
MUNGKIN sukar untuk difahami, namun itulah yang ingin disampaikan penganjur tatkala parti fesyen debut Stylo singgah di metropolitan Mumbai menjelang F1 Grand Prix India yang telah pun berakhir Ahad lalu.
Karya dengan tema The 7 Deadly Sins membawa kelainan dan seakan kejutan kepada lebih 300 tetamu yang hadir dari seluruh pelosok negara itu. Sebanyak 150 kilogram sampah yang terdiri daripada tin, aluminium, surat khabar lama, pakaian terpakai, tanglung, botol kaca, kotak, tayar kereta, kelambu dan pelbagai lagi diterbangkan dari Kuala Lumpur bagi menghasilkan 30 himpunan yang aneh namun memukau. Bukan setakat itu sahaja, beberapa bahan buangan dari Mumbai sendiri turut dititip dalam setiap rekaan menggunakan mantra fesyen recycling all new black yang pastinya tidak pernah terlintas di fikiran.
Ia sebagai simbolik kepada tujuh dosa yang menyebabkan kerosakan di muka bumi iaitu tamak haloba, bangga diri, nafsu, kemalasan, iri hati, lahap dan kemarahan.
Mercedes-Benz Stylo Mumbai mengulangi kejayaan pertunjukan di London semasa Minggu Fesyen London dua bulan lalu namun kali ini diberi sentuhan baru.
“Kejayaan di London memberi inspirasi kepada kami untuk mengulanginya di sini,,” kata Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO), Nancy Yeoh.
Beliau yang tampil menawan dengan gaun hitam baldu yang diberi nama The Garbage Rose rekaan pereka tempatan bertaraf antarabangsa, Bill Keith.
Menggunakan kain baldu terpakai, gaun terbuka luas di bahagian belakang itu dihiasi plastik sampah berwarna hitam yang disusun menjadi kelopak bunga mawar dan kilauan kristal di bahagian tengah.
“Ini adalah contoh terbaik penggunaan bahan-bahan terbuang yang mampu diolah menjadi sesuatu yang berguna. Kami berharap acara ini mampu menghiburkan serta dalam masa yang sama menyampaikan mesej kepada pengunjung melalui fesyen,” katanya.
Biar pun jarum jam hampir menganjak ke pukul 12 tengah malam, namun para tetamu yang memenuhi kelab malam Hype yang dimiliki oleh Deejay India nombor satu, DJ Aqeel tetap tidak berundur dan sabar menanti biar pun waktu penganjurannya tersasar dari masa yang dirancangkan.
Pereka kasut antarabangsa, Datuk Jimmy Choo diterbangkan khas dari London bagi menjayakan acara ulung itu.
Stylo, berkonsep fesyen-
hiburan yang berpangkalan di London, ditubuhkan bagi menarik peminat sukan antarabangsa F1.
Ia menyediakan hiburan dan platform sosial kepada peminat antarabangsa serta tempatan dalam usaha integrasi hiburan, fesyen, peminat fanatik F1 dan seni yang bergabung di bawah bumbung Stylo.
Selain daripada rekaan Bill Keith, pereka Mercedez Benz Stylo 2011, Lorenzo Peh dan juga pereka rambut terkenal Winnie Loo bersama pasukan A-Cut-Above turut diterbangkan dalam usaha menghasilkan rekaan avant-garde pada malam itu.
Tidak ketinggalan, lapan model dari Ford Supermodels of The Worls Malaysia 2011 turut diterbangkan ke bandar glamor itu oleh penerbangan AirAsia X, yang merupakan penaja bersama acara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: