GEORGETOWN - Walaupun diberikan pas oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menjalankan perniagaan di pesisir pantai berhampiran pusat membeli belah Queensbay, beberapa peniaga mengeluh kerana tetap disaman oleh pihak berkuasa tempatan itu.
Seorang peniaga, Mohd Isa Hassan, 37, berkata, MPPP memberikan pas untuknya dan rakan peniaga lain sejak beberapa bulan lalu yang membenarkan mereka berniaga di situ tetapi disaman dengan alasan tidak memiliki lesen perniagaan.
Dia tidak kisah disaman penguat kuasa MPPP namun tidak faham rasional tindakan itu kerana sudah diberi kebenaran untuk berniaga.
“Walaupun kadar saman tidak seberapa namun kami bukan mendapat untung setiap hari di sini. Ada kalanya pelanggan kurang. Tetapi tak apalah, kami anggap saman itu sebagai wang sewa tapak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Nasib yang sama turut dialami Amirul Mukminin Ibrahim apabila turut disaman atas kesalahan yang sama setiap bulan.
Amirul terpaksa membayar saman itu bagi membolehkannya terus berniaga di kawasan itu yang menjadi tumpuan orang ramai, terutama pada hujung minggu.
“Demi mempertahankan mata pencarian di kawasan ini, saya terpaksa membayar saman yang dikenakan.
“Macam mana pun, kami kena bayar saman itu daripada dihalang MPPP untuk berniaga di sini. Kami berharap perkara ini dapat dijelaskan oleh MPPP agar semua peniaga faham mengenai tindakan itu.
“Kami sedia memberi kerjasama kepada MPPP untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul asalkan kami terus dibenarkan berniaga di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan itu meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung yang bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Kehadiran pengunjung sudah semestinya memberikan rezeki kepada 27 peniaga makanan ringan di sepanjang pantai kawasan itu.
Diberikan pas untuk berniaga tidak semestinya boleh berniaga sesuka hati di situ. Kenalah berniaga di tempat yang sesuai berhampiran. Aku selalu ternampak banyak peniaga tersebut meletakkan kenderaannya di tepi jalan tersebut yang mempunyai garis double line dan menyebabkan sesak jalan di situ. Pada asalnya jalan tersebut boleh dilalui dua kenderaan tetapi peniaga2 tersebut tidak bertimbang rasa dan menyebabkan jalan tersebut menjadi sempit dan hanya saiz sebuah kereta dapat berjalan. Bukan sahaja begitu, kadangkala pembeli tersebut juga menghalang jalan kerana berdiri di kawasan tersebut. Tindakan yang diambil oleh mppp adalah betul dan sewajarnya. Pengguna2 jalan juga harus diberikan saman kerana turut meletakkan keretanya seperti peniaga2 tersebut.
ReplyDelete