan rapi.

Ini kerana, peminat sejak awal lagi sudah mengetahui pemegang watak, James Bond dalam dua filem terdahulu, Daniel Craig akan kembali menerajui peranan sama.

Malah, pengarah terkenal yang pernah memenangi Oscar melalui filem American Beauty, Sam Mendes telah mengesahkan bakal mengarahkan filem yang memulakan penggambarannya 7 November ini.

Pemilihan Mendes dicadangkan sendiri oleh Craig yang pernah bekerja dengannya dalam filem, Road to Perdition, selain kredibilitinya untuk mengarahkan filem aksi.

Selain Craig dan Mendes, beberapa nama besar, termasuk Judi Dench, Javier Bardem dan Ralph Fiennes turut tersenarai.

Sementara, gadis Bond yang sering menjadi tumpuan jatuh ke tangan aktres cantik dari Perancis, Berenice Marlohe.

Bond ke-23 hampir pasti menggunakan judul Skyfall, setelah MGM dan pembiaya filem ini, Sony Pictures mendaftar domain untuk laman web rasminya menggunakan nama JamesBond-Skyfall.com dan Skyfallthefilm.com.

James Bond berjanggut

Setelah kali terakhir kemunculannya dalam James Bond-Quantum of Solace(2008), dia dianggap kurang menyerlah.

Ini kerana, peranan ejen 007 kali ini memerlukan aktor berasal dari Britain itu untuk menyimpan janggut.

Imej berjanggut itu adalah yang pertama kali dibawa oleh watak James Bond, di mana sebelum ini semua pelakon James Bond tampil dengan wajah kemas.
Malah, Craig juga dikhabarkan telah kembali mendapat bentuk tubuh ideal bagi memenuhi karakter ejen perisik.

Marlohe si gadis Bond jelita

Pemilihan Marlohe yang jelita sebagai gadis Bond pada mulanya mendapat kritikan, kerana dia bukanlah nama besar dalam bidang lakonan jika dibandingkan dengan pemegang watak sebelum ini seperti Michelle Yeoh, Teri Hatcher dan Halle Berry.

Bagaimanapun, sesetengah pihak yakin watak gadis Bond akan lebih menyerlah, sekiranya menggunakan wajah baru dan kurang dikenali.

Namun sejauh manakah kehebatan filem terbaru James Bond ini, masih menjadi tanda tanya. Pengarahnya, Mendes, kini bersedia menggalas tanggungjawab menjadikan filem agen perisikan ini kembali menyengat, manakala Craig bersedia memenuhi karakter James Bond yang lebih gagah. Atau mungkin saja, kemunculan gadis bond lebih mengujakan berbanding dua karyawan popular itu.