Tuesday, November 8, 2011

Kekecewaan Bob Tutupoly


MELEWATI usia 70 tahun, Bob Tutupoly yakin masih mampu menghiburkan peminat setianya.


KEASLIAN suara berjaya meletakkan namanya sebagai salah seorang artis veteran lelaki paling berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

Bagi peminat tegar lagu Widuri, pasti mengenali penyanyi asal lagu tersebut yang kini berusia 72 tahun.

Bob Tutupoly atau nama sebenarnya, Bobby Willem Tutupoly bukan sahaja berjaya melakar namanya di hati peminat muzik tanah air tetapi juga mampu mengekalkan nama pentasnya itu di hati peminat di Malaysia.

Maka itulah, seperti mana artis-artis senegaranya, beliau juga merasakan Malaysia sebagai rumah keduanya.

Kata Bob, perjuangannya dalam dunia seni suara pasti terselit kisah kekecewaan dan kisah itu ingin dikongsi bersama peminatnya di sini.

"Selepas 54 tahun berada di dalam bidang ini ada perkara yang mengecewakan saya iaitu pembajakkan (cetak rompak) album penyanyi termasuk album saya sendiri.

"Masalah itu masih berlarutan sehingga ke hari ini dan seperti yang kita semua tahu, hal ini merupakan satu kerugian buat kami sebagai penggiat seni yang ikhlas mahu menghiburkan peminat," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran single terbarunya, Melodi Cinta di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Bob yang pernah menghasilkan empat album kompilasi antaranya The Best Song Of Bob Tutupoly Widuri dan Album Nostalgia 2, kekecewaannya itu turut memberi tempias kepada perjuangan seninya selama ini di mana dia bertindak mengambil masa yang lama sebelum mahu menghasilkan album baru.

"Bukan merajuk tetapi saya berfikir secara mendalam, apa ertinya menghasilkan album baru jika yang dibeli khalayak adalah album cetak rompak?

"Sebetulnya album penuh Melodi Cinta sudah pun siap sejak dua tahun yang lepas, namun masalah pembajakkan yang berleluasa membuatkan saya menangguhkan dahulu niat untuk memasarkan album ini.

"Bagaimanapun setelah difikirkan semula, saya berpendapat isu ini tidak akan pernah ada kesudahannya.

"Oleh itu saya teruskan sahaja pembikinan album Melodi Cinta yang akan berada di pasaran dalam waktu terdekat ini," katanya yang pernah berlakon dalam filem Penasaran (1977).

Memilih sebuah syarikat rakaman tempatan, Erama Records untuk berkerjasama bagi memasarkan single terbarunya, Bob memberitahu, kesempatan yang diberikan syarikat itu merupakan hadiah yang tidak ternilai buat penyanyi berumur sepertinya.

"Bukan mudah untuk penyanyi lama seperti saya mendapat kepercayaan daripada syarikat rakaman yang mempunyai nama namun, dengan kesudian pihak Erama Records mengambil saya sebagai artis mereka, saya rasa amat bersyukur.

"Sebagai menghargai pihak Erama Records, saya memilih untuk melancarkan single terbaru bertajuk Melodi Cinta saya ini di Malaysia," katanya yang akan turut melancarkan single yang sama di negara kelahirannya tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: