Sunday, November 20, 2011

Kayuhan emas


FATEHAH berjaya meraih pingat emas dalam kategori 500 meter ujian masa individu wanita semalam.


JAKARTA - Fatehah Mustapa sanggup mengetepikan masalah kesihatan semata-mata mahu menyumbang pingat emas buat skuad basikal trek negara pada temasya Sukan SEA 2011.

Sekalipun diberitakan tidak sihat sebelum turun menggegar di Velodrom Rawamangun, dekat sini, Fatehah membuktikan semangat juang mampu mengatasi segala-galanya.

Diletakkan sebagai pelumba pilihan, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya meraih pingat emas dalam kategori 500 meter ujian masa individu wanita dengan catatan 36.843 saat.

"Saya tidak begitu sihat dan seperti hendak demam sejak beberapa hari lalu. Ini menyebabkan saya terpaksa beraksi dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.

"Bagaimanapun, bersandarkan keazaman untuk memberikan emas pertama buat skuad basikal trek negara, saya kuatkan semangat dan cuba melakukan pecutan yang terbaik.

"Saya berharap permulaan yang baik ini akan mencetuskan semangat kepada rakan-rakan sepasukan untuk mencipta kejayaan yang sama," kata Fatehah semalam.

Mengulas lanjut kejayaannya itu, Fatehah berkata, dia tidak berasa terlalu tertekan sekalipun tumpuan lebih banyak terarah kepadanya.

"Saya hanya fokus di trek dan cuba memberikan kayuhan terbaik. Saya gembira kerana hasrat untuk mencatat masa terbaik tercapai," jelas Fatehah yang berpangkalan di Melbourne, Australia di bawah kendalian ketua jurulatih, John Beasley.

Pingat perak kategori tersebut dimenangi pelumba Filipina, Epingger Apryl yang merakamkan masa 38.134s manakala gangsa milik pelumba tuan rumah, Muzizah Uyan (38.338s).

Sejurus kejayaan Fatehah, skuad negara terus menambah koleksi emas, kali ini giliran pelumba lelaki, Mohd. Harrif Salleh yang menjuarai acara 10 kilometer scratch.

Pingat perak dimenangi pelumba Thailand, Satjakul Sianglam, manakala gangsa menjadi milik pelumba Filipina, Jan Paul Morales.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, kayuhan emas menerusi Fatehah dan Harrif sudah pasti bakal memberi tonik tambahan kepada barisan pelumba trek negara untuk menambah koleksi emas pada temasya kali ini.

"Kejayaan mereka hari ini (semalam) adalah permulaan yang sempurna buat skuad basikal trek dalam mencapai sasaran lima pingat emas pada Sukan SEA di Jakarta," jelas Abu Samah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: